ADA tangan menghulur di hadapan. Si tua berjubah dan berserban serba putih duduk betul-betul dekat, hanya memisahkan meja kecil. Apa yang diperkatakan panjang lebar sedari tadi sepatah pun tak tembus ke pendengaran Han Hadid sejak duduk beralaskan bantal gebu. Kini teragak-agak juga tangan menyambutnya.
Akad dilafazkan jurunikah dan Han Hadid menjawab penuh yakin, “aku terima nikahnya Nur Erabella….” Tenggelam langsung suara. Sedar akan sesuatu…
Suara-suara sumbang mula kedengaran dan ada yang mengeluh. Kepala tersemat songkok masih menunduk seperti awal kemunculannya. Mata tak ada hati membalas pandangan orang sekeliling yang sahih memandangnya sekarang ni. Apakan lagi nak mengukir senyum.
“Tak apa… kita mula sekali lagi.” Dengan lafaz bismillah, “Han Hadid bin Rashid Umar…”
“Saya…” lemah menyahut. Kali ini tumpuan diberi pada setiap perkataan dilafazkan.
“Aku nikah akan di kau dengan Aulie Nada binti Izwan…”
Aulie Nada! Nama itu jejaskan tumpuaannya sekali lagi. Kali ini langsung tidak menyahut. Nama yang tak pernah melekat dalam kepala jauh sekali bertahta dalam hati tetapi nama itulah disebut dengan mulut sendiri selepas mama bertanyakan dengan siapa dia mahu berkahwin. Aulie Nada Binti Izwan… bakal isteri dan bila-bila masa saja jatuh tanggungjawab ke atasnya. Sekarang, kenapa berat sungguh mulut ni nak menyebut nama tu?
Kali ni bukan saja keluhan, rungutan juga jelas di sekeliling.
“Encik Han Hadid, nak teruskan atau nak berhenti sekejap?” soal jurunikah duga mungkin pengantin lelaki gementar sangat.
Gementar? Memang tak ada sekelumit pun. Cuma fikirannya masih ingat yang satu dan hatinya masih melekat pada yang satu. Satu itu hanyalah satu-satunya cintanya yang satu, Bella…
Dengan lantang jurunikah melafazkan akad buat kali ketiga supaya jelas sejelas-jelasnya kedengaran oleh pengantin lelaki dan diterima cukup sempurna. Alhamdulillah...
Kini status Han Hadid bertukar sekelip mata.
Dalam doa panjang, keluhan berat tak sudah-sudah di mulut Han Hadid melepaskan kekesalan yang kini jasadnya telah sah menjadi suami kepada Aulie Nada dan bukannya Nur Erabella yang diimpikan selama ni. Gugur air mata, disela laju. Pada sesiapa yang nampak, pasti ingat dia sebak kerana gembira tapi hanya dia saja yang tahu. Dia sebak kerana Bella…
Pada ketika lafaz taklik disebut satu persatu baris ayat yang tertera di atas kertas, dalam keadaan waras dia mula sedar apa dilafazkan cukup memberi tamparan hebat bahawasanya dia tak boleh mempersia-siakan perempuan bergelar isteri. Mulutnya sedang melafazkan hak-hak isterinya yang diperdengarkan pada hadiri dan cukup jelas apa padanya makna termaktub. Perkahwinan tidak sampai beberapa minit bagaikan beban menghempap kepala.
“Han..” Puan Ruhana menegur satu-satunya anak lelakinya dunia akhirat masih duduk menekur. Dia tahu, walaupun rela anaknya sedang bertarung dengan perasaan sendiri tapi dia percaya, sulit menelan kisah semalam akan hilang kerana kisah hari ini pasti dapat menyembuhkan hati sakit itu nanti.
“Masa untuk…”
“Han tahu mama…” Lemah berdiri menunaikan solat sunat diiringi doa panjang agar terus bertabah meniti hari ke arah haluan baru yang dipilihnya.
Kini tiba masanya bertemu dengan pemilik nama yang dipetik tanpa mengenali. Perempuan bergelar isteri… kenyataan tu buat perasaannya memberontak dan anak matanya tidak mahu pandang pengantin perempuan. Cantik atau buruk, tidak penting langsung. Putih atau gelap memang dia tidak kisah sikit pun. Cacat atau sempurna baginya tidak ada kena-mengena dengannya walaupun masih sedar akan tanggungjawab.
Tanggungjawab? Ahhh!!! Perkataan itu hanya merumitkan lagi perkara mudah. Seperti sekarang, dia hanya perlu sarungkan cincin. Mudahkan! Tapi kenapa rasa berat macam nak hadap hukuman pancung. Ya Allah, Ya Rabbi, Kau kuatkanlah hatiku ini.
Gubahan mahar disambut pengantin perempuan. Aulie Nada, nama yang dilafazkan selepas beberapa kali pengantin lelaki salah mengucapkannya. Sikit pun tidak dikisahkan. Fikirannya juga menerawang jauh dari tempat keberadaanya.
Ragu-ragu tangan menghulur, tersarung jua cincin emas kuning oleh lelaki tidak pernah dikenalinya selain roman mukanya saja. Melihat cincin tidak pernah dilihat, dia sedar cincin yang pernah dipilih dengan gembira untuk majlis pernikahannya dahulu, tidak mungkin tersarung di jari manis ni dan perkara itu amat mustahil.
Sebak dia menahan sendu. Cepat-cepat tangan lelaki baru bergelar suami ditarik juga dicium. Terpejam mata, moga tidak gugur lebih deras air mata yang pastinya bunyi tangisan kecewa. Kecewanya dia kerana suaminya bukan Tengku Zafreed.
Air mata! Titisan tumpah atas tangan direnung Han Hadid. Perempuan tu menangis ke? Terus anak mata tertancap pada wajah perempuan cantik berhijab, seketika buat dia terkesima, ‘isteri aku berhijab!’
“Han… jangan lupa…” bisik Puan Ruhana mencuit pinggang anaknya.
Teragak-agak kepala mara, melekat bibir sesaat dan ketika itu Han Hadid rasakan kewujudan jantung berdegup rentak berbeza. Yang pastinya, sudah terlalu lama tidak rasakan getaran tu.
Titisan air mata tadi masih elok di atas tangannya, disentuh ibu jari. Tiba-tiba timbul rasa ingin tahu, kenapa perempuan tu menangis?
.
.
.
.
.
PERJALANAN ke dewan resepsi ditemani lagu di corong radio. Masing-masing melayan perasaan sendiri termasuk sepupu-sepupu rapat Han Hadid memenuhi ruang kerusi di hadapan. Seorang sibuk memandu kereta milik pengantin dan seorang lagi dilantik menjadi pengapit raja sehari juga asyik melayan lagu. Lagu rancak bertukar slow.
Unbreak My Heart!
Masing-masing berlawan pandang. Gusar riak mereka risaukan Han Hadid.
Tapi lagu itu lebih terkesan buat Aulie Nada sedari tadi melempar pandangan ke luar tingkap melangak ke langit cerah. Cahaya matahari terik memancar tak dapat menghidupkan hati kekeringan.
‘Zaf… maafkan Aulie tak dapat setia pada Zaf lagi. Maafkan Aulie tak dapat mempertahankan cinta kita. Maafkan Aulie terpaksa mungkir janji manis kita. Mulai saat ni Aulie perlu lupakan Zaf. Semua memori cinta kita, Aulie perlu lenyapkan buat selama-lamanya. Tak ada secebis yang boleh Aulie pegang lagi kerana Aulie dah jadi milik lelaki di sebelah ni. Tapi dalam sejarah hidup Aulie Nada, Tengku Zafreed tetap yang pertama cuma bukan yang terakhir. Maafkan Aulie, Zaf…. Maafkan Aulie lepaskan cinta kita...' menangis dia dalam hati tidak dapat menunggu Tengku Zafreed lagi dan terpaksa berhenti mencintai Tengku Zafreed buat selamanya.
Ketika itu saat hidupnya yang tak pernah ada cacat cela datang menjengah lagi. Masa dia cukup bahagia menjadi seorang perempuan yang amat dicintai, kekasih, tunang kepada Tengku Zafreed seolah-olah rasa bahagia tak mungkin meninggalkan dirinya.
Kenangan indah itu pada ketika itu dia mengayuh basikal cukup laju di bawah laluan hutan kekuningan pada musim luruh dan diikuti rapat, Tengku Zafreed di belakang cuba memintas beberapa kali tetap gagal.
Walaupun antara pesaing kelihatan tegang, tapi di wajah mereka berdua tak lekang dengan ketawa girang. Aulie Nada tak mahu kalah meningkatkan kelajuan kayuhan. Sekilas dia menoleh ke belakang, tayar basikal melanggar serpihan batu hilang kawalan lalu jatuh tergolek di atas jalan. Rambut diikat tocang juga terlucut mengurai panjang. Siku dan lutut mula mengeluarkan cecair merah.
Tengku Zafreed sudah melompat ke darat, tak kisahkan basikal hilang ke gaung sekali pun. Yang penting Aulie Nada segala-galanya.
Ditilik kecederaan buah hati. Darah menitis dilap-lap lembut dengan hujung t-shirt putih. Sepotong ayat tak terkeluar langsung. Jaket sejuk ditanggalkan terlebih dahulu, membaluti tubuh Aulie Nada pasti kesejukan. T-shirt telah ditarik keluar dari badan membalut lutut luka. Badan hanya berkulit sudah cukup memanaskan dengan perasaan takut apa yang telah dilihat sebentar tadi. Apa-apa jadi pada Aulie Nada dia tak akan maafkan dirinya.
Mulut Aulie Nada terkunci rapat hanya pandang tingkah laku yang biasa dilihatnya. Terutama situasi begini. Macam tulah Tengku Zafreed cukup tip top menjaganya sepanjang beberapa tahun di England. Even batuk sekali, pening sedikit, bersin perlahan cukup buat Tengku Zafreed gelabah dan sanggup berlari dalam salji, menempuh musim sejuk melampau semata-mata membeli ubat untuknya. Inikan pula jatuh pakej berdarah. Faham-fahamlah.
Tubuhnya tiba-tiba ditarik dalam pelukan. Yang ni tak pernah dibuat Tengku Zafreed. Terus ditolaknya sekuat hati. “Apa ni Zaf? Jaga sikit kelakuan tu!” Tapi marahnya tak diendahkan. Kali ni muka Tengku Zafreed tersembam ke bahunya.
“Zaf takut kehilangan Aulie. Macam mana kalau sesuatu buruk berlaku tadi? Zaf tak sanggup. Zaf takut. Tolong jangan jatuh, jangan cedera, jangan sakit… Zaf tak bersedia kehilangan Aulie lagi. Zaf perlukan Aulie di sisi Zaf. Janji jangan tinggalkan Zaf walau apa pun berlalu. Pegang kuat-kuat cinta Zaf selamanya." Melepaskan resah di hati.
Tumpah jua setitik air ke pipi.
“Zaf…" disela air mata itu serta menggeleng kepala. “Tengok Aulie. Aulie jatuh aje. Cedera pun sikit aje ni. Tak parah pun. Aulie mampu berjalan lagi, mulut pun boleh bercakap, makan… confirm lagi boleh. Tak ada apa yang patah atau kena simen. Apakan lagi perlu operation? Tak adakan. So, Zaf jangan terlalu risau. Aulie ada depan Zaf. Aulie takkan tinggalkan Zaf tanpa kebenaran Zaf. Zaf cinta pertama dan cinta terakhir Aulie. Sampai mati, cinta Aulie hanya untuk Zaf selagi Aulie masih bernyawa. Tak ada lelaki lain hanya Tengku Zafreed akan jadi suami kepada Aulie Nada. Itu janji Aulie pada Tengku Zafreed…” Termaktub janji dengan penuh yakin tanpa memikirkan jodoh pertemuan, qada dan qadar milik Allah SWT. Pada ketika itu juga dia terlupa bahawa dia tak ada hak memilih kalau ketentuan telah ditetapkan.
Kini tumpah juga air mata ke pipi, dikesat cepat. Takut terlihat lelaki di sebelah. Bila terkenangkan masa lalu yang amat bahagia cukup memeritkan untuk dikenangkan sekarang.
Sememangnya Han Hadid perasan. Dia juga mengeluh dan melemparkan pandangan ke luar tingkap. Apa yang dia telah buat? Apa yang dia nak buat dengan perempuan ni?
Share this novel