MUKA Rai mengetat. Dia nekad meninggalkan Anip di tepi jalan apabila lelaki itu mula mengimbas semula kisah silamnya. Mulutnya mengomel tanpa henti. Niat awalnya mahu ke bandar bandar bersama Anip terpaksa dilupakan.
Tidak sampai 300meter, kereta diberhentikan di bahu jalan. Matanya melirik ke arah cermin sisi sekejap menunggu susuk tubuh lelaki tadi muncul.
"Lambatnya jalan. Terhegeh-hegeh macam perempuan. Aku pun tak jalan lambat macam tu," omel Rai sendirian.
Matanya melirik ke arah bunyi notifikasi telefon Anip menyala. Pandangannya diredupkan apabila dapat membaca mesej masuk.
"Ini niat kau rupanya," gumam Rai.
Dua minit berlalu, susuk tubuh Anip kelihatan sedang berlari ke arah kereta. Rai mengukir senyuman senget melihat ragam rakannya. Pintu kereta Axia dibuka sebaik Anip tiba di kereta dalam keadaan termengah-mengah.
"Padan muka. Siapa suruh mulut tu cabul sangat."
"Alahai, sorry Rai. Aku melawak tadi. Aku tahu aku salah. Lepas ni aku tak ungkit lagi kisah tu."
Anip menarik tali pinggang keselamatan dengan dahi berkerut.
"Rai, asal tak boleh tarik?"
"Jangan mengadalah! Tadi elok jea."
Rai merengus. Tangannya pantas menarik tali pinggang dengan wajah mengetat. Matanya dibulatkan ke arah Anip.
"Ini boleh! Kau nak kena tinggal lagi ke Anip?"
"Tadi aku tarik tak boleh. Mana aku tahu. Aku tinggal siapa nak pulangkan kereta ke Pak Akob?"
Rai merengus kasar. Dia terus memandu tanpa mengendahkan Anip.
Berderai tawa Anip melihat wajah Rai tegang. Dia tahu gadis ini tidak akan pernah tinggalkannya walau apa keadaan sekalipun. Anip mengangkat tangan tinggi ke arah Rai agar berhenti berbicara.
"Wei, Rai... aku dengar sekarang gaji korang dah naik. Betul ke? Boleh la kau belanja aku makan jap lagi."
"Mana pula kau dengar gaji naik? Kau bab kikis duit aku laju sungguh. Bila aku suruh kau bayar duit kereta semalam punya banyak bunyi. Tak bawa duit la, itu la, ini la... memang banyak alasan keluar dari mulut kau."
"Alahai, kau lupa ke aku kan ada lagi dalam group maki Supervisor kita tu. Aku baca dekat situ la. Rileks la wei."
Rai terdiam. Dia merengus kasar. Entah bagaimana dia boleh lupa lelaki di sebelahnya ini pernah berkerja bersamanya dulu. Suasana sunyi secara tiba-tiba untuk satu tempoh yang agak panjang.
"Oh, aku baru teringat! Kau ingat tak Redza? Akaun instagram dia nama JejakaX," soal Anip cuba menghidupkan suasana.
"Ingat. Mak dia kahwin masa kita tengah final sem. Adik dia nama Ellyana tak silap aku. Kau pernah nak try adik dia dulu. Kenapa dengan Redza?" balas Rai. Sempat dia menoleh ke arah Anip sedang tersengih mengurut dagu.
"Sebenarnya aku cuma nak cakap aku dah jumpa akaun Yana. Lepas tu dia dah accept aku," balasnya dengan nada yang penuh teruja.
Terjongket kening Rai mendengar bicara Anip. Sungguh dia tidak menyangka Anip masih ada perasaan dengan Yana.
"Alahai, aku ingat apa tadi. Aku ingat kau nak cakap Redza jemput kahwin. Rupanya nak bagitahu benda tu jea. Anip, dah lima tahun kot kau kejar Yana tu."
"Kau tak akan faham Rai perasaan aku."
"Hmm... ya memang aku tak faham. Aku langsung tak faham perasaan kau. Aku juga tak faham poket aku ni poket kau juga."
Rai sengaja menarik muka masam. Sakit pula hati dengan perangai Anip suka berharap dengan benda yang tak pasti.
"Dah, merajuk lagi? Adoi, jangan la merajuk Rai," keluh Anip.
"Nak merajuk juga. Aku kena drive. Aku bayar kereta semata-mata nak temankan kau ke bandar jumpa Gedegang."
Anip terdiam. Sedetik dia memusingkan tubuhnya memandang wajah Rai. Jarinya muncul perlahan-lahan ke arah pipi Rai dan diakhiri dengan satu tunjal yang cukup kuat.
"Mana kau tahu? Kau buka telefon aku ya?" soal Anip inginkan jawapan.
"Tak sempat buka telefon kau menyala sendiri. Allah tu nak tunjuk sekejap jea Anip oii. Kau tipu aku kata nak temankan aku balik," bebel Rai.
Anip membanting tubuhnya ke kerusi mengalah. "Sorry la wei. Aku ajak kau pun sebab tak nak kau naik bas. Kebetulan kau nak balik bandar kerja. Kira sekali jalan la. Ya, ya... aku tahu kau satu-satunya manusia yang paling faham aku. Kebetulan juga sebenarnya aku nampak Yana nak lepak dengan kawan-kawan dia malam esok dekat hotel kau kerja."
Rai hanya menjuihkan bibir. Sedikit pun dia tak tertarik dengan cerita Anip tentang Yana.
"Sebenarnya kau nak kenakan aku dengan budak Gedegang tu kan! Kau ingat aku tak tahu?"
"Mana ada!"
Kepalanya menggeleng laju tanpa henti menidakkan bicara Rai.
"Kalau tak ada.. kenapa kau suruh aku ikut aku jumpa budak tu dekat dataran?"
Anip menepuk dahi berulang kali apabila rancangannya seperti sudah gagal mahu temukan Rai dengan rakannya. Rai, gadis yang tegas dengan pendiriannya. Seorang gadis yang susah untuk jatuh cinta walaupun mudah berteman dengan ramai lelaki.
..
"Encik Yusmijan yakin ke nak pergi esok atau Encik nak hantar PA Encik sebagai wakil," tanya Khan.
"Aku terpaksa juga pergi Khan. Kau jangan risau. Malam tu aku bawa Yana sebagai teman bukan Amani," balas Yusmijan tenang.
Khan mengangguk. Dia membuang pandangannya ke arah Cik Yana sedang memilih baju dari jauh.
"Baru saya faham kenapa Encik Yus temankan Cik Yana beli baju," bisik Khan.
"Sekarang kau dah fahamkan. Aku terpaksa gunakan anak dia sebagai perisai. Aku pasti dia akan jauhkan kau daripada aku malam tu dengan cara dia. Amanda pula takut dengan dia," ucap Yusmijan dengan penuh keyakinan.
Yusmijan beralih dan menghampiri Yana sedang memandang cermin.
"Aku suka yang ni Yana. Simple. Kau nampak cantik dengan dress ni dari yang tadi," bisik Yusmijan ke telinga Yana.
"Yana pun rasa cantik yang ni. Baru nak tanya abang. Sister, saya nak yang ni."
Yusmijan hanya mengangguk ke arah pekerja butik itu.
Khan hanya memandang majikannya dari jauh. Sungguh majikannya sangat bijak bermain dengan api. Selama dia bersama majikannya tidak pernah sekali dirinya melihat keadaan seperti sekarang. Lagak Encik Yusmijan tak ubah seperti lelaki sedang menggoda perempuan.
"Jangan salahkan Cik Yana kalau dia tersuka Encik nanti. Semua semua sebab Encik Yusmijan telah beri ruang yang tak sepatutnya," bisik batin Khan.
Selang beberapa minit Yusmijan keluar dari kedai menjawab panggilan telefon. Wajahnya mengetat apabila mendapat berita buruk dari Sudan.
"Cari Zafar... aku yakin dia boleh handle... update semula nanti bila dapat berita. Jangan cuai!"
Yusmijan merengus kasar setelah selesai berbual tubuhnya dirempuh seorang lelaki berkemeja bunga dalam keadaan tergesa-gesa.
"Sorry brother, emergency. Jangan marah ya!" jerit Anip sambil berlari menuju ke escalator.
Yusmijan hanya memandang lelaki tadi berlari ketika turun di escalator. Terjongket keningnya sedikit. Sekali lagi dia tersentak apabila bahunya ditepuk dari belakang.
"Abang tengok apa?" tanya Yana.
"Abang tengah tengok bakal suami Yana mana yang sesuai," dalih Yusmijan.
Yana ketawa kecil sambil menghulurkan kad ke abang tirinya. "Nah, ambil ni. Terima kasih belanja. Abang ni ada pula pilih calon suami Yana dekat sini."
"Habis tu nak suruh aku cari dekat mana? Masjid?"
"Boleh juga. Sekarang imam masjid semua handsome apa. Kalah abang... abang ni suka usik Yana. Sekarang nak ke mana lagi kita?
"Aku nak ke studio semula. Kebetulan aku dah janji dengan Ben nak tengok work progress anak buah dia," dalih Yusmijan.
"Alaaa... kiranya Yana kena balik la ya?" rengek Yana.
Yusmijan hanya mengangguk dan mendepakan tangannya agar adiknya meneruskan langkahnya.
..
Puan Qam memandang anak perempuannya baru sahaja keluar dari bilik. Yana sepertinya mahu ke majlis makan malam. Pantas tangannya menarik lengan Yana kasar. Dia menoleh ke arah sekeliling sebelum memulakan bicaranya.
"Mama, dah kenapa tarik Yana?" rengek Yana.
"Nak ke mana? Dah siap berdandan rapi... blind date ya?" tegur Puan Qam. Dia perlu pastikan anaknya tidak keluar dengan anak tirinya.
"Isyhh, mana ada blind date. Yana nak temankan abang Ijan pergi dinner," balas Yana kasar.
Puan Qam tersentak. Dia mencubit lengan anaknya berulang kali apabila tanpa bicara menyebabkan Yana menjerit kesakitan.
"Darling, you dah kenapa cubit Yana?" sergah Dato Zulkiflie.
"I marahkan Yana. Dia pandai-pandai ikut Ijan pergi makan malam. Ijan tu makan malam sebab kerja bukan suka-suka," dalih Puan Qam.
"Eee... mama! Abang Ijan dah bagitahu Yana. Papa tengok mama marah Yana tak tentu pasal," rungut Yana.
"Darling, Ijan dah minta izin dengan abang nak bawa Yana malam ni," tegur Dato Zulkiflie.
"Menyusahkan Ijan nanti nak layan kerenah dia," dalih Puan Qam.
"Mana ada! Mama pun satu, ingat Yana bawah umur lagi ke? Papa, tak salah pun Yana ikut... betul tak?" soal Yana. Dia memaut tangan papa minta dibela.
"Betullah tu. Elok apa Ijan bawa Yana. Sekurang-kurangnya Yana dapat belajar sesuatu daripada Ijan," balas Dato Zulkiflie.
Tersengih Yana bila papa bersuara dan memihak kepadanya. "Yana dah lambat. Abang dah tunggu dekat pagar. Love you papa, mama. Yana pergi dulu."
"Kenapa tak suruh abang masuk?"
"Nak ke abang masuk rumah bila mama ada sini."
Membuntang mata Puan Qam mendengar jawapan anaknya. Puan Qam berdecit dan menggulingkan bebola matanya rasa menyampah.
"Sudahlah darling. Dah memang perangai Ijan dari dulu macam tu."
"You manjakan dia. You suka sebenarnya bila Ijan buat I macam tunggul. Tempat kerja tak hormat I. Rumah jauh sekali... dia nak suruh I keluar sebenarnya baru dia balik sini."
Dato Zulkiflie hanya mampu menggeleng. Dia beredar meninggalkan isterinya sedang mengomel tentang anak tunggalnya Yusmijan. Ada masa dia terasa letih dengan sikap isterinya suka bertengkar dengan Yusmijan.
..
"Rai, terima kasih ya gantikan Awien. Nasib baik Rai ada kalau tak jenuh aku sorang-sorang. Malam minggu ramai yang masuk club... banyak benda pelik-pelik berlaku."
"Kau cakap macam aku tak pernah kerja malam minggu. Santai jea brother. Malam masih muda. Awal pagi nanti siap kita nak layan guest."
Syaf menepuk bahu Rai sedikit kuat disulami tawa kecil. "Aku rasa employee terbaik bulan ni kau dapat lagi."
"Alamak, kau bodek aku ke apa sekarang? Poket aku kosong Syaf. Cuma ada kunci dengan walkie talkie," seloroh Rai.
"Bukan bodek... nak tackle. Mana tau dapat," balas Syaf.
"Tackle buat belanja breakfast esok aku on. Tackle lain ini aku bagi." Sikunya di halakan ke muka rakannya.
Syaf dan Rai terdiam melihat pasangan ke arahnya. Mereka menundukkan kepala tanda hormat hingga pasangan itu melintasi mereka menuju ke ruangan lif.
"Itu bukan ke Encik Marcel dengan wife dia?" bisik Rai.
"Ya, dia naik cafe rasanya tu," balas Syaf.
Rambutnya dirapikan menggunakan tangannya sambil memandang cermin pintu yang memantulkan wajahnya.
"Aku nak ke receptionist tadi Miah panggil."
Syaf hanya mengangguk dan tersenyum sinis. Jauh sudut hatinya berbisik "Kenapa susah betul nak mengorat kau Rai. Sikit pun kau tak terkesan. Nak kata kau couple dengan Anip jauh sekali."
Share this novel