Rate

Prolog

Romance Completed 6001

ENAM bulan. Itulah tempoh masa yang aku kira sejak dia melafazkan aku terima nikahnya dengan namaku disambung dibelakangnya. Enam bulan sejak aku menyatakan ya sebagai jawapan kepada lamaran keluarganya. Aku.. Auni Adiella.. orang yang merancang untuk hidup sendiri sampai bila-bila. Orang yang sudah kuburkan impian perkahwinan itu.. menerima lamaran dari Zikri Adam, orang yang langsung aku tidak kenali. Mengapa? Aku sendiri tidak pasti. Aku membuat keputusan itu tanpa berfikir dua kali dan tidak dapat menariknya kembali.

Sejujurnya, hidupku tidaklah terlalu berbeza. Aku hanya tinggal di rumah orang yang aku tidak kenali, itu saja. Rutin harianku masih lagi tidak berubah. Malah wajah suamiku juga hanya aku dapat lihat sekali sekala sehingga aku lupa wajahnya. Tidak, dia tidak kemana-mana. Hanya tersembunyi di sebalik pintu kayu yang terletak di satu sudut di dalam rumah ini atas nama kerja.

Andai satu hari aku bertemu dengannya diluar rumah ini, biar kami berselisih bahu sekalipun, aku pastinya tidak akan dapat mengecam bahawa dia adalah suamiku yang hidup sebumbung denganku.

Aku mampu hidup sendiri. Aku boleh saja untuk terus pergi. Meninggalkannya untuk hidup sendiri. Ada atau tidak aku di sini. Hubungan ini langsung tiada ertinya bagi lelaki itu. Hidupnya hanya tentang kerja. Dialah lelaki yang membuat aku merasa paling sunyi biarpun aku mempunyai seseorang yang kononnya akan mengubat sepiku. Yang akan menjadi tempat untukku bergantung. Yang memegang amanah kunci syurga buatku. Yang seharusnya menjadi teman hidupku. Tapi hidup bersamanya membuatkan hidupku semakin kosong tanpa makna.

"Ehem!"dehemannya membuatku kembali ke alam nyata. Aku memandang Zikri Adam yang sedang membuka peti sejuk dan menuangkan air ke dalam gelas itu dengan kehairanan.

Bukannya aku hairan kerana telah berminggu tidak melihat wajahnya. Namun apa yang menghairankan adalah kerana selama enam bulan ini dia selalu bertindak seperti hantu. Dia muncul tiba-tiba tanpa sebarang tanda. Dan kemudian menghilang tanpa sebarang suara. Hari ini, tiba-tiba saja dia ingin kehadirannya disedari. Hari di mana aku merancang untuk meninggalkan lelaki yang seperti tidak pernah wujud itu dan dia tiba-tiba ingin membuktikan kewujudannya. Jodohkah begini?

"Esok kau ada nak ke mana-mana tak?"soalnya sebelum meneguk air di dalam gelas di tangannya. Mungkin dia sudah masak dengan rutin harianku yang jarang sekali melekat di rumah. Ya, untuk apa aku berada di sini jika aku harus bersendirian. Lebih baik aku keluar berhibur bersama yang lainnya.

"Tak rancang lagi. Asal?"soalku pula menongkat dagu memandangnya. Sudah timbul rasa ingin menjadi suami mithali atau bagaimana.

"Esok kenduri tunang Yana. Mama suruh aku bawa kau pergi sekali."balasnya sambil mula membasuh gelas yang digunakannya tadi. Satu sifat yang aku suka tentangnya, tidak memperlakukan aku seperti hamba. Ya, aku tahu tolong menguruskan kerja rumah dan suami itu besar pahalanya. Namun terlalu ramai lelaki yang menganggap diri sendiri seperti raja dan tidak mahu menggerakkan walau satu jari pun untuk membantu isteri dengan kerja dapur di rumah. Syukur saja dia begitu.

"Kau nak pergi tak?"soalnya lagi apabila soalannya tadi hanya dibiarkan sepi. Dia bersandar di kaunter sinki sambil memandang ke arahku.

"Siapa Yana?"soalannya dibalas dengan soalan.

"Anak maklong. Dia ada datang wedding kita hari tu."balasnya sambil berjalan mendekatiku. Kali ini dia duduk di hadapanku pula.

Aku sekadar menganggukkan kepala tanda aku menerima informasi yang diberikannya biarpun aku tidak dapat mengingati wajah gadis yang disebutnya.

"So?"soalnya lagi.

Aku mengerutkan dahi tanda tidak memahami soalannya.

"Laaa.. kau nak pergi ke tak kenduri tunang Yana?"

"Kalau aku tak nak?"soalku sekadar menduga. Aku tak mengenali nama itu. Aku juga tak merasa dia ingin aku pergi bersamanya. Jadi, untuk apa aku ke sana. Biarkan saja dia pula mendapat peluang keluar rumah menikmati cahaya matahari yang entah berapa lama tidak menyapa wajahnya. Mungkin dia akan lebih selesa jika aku tiada.

"Janganlah macamtu. Mama nak aku bawa kau. Yana pun nak jumpa kau. Nanti apa pula yang diorang cakap."lelaki itu mula menghamburkan alasannya. Bukan kerana dia ingin menghabiskan masa bersamaku. Bukan kerana dia ingin keluar dari kejanggalan hidup bersama 'orang asing' begini. Dia hanya tidak mahu menjawab persoalan yang bakal dilemparkan kepadanya.

Aku mendengus geram. Entah mengapa aku masih lagi kekal dengan orang begini. Sepatutnya aku tinggalkan saja dia 10 tahun sebelum kami bernikah. Apa yang aku harapkan dari hubungan ini? Hubungan yang aku tahu tidak mungkin akan kekal sebelum wujudnya dia dalam hidupku. Untuk berada dalam sebuah perhubungan bukan caraku. Langsung tidak sesuai dengan cara hidupku. Orang sepertiku lebih sesuai untuk hidup sendiri. Aku sendiri tidak tahu apa yang merasuki ku sehingga aku menyetujui lamaran keluarganya ketika itu.

"Kau memang tak nak pergi?"soalnya lembut sambil menyelak juraian rambut yang menutupi wajahku dengan tangan kanannya. Jika ada satu benda yang aku perasan tentangnya, dia benar-benar suka bermain dengan rambutku. Ya, aku memang sudah lama tidak menghadap wajahnya. Namun setiap malam (atau harusku sebut sebagai pagi?), pasti dia akan membuatku terjaga kerana habitnya yang suka bermain dengan rambutku sebelum melelapkan mata. Entah fetish apa yang dia ada pun aku tak pasti. Tapi aku tak faham diriku sendiri apabila aku membiarkan saja perlakuannya sedangkan aku paling benci apabila tidurku diganggu.

"Hmm?"

Aku memandangnya yang sedang memandangku menanti jawapan. Kali ini dia menyelak rambutnya pula. Seseorang tolong beritahu aku kalau dia benar-benar ada fetish tentang rambut atau ini sekadar perkara biasa?

"Okey."balasku bagi menjawab soalannya. Ya jika itu yang dia mahu. Lebih baik aku ikut saja dia. Pamerkan bahagia yang tiada ini pada mata dunia. Biarkan mereka tertipu dengan sesuatu yang tidak pernah wujud. Biarkan mereka tenang dengan ikatan yang langsung tidak dapat terjalin antara kami.

"Okey?"soalnya meminta kepastian.

"Okey."balasku lagi mengukuhkan jawapan.

"Okey."katanya bersama anggukan. Sekali lagi dia menyelak rambutnya ke belakang. Mungkin mula merasai kejanggalan yang terwujud kembali di antara kami. Aku memandang tangan kanannya. Cincin platinum yang terukir namaku di atasnya masih lagi utuh di jari manisnya. 6 bulan berlalu. Cincin itu masih di situ. Mungkinkah masih ada harapan untuk kami atau ia sekadar untuk pameran saja?

"Okey."dia bersuara sekali lagi. Entah untuk apa. Dia bangun dari kerusi dan melangkah meninggalkanku untuk kembali ke ruang kerjanya tanpa sebarang kata. Seperti biasa aku dibiarkan sendiri lagi di sini. Misinya telah tercapai. Untuk apa dia berada di situ lagi apabila kerjanya sedang menjerit memanggilnya untuk kembali menyelesaikan tugasannya. Kerja atau wanita lain? Aku sendiri sudah tidak peduli tentangnya.

Kesunyian itu kembali menyapa.

Pamerkan bahagia yang tiada ini pada mata dunia. Biarkan mereka tertipu dengan sesuatu yang tidak pernah wujud. Biarkan mereka tenang dengan ikatan yang langsung tidak dapat terjalin antara kami. -PERFECT PARTNER

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience