ESTELLE duduk di meja belajarnya. Buku yang sudah separuh dibaca itu dibuka. Dia hendak menghabiskan cerita di buku itu sebelum tidur.
Selang beberapa minit, Estelle merengus kesal. Buku itu tiada penamatnya!
Lantas buku itu diletak kasar di atas meja. Siapalah yang biadab sangat pergi koyak buku ni? Dah jadi satu hal buat dia tertanya-tanya akan penamat buku ini. Inilah padah meminjam buku di perpustakaan lama, semuanya tidak lengkap.
Tapi, yang hairannya, Estelle tidak menjumpai kesan koyak langsung pada buku itu. Seolah-olah buku itu sengaja dibiar bergantung tiada penamatnya.
Dia mengeluh. Buku itu ditutup dan disimpan bersama dengan buku-buku lain. Katil dituju dan dilabuhkan punggung di sana.
Estelle cuba memejamkan mata namun mindanya terbayang akan dunia buku yang dibacanya. Dia tidak berpuas hati selagi dia tidak tahu bagaimana penamat buku tersebut.
Dalam tidak sedar, mindanya perlahan-lahan masuk ke alam mimpi, mimpi yang dia sendiri tidak pernah jangka akan laluinya. Atau ... ianya bukanlah mimpi?
SPLASH!
“Uhuk! Uhuk! ” terbatuk-batuk Estelle apabila disimbah begitu secara tiba-tiba.
“Anastasia, kau memang nak kena dengan aku, kan?! ” baru sahaja dia hendak memarahi rakannya itu, mata Estelle membulat.
I-Ini bukan biliknya!
Estelle memandang segenap ruang tersebut. Namun matanya terpasak pada gerangan seseorang yang memandangnya seperti pemangsa memandang mangsa. Seram!
“Hah, baru kau hendak bangun?! Hendak membuta hingga ke senja ke?! ” pekik wanita paruh baya itu. Ditangannya, terdapat sebuah baldi kayu yang digunakan untuk menyimbah dirinya tadi.
Estelle hairan. Membuta hingga ke senja?
“Hoi, kau pekak ke?! Cepat turun dan siapkan sarapan! Kau nak kami kebulur di sini?! ” pekik wanita itu lagi.
Estelle yang masih bingung dengan kejadian itu lantas turun dari katil miliknya dan berjalan keluar. Dia memandang sekeliling tempat yang asing itu. Hairan, bagaimana dia sampai ke sini? Setahunya, dia berada di dalam biliknya semalam.
Estelle menyelusuri ruang tersebut sampailah dia jumpa tempat yang baginya seperti dapur.
“Er... ” Estelle terkial-kial sendiri di sana. Apa dia nak masak? Bagaimana dia nak masak? Dia belum pernah memasak menggunakan kayu api.
“Hah, apa kau tunggu lagi?! Cepat masak! ” jerkahan seseorang dari arah belakang mengejutkan Estelle. Hampir luruh jantungnya mendengar suara wanita separuh abad itu. Waktu kecil dia telan susu ke telan mikrofon? Rasanya sebatu pun boleh dengar suara wanita ini.
“Er ... n-nak masak a-apa, mak-mak cik? ” tergagap-gagap Estelle bertanya. Takut kena marah lagi walaupun dia tahu muka itu sudah hendak meletus api kemarahannya.
“Eh, engkau tidur sampai hilang ingatan ke? Masaklah sarapan seperti biasa! Takkan itupun nak kena ajar?! Engkau nak aku kurung lagi?! ” suara itu tidak pernah tak nyaring sedari tadi.
“Er... ” Estelle sudah garu kepala. Dia tidak tahu hendak masak apa. Tapi, daripada dia dikurung, lebih baik dia mula memasak.
Sebaik sahaja wanita itu beredar, Estelle mula memerah otaknya untuk memikirkan menu yang harus dimasak. Dia harus cepat sebelum wanita itu masuk dapur semula, dia tidak sanggup hendak kena leter lagi.
Setelah beberapa minit menimbang tara menu di dalam otak, akhirnya dia memutuskan untuk membuat rosemary garlic bread. Kenapa? Kerana hanya itu sahaja menu yang muncul dalam minda dia apabila memandang barangan kering yang ada di dalam almari dapur itu.
Ah ... hantam sajalah labu, janji dia buat makanan bukan racun. Nanti tak semena-mena dia dituduh cuba untuk membunuh orang.
ESTELLE duduk di dalam biliknya. Habis sahaja dia memasak, dia dipaksa pula membuat kerja-kerja rumah. Ingat dia ni ringan tulang sangat ke nak mengemas rumah? Bilik dia sendiri pun dia jarang kemas, inikan lagi rumah orang. Tapi, daripada dia dimarahi wanita itu, dia turutkan sahaja arahan. Alhasil, badan dia lenguh dan sengal.
Tingkap bilik dibuka, membiarkan udara segar masuk. Daripada tingkap biliknya, dia dapat melihat sebuah pekan kecil tidak jauh dari rumah yang dia duduki sekarang.
Pelik, dia dah termasuk ke abad mana pula ni? Adakah dia bermimpi?
PAP!
“Auch! ” pipi yang sakit akibat ditampar itu diusap. Okey, ini memang bukan mimpi. Habis itu? Dia ada termasuk mana-mana mesin masa ke? Setahunya mesin masa belum wujud lagi di dunia sebenar pada abad ke-21 ni.
Estelle melangkah ke sebuah cermin yang digantung di hadapan almari pakaian. Wajahnya sungguh berbeza dengan wajah aslinya. Rambutnya juga berwarna coklat sedangkan warna rambut aslinya ialah hitam.
Dia menilik tubuh sendiri. Baju ini, bukanlah baju yang orang abad ke-21 akan pakai. Kalau tidak, pasti akan dikatakan kolot ataupun pelik.
“Hoi, buat apa itu?! ”
“Argh! ” kus semangat Estelle. Kalau dia berlama-lama di sini memang dia akan ke alam lain terus. Memang hari ini dia akan asyik kena kejut ke?
“Amboi ... engkau ingat engkau lawa sangat ke, hah?! Selekeh! ” cemuhan itu bukanlah datang dari wanita paruh baya tadi melainkan seorang gadis muda. Gadis itu elok berdiri di hadapan biliknya sambil menyilangkan tangan. Wajah itu tidak sedikitpun menayangkan wajah peramah jauh sekali secebis senyuman.
“Er ... a-awak siapa? ” soal Estelle polos. Ada orang lain ke selain dia dan wanita paruh baya itu?
Gadis muda itu memandang penuh jengkel. “Eh, engkau hantuk kepala kau di pintu ke? Tak pun, mesti sebab nama aku terlalu lawa sampai kau sendiri serabut untuk mengingatinya, betul tak? ”
Ceh, angkat bakul sendiri nampak. Estelle tayang wajah meluat. Macamlah nama dia cantik sangat.
“Putih, oh ... Putih! ”
Laungan wanita tadi bergema memanggil nama yang Estelle pasti milik gadis muda di hadapannya ini.
Putih? Pfft ... klasik sungguh! Tapikan, kenapa nama itu macam familiar? Hmm...
“Ya mak? ” Putih berlalu pergi. Sempat dia menjeling tajam ke arah Estelle.
Estelle menghembus nafas lega. Mujur gadis itu sudah pergi. Malas dia mahu melayan wanita perasan diva itu. Haih ... ingatkan abad ni tiadalah manusia begitu, namun dia tersilap jangka, abad mana sekalipun pasti manusia begitu ada satu dalam sejuta.
Estelle keluar dari biliknya dan menuju ke pintu belakang. Dia mahu melarikan diri tanpa penghuni rumah itu tahu. Dia perlu mencari cara untuk keluar dari abad ini dan pergi ke masanya.
Share this novel
I love it. Genre Fantasy