"Macam mana Tuan Dika harini?" soal Puan Sri Rozana kepada jururawat peribadi yang dibayar khidmatnya. Tugasnya adalah memantau keadaan Andika dan tahap kesihatan cucunya itu.
"Baik sahaja Puan Sri. Setakat ni semua okay, Tuan Dika takde tunjukkan reaksi yang pelik - pelik harini," balas Sofea. Baru hari pertama dia memulakan tugasnya menggantikan jururawat peribadi yang sebelum ini berhenti mengejut. Tidak dia ketahui apa sebab dan alasannya. Dia pun malas mahu bertanya lanjut kerana apa yang dia lihat, orang - orang dalam rumah ini seakan bertapis apabila mahu bercakap dengannya dan akan mengelak jika dia mahu bertanyakan lebih lanjut perihal Tuan Andika. So, dia abaikan sahaja.
"Emmm, baguslah. Jangan lalai, jaga dia betul - betul dan jangan sesekali terleka." Puan Sri menitipkan pesanan.
Sofea mengangguk faham. Berat tanggungjawabnya. Tugas menjaga kebajikan cucu lelaki Puan Sri Rozana. Termasuk memantau tahap kesihatan lelaki itu tidak boleh dipandang enteng.
Sofea kembali semula ke bilik lelaki itu setelah Puan Sri Rozana berlalu pergi. Pintu bilik itu dia tutup semula. Lelaki yang terlena itu dia tatap sekilas. Kepala dia geleng perlahan... "Kesian, muda - muda lagi dah kena macamni," tercetus kata - kata dari bibir mungilnya itu dengan mata tak lepas memandang lelaki muda yang terbaring lena itu, serba sedikit yang dia ketahui perihal lelaki itu dari Puan Sri Rozana. Dia mengambil jarum suntikan. Ubat penenang yang perlu diberikan lapan jam sekali itu dia harus laksanakan. Jika tidak, Tuan Dika akan berperilaku agresif dan akan bertindak di luar kawalan.
Wajah kacak yang terbaring itu dia tenung lama... "Hensem, tapi sayang..." terkeluar pula ayat itu lagi dari mulutnya. Jarum suntikan dia tusuk di bahu. Walaupun ada sedikit debaran, tapi diteruskan juga tugasnya itu. Risau jika Tuan Andika tiba - tiba terjaga.
HUK...!!!
HUK...!!!
HUK...!!!
Lamunannya terhenti. Wajah lelaki itu dia pandang sekilas. Lelaki yang seakan - akan tersedak batuk itu dia betulkan posisi kepala. Setakat satu hari dia menjalankan tugasnya. Ini kali pertama dia mendengar suara lelaki itu. Kerana dari dia mulakan kerja jam 8.00 pagi tadi, lelaki itu hanya tertidur lena.
"Aaair... Aaairrr..."
Suara garau menembusi deria pendengarannya dan mengganggu suasana hening di antara mereka ketika ini.
Kuat bunyi deru nafas lelaki itu, seperti menggeram. Berderau darah sofea. Dia mengambil segelas air dari dalam jag dan bergegas menghampiri katil. Gelas itu disuakan pada mulut Andika apabila dia meninggikan sedikit bantal pada kepala lelaki itu. Seteguk dapat masuk ke dalam mulut Tuan Andika.
PRANGGG!!!
Gelas itu ditepis kuat oleh Andika dengan tangan kanannya, jatuh terpelanting dan pecah berderai di atas lantai. Sofea sudah mula gelabah. "Apa yang tak kena pula ni? bukan tadi dah bagi ubat penenang ker?" dia bercakap seorang diri.
"Siapa kau???"
"Berani kau masuk bilik aku..."
Suara garau itu betul - betul membuatkan debaran di dadanya semakin kencang.
"Ma.. Ma.. Maaf tuan, saya ditugaskan untuk menjaga tuan. Saya jururawat peribadi tuan." Tergagap - gagap suara Sofea. Degupan jantungnya juga semakin rancak berdetak. Ayat - ayat yang terlontar dari bibir itu juga seperti berterabur butirannya.
"GGGRRR"
Menggeram lagi, mata lelaki itu sudah memerah dan mencerlung tajam ke arahnya.
"KELUARRR...!!!"
Kuat jeritan itu...
Sofea seolah - olah sudah tidak mampu berpijak lagi, darah merah terasa menyerbu ke segenap wajahnya.. Bulu tengkuknya juga sudah tegak berdiri. Perasaan takutnya sudah sampai ke tahap maksimum.
Tak menunggu lama dia mengangkat kaki, berlari keluar dari bilik itu. Berdesup dia lari, tidak menoleh lagi.
BUKKK...!!!
"Kenapa ni???"
Sofea mengangkat wajahnya yang menempel pada badan seseorang.
"Ma... Maaf Pu... Puan Sri," Sofea tergagap, dia tercungap - cungap mengambil nafas. Dek kerana ketakutan yang tidak terkawal, dia terlanggar Puan Sri Rozana yang ketika itu melalui hadapan bilik Tuan Andika.
Puan Sri Rozana merenung gadis di hadapannya itu, seakan faham apa yang sedang berlaku. Ni mesti sebab cucunya.
"Tuan Dika dah bangun?" soal Puan Sri Rozana, tegang nada suaranya.
"Ddd... Dah Puan Sri," katanya gugup, masih lagi dibelenggu perasaan takut. Wajahnya menunduk, tidak berani bertatapan mata dengan wanita di ambang lewat usia yang masih anggun itu. Tapi pada pandangan matanya tidaklah terlalu tua. Mungkin juga Puan Sri berkahwin di usia muda. Di awal 20-an atau mungkin juga 18 atau 19 tahun. Orang dulu - dulukan kebiasaannya ramai yang kahwin muda.
"Dah bagi ubat penenang?"
Terhinggut bahunya, tulah sempat lagi mengelamun. "Dah Puan Sri," balasnya.
"Ada bagi ikut dos yang betul?"
"Yer Puan Sri, saya bagi ikut sukatan yang betul."
"Emmm, takpelah, saya nak pergi tengok dia sekejap." Puan Sri Rozana meninggalkan Sofea yang masih berdiri di situ. Pintu bilik Andika dia kuakkan. Kelihatan lelaki itu duduk menongkat lutut di atas katil sambil mengadap ke arah kepala katil.
"Sayang,,, cucu Tok Ma macam mana harini?" Lembut kata - kata yang terpacul dari bibirnya. Puan Sri Rozana semakin dekat datang menghampiri. Belakang badan cucunya itu dia gosok perlahan. Rambut itu dielus - elusnya.
Andika hanya mendiamkan diri. Tapi Puan Sri Rozana sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Semenjak cucunya itu diuji sebegitu rupa sejak lima tahun yang lalu, tiada lagi gurau senda antara mereka. Yang ada hanyalah sikap memberontak Andika dan suara pelik dari cucunya itu. Suara menggeram dan menjerit kesakitan. Seolah - olah apa yang dihadapi oleh cucunya itu seakan menyeksakan. Tu belum lagi apabila malam menjelma. Semua itu terjadi kerana sumpahan keturunan suaminya.
Luluh hati tuanya setiap kali Andika mengerang sakit, jika boleh dipindahkan sumpahan itu kepadanya, dia sanggup untuk terimanya. Kenapa harus Andika yang perlu hadap semua itu??? Disebabkan itu, Andika menjadi semakin pendiam dan tidak banyak bercakap. Saban hari biliknya akan dikunci. Risau jika Andika akan bertindak di luar akal warasnya.
"Sabar sayang, sikit masa jer lagi Dika harus lalui semua ni. Tok Ma dah jumpa penawarnya." Tubuh yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar itu diraih ke dalam pelukan. Andika hanya diam terkaku, tidak pula dia membalas pelukan itu. Air jernih melimpah dari kelopak matanya. Setitis demi setitis jatuh menimpa ke pipi.
Ubun - ubun cucunya itu dia kucup sekilas sebelum dia keluar dari bilik itu.
Sofea masih berdiri di situ. Tidak berganjak walau seinci dari depan pintu bilik itu.
"GGGHHH...!!!"
"ARGHHHHHH...."
Sofea menikus apabila telinganya menangkap bunyi itu.
"Biarkan saja, kamu boleh berehat di bilik kamu dulu, datang ke sini semula untuk melihat keadaan Tuan Dika apabila keadaan sedikit mereda dan bunyi suara itu sudah hilang dari pendengaran kamu."
Arahan yang bisa membuatkan dadanya berdegup kencang itu terpaksa dia ikuti. Tidak dapat dipastikan sampai bila dia akan bertahan. Mungkin sebab ini juga jururawat peribadi yang sebelum ini berhenti secara mengejut. Itu hanya telahannya sahaja.
Sofea mengangguk, dia berlalu pergi ke bilik tetamu yang disediakan khas untuknya. Sepanjang dia bertugas di rumah ini, dia perlu bermalam di sini, itu adalah perjanjian yang perlu dia ikuti dan dia dibayar lumayan kerana itu. Debaran yang dirasakan tadi masih lagi belum reda di dalam dirinya.
Puan Sri Rozana memerhati sejenak belakang badan yang menghala ke bilik tetamu itu sebelum dirinya juga berlalu pergi dari situ. Dia turun mendapatkan suaminya yang sedang minum petang dia aras bawah.
"Ada nampak perubahan ker pada Dika???" soalan itu ditanya Tan Sri Khalil sejurus Puan Sri Rozana melabuhkan punggungnya di atas kerusi bertentangan dengan suaminya itu.
"Sama macam tu je abang."
"Bila nak temukan Dika dengan gadis tu?"
"Itulah yang Zana tengah fikirkan sekarang ni. Ingat senang ke nak buatkan mereka berdua jatuh cinta?" Puan Sri Rozana kelihatan sedikit sugul.
"Temukan mereka berdua dulu, ataupun kahwinkan terus. Cinta boleh dipupuk selepas berkahwin." Lain macam pula cadangan yang dia berikan itu.
"Abang cakap senanglah. Abang lupa apa kata pawang tu dulu?" ada sedikit getaran dalam nada suaranya.
"Abang ingat, kena ikut pantang larang, mereka harus berkahwin jika terbit rasa cinta di dalam hati keduanya, sumpahan itu akan terlerai dengan perawan gadis itu." Jelas Tan Sri Khalil. Ingatkan zaman dahulu jer yang ada sumpahan itu ini. Di zaman moden seperti ini pun masih lagi ada hal - hal sebegini. Dia gelengkan kepala. Tapi semua itu terjadi adalah kerana pergaduhan sesama Moyang antara keduanya zaman dahulu kala. Sumpahan itu akan terjadi pada keturunan ke lima dan Andika adalah keturunannya yang ke lima.
"Zana nak naik atas, nak rehat."
"Tapi kita tetap kena jumpakan mereka berdua, jika tidak sampai bila kita nak tunggu. Kesian pada cucu kita,"
Puan Sri Rozana yang baru berura - ura mahu beransur dari situ berhenti langkahnya. Dia melepas nafas berat.
Kesian, siapa yang tidak kesian, sejak anak dan menantunya meninggal dunia kerana kemalangan tiga tahun lepas, dia yang menggalas tugas menjaga cucunya yang tidak sihat itu. Sudah dia berjanji pada anaknya akan mencari penawar itu walau di mana pun tempatnya. Harapannya cuma satu agar cucunya itu dapat pulih seperti sediakala.
Kepada gadis itu, dia terpaksa. Bukan niatnya untuk menganiaya. Tapi demi untuk cucunya. Dia terpaksa mengupah orang untuk menjejaki gadis itu. Jika dia tidak berbuat demikian, andainya perawan itu telah diambil orang lain, cucunya tidak akan pulih sampai bila - bila dan sampai bila - bila juga cucunya akan kekal seperti itu.
Dia membawa langkah, membilang satu - satu anak tangga. Yang paling dia kesalkan, cucunya itu menjadi semakin berubah tingkahnya menjadi lebih pendiam apabila mendapat tahu akan kematian kedua orang tuanya. Dalam menanggung kesakitan, terpaksa pula menghadapi saat getir kehilangan orang tersayang. Sudahlah jatuh, tertimpa tangga pula. Puan Sri Rozana membuang nafas, rasa sarat memberat di dada.
________
Malam menjelang, Dahlia baru selesai menikmati makan malam. Dia meninggalkan meja meja makan setelah pinggan bekas makannya dia basuh. Makan sekadar menghilangkan rasa lapar. Sudah lama hilang nikmat makan dalam dirinya. Tak kiralah makanan yang terhidang di depan matanya itu sedap - sedap semuanya, tapi makannya tetap juga tidak bernafsu.
Dia berjalan ke arah luar. Mahu mengambil angin di kerusi taman. Badannya sedikit tidak enak pada malam ini.
"Cik Dahlia nak pergi mana?" Mak Kuntum menegur kerana dilihatnya Dahlia tidak menghala naik ke bilik, sebaliknya menghala ke arah pintu utama rumah banglo itu. Tidak pernah lagi gadis itu keluar dari rumah pada malam rembang begitu, sudah dipesan banyak kali oleh Puan Sri Rozana kepadanya agar gadis itu tidak keluar rumah pada malam hari.
"Dahlia mahu keluar ambil angin di luar sekejap Mak Kuntum."
"Jangan keluar rumah malam - malam Cik Dahlia, dengar cakap Mak Kuntum, bahaya dekat luar tu," halang Mak Kuntum. Kalau Puan Sri tahu ni, mahunya dia kena marah berbakul - bakul nanti.
"Ala, sekejap je Mak Kuntum, Dahlia mahu ambil udara malam dekat luar sekejap, bolehlah Mak Kuntum." Dia merengek juga mahu keluar. Apa yang bahayanya pun tak taulah, padahal kawasan rumah ni semua berpagar tinggi. Hampir sama tinggi dengan ketinggian rumah satu tingkat. Tu anggarannya sahaja.
"Tolong Cik Dahlia, dengar cakap Mak Kuntum, nanti kalau Puan Sri tau, Mak Kuntum akan kena marah."
"Mak Kuntum asyik sebut Puan Sri, tapi selama Dahlia dikurung di sini, tak pernah pun nampak Puan Sri tu. Entah wujud, entah tidak," balas Dahlia, sebal pula rasa hatinya, nama itu yang tak pernah luput dari mulut Mak Kuntum sejak bertahun - tahun dia di sini. Tapi bayang batang tubuh wanita itu pun tak pernah terlihat olehnya.
"Puan Sri wujud Cik Dahlia, dia yang memantau semua segi Cik Dahlia selama ni. Tolong jangan keluar." Mak Kuntum mula bertegas.
"Kenapa ekk??? dahlah kurung Dahlia dekat sini, tapi pergerakan Dahlia pun turut nak sekat. Dahlia bukan nak pergi jauh pun, apatahlagi nak lari. Dahlia takde daya pun nak lari. Mak Kuntum,,, Dahlia ni manusia biasa. Ada pelbagai macam sifat dan perasaan. Ada juga mood yang berbeza - beza. Kalau lama - lama macamni, Dahlia boleh mati dalam keadaan sakit mental," luahnya. Wajahnya masam mencuka.
"Jangan cakap macam tu sayang. Mak Kuntum dah anggap Cik Dahlia macam anak Mak Kuntum sendiri. Sayu hati Mak Kuntum bila Cik Dahlia cakap macamtu. Emmm,,, pergilah, tapi jangan lama - lama, duduk dekat - dekat sini je yer, jangan duduk jauh - jauh, nanti Mak Kuntum tak nampak Cik Dahlia." Akhirnya mengalah juga. Tadah jelah telinga kalau kena marah esok. Paling kurang pun bernanah sekejap je telinganya kena marah, tu pun harap sekejap jelah marahnya.
Berseri wajah Dahlia. Senyum meleret hingga ke telinga. Tubuh tua itu ditarik dan dipeluknya erat.
"Terima kasih Mak Kuntum," pipi tua itu dikucupnya sekilas.
"Yer - yer, pergilah... Dekat taman depan tu je okay. Jangan jauh - jauh..." Sekali lagi peringatan dia beri.
Dahlia keluar. Angin sepoi - sepoi bahasa bercampur bayu malam begitu menyegarkan tubuhnya. Gaun malam berwarna krim yang dipakainya sesekali meliuk - lintuk di tiup angin. Dia berjalan perlahan menghala ke arah taman bunga ros tidak berapa jauh dari rumah itu. Punggung dia labuhkan pada satu kerusi taman di situ. Kedua tangan di letakkan pada atas meja. Mata meliar memandang sekelilingnya. Pokok - pokok bunga ros beraneka jenis menghasilkan bau ros yang segar, hasil dari bunga - bunga yang mekar berkembang itu. Dia menarik nafas dalam - dalam menikmati haruman itu. Cahaya dari lampu taman tidak membataskan penglihatan matanya. Ada beberapa ekor kunang - kunang berterbangan di hadapannya. Dahlia senyum.
"Cantik", sempat dia memuji, malam ni baru pertama kali dia berkesempatan duduk di taman kawasan rumah itu. Kebiasaannya hanya pada waktu siang dia diberi sedikit kebebasan berjalan di kawasan taman sekitar rumah itu. Sebelum ini dia hanya dapat melihat dan menikmati bayu malam dari balkoni biliknya sahaja. Dah banyak kali dia meminta keluar waktu malam tapi tidak pernah dibenarkan oleh Mak Kuntum. Asyik perkataan 'bahaya' yang selalu keluar dari mulut Mak Kuntum. Tapi buktinya malam ini, tak ada pula bahaya yang dia kena hadap. Lagipun dia meminta kebenaran hanya dalam kawasan rumah, bukannya dia meminta keluar dari kawasan ini.
Happy reading semua... -Es Lilin-
Share this novel