Series
5823
HUJAN renyai-renyai turun membasahi bandar. Bunga berlari anak di kaki lima dengan keadaan tangan kanan menutup kepala, manakala tangan kiri menggenggam kotak kek yang sudah senget. Rambut yang pada awal disanggul kemas kini mula terburai.
"Ya Allah… kenapa sekarang?" bebel Bunga, perlahan.
Langkahnya terhenti apabila tumit kasutnya tersangkut di celah lubang konkrik kaki lima. Tubuhnya hampir hilang keseimbangan.
Prakk!
"Hah! Elok sangatlah nasib kau hari ni," rungut Bunga sambil memandang kasutnya yang sudah patah.
"Memang sekarang juga nak patah, ya?"
Hujan makin lebat dan serentak itu orang ramai mula berlari mencari tempat berteduh tetapi Bunga masih terkial-kial dengan sebelah kasut yang tinggal separuh nyawa.
"Argh!"
Akhirnya dia mengalah. Dengan muka selamba, dia membuka kasut dan berkaki ayam. Hujan yang menimpa wajahnya langsung tidak dihiraukan. Apa yang penting sekarang, dia perlu berlari mencari tempat berteduh.
"Harap tak tergolek," bebel Bunga sambil berlari.
Tiba sahaja di bawah bangunan, Bunga dapat rasakan sesuatu tentang dirinya.
"Selekeh sungguh kau hari ni, Bunga," keluh Bunga dalam keadaan termengah-mengah.
Wajah yang basah diraup kasar. Rambutnya yang mengurai sudah tiada rupa.
"Mesti Nai marah sebab aku tak dengar nasihat dia tadi."
Belum sempat dia menarik nafas lega, tubuhnya tiba-tiba dilanggar dari belakang. Kuat hingga kotak kek di tangannya terlepas dan jatuh ke lantai. Serentak itu juga krim kek merecik ke seluarnya.
"Bodoh! Lembaga apa yang langgar aku ni?!"
Bunga tunduk dan berusaha menyelamatkan apa yang masih ada tapi dirinya sedar, usahanya sia-sia. Semakin disentuh kek itu semakin hancur rupa kek di depannya.
"Spesis tak reti guna mata agaknya," omel Bunga dengan nada kesal.
"Awak okey dik?" tanya salah seorang daripada mereka.
Suara itu membuatkan Bunga mematikan diri. Perlahan-lahan dia mendongak namun pandangannya terlebih dahulu menangkap deretan kasut kulit hitam berjenama di hadapannya. "Huh, patutlah tak ada mata."
Sesaat, Bunga tunduk semula. Tangan diangkat tinggi sebagai memberi isyarat agar mereka beredar.
"Tak payah sibuklah. Pergi sana. Tadi macam tak menyempat sangat."
Sunyi seketika. Kemudian kedengaran satu suara lelaki yang tenang tetapi jelas dingin bersuara.
"I don't care siapa dia. Replace the cake. I don't have time untuk drama jalanan macam ni."
Bunga membeku. Bibirnya digigit kuat menahan sabar.
"Walaupun dia pengemis sekalipun, itu bukan alasan untuk biarkan dia macam ni."
Bunyi derapan kaki lelaki itu mula menjauh namun entah mengapa Bunga rasakan bicara tadi terasa seperti hinaan yang sungguh busuk. Dia bangun berdiri tegak seperti tiang. Sisa kek di tangannya digenggam kemas.
"Hoi!"
Bunga memandang wajah lelaki itu dengan dahi berkerut. Senyuman sinis terukir saat sasarannya berpaling.
"Hina orang tu memang hobi kau ke?"
Papp!
Tanpa amaran, kek itu melekat tepat ke arah lelaki berkemeja putih yang baru sahaja berpaling. Krim kek melekat di wajah lelaki itu dan menggelongsor turun ke baju dengan perlahan-lahan. Pandangannya tajam ke arah semua lelaki itu kecuali lelaki yang sudah terkena kek tadi.
"Jangan pernah berani hina orang walaupun kau kaya!" Suara Bunga meninggi dan penuh amarah.
"Allah tak suka orang sombong! Ingat tu sampai mati."
Tanpa menunggu reaksi lelaki itu, Bunga beredar dalam hujan yang masih belum reda. Hatinya panas dengan sikap orang kaya yang terlalu mendongak ke langit.
Lelaki itu menjilat bibirnya yang terkena krim tadi. Suasana di sekeliling tiba-tiba sunyi.
"Encik ZulFaqar."
Faqar mengangkat tangan sebaik sahaja salah seorang pembantunya bersuara.
"Perempuan tu... dah melampau." Cermin mata hitamnya dilap kasar.
"Nuh, kau tolong aku."
Faqar masih terpaku ke arah laluan yang ditinggalkan perempuan yang lencun tadi.
"Cari tahu dia."
Nuh dan pembantunya yang lain terpinga-pinga mendengar bicaranya.
"Siapa? Errk... yang tadi tu?"
"Yes. Perempuan tadi tu," ucap Faqar lagi dengan nada sinis.
"Cari tahu siapa dia sampai dapat. Aku tunggu."
"Baik, encik."
Faqar bergegas melangkah ke arah kereta. Langkahnya terhenti ketika Nuh membuka pintu kereta untuknya.
"Sebelum 24jam."
"Hah?!"
Faqar menepuk bahu Nuh berulang kali dengan wajah tegang. Dia masuk ke dalam kereta tanpa senyuman ke arah lelaki lewat 70an di dalam kereta.
"Qar… kenapa ni?"
Riak wajahnya jelas terkejut melihat keadaan cucunya yang comot.
Faqar menarik tisu dan mengelap wajahnya sambil menarik nafas kasar.
"Biasalah tokpa, terlanggar perempuan tak sedar diri."
Dahi Tengku Aziz berkerut. Tangannya menyentuh lutut cucunya lembut.
"Cantik ke perempuan tak sedar diri tu sampai you suruh mereka cari sebelum 24jam?"
Faqar menjeling orang tua di sebelahnya. "Apa benda ni tokpa. Sekarang ni adik macam mana?"
.
.
.
Faqar menyerahkan kemeja yang comot kepada pemandu peribadi tokpa dengan senyum segaris.
"Terima kasih sebab pinjamkan I baju you."
"Benda kecil Encik Faqar. Kita dah lambat nak tengok Fiqah."
Faqar berlari dengan langkah laju masuk ke dalam hospital bersama Nuh. Langkahnya terhenti apabila melihat seorang perempuan sedang menunggu lif dalam keadaan separuh basah. Dia melajukan langkah dan berdiri di depan perempuan itu dengan muka ketat.
"Maaf, kita kenal ke?"
Faqar menggeleng. Dia meraup wajah dan berpaling malu. Sangkaannya meleset.
"Maaf, saya salah orang."
"Encik Faqar... ada masalah ke?"
Faqar tunduk sambil memegang lutut. Jeritan kecil dilepas demi menghilangkan bayangan gadis itu dari muncul semula dalam fikirannya.
"Encik Faqar."
"Tak ada apa, Nuh. Gaya perempuan tadi sama macam dia."
Nuh hanya mampu meneguk liur. Dia dapat lihat majikannya seperti gelisah memikirkan hal tadi.
"Nuh, cara dia berdiri masa tu... walaupun dalam keadaan selekeh...." Bicaranya mati sekejap. Nombor lif di dinding ditenung lama.
"Perempuan tu buat fikiran aku makin serabut. Kenapa gaya dan suara dia senang sangat melekat dalam kepala aku?"
Assalamualaikum semua. New baby untuk semua. Semoga terhibur dan terima kasih sokong win. Bunga tersalah cinta suami. Happy reading❤️
Share this novel