ESTELLE yang baru masuk ke dalam rumah tersentak apabila melihat wanita paruh baya tadi berdiri di hadapan pintu sambil memandangnya tajam.
GULP!
“Hah, ke mana engkau pergi?! Tidakkah engkau tahu anak-anakku kebuluran akibat menunggu engkau?! ” suata petir itu masih berjaya membuat Estelle gerun. Alhasil, gadis itu sekadar menunduk, tidak tahu ingin berkata apa.
Sementara itu, telinga Estelle sayup-sayup mendengar hilaian tawa seseorang. Apabila dia mengangkat wajah, dapat dia melihat Putih bersama dengan seorang lagi gadis di sebelahnya. Wajah mereka seakan-akan sama. Kembar ke?
`Padan muka'. Itulah yang dapat Estelle baca dari gerak mulut Putih. Rasa macam nak lumat-lumat saja mulut itu guna alu batu lesung, baru padan muka dia.
“Hah, tunggu apa lagi? Cepat masak! ”
Mencicit Estelle berlari ke dapur. Namun otaknya tidak tahu hendak memasak apa. Apa lagi dia nak masak? Bukan dia boleh google resipi macam biasa. Zaman ini, internet pun belum wujud.
Sambil Estelle memikir menu masakan, ketukan di pintu utama sayup-sayup kedengaran. Estelle cuba mengintai dari arah dapur. Dapat dia melihat sepucuk surat diberikan sebelum pintu kayu itu ditutup semula.
`Perkenan Duli yang maha mulia Seri Paduka Raja Andrew Alexander, menjemput anda dan keluarga daripada Kerajaan Obsidian untuk menghadiri majlis hari jadi Putera Theodore Alexander yang ke-25. '
“Argh! ” kedua-dua anak gadis itu menjerit riang. Siapa saja tidak suka jika dapat bertemu dengan putera mahkota? Malahan, ini kali pertama mereka dapat bersua muka dengan putera itu dek kerana peraturan yang melarang putera untuk keluar dari istana.
“Putih, Merah, ayuh kita ke pekan. Mak harus mencantikkan kamu berdua. Siapa tahu putera itu tertawan hati dengan kamu? ” ujar wanita itu penuh kegembiraan. Dia sudah berangan-angan jikalau dapat mengahwinkan salah satu daripada anak-anaknya dengan keluarga diraja, pasti mereka bertiga akan hidup lebih senang.
“Estelle! ”
“Ya! ” akibat leka mencuri dengar perbualan mereka, Estelle tersentak apabila namanya dipanggil. Bergegas dia ke ruang tamu semula, wajahnya dineutralkan sebaik mungkin agar tidak kantoi.
“Siapkan anak-anakku. Kita akan ke pekan. ” arah wanita itu.
Estelle mengangguk sebelum Putih dan Merah dibawa ke bilik mereka. Hmm ... Putih dan Merah? Kenapa mesti nama warna eh? Tiada nama lain ke?
SUDAH satu jam mereka berjalan di pekan kecil itu namun tiada tanda-tanda mereka mahu berhenti. Tangannya sudah lenguh membawa barangan anak-anak gadis wanita itu. Fuh, membeli-belah mengalahkan perempuan moden. Dari atas sampai bawah semua nak baru, padahal cuma datang majlis hari jadi saja pun.
Tapi yang dia hairan, bukan mereka saja, tetapi gadis-gadis lain juga turut melakukan hal yang sama. Pekan itu nampak sesak dengan lautan manusia yang berkunjung ke kedai. Semuanya nampak kelam-kabut saja.
Sedang Estelle leka memandang sekeliling pekan tersebut, matanya tertancap pada seorang gadis yang memakai mantel berhoodie. Dapat dia lihat wajah gadis itu walaupun bertutup, cantik! Dari raut wajah dan cara pemakaian, Estelle yakin gadis itu datang dari golongan orang berada. Muda-muda lagi dah cantik, bagaimana nanti kalau sudah dewasa?
Baru saja dia ingin beredar, Estelle perasan sekumpulan lelaki mendekati gadis tersebut.
“Lepas! ” gadis itu meronta-ronta minta dilepaskan dari cengkaman salah seorang daripada lelaki itu.
“Ar- umph! ” mulut gadis itu ditekup sebelum diangkat dan dibawa pergi.
Estelle yang melihatnya terus sahaja mengejar mereka tanpa berfikir panjang. Dia tidak boleh membiarkan gadis kecil itu disakiti.
“Hoi! ”
Jeritan Estelle mematikan langkah sekumpulan lelaki tadi. Ada lebih kurang dua hingga tiga orang dan semuanya agak tinggi daripada Estelle.
“Siapa di sana? ” ujar salah seorang daripada mereka.
“Turunkan dia sekarang! ” Estelle sendiri tidak pasti apa yang merasuki dirinya hingga dia berani bertindak sedemikian.
Ketiga-tiga pemuda tadi ketawa terbahak-bahak.
“Sungguh berani kau ya, wahai hamba yang jijik! ” lelaki itu melihat Estelle penuh rasa meluat dan benci.
“Lepaskan dia sekarang! Kalau tak... ” Estelle sengaja menggantung ayatnya untuk memprovok pemuda-pemuda tersebut.
“Kalau tidak, apa? Apa hamba golongan rendah seperti engkau boleh lakukan pada kami? Engkau mahu menggantikan tempat dia? ” mereka memandang Estelle atas bawah membuatkan dia mual. Jijik dengan pandangan sebegitu rupa. Seolah-olah maruah wanita itu hanya di bawah tapak kaki seorang lelaki.
Rendah dan hina!
Ketiga-tiga lelaki itu ketawa lagi apabila melihat tiada balasan daripada Estelle. Namun, baru sahaja mereka hendak pergi, sesuatu bergerak bagaikan kilat menumbuk abdomen mereka hinggakan ketiga-tiga lelaki itu tersungkur.
Terkedip-kedip mata Estelle melihat kejadian itu. Siapa...
“Adakah saudara semua sudah pekak? Bukankah dia berkata lepaskan gadis ini? Atau ... saudara mahu saya yang beri amaran? ” hoodie itu dibuka sebelum figura tersebut memandang ke arah mereka bertiga.
Ketiga-tiga pemuda itu cuak. Langsung mereka bangun dan berlari tidak cukup tanah.
“Hogan! ” gadis tadi berlari mendapatkan lelaki yang menyelamatkannya tadi.
“Tuan puteri, ” Hogan menunduk hormat.
Dan-dan Estelle rasa dia nak pengsan. Tuan puteri?! Jangan cakap ini adik lelaki yang dia jumpa tadi? Oh Tuhan, dia rasa dah banyak kejutan dia terima hari ini. Otaknya masih belum dapat menghadam segala yang terjadi pada hari ini. Semuanya bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
“Akak! ”
“Y-Ya saya! ” terkejut Estelle apabila disergah sebegitu. Mujur dia tiada penyakit jantung.
“Terima kasih sudah selamatkan saya. ” ucap gadis itu riang. Senyuman di bibir menyatakan bahawa puteri raja itu benar-benar ikhlas.
“S-Sama-sama, tuanku. ” balas Estelle. Dia menunduk hormat sedikit.
Gadis itu senyum nipis. “Tidak usah begitu formal. Saya amat gembira jikalau akak sudi memanggil saya dengan nama sahaja. ”
“T-Tapi, tuanku- ” Estelle tidak mahu di cop kurang ajar pula apabila memanggil kerabat diraja ini dengan panggilan informal.
“Tuanku, kita harus bertolak ke istana sekarang. Permaisuri Azura pasti sedang menunggu. ” lelaki tadi menjadi orang tengah.
Estelle memandang lelaki itu atas bawah. Apabila diamati, lelaki ini mungkin sebaya dengan puteri raja itu, dalam lingkungan 18 tahun. Rambutnya coklat gelap tidak terurus namun masih kelihatan segak. Anak mata itu berwarna juga coklat gelap. Namun sayangnya, wajah itu serius memanjang. Tiada senyuman walau sedikit pun. Siapakah lelaki ini? Apakah hubungannya dengan puteri raja?
“Baiklah. ” puteri raja itu mengangguk kecil. Hoodienya dipakai semula.
“Senang bertemu denganmu. Kalau tiada aral melintang, mungkin kita boleh berjumpa lagi. ” puteri raja itu senyum buat kali terakhir sebelum berjalan diiringi oleh lelaki bernama Hogan itu.
Estelle memandang ke arah puteri raja itu melangkah pergi sebelum dia teringatkan sesuatu.
Alamak!
Bergegas Estelle menuju ke kedai tempat dia meninggalkan wanita paruh baya dengan anak-anaknya itu. Dia berdoa semoga wanita itu tidak perasan akan ketiadaannya.
Share this novel