MATA Aulie Nada terpesona dengan potret bersaiz besar. Elok melekat di dinding sebaik melangkah masuk ke rumah banglo. Lukisan yang mempamerkan pepohon hutan daun kekuningan di musim luruh itu kelihatan sangat-sangat real. Seakan dia berdiri di tengah hutan sunyi itu. Kesunyian yang dirasai akan suasana itu menjentik rasa rindu pada musim luruh yang pernah dilaluinya dahulu. Yang lebih lagi terasa kini perasaan sedih sedia ada di lubuk hati kembali penuh. Sedihnya dia menanggung rindu pada seseorang lelaki bernama Tengku Zafreed.
“Aulie… jom masuk.”
Sapaan Puan Ruhana telah menyedarkan Aulie di mana dia berpijak. Bahu telah dirangkul ibu mentua, mengajak tubuh kejung di muka pintu ke dalam rumah.
“Aulie jangan segan-segan di rumah mama ni. Rumah ni dah jadi rumah Aulie sekarang.” Mesra suaranya agar menantu kesayangan tiada rasa canggung di rumah besarnya ini.
Elok duduk di sofa ruang tamu, Han Hadid sibuk dengan smartphone di tangan. Tak berminat langsung nak mencelah sepatah, apakan lagi nak melayan. 'Pandai-pandailah kaulah nak bawa diri dalam rumah ni!' gerutu dalam hati selintas.
“Han... sihat tak ni? Mana tahu, penat semalam tak
habis lagi melarat demam hari ni?" Soal Puan Ruhana dalam ketawa halus mengusik pengantin baru.
Pengantin perempuan sehari turun menguntum senyum nipis, jatuh pandangannya. Ada juga rasa malu-malu kucing bila di usik begitu.
“Sihat mama. Tak ada apa yang nak dipenatkan sangat pun.” Selamba mulut senada menjawab. Ada maksud tersirat di situ. Harap-harap mama faham dan cukup jelas jawapannya. Jangan ditanya-tanya lagi. “Han nak masuk bilik dulu. Nak settle kerja. Esok dah masuk ofis.” Tubuh tingginya telah berdiri tegak.
“Nanti dulu Han… duduk!” Suara mesra seorang ibu bertukar tegas.
Menjuling mata ke atas. Apa lagi? Malas menyoal, punggung menurut perintah bersama keluhan halus memang disengajakan. Bukan mama tidak tahu, dia tak gemar berbual. Tambahan ada pula ahli baru tersipu-sipu malu. Apa hal!!!
“Semalam baru kahwin, hari ni cuti, esok dah kerja? Ambillah cuti lama sikit. Kesian Aulie ni. Pergilah bawa Aulie bercuti. Tak payah jauh-jauh, dekat-dekat pun tak apa.” Nasihat Puan Ruhana.
Huh! Nak bawa bercuti pula? Membuang pandangan meluat ke arah lain. Itu tandanya malas nak layan, faham!!!
Sampul tiba-tiba muncul di atas meja. Dengan berat hati, membelek jugalah isi dalamnya. Wajah tak seberapa jernih bertambah keruh. Garis-garis halus berjalur terpamer di dahinya langsung menatap wajah mama.
“Tu hadiah perkahwinan mama khas untuk Han dan Aulie. Mama nak Han dan Aulie luangkan masa bersama. Pergi honeymoon, kenal hati budi masing-masing, okey…” besar harapannya mahu anak menantunya berjinak-jinak rapat dan berlapang dada.
“Tapi mama, kenapa…” Tak terlepas suara hendak dilontarkan. “Kenapa kat sini?” Makin tak senang hati akan destinasi pilihan mama.
“Redang? Apa salahnya Redang? Pulau Redangkan salah satu pulau tercantik di negara kita. Ke Han ada rancangan lain nak bawa Aulie pergi Maldives?”
Maldives! Lagilah tak mungkin. Buat apa buang masa berharganya untuk perempuan yang dia tak ingin nak kenal. Lebih baik dia simpan masa berharganya untuk kerja yang tak pernah habis tu. Lebih berfaedah!
Aulie Nada hanya mendiamkan diri dari mula lagi lebih tergamam kini. Mata bulatnya terkebil-kebil memandang mulut Puan Ruhana. Betul ke dia dengar? Redang??? Tarikan bibir kendur serta-merta.
“Han nanti bawa kereta tau. Dalam perjalanan tu boleh Aulie dan Han berbual panjang. Mama nak Han dan Aulie cipta memori indah banyak-banyak di sana. Lupakan hal lama. Nanti dah kerja, masing-masing sibuk. Han dengan kerja Han, Aulie dengan kerja Aulie. Mama tak nak macam tu. Fahamkan maksud mama.”
Bagaikan tersesat di dalam lohong gelap tak ketemu jalan. Tersekat-sekat nafas Han Hadid hendak bernafas lancar. Sampul telah ditinggalkan terbiar di atas meja dengan langkah lemah. Hendak bereaksi macam mana pun tak tahu. Nak memberontak, dia bukan kanak-kanak lagi. Nak menjerit atau menengking, takut jadi anak derhaka. Dia perlukan ruang untuk bernafas. Udara… udara… tolonglah legakan dada yang sesak dengan semua yang ada ni.
Langsung rebah kepala berat ke atas katil sebaik menerobos masuk bilik. Perasaan tak senang dengan pemberian mama, mengeluh keras tak sudah. Sekarang, dia kena turutkan ke Redang pula! Pandangannya jatuh tepat ke arah rak buku melekat di dinding bilik. Redang…
.
.
.
.
.
Puan Ruhana masih setia menemani manantu di sofa perasan air muka Aulie Nada tak jernih lagi.
Tidak seperti kali pertama terpandang wajah suci itu pada ketika berselisih bahu membeli nasi lemak di gerai tepi jalan tiga tahun lepas. Acap kali dia ke gerai itu, pasti terserempak tapi tak sempat nak bertegur sapa sehinggalah Aulie Nada datang ke butik hijab miliknya. Aulie Nada tak berhijab ketika itu membelek-belek beberapa helai shawl. Sempat Puan Ruhana mengajar cara mengayakan shawl. Dia turut tertawan dengan kejelitaan gadis itu selepas menutup aurat sampai terlupa bertanyakan nama.
“Nama gadis tu, Aulie Nada. Dia bekerja di syarikat hujung sana tu. Kenapa? Ana berkenan ke dengan budak tu?”
Muka gadis yang baru saja diketahui nama daripada kakak sepupunya dipandang tak lepas. Nampaknya gadis tu sibuk membeli sesuatu di kedai serbaneka sebelah butiknya.
“Bukan setakat cantik, orangnya nampak lembut. Bibir dia murah dengan senyuman. Manis saja Ana tengok. Dah lama Ana perhatikan budak tu. Sejuk hati bila tengok dia. Mungkin dia boleh sejukkan hati Han.” Ketika itu dia telah memasang angan.
“Kalau Ana dah berkenan, akak boleh kenalkan Ana dengan mak dia. Mak Aulie tu pun anak buah akak di tempat kerja. Tapi sebelum Ana pergi lebih jauh, Ana perlu tahu tentang dia. Aulie Nada ni, dia ada kisah di sebalik senyuman manis dia tu.”
Ya… dia cukup faham situasi sebelah Aulie Nada dan situasi sebelah Han Hadid yang tegang melawan takdir hidup dan lemas dalam kekecewaan.Tapi mereka sendiri kena lawan.
“Aulie…” tangan menantu digenggam erat. “Mama tahu Aulie perlukan masa. Macam tu juga Han perlukan masa untuk terima keadaan sekarang. Han pun ada kisahnya seperti Aulie. Kisah yang susah untuk dia lupakan. Mama harap Aulie boleh mulakan langkah pertama. Cuba fahami Han dan dalam masa yang sama buat Han juga faham Aulie. Insya-Allah, selepas Aulie terima Han seadanya, Han juga akan terima Aulie seadanya juga. Ketika tu Han dan Aulie pasti jadi pasangan bahagia. Sebabnya, Han dan Aulie memang perlukan satu sama lain untuk lupakan kisah lalu. Tapi, untuk sampai ke tahap tu, mungkin macam-macam dugaan yang Han dan Aulie akan tempuhi dan yang pastinya, hati Aulie akan terluka. Jadi mama nak minta maaf awal-awal bagi pihak Han dan harap sangat Aulie dapat bertahan dengan Han.” Panjang lebar nasihat bukan menyebelahi anaknya saja tapi untuk kebaikkan kedua-dua belah pihak.
Fikiran Aulie telah terganggu memikirkan kisah di Pulau Redang, “insya-Allah… Aulie cuba.”
Cuba… dia sendiri pun sedang mencuba. Cuba untuk lupakan Tengku Zafreed, cuba untuk terima Han Hadid sebagai suami dan cuba serasikan keadaan sekarang yang tidak pernah ada dalam perancangan hidupnya. Dia juga sedang berperang dengan hati sendiri untuk terima semua ni!!!
.
.
.
.
.
BAGASI ditarik Aulie Nada sendiri. Nampak sangat kehadirannya tak diundang. Dalam wajah muram kenangkan nasib diri tak nampak sinar bahagia, tombol pintu digenggamnya. 'Aulie! kau suka atau tak, kau kena cekalkan hati juga! Tengku Zafreed tak akan datang pujuk kau lagi!' bentak hatinya. Lalu dengan berat hati ditolaknya pintu bilik yang merupakan dunia baru untuk hidupnya.
Mukanya terperanjat besar. Bukan sebab pemilik bilik terlentang keras. Mungkin tubuh kejung itu tidur atau buat-buat tidur. Biarkanlah.
Yang buat korneanya jeda adalah ruang bilik bakal beradu malam ini jauh berbeza dan lebih besar tiga kali ganda dari biliknya. Jadi dia boleh faham kenapa lelaki suka tunjuk belakang tu melemparkan pandangan jelik ketika berada di dalam biliknya semalam. Bilik ini jauh lebih selesa.
Bilik yang telah dijejaki kini siap ada sudut kerja dan ruang istirahat bertemakan moden kontemporari. Rak buku saja setinggi dinding. Emmm… boleh tahan banyak juga koleksi buku dah saing-saing perpustakaan. Confirm lelaki bersuara rosak tu ulat buku. Sejenis makhluk tak suka bersosial. Introvert! Agak la kot… terlepas ketawa halus tak pasal, cepat-cepat ditutup mulutnya agar tak mengeluarkan sebarang bunyi.
Amboiii... sedap bebenar tidur tu nampaknya. Penat ke? Huh! mana mungkin penat. Macam tuan badan katakan tadi, tak ada apa pun nak dipenatkan. Hanya bawa kereta dari rumah ibu ke rumah mama saja. Jarak pun bukan jauh sangat. Jalan pun tak sesak, kereta pula auto, tekan minyak saja. Tenaga tak dikerahkan lebih pun. Mencebik bibir mengejek.
Tapikan… mama cakap tadi, Han Hadid tu ada kisah seperti dirinya? Kisah part mana yang sama? Adakah part percintaan bak fairy tale atau kecewa? Saat itu juga rentetan babak-babak kisahnya bersama Tengku Zafreed terlayar di bayangan mata dan tak pasal-pasal mood sedih mula menyerang lagi. Laju kepala menggeleng, menepis perasaan kecewa yang datang. Tolonglah jangan layan perasaan kecewa tu! So, tolonglah pergi jauh-jauh wahai sedih!!!
Sebaik menoleh ke kiri, mak aii! Hampir melompat kakinya terperanjat akan imej diri sendiri di cermin besar. Saiznya seluas dan setinggi dinding. Dia memerhati pantulan figura lalu shawl di kepala telah ditanggalkan tersidai kemas dalam almari.
Mata terlelap tiba-tiba tercelik dan sengaja membekukan diri dalam diam.
Dengan penuh bergaya, Aulie melepaskan rambut panjang tak sampai ke pinggang di hadapan cermin besar. Rambut lembut melurut guna jari saja sudah pun cantik. Dicium rambutnya, emmm... masih wangi. Bauan flora dari shampoo baru dibelinya, amat berpuas hati. Ditolaknya ke belakang badan dan membetul-betulkan rambut depan lebih kemas sebelum hilangkan diri ke kamar mandi bersama baju salin.
Pelopak mata terangkat separuh memerhati gelagat Aulie Nada dalam diam terpejam semula. Hantu punya jelmaan! Segar terus biji matanya. Ni gara-gara Aulie Nada punya hal lah!
Dalam sedar bebola matanya susah menyangkal lagi kecantikan semula jadi yang tertayang. Deria baunya juga jadi cukup sensitif dengan haruman yang telah dirembeskan oleh isterinya hingga tangan yang selalunya sibuk dengan kerja tak ingat dunia, tak tertahan ingin menyentuh rambut itu.
‘Apa kena dengan aku ni?’ fikirannya juga terganggu. Mujur hati ini masih berdaya menangkis dan memegang kuat kesetiaannya pada cinta Bella. ‘Bella… hati ni masih milik you. Tak ada sesiapa boleh sentuh, mahupun dia!!!’.
.
.
.
.
.
MALAM ni solat Isyak tak berimam lagi. Ajak solat berjemaah pun tak berjawab. Guna bilik ni pun, harap tebalkan muka tak di pelawa. Sejak masuk ke bilik ni, si suara rosak tu tidak bercakap sepatah haram, jauh sekali nak pandangnya. Betul-betul buat dia halimunan dalam bilik ni. Yang tak habis-habis, sibuk dengan kerja sendiri saja. Memang dasar suara rosak!
Terjuih bibirnya mengejek si suara rosak tu. Buat kat belakang
bolehlah!
Bosan sungguh! Cari bahan bacaan menariklah. Melirik mata pada barisan buku boleh dikira dahsyat banyaknya dan diatur baik mengikut abjad pada rak hampir mencecah siling. Semuanya berkaitan seni bina. Dari seusang-usang buku hingga ke edisi terbaru. Dari seni bina zaman purba hingga ke zaman moden. Semua negara ada. Tapi, dia tertarik pada sebuah buku tu. Mukanya saja menayangkan bangunan-bangunan di serata Turki. Belum sempat selak kulit buku, buku dirampas kasar.
“Jangan kau berani sentuh buku-buku aku. Aku haramkan kau dekati rak buku aku ni. Faham!” Amaran termaktub. Buku disimpan ke tempat asal sebelum berlalu dan duduk di tempatnya semula, menyambung kerja yang terganggu.
Aku! Amboi, cantiknya bahasa. Betul… dari semalam pun si suara rosak berbahasakan dirinya ‘aku’. Terlalu kasar kot untuk seorang isteri! Terkilan juga hatinya. Sekali sekala bersuara, kata yang tumpah daripada mulut Han Hadid boleh menghiris hati. Setakat buku pun nak diharamkan. Nak tengok aje, bukan nak koyak. Bakar betul-betul sampai jadi abu baru tau. Langsung menjauhkan diri seperti arahan.
Smartphone sendiri dirampas kasar, sengaja ajuk rampasan buku tadi. “Saya nak duduk kat kerusi ni, abang benarkan ke tak?” Sindirnya dan sedikit kuat pada panggilan ‘abang’ tapi tak dapat respons. Sibuk benar dengan monitor LED cap Apple tak cukup satu tu. Leher memanjang, nak menyibuk tengok apa yang disibukkan sangat. Nampaknya grafik-grafik bangunan saja.
Kerja dia la tu! Mulut mencebik lagi. Itu pun ibu yang beritahu pekerjaan suaminya. Nak tanya si suara rosak tu sendiri, abad depan pun belum tentu dapat jawapan. Baru pegang buku dah dapat amaran keras. Agaknya kalau pegang badan dia, mahu kena terajang. Huihhh! Minta simpang. Tak mahulah sampai kena pukul dengan suami sendiri dan dia pun tak ingin nak peganglah! Menjeling matanya tunjuk geram.
Langsung terhenyak punggung tanpa permission tuan punya bilik lagi. Arkitek konon! Ingat dia sajalah yang busy sangat tu! Kita pun banyak kerja jugalah. Cash flow tidak semak lagi, monthly report tidak siap lagi, penyata tidak semak lagi dan dalam masa dua minggu lagi meeting kewangan suku tahun keempat pula. Tidak lama lagi berakhir tahun kewangan, auditor sibuk nak masuk lagi. Nak melayan kerenah auditor tu lagi satu hal. Kalau ada pertanyaan atau teguran lagi nahas. “Huh…” naik pening kepala serabut memikirkan kerja datang bertubi-tubi.
Official email disemak. Baru cuti lima hari berduyun-duyun email masuk. Bertambah sakit kepala ni, diurut-urut lembut tempat berdenyut. Kucar-kacir kerjanya sama seperti hidupnya. Dia mengerling sang suami yang berjaya buatnya tak tenteram. Nak buat kerja, laptop tidak bawa. Nak pinjam komputer, Han Hadid sibuk guna. Nak pinjam laptop, sedangkan sentuh buku pun telah dikenakan amaran keras. Diharamkan okey!!! Agaknya kalau pegang juga dikira berdosa besar ke?
Hishhh!!! Mati kutu dibuatnya. Entah apa-apa ditekan skrin telefon, tidak ada hala tujuan sama seperti hidupnya sekarang. Tak ada hala tujuan yang jelas dengan Han Hadid. Entah apalah yang akan dan bakal terjadi di masa akan datang? Bahagia atau derita? Kalaulah dulu, hubungannya jadi dengan Zaf, sudah tentu-tentu bahagia ever after. ‘Zaf… kenapa kau hadir kalau nak tinggalkan aku terumbang-ambing macam ni?’ istighfar panjang mulutnya, cuba bersangka baik dengan takdirnya.
Dia menoleh lagi ke arah wajah serius 24 jam, sibuk menilik skrin komputer. Oh, baru perasan, rupanya Han Hadid memakai cermin mata ketika buat kerja. Sama sepertinya. Sekurang-kurangnya dia jumpa satu persamaan mereka. Walaupun kecil dan tak memberi apa-apa impak, tetap ada jugakan. Tak apa… nanti cari lagi.
Makin lama tengok tertarik pula. Boleh masuk kategori kacak juga si suara rosak ni. Hidung tu elok terletak sangat. Agaknya kalau suara tu elok, bibir tu murah senyuman, lenggok bahasa lembut mesti lebih-lebih lagi daya tarikan lelaki bernama Han Hadid. Setakat yang terpampang ni pun dah buat senyuman bergayut sendiri. Tidak pasal-pasal hati ini dilanda ribut debaran lagi. Ternyata Han Hadid berjaya menarik perhatiannya.
Tapi… apa kisah dia? Tiba-tiba penuh minat nak tahu. Ada ke perempuan yang berjaya memikat hati lelaki sekeras dia? Siapa perempuan tu? Dan kenapa Han Hadid berkahwin dengannya? Tanya sendiri ajelah yang mampu.
Setiap manusia yang hidup pasti ada kisahnya. Tak selamanya kisah gembira dan tak selamanya kisah sedih. Tapi pengakhiran sedih memang sukar untuk dilupakan. Bertambah sukar bila dalam kisah tu terlalu banyak kenangan manis yang tak boleh dilepaskan macam tu saja. Tapi dia cukup yakin dengan takdir. Kenapa Han Hadid yang muncul pada ketika tak sepatutnya lelaki itu muncul juga pastinya telah tertulis.
Kepala Aulie tersengguk-sengguk layan lelap, menarik perhatian yang sibuk dengan kerja. Tanpa sedar bibir menggaris senyum nipis. Cermin mata juga ditanggalkan dan menung seketika. Perlahan-lahan jejak menghampiri. Lebih senyap dia melutut di tepian kerusi. Jarak mereka amat dekat dan jelas menatap di setiap segenap. Entah kenapa tubuhnya tertarik bagaikan magnet, ingin sangat menjamah wajah perempuan yang dikenali namanya saja. Bagai terpukau, senang-senang saja tubuhnya bergerak sendiri.
Bibir seksi kemerahan menyerlahkan kulit putih licin. Inilah isteri yang dinikahinya tanpa cinta selama dua hari. Rambut tertutup separuh muka berhati-hati selak agar jelas setiap roman muka yang ingin dirakam kornea.
Mata Aulie membulat tiba-tiba. Dia rasakan ada sesuatu di hadapan mukanya ternyata benar. Sangat dekat hingga dapat rasakan helaan nafas.
Serta-merta Han Hadid berdiri tegak begitu juga Aulie. Mereka berdua membelakangkan badan. Han Hadid menahan malu. Aulie mengurut dada yang sesak. Menyirap darah macam nampak hantu. Ingatkan ada hantu rupanya suaminya yang jadi hantu. Apa yang si suara rosak tu nak buat sebenarnya? Soalan tu tersekat dicelah anak tekak. Cuma pipinya masih terasa hangat, disentuh.
Menonong Han Hadid ke tempat duduknya semula dan kaca mata tersangkut kembali. Kerja terbengkalai disambung seperti tak ada apa-apa berlaku tapi itu hanya luaran. Dalamannya jauh memikirkan apa yang dibuatnya tadi tak betul! Salah sama sekali dan tak sepatutnya berlaku! Marahnya dengan diri sendiri.
Kalaulah Aulie tak terjaga tadi, hidung dah melekat ke pipi gebu itu mahu terbabas juga. ‘Kenapa dengan badan aku ni? Turutkan saja tanpa kewarasan. Atau kau dah kena jampi?’ bentaknya sendiri. Perbuatan tadi sudah cukup buat jiwanya kacau. Tersangkut dicelah-celah perasaan ingin dan benci. Terbit pula rasa bersalah. Bersalah pada Bella sebab ada perasaan begitu.
Sudahlah Han! Tidak ada gunanya buat kerja. Fokusnya telah terbang jauh. Sebaik menutup semua komputer dan lampu bilik, rebahkan badannya di sebelah teman sekatil yang mungkin dah belayar ke alam mimpi. Dalam mata terpejam, dia mencari bayang Bella yang tak muncul-muncul. Rindunya dia pada cinta hati. Sekejap terlentang sekejap mengiring masih tak selesa. Mata terbuka, Aulie Nada di hadapannya. Anak mata sambung menilik lagi roman wajah lembut tanpa kawalan.
Kenapa tidur pun cantik sangat ni?
Lemah semangat Han Hadid ringan tubuh telah kesurupan melonjak mendekati kecantikan yang telah memukaunya sekali lagi…
Share this novel
best...nk sambung baca.
besttttt
alooo uc sobsssa