ASSYFA YUSFINA SANDRA namaku. Aku dilahirkan sebagai seorang anak kelainan upaya oleh seorang ibu muda yang sangat penyayang dan mempunyai semangat jiwa yang kental. Bukan aku pinta semua ini terjadi, siapa sahaja yang sanggup dilahirkan ke dunia berkeadaan sepertiku.
Menurut cerita daripada ibu, aku menghidap sejenis penyakit langka sebaik sahaja aku dilahirkan ke dunia ini. CEREBAL PALSY (CP) atau PALSI SEREBRUM ATAKSIA iaitu sejenis penyakit berkaitan dengan permasalahan kesukaran dalam mengawal postur, pergerakan dan keseimbangan tubuh badan disebabkan oleh terdapatnya gangguan terhadap kebolehan dalam mengawal pergerakan otot. Sesiapa yang menghidapi penyakit ini juga mempunyai peluang terhad untuk bermain, meneroka persekitaran dan aktif secara fizikal akibat daripada masalah tersebut.
Ibu yang bekerja sebagai seorang guru Pendidikan Khas di salah sebuah sekolah rendah pada awalnya terpaksa berkorban melepaskan cita-citanya itu demi menjaga segala kebajikan aku. Aku sangat memerlukan sepenuh perhatian dan bantuan untuk menguruskan kehidupan seharianku. Dan aku bersyukur dikurniakan seorang ibu yang sangat murni jiwanya. Dia sangat menyayangi diri ini dan tidak pernah sekalipun aku dengar rungutannya sepanjang menjagaku. Sudah hampir dua puluh tahun dia menjagaku dengan penuh kesabaran dan mencurahkan kasih sayangnya melimpah ruah buat diri ini, sehingga sedikit pun aku tidak merasa kekurangannya. Bantuan daripada abah dan juga abangku yang menjadi tulang belakang ibu melengkapkan lagi kebahagian keluarga kecil kami.
Setiap hari Isnin tepat jam sembilan lima minit malam, selepas menunaikan solat Isyak secara berjemaah bersama abah, ibu dan abang Akid, aku akan pastikan abang Akid membawaku menonton televisyen di ruang tamu.
"Nak tengok drama dialah tu" kata abang Akid yang sudah menolak kerusi rodaku di ruang tamu rumah teres dua tingkat ini.
"Yelah, ce..pat..lah abang Akid, nanti ter..lepas" kataku agak terbata-bata. Memang sukar untuk aku bertutur seperti orang normal, namun aku tahu abang Akid faham apa yang aku katakan.
"Alah tak jadi masalah pun, abang Akid dah rakam dah pun, nanti boleh tengok ulang-ulang, kalau abang takde, suruh ibu yang tolong nanti." Omel abang Akid.
"Sshh..jangan bising cerita dah start.." marah aku padanya.
"Assyfa...Assyfa suka sangat dia dengan cerita 'Awan Dania' tu. Anak gadis ibu ni nak jadi pramugari pulak ke, nak terbang juga macam abang Akid" celah ibu sambil menggelengkan kepalanya.
"Sshh..ibu jangan bising.." Aku angguk dan meletakkan jari telunjuk pada bibir ibuku, puan Afwa Hannan. Ibu sambung gelengkan kepalanya lagi dan terus membawa langkahnya menuju ke dapur.
Sebentar kemudian, ibu mendapatkan kami semula di ruang tamu ini. Di tangannya menatang sebuah dulang berisikan seteko air kopi dan sepiring kek coklat yang sudah dipotong-potong kecil. Ibu buat petang tadi khas untuk abah. Abah memang suka kek buatan air tangan ibu. Lembut dan gebu katanya persis ibuku ini. Tertawa jadinya aku bila teringatkan kata-kata abah yang menyakat isteri tercintanya itu.
"Akid bila lagi penerbangan kamu. Lepas ni ke mana pula?" soal abah pada abang Akid.
"Ke Jordan abah, esok malam pukul sepuluh tepat" balas abang Akid sambil menyisipkan sedikit air kopi yang masih berasap di cawannya.
"Erm..yelah kamu tu hati-hati.. ingat pesan abah, solat jangan pernah tinggal. Ikhlas dalam setiap kerja yang kamu lakukan. Ingat kamu tu bawa ramai nyawa, semuanya bergantung pada kamu. Amalkan doa yang abah ajar tu.." nasihat abah sambil mengelus kepala anak lelaki tunggalnya itu.
"Baik abah, abang tak pernah lupa nasihat abah tu, berkat nasihat abah tu lah abang berjaya sampai ke tahap sekarang ni abah. Abah doakan abang sentiasa ya, ibu..Syfa" kata abang Akid sambil menata pandangannya satu per satu kepada insan-insan kesayangannya.
"Ya..Akid, ibu..abah dan Assyfa selalu doakan untuk kejayaan kamu. Kami selalu dan sentiasa doakan kesejahteraan anak-anak kami. Nak, nak si bongsu ni. Dah pergi masuk tidur, drama kamu tu pun dah habis dah tu hah" arah abah Amsyar.
Aku dan abang Akid menurut arahan abah kami. Aku salam dan kucup tangan kedua orang tuaku dan mengucapkan selamat malam kepada mereka berdua selepas abang Akid membuat perkara yang sama. Abang Akid menolak kerusi rodaku menuju ke bilik tidurku. Seperti biasa dia akan mencempung tubuh tinggi lampaiku ini dan dibaringkannya di atas katilku. Sudahku tegah beberapa kali perbuatannya itu, namun sedikit pun tidak dihiraukannya. Dia menarik selimut tebalku ini dan diselimutkan diri ini hingga ke paras dadaku. Sebelum dirinya berlalu dari kamar ini, aku selar lengan kanan kekarnya itu.
"Ada apa?" soalnya sambil melabuhkan punggungnya di birai katilku.
"Abang Akid boleh bawa Syfa ke airport esok tak..? Syfa nak tengok pramugari. Syfa nak jadi macam Diana" satu-satu aku sebut perkataan itu. Sabar abang Akid tunggu aku habiskan ayatku.
"Diana..? Oh.. Scha Al-Yahya, Awan Diana tu..yelah esok abang bawakan, lepas sarapan kita pergi. Kebetulan abang pun ada kerja sikit nak selesaikan kat office esok.."
"Yey.. thank you...I love you, abang Akid.."
"Love you too..good night, tidur cepat, lambat tinggal" abang Akid mengugut diriku, langsung mata ini cepat-cepat aku pejam.
***
PAGI itu selepas sarapan, abang Akid bersiap-siap untuk membawaku bersama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang dijanjikannya malam tadi. Ibu masakan nasi lemak pagi ini untuk abah dan abang Akid, manakala ibu buatkan aku bubur ayam. Aku tidak boleh makan makanan yang berbentuk pejal kerana kesukaran untuk menelan. Pagi ini aku berjaya menghabiskan makananku itu kerana berasa sangat gembira dan keterujaan untuk menikmati suasana ketika berada di lapangan terbang itu sendiri yang selama ini hanya dapat kulihat dari kaca televisyen.
Selama hampir dua jam perjalanan kami selamat sampai di sini. Kesibukkan kota Kuala Lumpur sedikit sebanyak melewatkan ketibaan kami untuk sampai tepat waktu. Mujur abang Akid tidak bertugas pada hari ini, jika tidak pasti dia kelewatan.
"Alhamdulillah.. selamat dah sampai sini. Ni lah tempat kerja abang Akid.." kata abang Akid sambil tersenyum manis.
'Aduhai jangan senyum lebar sangat abangku.. tengok tu ramai dah orang cuci mata..!' hatiku berbisik.
Akid menolak kerusi rodaku masuk ke ruangan terminal utama yang terletak di antara kedua-dua landasan kapal terbang. Bangunan ini terdiri dari tiga puluh sembilan unit bumbung persegi bagi membolehkan bangunan ini diperbesarkan di masa hadapan. Terdapat sebanyak dua ratus enam belas kaunter daftar masuk diatur dalam enam barisan dan dilabel menggunakan abjad A hingga M dan tidak termasuk abjad I.
Perkhidmatan daftar masuk multi juga disediakan untuk para penumpang yang tiba, berlepas atau transit. Terdapat enam puluh satu dan enam puluh sembilan kaunter imigresen masing-masing untuk penumpang yang berlepas dan penumpang yang tiba, enam belas kaunter pemindahan, tiga puluh dua kaunter kastam dan juga dua belas tali penghubung bagasi ( sepuluh untuk penumpang antarabangsa dan dua untuk penumpang domestik). Pada 12 Februari 2007, Malaysia Airport ini memperkenalkan kios daftar sendiri bersepadu untuk para penumpang. Semua maklumat ini aku perolehi dari i-Pad milik abang Akid yang berada di pegangan tanganku. Aku suruh dia layari perkhidmatan Google awal-awal tadi dan ada juga yang sempat aku baca di bahagian ruangan maklumat yang dipamerkan di papan digital.
Sebentar kemudian abang Akid membawa aku ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terminal dua (KLIA 2) iaitu terminal penerbangan tambang murah (LCCT) yang merupakan tempat kerja hakiki abangku ini. Terminal ini terletak dua kilometer dari bangunan utama terminal KLIA (MTB). KLIA 2 dibina untuk menampung pertumbuhan pesat dalam perlancongan tambang murah di rantau ini dan akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) yang sedia ada. KLIA 2 yang dibuka pada 2 Mei 2014 dan kesemua operasi penerbangan LCCT sudah berpindah ke KLIA 2 pada 9 Mei 2014.
KLIA 2 memulakan operasi pada 26 Mac 2006 secara rasminya bagi menampung penumpang yang menaiki penerbangan Air Asia dan juga penerbangan tambang rendah yang lainnya. Lapangan terbang yang berkonsepkan 'Lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang' bertujuan dan beraspirasi keadaan ini dapat memberikan ketenangan kepada penumpang serta memperkenal kan suasana hutan Malaysia kepada pelancong luar negara.
Lapangan terbang ini yang terletak di Sepang, Selangor dan ia berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan merupakan kampung halaman arwah datukku sebelah abah. Kadang-kadang jika ada kelapangan, abah akan membawa kami bercuti di sana, tapi sekarang ni abah sudah tidak mahu lagi menjejakkan kakinya di sana selepas berlakunya sedikit perselisih fahaman dengan satu-satunya kakak kandung yang dipunyai abah.
Berbalik semula ceritaku pasal lapangan terbang ini, sementara menunggu ketibaan abang Akid kembali menemui aku di sini. Abang Akid pergi tergesa-gesa meninggalkan aku setelah disapa oleh rakan sejawatannya dalam keadaan yang mencemaskan. Entah apalah yang penting sangat sampai sanggup biarkan aku seorang diri di sini. Dahlah adik dia yang comel ni pemegang kad OKU, kalau apa-apa berlaku padaku pandai-pandailah abang Akid jawab dengan abah dan ibu nanti.
Sedang leka aku membaca pelbagai info tentang lapangan terbang ini, sepasang kornea cantikku ini tertancap pada sekumpulan pramugari yang sedang melintasi ruang ketibaan yang di mana aku berada sekarang ini. Aku dengan tanpa segan silu menyapa sekumpulan pramugari yang rata-ratanya sangat cantik dan gah melangkah dengan sepasang uniform merah putih lambang kebanggaan milik penerbangan Air Asia yang tersarung indah di tubuh tinggi lampai mereka berlima itu.
"Hai bestie! Tak lama lagi I pun akan jadi pramugari seperti kalian semua dan jika ada peluang kita akan bekerjasama nanti.." kataku dengan penuh bersemangat, namun sangat terbata-bata. Gagap! Lupa sebentar dengan keadaan diri yang sebenar.
Aku dengar empat dari lima mereka mentertawakan aku. Tawa yang semakin galak itu membuatkan aku tertunduk malu.
"Apa tadi, cuba you ulang balik..boleh ke nak jadi pramugari dengan tangan terketar-ketar, cakap pun tergagap-gagap. I rasa you ni better jadi stewardess di restoran mamak jer lah.. itupun belum tahu lepas ke tak.." kata angkuh seorang pramugari yang bernama Mimie berdasarkan tag nama yang tersemat indah di dada kirinya.
Tiga lagi rakannya semakin galak mentertawakan aku. Aku mula menatap satu per satu wajah mereka. Aku cuba kuatkan semangatku supaya tidak menangis di depan mereka. Kekuatanku kembali semula apabila seorang gadis yang sangat manis tersenyum padaku. Dia perlahan-lahan mendekatiku, dan menyapaku dengan santunnya.
"Woi.. Mimie, kau jangan nak tunjuk bagus sangatlah, kesianlah kat dia.. err, nama awak siapa?" soal pramugari berkulit cerah ini. Senyumannya sangat manis, kalau aku ni lelaki pasti dah jatuh cinta pandang pertama padanya.
"Assyfa Yusfina Sandra binti Amsyar Zahir.." jawabku.
"See...kau sendiri dengarkan Fie, dia nak sebut nama diapun makan masa kau tau tak! Macam ni nak jadi pramugari, lambat lagi.. entah-entah tunggu sampai Cassy aku tu tumbuh tanduk baru dia ni jadi stewardess macam kita ni agaknya" sambung Mimie lagi sambil menjeling tajam padaku.
"Kau jangan nak mendabik dada sangat, entah-entah nanti si Syfa ni yang jadi leader kau..baru padan muka kau, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah.." sambung Sofiena lagi. Yang lagi tiga orang tu tertawa sahaja kerjaya, macam dah takde kerja lain.
"Kau dah kenapa huh! Dari semalam lagi tak puas hati dengan aku. Sengaja nak cari pasal, sebab...aku ni lagi bagus daripada kau. Atau kau sebenarnya cemburu tengok aku rapat dengan Kapten Akid" sinis Mimie berkata sambil ditunjal-tunjal telunjuknya pada dada Sofiena.
"Apa?! Aku jelouse kau dengan Kapten Akid, kau ni insane ke Mimie, dah sah-sah Kapten Akid Aliyan Zahir tu sikit pun tak pandang kau, kau yang hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong...cermin sikit diri tu..tak cukup cermin, aku boleh bagi..." Sofiena dah naik berang. Pantang betul dirinya bila menghadap rakan sekerjanya yang tunjuk bagus itu. Jari telunjuk runcing Mimie ditepis kuat.
Aku yang mendengar dari tadi mereka menyebut perkataan cermin itu, terus aku suakan cermin kecilku yang selalu aku bawa bersama pada gadis yang membela diriku sejak dari tadi. Dia kelihatan bersungguh mempertahankan diriku supaya tidak terus-terusan dibuli oleh rakan sejawatannya itu. Rasa macam ada satu kedekatan dirinya dengan diri ini.
Entah bagaimana mereka berdua saling berbalahan apabila melihat aku menghulurkan cermin itu pada Sofiena. Mimie tiba-tiba sahaja naik berang lalu menerkam aku dan ditolaknya kerusi roda aku ini tepat menghampiri eskalator itu, mujur sepasang tangan kekar pantas menyambut pemegang kerusi rodaku dan berpusing jadinya kerusi roda ini sehingga membuatkan diriku terhumban dari kerusi tersebut. Kedatangan abang Akid yang tepat waktu menyelamatkan diriku ini dari terjatuh di atas lantai. Aku dah selamat mendarat di atas badan sasa milik abangku ini. Apabila aku mendongak wajahku kembali, satu huluran lengan kekar terarah di depan mataku. Pada mulanya aku sedikit keberatan untuk menyambut huluran itu namun, kelihatan dia beria membuatkan aku menyambutnya juga disertakan lagi dengan erangan abang Akid yang masih terbaring di atas lantai sejuk itu.
"Kapten Akid ...sorry tak sengaja, Kapten ok ke? I bantu ok.." kata Mimie yang sudah ketakutan. Tangan yang dihulurkan pun terketar-ketar, sama pula seperti keadaanku ini. Yang lain-lain dah menundukkan kepala seperti semuanya sudah patah tengkuk.
"Takpe saya boleh bangun sendiri..dah kenapa semua berkumpul di sini. Ada pesta ke..? Bersurai semua. Mimie kejap lagi jumpa saya di office, awak juga Sofiena.. no excuses.." garang dan tegas suara abang Akid memberikan arahan itu.
Sofiena yang baru hendak melangkah terus terhenti pergerakkan kakinya. Abang Akid mengucapkan terima kasih kepada jejaka berkulit cerah itu, seraya menghulurkan tangan untuk berjabat. Huluran tangan disambut mesra oleh jejaka itu. Senyuman manis seperti iklan ubat gigi yang diberikannya itu seperti pelangi yang mewarnai hatiku. Sejak dari tadi pandangan sepasang mata ini tidak beranjak dari menatap wajahnya yang putih bersih itu. Tiada sedikit pun cela mencacatkan penampilannya itu. Mereka bertukar kad bisnes di antara satu sama lain sebelum masing-masing berlalu dari situ.
Assalamualaikum dan hai semua.. Terima novel baru dari author.. happy reading semua...
Share this novel
sama la dlu after spm pnh apply krew kabin xlpas kat mata huhuhu...
awan dania yg scha tu kn blakon