Suasana di asrama pada malam itu agak suram tidak seperti selalu. Zalikha
masih berjaga mengulang kaji pelajaran barunya di kelas siang tadi.
Hanya lampu dari luar biliknya menjadi penemannya tatkala itu. Cahaya
lampu yang menyisip dari celah-celah jendela sedikit mengurangkan
degupan jantungnya yang kerap kali berdebar-debar sejak jarum jam
berganjak pada angka 12 tengah malam. Dia tidak pernah berasa begitu
kerana dia selalu ditemani oleh Aina dan Maya yang sering berjaga pada
waktu malam untuk mengulang kaji bersama-samanya. Hari ini Zalikha
terpaksa berjaga keseorangan kerana rakan-rakannya itu terlalu penat
mengendalikan majlis sambutan hari guru pada petang tadi.
Sekarang jam telah menunjukkan pukul 12. 30 malam. Zalikha masih lagi
setia di meja belajarnya sambil mengulang kaji pelajaran. Dia sibuk
membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun yang bakal
tiba. Usaha tangga kejayaan adalah prinsip hidupnya. Jika ingin mendapat
markah cemerlang dalam pelajaran, dia mesti berusaha dengan gigih
walaupun dia terpaksa berjaga pada lewat malam seperti itu.
Degupan jantungnya semakin laju tatkala dia mendengar bunyi gelas pecah
dari bilik sebelah. Zalikha sedikit terkejut dan tersentak. Dia menoleh
ke belakang, Aina dan Maya sedang tidur dengan nyenyak berselimutkan
cadar putih. Dia menyambung semula menelaah pelajarannya tanpa meragui
bunyi itu.
Selang beberapa minit, lampu diluar bilikya berkelip- kelip secara
tiba-tiba. Bunyi tapak kaki juga kedengaran dari luar biliknya. Dia
menelan liur. Zalikha cuba menangkap bunyi tapak kaki itu. Dia lebih suka
mendiamkan diri daripada bersuara kerana bimbang sesuatu yang buruk akan
menimpa dirinya. Zalikha berasa tidak sedap hati lalu dia menutup
buku-bukunya dan ditolak ke tepi. Dia hanya memasang telinga mendengar
setiap langkah tapak kaki itu.
Bunyi itu semakin lama semakin kuat memukul gegendang telinganya. Zalikha
menelan liur. Selepas bunyi tapak kaki itu melalui biliknya, bunyi itu
berhenti serta-merta. Badan Zalikha mengigil ketakutan. Badannya kaku,
lidahnya terkelu. Dia terkaku di meja belajarnya sambil menanti malang
yang bakal menimpa dirinya ketika itu. Zalikha cuba untuk bersuara untuk
meminta tolong daripada Maya atau Aina tetapi payah, berat betul
mulutnya untuk bersuara ketika itu.
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan pintu dari luar bilik sebelah.
Zalikha hanya mendiamkan diri. Dahinya berpeluh- peluh tatkala itu.
Ketukan pintu masih lagi kedengaran tetapi tiada pula dia mendengar
bunyi pintu terkuak dari bilik sebelahnya itu. Bunyi tapak kaki tadi
seperti menghampiri pintu biliknya pula. Zalikha menelan liur. Dia reda
menerima sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kepada dirinya. Zalikha
pasrah.
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan pintu dari luar biliknya.
Share this novel