Bahagian 4 - Misi

Romance Completed 25920

Setelah Aidan menamat latihan dan lulus segala ujian untuk menjadi seorang Penjejak Mimpi, Rendra memanggil Aidan menghadapnya.

“Aidan,” kata Rendra, sambil menyerahkan segulung kertas yang diikat dengan tali berwarna kuning keemasan. Setelah dibuka barulah Aidan mengetahui kertas itu adalah peta bagi seluruh kawasan Inderapati. Segala maklumat tentang Inderapati serta kerajaan di dalamnya tercatat di peta tersebut.

“Amanah ini adalah tanggungjawab yang berat. Kau akan memegang tanggungjawab sebagai Penjejak Mimpi dan misi kau adalah mencari kunci yang pertama di istana kerajaan Indra Utama. Kau ada masa seminggu sahaja untuk bersedia.” pesan Rendra kepada Aidan “Tetapi ingat identiti kau sebagai Penjejak Mimpi adalah rahsia.” tegasnya lagi.

Dengan penuh tekad, Aidan menjawab, “Aku faham, Rendra. Aku akan melakukan yang terbaik.”

Seminggu berlalu, Aidan memulakan perjalanan misinya menuju ke destinasi yang telah ditetapkan untuk mencari kunci pertama artifak tersebut.

Setelah meredah lautan, gunung-ganang dan hutan belantara selama dua bulan, akhirnya Aidan sampai di sempadan kerajaan Indra Utama. Oleh kerana lapar, dia berhenti sebentar di sebuah kedai tepi jalan untuk menjamu selera.

Ketika sedang menikmati makanannya, Aidan terdengar perbualan antara beberapa penduduk tempatan di meja berhampiran.

“Pernahkah kamu mendengar tentang seorang pemuda yang dikatakan Penjejak Mimpi?” tanya seorang lelaki tua dengan nada penuh rasa ingin tahu.

“Aku dengar dia baru saja tiba di kawasan ini,” balas seorang wanita muda. “Katanya, dia sedang mencari kunci yang penting di istana Indra Utama.”

Aidan yang mendengar perbualan tersebut, merasa agak terkejut. Dia tidak menyangka bahawa berita tentang dirinya telah tersebar ke pengetahuan penduduk di Inderapati.

Ketika perbualan itu berakhir, Aidan memutuskan untuk mendekati mereka. “Maafkan saya, bolehkah anda memberitahu lebih lanjut tentang apa yang anda bicarakan?”

Lelaki tua itu menatap Aidan dengan penuh minat. “Kau kelihatan seperti seseorang yang sedang dalam perjalanan penting. Kami hanya bercakap tentang seorang pemuda yang dikatakan sebagai Penjejak Mimpi. Kamu mungkin tahu lebih banyak mengenai hal ini.”

“Tidak, saya cuma pemuda biasa yang suka merantau sahaja.” katanya sambil berhelah. “Saya terdengar tentang kunci di istana Indra Utama tadi. Boleh bapak menceritakan semula kepada saya? Saya amat berminat untuk mengetahuinya.”

Lelaki tua itu kelihatan agak keberatan untuk bercerita tentang kunci tersebut. Dia merasa curiga terhadap Aidan dan cuba untuk berdalih dari menceritakan tentang kunci itu.

Puas Aiman memujuk lelaki tua itu untuk menceritakan tentang perihal kunci tersebut, namun tetap tidak diendahkan. “Bapak jangan risau. Jika bapak ceritakan, saya berjanji saya tidak akan menceritakan kepada sesiapa.” janji Aidan kepada lelaki tua itu.

Melihatkan keadaan itu, wanita muda itu pun turut memujuk lelaki tua itu. “Kau ceritakan sajalah kepada budak ini Darma. Aku yakin budak ini seorang yang jujur.” pujuk wanita itu.

“Aku bukan tidak yakin Bulan.” Ujar lelaki tua itu dalam keadaan gelisah. “Cuma perkara ini adalah rahsia besar kerajaan. Bukan sesuka hati sahaja aku kena bercerita. Kau bukan tidak tahu kerajaan kita ini bagaimana? Silap sedikit sahaja aku bakal dikenakan hukuman yang berat tanpa diberi peluang untuk membela diri jika diketahui oleh Raja Batram.” tambah lelaki tua itu dengan riak muka penuh kerisauan.

“Raja Batram? Mungkin dialah pemerintah utama kerajaan Indra Utama ini.” bisik hati Aidan.

“Apa yang kau nak risaukan?” tanya Bulan kepada Darma. “Cuma engkau, aku dan budak ini sahaja ada di dalam kedai ini. Tuan kedai sudah keluar sebentar membeli barang-barang yang sudah habis. Bagi aku, ini adalah kesempatan untuk kau ceritakan kepada budak ini.”

Darma termenung sejenak lalu menarik nafas panjang. “Baiklah, jika kau sudah mendesak.” katanya sambil mencucuh sebatang rokok. “Siapa nama kau anak muda dan dari mana kau berasal?” tanya Darma kepada Aidan.

“Nama saya Aidan dan saya berasal dari Kampung Sepucuk Pandan.” jawab Aidan dengan sopan.

Setelah mendengar jawapan Aidan, riak muka Darma dan Bulan mula berubah. Mereka saling berpandangan sesama sendiri seolah-olah tidak percaya jawapan yang keluar dari mulut Aidan. Mana tidaknya, Kampung Sepucuk Pandan bukanlah satu tempat yang dekat. Kampung itu terletak di dalam kerajaan Langit Perkasa yang merupakan satu kepulauan, jauh dari tanah besar Inderapati.

“Kau biar betul?” tanya Darma meminta kepastian. “Tempat yang kau sebutkan itu bukan kepalang jauhnya. Kau perlu merentasi lautan, gunung-gemunung dan hutan belantara sebelum kau sampai disini. Perjalanan hendak sampai ke Indra Utama daripada kampung kau pun memakan masa dua purnama. Kau biar betul budak?” ulang Darma yang masih lagi tidak percaya dengan jawapan Aidan.

“Ya bapak. Saya berkata benar dan saya akui sememangnya apa yang bapak katakan tentang jarak untuk tiba disini dari kampung saya itu juga adalah benar.” jawabnya dengan penuh keyakinan. “Kau seorang diri merantau merentas lautan, gunung-gemunung, dan hutan belantara. Kau bukan budak muda yang biasa Aidan. Aku kagum denganmu.” Puji Darma tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Aidan. Mendengar pujian itu, Aidan tersipu-sipu malu. “Mari aku ceritakan tentang kunci tersebut kepadamu.”

Darma memulakan ceritanya dengan berhati-hati. Kadangkala mata liar memandang kiri dan kanan, risau jika ada askar kerajaan lalu di kawasan itu.

“Mengikut khabar angin yang aku dengar, kunci tersebut berada ditangan Raja Batram.” kata Darma. “Dikatakan kunci itu diikat bersama rantai yang sentiasa dipakai oleh Raja Batram walau kemana pun dia pergi. Sesiapa yang cuba mengambil kunci tersebut akan ditimpa akibat yang dahsyat.”

Aidan dan Bulan tekun mendengar cerita dari Darma. “Bagaimana akibat yang dahsyat itu bapak? Raja itu mempunyai kuasa luar biasakah?” tanya Aidan ingin tahu. “Aku tidak pasti tentang itu. Yang aku tahu Raja Batram memiliki seni mempertahankan diri yang hebat. Dikatakan baginda mempelajarinya ketika merantau keluar dari Inderapati. Ketika itu baginda adalah seorang raja yang baik dan adil.

Setelah 10 tahun merantau baginda kembali ke Indra Utama. Sejak itu baginda berubah menjadi seorang raja yang tamak dan kejam” terang Darma panjang lebar sambil menghembuskan asap rokoknya.

“Ini semua disebabkan gila kuasa. Demi kekuasaan dan kekayaan Raja Batram sanggup berlaku kejam terhadap rakyatnya sendiri. Malah, sesiapa sahaja yang menghalang cita-citanya juga akan dibinasakan. Sejak baginda kembali dari perantaunya, kami sebagai rakyat hidup tertindas. Kami tidak dibenarkan bersuara, cukai dinaikkan hingga kami rasa terbeban, makan minum rakyat dicatu, yang kaya bertambah kaya dan yang miskin makin miskin, sesiapa yang melawan pasti tidak akan pulang dengan selamat.” jawab Darma.

Aidan terdiam mendengarkan cerita dari Darma. Kini dia merasa ragu mampukah dia menewaskan Raja Batram memandangkan baginda mempunyai kemahiran yang dahsyat dalam seni mempertahankan diri. Tambahan pula baginda juga adalah seorang yang tidak berhati perut dan boleh membunuh sesuka hatinya. Aidan kini memikirkan rancangan bagaimana hendak mengatasi Raja Batram.

Setelah itu, dia meminta diri dari Darma dan Bulan untuk meneruskan perjalannya. “Aidan, kau berhati-hatilah dalam perjalananmu itu.” pesan Darma sambil memeluk Aidan. “Jika kau dalam kesusahan jangan kau segan cari kami disini” tambah Bulan tersenyum. Aidan menganggukkan kepala dan tersenyum kepada mereka berdua. Setelah melambaikan tangan, dia pun terus memajukan langkahnya.

Dalam perjalanannya itu, dia sempat bertemu dengan pelbagai orang untuk mendapatkan lagi maklumat tentang istana Indra Utama. Setelah berpuas hati dengan semua maklumat yang diberi, Aidan akhirnya merancang untuk memasuki istana itu pada waktu malam.

Setelah tiba waktu malam, Aidan pun mempersiapkan dirinya untuk menceroboh masuk ke dalam kawasan istana Indra Utama untuk mendapatkan kunci artifak itu. Dia mengenakan pakaian yang berwarna hitam, kepalanya pula dipakaikan dengan sarung kepala hitam yang hanya menampakkan matanya sahaja. Setelah siap, Aidan melengkapkan dirinya dengan memakai topeng berbentuk seperti topeng Tarian Cirebon. Semua kelengkapan ini disediakan oleh Rendra untuk memastikan diri Aidan tidak dapat dikenali oleh musuh ketika menjalankan misinya.

Setelah memastikan segala kelengkapan dan dirinya bersedia, Aidan bergerak menuju ke istana Indra Utama. Sampai ditempat yang dirancangkan, dia bersembunyi dibalik semak samun yang meninggi. Dia memerhatikan keadaan sekeliling takut-takut ada pengawal istana disitu.

Melihat keadaan selamat dan tiada pergerakan musuh, Aidan mengembangkan tangan kirinya dan ibu jari kanannya ditekankan di telapak tangan kirinya. Selepas itu, mulutnya terkumat-kamit membaca mentera sambil ibu jari kanannya dipusingkan diatas telapak tangan kiri ke bawah untuk membuka tenaga dalaman seperti yang diajar oleh Rendra di dalam latihan.

Dengan teknik ini, Aidan berupaya meningkatkan kekuatan fizikal dan tenaga dalamannya. Dia melangkah menghampiri tembok istana yang tingginya hampir tiga tingkat bangunan. Dengan hanya satu lompatan, Aidan berjaya sampai diatas tembok tersebut tanpa ada masalah.

Di atas tembok istana, Aidan meneliti sekeliling dengan penuh hati-hati. Kawasan sekeliling istana Indra Utama dijaga rapi oleh barisan pengawal yang lengkap bersenjata. Dengan pergerakan yang pantas dan senyap, Aidan bergerak dari satu sudut ke sudut lain, cuba mengelak pandangan para pengawal.

“Aku mesti bertindak bijak.” fikir Aidan. “Aku tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.”

Dia menyusup masuk ke dalam kawasan istana melalui satu jendela kecil yang terbuka di bahagian menara istana. Perjalanan menuju ke bilik takhta semakin mencabar, lorong-lorong istana dipenuhi dengan pelbagai perangkap tersembunyi. Setiap langkah Aidan dipenuhi dengan perasaan berwaspada; dia sedar, sekali tersilap, misinya akan gagal.

Di hadapannya, pintu besar bilik takhta berdiri megah. Namun, Aidan tahu ia bukan semudah itu. Dia mengingatkan kembali maklumat yang diperoleh dari Darma dan Bulan — Raja Batram sentiasa membawa kunci itu bersamanya. Sambil mencari jalan masuk, Aidan terdengar perbualan dua orang pengawal yang sedang berjaga berhampiran pintu tersebut.

“Kunci itu tidak pernah lepas dari leher baginda.” kata salah seorang pengawal.

“Memang benar.” balas pengawal yang lain. “Raja kita tidak pernah lalai menjaga kunci itu. Tidak pernah baginda tidur tanpa memastikan kunci itu di sisinya.”

Mendengar itu, Aidan menyusun strategi. Dia tahu dia perlu menunggu waktu yang sesuai, saat Raja Batram mungkin tidak berjaga atau berada dalam keadaan lalai. Namun, ketika dia sedang asyik mengintai peluang, sepasang mata tajam milik pengawal telah menangkap kelibatnya.

“Siapa di sana?!” jerit salah seorang pengawal sambil berlari ke arah Aidan.

Aidan dengan pantas melompat ke belakang, namun gerakannya kali ini lebih pantas diduga oleh seorang lagi pengawal yang telah bersedia dengan sebilah tombak. Dalam satu detik yang pantas, tombak itu terhunus menuju ke arahnya. Aidan sempat mengelak, tetapi tidak sepenuhnya; hujung tombak itu sempat mencalarkan lengannya, mengalirkan darah.

“Ah!” Aidan mengeluh kesakitan, tetapi dia tidak berhenti di situ. Dalam sekelip mata, dia menyeru Seru Laksamana di dalam dirinya, mengaktifkan kekuatan dalaman yang dipelajarinya. Bayangan seorang pahlawan agung muncul di hadapannya, membawa semangat Badang, wira lagenda Alam Melayu.

“Aku tidak boleh gagal lagi.” tekad Aidan sambil mengerahkan seluruh kekuatan Badang yang dipinjamnya.

Pertarungan sengit berlaku. Aidan menggunakan kekuatan luar biasa Badang untuk menangkis serangan para pengawal, namun Raja Batram, yang menyedari kehadiran Aidan dari kejauhan, segera muncul dengan penuh kemarahan.

“Berani kau menceroboh istanaku!” Raja Batram mengaum, auranya yang berkuasa seakan menggoncangkan dinding istana. Aidan merasakan kekuatan Raja Batram bukanlah sesuatu yang biasa. Pergerakan Raja Batram sangat pantas, dan kemahirannya dalam seni mempertahankan diri jelas mengatasi pengalaman Aidan.

Dengan satu gerakan pantas, Raja Batram berjaya menangkis serangan Aidan, mematahkan pergelangan tangannya yang memegang senjata. Aidan jatuh terduduk, darah mengalir deras dari luka di lengannya, namun pandangannya tidak pernah beralih dari rantai yang terikat di leher Raja Batram — tempat tergantungnya kunci artifak yang dicarinya.

“Kunci itu... Aku mesti dapatkannya.” bisik Aidan, matanya penuh tekad walaupun tubuhnya sudah mula terasa lemah.

Raja Batram menghampiri, memandang Aidan dengan senyuman sinis. “Kau terlalu lemah untuk melawan aku.” katanya sambil mengangkat senjatanya tinggi.

Dalam saat genting itu, Aidan menggunakan seluruh kekuatan yang masih ada dalam dirinya untuk sekali lagi menyeru semangat Badang.

Dengan sisa kekuatan itu, Aidan melancarkan serangan terakhir dan berjaya menumbangkan Raja Batram dan mengambil kesempatan merentap rantai dari leher Raja Batram untuk mengambil kunci artifak tersebut.

Namun, sebelum Aidan sempat melarikan diri, Raja Batram mengerahkan tenaga terakhirnya, menyerang dengan sekuat hati. Aidan tidak sempat mengelak; dia menerima serangan penuh di dadanya dan terhumban keluar dari tingkap istana, jatuh berguling di halaman yang berumput.

“Aku... Aku berjaya…” desis Aidan dalam kesakitan, sambil mengenggam erat kunci yang kini berada dalam genggamannya.

Pandangannya kabur, dan kesedarannya hampir hilang, namun Aidan tersenyum puas. Meskipun cedera parah, dia tahu misi untuk mendapatkan kunci artifak pertamanya telah pun berjaya.

Kini dia sudah hilang keupayaan untuk bergerak. Aidan hanya mampu pasrah dengan apa yang bakal terjadi seterusnya.

Akibat tidak mampu mengawal pendarahan yang banyak disebabkan cedera parah, Aidan terus tidak sedarkan dirinya.

“Kunci itu... Aku mesti dapatkannya.” bisik Aidan, matanya penuh tekad walaupun tubuhnya sudah mula terasa lemah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience