Rendra membawa Aidan ke markas rahsianya yang terletak di jauh di pedalaman hutan belantara di dalam kerajaan Langit Perkasa.
Mengikut apa yang diceritakan oleh Rendra, tempat yang dijadikan sebagai markas rahsia ini adalah sebuah kampung yang diberi nama Kampung Sepucuk Pandan. Kampung ini adalah kampung yang terpencil dan jarang mendapat perhatian dari kerajaan.
Oleh disebabkan keadaan itulah Rendra memilih untuk tinggal di kampung ini dan menjadikan sebagai markas rahsia bagi memulakan rancangannya mencari dan melatih insan yang terpilih untuk menjadi Penjejak Mimpi.
Penduduknya juga kebanyakkannya terdiri dari bekas-bekas pegawai istana yang diusir keluar disebabkan rampasan kuasa yang berlaku tiga tahun lepas.
Rendra kembali menceritakan tentang dirinya yang duhulu adalah seorang penasihat rahsia kepada pemerintah kerajaan Langit Perkasa yang lama iaitu, Raja Adi Senja.
Selepas pemerintah Raja Adi Senja digulingkan dan dirampas oleh anak saudaranya iaitu Tengku Wira Hitam, kebanyakkan pegawai dan pembesar istana ramai dibunuh dan diusir keluar dari istana.
Rendra dan rakan-rakan terpaksa berundur demi keselamatan diri. Mereka kini hanya menunggu ketibaan seorang susuk penyelamat lagenda dalam ramalan kuno iaitu Penjejak Mimpi untuk menyelamatkan dunia dari kehancuran dan kacau bilau.
Setelah hampir sepuluh hari perjalanan dari kerajaan Sri Gemilang, akhirnya mereka tiba di Kampung Sepucuk Pandan. Rendra menyuruh Aidan berehat secukupnya sebagai persediaan latihan pada hari esok.
Cahaya fajar mula menampakkan dirinya, Aidan termenung di tepi sebuah kolam yang jernih di tengah-tengah hutan Inderapati, dikelilingi pepohon menjulang tinggi yang dedaunnya memantulkan sinar keemasan dari matahari pagi. Rendra berdiri tidak jauh darinya, memerhati dengan penuh teliti. Hari ini adalah hari pertama latihan intensif Aidan sebagai penyelamat lagenda Inderapati—Penjejak Mimpi.
“Kau tahu Aidan, menjadi Penjejak Mimpi bukanlah satu tugas yang mudah. Engkau harus mempersiapkan diri dengan kekuatan zahir dan batin yang luar biasa,” kata Rendra sambil menghulurkan sebilah pedang antik yang ukirannya bersalut emas.
Aidan menyambut pedang itu, terasa beratnya bukan sahaja pada bilahnya tetapi juga pada tanggungjawab yang kini terletak di bahunya. Dia menatap pedang itu dengan rasa serba salah dan teringat kehidupannya yang dulu di dunia nyata sebelum terjerumus ke dalam dunia yang penuh dengan konflik ini.
Rendra memulakan latihannya dengan menguji ketangkasan dan keberanian Aidan. Setiap hari, Aidan harus mengatasi pelbagai halangan seperti melintasi jambatan rapuh di atas jurang, menangkis serangan makhluk mimpi yang menjelma daripada bayang-bayang, dan bertarung dengan pejuang maya yang tidak pernah memberi ruang rehat. Kepayahan latihan itu mula menguji batas kemampuan Aidan. Adakalanya, dia hampir rasa hendak menyerah kalah dengan semua ujian ini. Luka-luka dibadan dan keletihan yang meresap hingga ke tulang menjadi penambah beban dalam dirinya.
Dihening senja yang tenang, Aidan terduduk dibawah pohon besar, peluh menitis deras di dahinya. Nafasnya tercungap-cungap, hatinya berkocak dengan rasa putus asa. “Kenapa aku? Kenapa bukan orang lain? Aku tak layak untuk semua ini.” bisik Aidan sambil memejamkan mata kerana menahan rasa sakit yang semakin mencengkam.
Rendra mendekatinya, duduk di sebelah Aidan tanpa berkata apa-apa seketika. Suasana sepi, hanya bunyi dedaunan bergesel lembut di tiup angin. “Aidan, setiap insan ada ujian dan kepayahan yang perlu dihadapinya. Aku juga pernah melalui hal yang sama sepertimu ketika muda. Menjadi Penjejak Mimpi bukannya tentang menjadi seorang yang sempurna tapi ianya tentang usaha untuk terus bangkit walaupun kau jatuh berkali-kali." ujar Rendra dengan nada lembut namun penuh makna.
Aidan membuka matanya dan memandang Rendra dengan mata yang masih diselimuti perasaan ragu. “Rendra, apa sebenarnya Penjejak Mimpi itu? Kenapa aku perlu menjadi seorang Penjejak Mimpi? Dan kenapa ia begitu penting?”
Rendra tersenyum kecil dan mengangguk seolah-olah sudah menjangka pertanyaan itu dari Aidan. “Penjejak Mimpi adalah seorang pahlawan terpilih yang mampu menyeberangi sempadan dunia nyata dan mimpi. Dalam legenda Inderapati, Penjejak Mimpi mempunyai kuasa untuk mengubah takdir dunia dengan menyeimbangkan kekuatan mimpi dan realiti. Mereka adalah penjaga yang bertanggungjawab menghapuskan kegelapan dan membawa keamanan antara kerajaan-kerajaan yang bertelagah di dunia ini.”
Rendra mengambil sesuatu dari dalam jubahnya—sebuah azimat berbentuk bulat dengan permukaan berukir lambang bulan sabit dan bintang. “Ini adalah Seru Laksamana." terang Rendra. "Azimat ini hanya akan berfungsi jika digunakan oleh Penjejak Mimpi sahaja. Dengan azimat ini, kau boleh menyeru wira-wira lagenda seperti Hang Tuah, Badang, dan Nakhoda Ragam. Kau boleh menggunakan kekuatan serta kemahiran mereka untuk menghadapi musuhmu. Namun, untuk menggunakan azimat ini kau perlulah mempunyai hati yang jernih dan jiwa yang kukuh kerana kekuatan wira-wira ini bergantung kepada keberanian dan keikhlasan hati pemiliknya.”
Aidan memandang Seru Laksamana dengan kagum dan sedikit rasa takut. Beban tanggungjawab kini terasa semakin nyata. “Apa yang akan terjadi kalau aku gagal?” Aidan bertanya, suaranya penuh kegusaran.
Rendra memegang bahu Aidan dengan erat dan memandang tepat ke matanya. “Jika kau gagal dalam misi kau, Inderapati akan terus dilanda konflik yang tiada berkesudahan. Dunia ini akan tenggelam dalam kegelapan yang tak akan berakhir. Tetapi aku percaya padamu, Aidan. Aku percaya kau boleh mengubah segala-galanya kerana hanya kau yang mampu menyeberangi dunia nyata dan dunia ini dengan semangat yang ada pada dirimu.”
Semangat Aidan kembali menyala. Dia mengenggam Seru Laksamana dengan erat, terasa kehangatan yang memancar dari azimat itu. Walaupun masih belum sempurna, dia tahu dia perlu mencuba untuk dirinya, untuk Inderapati, dan untuk semua yang mengharapkan kedamaian.
Hari demi hari, Aidan terus berlatih dengan kesungguhan yang lebih tinggi. Kepayahan dan kesakitan yang pernah melumpuhkannya kini menjadi motivasi untuk dia terus maju. Dalam setiap latihan, dia belajar untuk mempercayai nalurinya, mengendalikan ketakutannya, dan menjadi lebih kuat daripada sebelumnya. Kejayaannya dalam latihan membuatkan Aidan mula yakin bahawa dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai Penjejak Mimpi.
Rendra berdiri dihadapan Aidan dengan senyum bangga. “Aidan, kau kini telah bersedia. Engkau bukan lagi Aidan yang lemah seperti dulu, tetapi kau menjadi semakin kuat untuk menjadi seorang Penjejak Mimpi yang mampu membawa perubahan besar kepada dunia dan dirimu sendiri. Dengan kekuatan dan keyakinan yang kau miliki sekarang, aku merasakan kau layak untuk memiliki azimat Seru Laksamana ini." kata Rendra sambil menyerahkan azimat itu kepada Aidan. "Dunia ini memerlukan keberanianmu dan aku yakin kau akan menemui jalan untuk menyatukan Inderapati.”
Aidan tersenyum, matanya bersinar dengan tekad yang baru. Dia kini bukanlah seorang insan yang sering diejek dan dibuli, tetapi telah menjadi seorang wira yang ditakdirkan untuk mengubah dunia. Dia bersedia untuk memulakan perjalanannya sebagai Penjejak Mimpi dan mengharungi takdir yang telah menantinya.
"Dunia ini memerlukan keberanianmu dan aku yakin kau akan menemui jalan untuk menyatukan Inderapati.”
Share this novel