3

Romance Completed 25006

MIARA menguis mangkuk kaca dengan perasaan marah. Sudah dua minggu dia melihat makanan yang sama di atas meja. Anak saudaranya seperti tidak ambil peduli dengannya sejak Fitri hilang.

"Suria Keyla!"

"Tak payahlah jerit-jerit. Saya belum pekak lagi mak cik. Mak cik nak apa?"

"Tak ada benda lain ke kau nak masak? Dah berapa hari asyik makan nasi goreng, lempeng, bubur. Aku naik muak makan benda ni semua."

"Mak cik, mak cik juga cakap haritu. Buat jea nasi goreng, jangan buat bubur. Saya ikut la apa mak cik pesan."

Miara terdiam. Dia kematian bicaranya. Miara melabuhkan punggungnya dan mencapai sudu di atas meja. Dia menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Nak atau tidak dia terpaksa makan juga nasi itu.

"Kenapa kau tak beli lauk? Kita ni nak makan dah tak ada lauk tahu tak... asyik makan benda sama jea,"bebel Miara dalam keadaan mulutnya penuh dengan makanan.

Majalah komik Ujang berada di tangannya diletakkan di bawah meja. Suria bangun menuju ke dapur dengan muka tidak bersalah.

"Saya mana ada duit mak cik. Duit gaji saya bulan ni dah habis bayar duit hospital Kak Fitri. Mak cik lupa ke?"

"Alasan itu yang bagi ke aku. Tak ada alasan lain ke Keyla?" keluh Suria.

"Setahu saya, mak cik bukan ke banyak duit jual Kak Fitri? Kenapa mak cik jea yang tak beli lauk?" sindir Suria.

Miara menggeleng. Tangannya diangkat dan dihalakan ke anak saudaranya. "Duit aku tu untuk berjudi. Mana boleh beli lauk kasi kau makan. Haram."

Berderai tawa Suria mendengar bicara mak cik Miara. Meja ditepuk-tepuk sambil ketawa. Dia duduk di hujung meja dan memandang wanita itu.

Kau ni dah kenapa Keyla. Gelak macam kena rasuk?"

Entah kenapa dia tidak henti-henti diserang tanda tanya dengan perangai mak cik Miara. Apa sebenarnya yang bersarang dalam kepala mak cik. Senyumannya dikemam kemas apabila mak cik menegurnya.

"Tahu pula haram? Jual anak lunaskan hutang judi boleh pula? Berjudi hari-hari tak haram? Perah keringat anak yatim piatu ni tak haram?"

Miara tersentak. Dia menolak mangkuk nasi. Putus seleranya apabila gadis itu cuba mengajarnya.

"Apahal? Terasa ke saya kata tadi? Nak bantai saya lagi?"

Miara menggeleng walaupun sebenarnya ya dia terasa hati. Miara berdecit. "Buat penat tangan aku pukul kau. Kau tetap macam tu juga."

"Salah mak cik juga," gumam Suria.

"Keyla, lagi satu. Kau kenapa buat report polis Kak Fitri hilang?" tanya Miara. Wajah anak gadis itu ditenung tajam.

"Kenapa? Tak boleh ke? Mak cik sedar tak yang Kak Fitri dah lama tak balik rumah. Saya rasa saya pula lagi risaukan Kak Fitri daripada mak cik."

Miara bangun menghampiri gadis itu. Tangan anak saudaranya ditarik kasar agar gadis itu memandangnya. Pipi anak saudaranya dicengakam kuat.

"Kau tahu tak... sebabkan kau buat report polis, mak cik kena tangkap dengan anak buah Aloi.Jantan tu ugut mak cik."

Suria merentap tangannya kasar. Tangannya menepis lengan mak cik. "Kisah pula saya tentang mak cik."

"Keyla! Kau ni... eee... dia ni kan. Kau tarik balik report tu."

"Tak nak."

"Jangan melawan Keyla. Aku kata tarik balik!"

"Tak... nak... tak nak. Bagi saya sebab kenapa saya kena tarik balik report tu?" Suria beredar meninggalkan mak ciknya.

"Kau sibuk cari Fitri. Fitri tu dah senang lenang dengan mereka Keyla!" jerkah Miara.

"Mana mak cik tahu? Saya tak percaya Kak Fitri tu selamat dalam tangan mereka. Saya ni bukan budak kecil mak cik!" jerit Suria dari ruang tamu.

Miara berlari mengejar gadis itu. Tangannya didepa menghalang laluan gadis itu. "Tolong tarik balik report tu. Mak cik mohon dengan Keyla."

Suria merengus. Bebola matanya diguling meluat dengan sikap mak cik Miara. Dia menolak bahu dan lengan mak cik dengan kasar.

"Saya tak nak. Saya tak kisah pun. Saya lagi suka sebabkan report ni biar dengan mak cik sekali masuk penjara."

"Keyla! Hoi, berani kau menyumpah aku. Dengarlah dulu."

"Tak nak dengar. Saya nak siram pokok dekat luar. Bercakap dengan pokok lagi bagus dari bercakap dengan mak cik."

Miara mencekak pinggang dan menghentak kakinya kuat hingga bergegar rumah usang itu. "Berani kau melawan aku Keyla!"

"Kenapa saya tak berani? Saya yang tanggung mak cik selama ni."

.
.

Matanya tidak berkelip memandang lelaki di meja itu sedang duduk menikmati roti canai bersama beberapa orang rakannya. Hidungnya digaru memikirkan hal dulu.

Sal mengelap tangannya di apron. Dia mendekati gadis itu dan menyenggol bahu Suria.

"Kenal ke? Berkenan yang mana? Semua kerja bagus tu."

Suria menggeleng. Topinya dipusingkan ke belakang. Suria mengalihkan pandangannya ke bahagian jualan di hadapan.

"Habis tu kenapa dari tadi mak cik tengok Suria asyik pandang meja dia?" usik Sal.

"Siapa dia mak cik?" soal Suria ingin tahu.

"Suria tanya yang mana?" Sekali lagi dia menyiku gadis itu.

"Lelaki yang pakai cermin mata tu. Anak siapa?"

"Itu anak ketua kampung. Rumah ketua kampung belakang masjid ni. Lupa ya? Nama dia Hairy. Kerja di hospital."

Suria terbungkam. Dia memandang wajah mak cik Sal dengan kening terjongket.

"Betul. Tak mungkin mak cik nak tipu kau Suria. Mak cik dah anggap kau ni macam anak mak cik sendiri. Kenapa, berkenan ke? Single lagi tu."

Terbit batuk kesat Suria mendengar jawapan mak cik. Dia beredar dan menyambung kerjanya semula.

"Eh, lari pula! Suka ke? Boleh mak cik rekemenkan untuk Suria dengan Hairy."

Tangannya diangkat tinggi menidakkan kata-kata mak cik. "Saya tak nak dia terseksa sama macam saya bila saya nikah dengan dia mak cik. Mak cik bukan tak kenal mak cik Miara tu. Biarlah Hairy tu kahwin dengan orang lain."

Gelas kotor di sinki ditenung lama. Baru dia faham dari mana Pak Ayob tahu Kak Fitri hilang. Sudah semestinya Hairy yang bercerita ke Pak Ayob hinggakan Pak Ayob datang rumah tanya khabar Kak Fitri.

"Kak, Suria akan cari akak sampai jumpa. Akak sabar ya," gumam Suria.

.
.

Jam di dinding dipandang berulang kali. Suria bangun menuju ke depan rumah. Tingkap di buka melihat ke jalan. Kelibat mak cik Miara masih belum kelihatan.

"Mana pergi orang tua ni? Jarang sekali dia balik lewat. Tak mungkin merajuk dengan aku sebab aku tak masakkan untuk dia."

Suria berjalan menuju ke depan televisyen. Alat kawalan jauh ditekan-tekan menukar siaran. Terbersit gundah di jiwanya walaupun mak cik terlalu kejam dengannya.

"Suka buat aku susah hati mak cik ni. Nak kata dia berjudi rumah atas bukit tu, tadi aku pergi dia tak ada. Kawan dia semua kata dia tak datang situ hari ni." Suria membanting sarat keluhan.

Selang beberapa minit Suria bangun menuju ke bilik. Dia melabuhkan punggungnya, tangannya ke belakang menongkat badan.

"Mak cik pergi mana? Saya dah masakkan daging masak lemak cili api untuk mak cik," keluh Suria.

Suasana sunyi sedetik. Sedetik kemudian dia terdengar bunyi derapan tapak kaki diluar memijak daun kering. Suria bangun dan berlari menuju ke pintu. Pintu kayu dibuka dan Suria terdiam.

Tiada kata yang mampu diungkapkan. Suria hanya memandang mak cik Miara masuk dalam keadaan terhencut-hencut. Wajahnya lebam teruk.

Suria bergegas mengambil kotak ubat di rak dan dibawa ke mak cik Miara sedang duduk di kerusi rotan.

"Saya sapukan ubat untuk mak cik."

Miara menolak kasar tubuh Suria. Dia bangun dan meninggalkan anak saudaranya di situ. "Aku nak mandi dulu. Nanti jea kau taruk ubat tu."

"Saya buatkan air teh panas untuk mak cik ya!"

Langkahnya terhenti. Dia mengeluh. "Ada pula susu dalam rumah ni?"

"Hmm... ada. Tadi Mak Abel bagi saya pinjam sikit. Saya dah beli barang dapur sikit. Lauk kegemaran mak cik pun ada atas meja."

Miara terasa sebak. Entah mengapa bicara gadis itu malam ini menyentuh perasaannya. Gadis tinggi lampai itu selalu ambil berat dengannya berbanding anaknya sendiri. Walaupun selama ini dia melayannya kasar, jauh sudut hati merasa sayang dengan gadis itu.

Air di dalam tempayan ditenung lama. Satu keluhan dilepaskan. Bagaimana lagi cara untuk dia selesaikan masalahnya selagi Suria masih bertegas dengan keputusannya.

"Aloi pun satu, dia dah dapat Fitri tapi kenapa masih nak Keyla. Tanpa budak tu bagaimana aku nak teruskan hidup?"

.
.

Suria meletakkan gelas teh panas di atas meja. Wajah mak cik baru keluar dari bilik air dipandang sekilas. Mak cik hanya diam tanpa bicara seperti selalu.

"Mak cik nak makan dulu ke nak sapu ubat dulu?"

"Kau dah makan Keyla?"

Suria mengangguk. "Dah petang tadi masa teman Mak Abel belanja untuk niaga esok. Itu saya belikan daging untuk mak cik."

"Hmm... makan dengan aku sekali Keyla. Pergi ceduk nasi tu."

"Saya dah kenyang."

Miara berdecit. "Suka melawan. Aku suruh makan sekali. Susah sangat ke?"

Suria mengangguk perlahan. Dia menurut arahan mak cik Miara. Suasana di meja makan sunyi sepi. Sudah lama rasanya dia tidak makan bersama orang tua ini.

"Kenapa kau tak tidur lagi Keyla. Esok nak kerja." Miara bersuara tanpa memandang wajah gadis itu di hujung meja.

"Saya tunggu mak cik." Perlahan nada suaranya. Suria sempat curi-curi pandang mak ciknya. Apa yang pasti mak cik mesti kena pukul dengan orang di luar sana.

Selesai sahaja makan Suria membantu mak cik menyapu ubat di wajah dan tangannya. Kaki mak cik juga lebam teruk. Niat di hati nak di tanya tapi bimbang mak cik Miara mengamuk.

"Keyla, kau cuti selasa depan. Betul tak?"

Suria mengangguk lambat. "Ya, saya cuti. Kenapa mak cik?"

"Bagus sangat. Kau temankan aku boleh?"

"Mak cik nak ke mana?"

''Jangan banyak tanyalah. Kau ikut aku selasa ni."

"Mak cik suruh saya ikut sebab nak bayar hutang ke? Berapa pula kali ni? Saya memang dah tak ada duit langsung mak cik." Suria bangun dan menutup bekas ubat. Dia hanya mampu mengetap bibir menahan sabar. Bicara mak cik tadi buatkan hati Suria tidak tenang.

"Saya masuk bilik dulu mak cik. Nak tidur. Assalamualaikum."

.
.

Cuaca hari ini seperti menemani perasaan Suria. Fikirannya masih memikirkan bicara mak cik Miara malam tadi. Troli yang ditolak tanpa sengaja melanggar kereta putih di tepi jalan.

"Astagfirullah, matilah aku."

Suria memandang kereta itu dengan teliti. Pandangannya dibuang ke sekeliling mencari empunya kereta. Dia mengelap kesan calar yang ada di kereta itu menggunakan tangannya.

"Anak, anak buat apa tu?"

"Oh, pak cik. Terperanjat saya. Kereta pak cik ke? Saya terlanggar tadi dengan troli. Maaf pak cik," ucap Suria dengan suara bergetar.

"Ini bukan kereta pak cik nak. Pak cik cuma bawa jea. Eh, tak apa! Sikit tu," balas lelaki tua itu tenang.

Membuntang mata Suria mendengar bicara pak cik itu. "Sikit pak cik kata. Pak cik nanti mesti kena marah dengan bos pak cik."

"Bos?"

"Ya, tadi pak cik cakap kereta ni bukan kereta pak cik. Nanti mesti bos pak cik marah nanti calar." Suria meraba poket seluar tracknya. Dia menarik beberapa keping duit RM 50 dan diselit ke tangan pak cik itu.

"Ini jea saya mampu bagi sebagai ganti rugi. Maaflah tak cukup. Saya pergi dulu ya pak cik. Mak cik saya tunggu sana dalam van. Mesti dia pelik saya tak muncul-muncul. Maaf ya pak cik. Maaf sangat. Assalamualaikum."

Lelaki tua itu tergumam memandang gadis bertopi dan bertocang satu itu pergi meninggalkannya.

"Babah. Amboi babah. Sejak bila pandai tengok anak dara orang ni?"

"Hisyh kamu ni. Nah ambil duit ni. Budak tu bagi babah tadi." Duit di tangannya diletakkan di tangan anaknya sedang mengisi barang di bonet.

"Babah dapat duit dari mana ni Babah!" Sufian mengintai namun babah tiada di luar. Dia hanya ketawa kecil saat melihat gulungan duit di tangannya.

"Lima ratus? Biar betul."

Share this novel

opetNget
2024-10-28 15:17:55 

aku jd suria, terus lari hahahaa... mak cik nak bawa suria pergi mana tu?


NovelPlus Premium

The best ads free experience