BAB 2.

Romance Completed 97023

"PSST… Bik! Kejaplah!" Rhea memanggil.  Mak Leha masih sibuk itu sempat mengomel pada anak rakan majikannya itu. Tapi, dalam hati sajalah. 

"Oh… Rhea. Ada apa?" Mak Leha saja-saja buat terkesat-kesat tangan pada apron tanda dia baru membasuh tangan. Rhea dari mendekat terus menjauh. 

Nak-nak lagi pabila Mak Leha sampai-sampai sahaja di hadapan dia, terkibas-kibas tangan. 

"Ada apa ni Rhea? Bik, sibuk ni…" 

"Alah … kejaplah.  Rhea nak tanya ni mana abang Zayd? Rhea tak nampak pun selalu dia ada je kat gazebo tu. Kan Rhea selalu datang … ops…" Akibat tersalah cakap, laju Rhea tutup mulutnya dengan tapak tangan sebelum dibuka sambil menyengih macam selipar koyak. 

"Oh, jadi selama ni Rhea tak Zayd ya?" 

"Apa tak, tak? Tak faham!" 

"Tak pun tak faham? Kata sekolah orang putih… tak.  Yang macam drama Beto tu … baru minggu sudah habisnya…" Mak Leha tidak reti nak menyebut stalk.

Dan tatkala dia menyebut drama petang-petang tu,  barulah Rhea dapat menangkap.

"Eheh orang tua ni… dikata kita pulak ya? Dia yang tak reti nyebutnya… tak… tak… sepatutnya stalk. Mak Leha, stalk…" 

"Haa… tu lah dia… kalau tak, macamana Rhea boleh tahu kan?" Duga Mak Leha lagi. Rhea terperangkap.  Mak Leha tarik bibir senget.

"Hah, tak payah nak senyum senget sangat ya, Bik… Rhea jogging kut…" Rhea laju memberi alasan yang di pemikirannya teramat munasabah. Bukan Munah Sarawak! 

"O… jogging … tak tahulah pulak Mak Leha pakaian jogging sekarang skirt pendek kasut tinggi 5 inci ya? Idak jatuh tertumuih nanti?" Tajam sindiran Mak Leha berikan setajam pandangan matanya yang memandang Rhea atas bawah, atas bawah. 

'Aduh!' Omel Rhea perlahan sambil berpaling belakang dan terpejam mata terkebam bibir. Sungguh dia lupa baju dia pakai saat itu akibat mata sedari tadi liar mencari Zayd dan Lia.  

"Ha… takpelah bibik… lupa pulak Rhea ada photoshoot sat lagi. Rhea pergi dahulu. Kirim salam rindu peluk cium Rhea pada abang Zayd ya!!!" Rhea bergerak laju sambil bersuara lantang seakan sengaja bagi Lia baru keluar itu dengar.

"Masa Zayd tu baru-baru kemalangan majikan aku minta kau kahwin dengan dia, kau yang tak nak!  Sekarang dah si Zayd tu di kahwinkan dengan budak Lia tu, baru kau terhegeh balik ke Rhea oi!!!" Omel Mak Leha tidak sedar Lia Zulaikha sudah berada di tepi.

"Apa yang Mak Leha marah-marahkan tu?" Lia menyoal sambil merenung wajah masam Mak Leha dan kemudian dia juga merenung pergerakan kereta mewah Rhea yang disengajakan bunyi enjinnya kuat.

"Tu …" Panjang juih bibir Mak Leha pada kepergian kereta milik Rhea. Lia hanya tersenyum. Sebenarnya dah lama dia tahu Rhea selalu hadir secara sembunyi. Hanya dia tidak mahu mengadu pada mak mertuanya itu. Lagipun, memang Lia sedar siapakah dirinya dengan Zayd. Syed Zayd Erfan pewaris empayar Dato' Syed Omar.  

"Jomlah Mak Leha kita masuk. Bukan ke Mak Leha cakap semalam nak ajar Lia buat bahulu kemboja? Abang Zayd sukakan?" 

"Aha, iya tak iya jugak.  Jomlah…" ajak Mak Leha kelam-kabut melangkah. Lia tersenyum lagi.  Dia pasti hari ini abang Zayd laju makannya. 

"ABANG makan banyak-banyak tau…" Pinta Lia sabar menyuap bahulu kemboja berpotongan kecil itu.  Itu pun, kadang diluah semula dan berjelejehan liur. 

'Sabar sungguh kau, Lia… anak Mak Leha pun belum tentu lagi sanggup nak jaga Zayd dah macam ini. Huh, apatah lagi lah Rhea gedik tu!' Omel Mak Leha dalam hati sambil mata memaku pandangan pada pasangan atas katil Itu. Kemudian dia bergerak pergi ke dapur semula.

Datang pula Datin Maya. Dia mahu ke kamar tidak jadi mahu menaiki tangga. Dia lencongkan arah kakinya ke kamar bawah yang menempatkan Zayd. Semerbak bau bahulu kemboja bila tiba di tepi dinding.

"Beruntung Zayd dapat Lia tu sayang…" Teguran Dato' Omar mengejutkan Datin Maya yang sedang merenung gelagat pasangan baru berkahwin itu dari balik dinding. Seraya wanita kenamaan itu mengangguk, mengiyakan. 

"Rhea. Nak ke dia macam tu? Huh!" Cemuh Dato' Omar lagi. 

"Maya kadang tu rasa kasihan jugak bang pada Lia. Tahu sajalah kalau si Zayd tu dapat mengamuk…" Pangkah Datin Maya semerta ingatan episod sewaktu Lia dimasukkan ke hospital setelah Zayd menolaknya sehingga jatuh tangga terbayang di ruangan mata. Hanya kerana Lia terlewat sedikit datang untuk membersihkan kencingnya.

"Abang pun kadang tu rasa tak seharusnya kita nikahkan Lia dengan Zayd… " 

"Kenapa pa? Lia tak sepadan ya?" Soalan Lia yang sudah lama berada di muka pintu mengejutkan pasangan itu. Mereka berdua saling berpandangan tidak menyangka Lia sudah selesai memberi Zayd makan. 

"Tak sayang. Bukan begitu maksud kami berdua. Lia janganlah salah faham pula… " Dengan laju Datin Maya menarik lengan Lia dan berkata.

Sekejap itu juga perbincangan dia dengan suaminya tempoh hari terpamer di ingatan. 

"Aha, Lia jangan salah faham. Cuma papa dengan mama rasa bersalah. Bersalah mengambil kesempatan atas desakan hidup Lia. Papa kasihan tengok Zayd buat Lia macam tu…" 

"Papa, abang Zayd tu sakit pa. Dia tak sengaja. Lia faham dan bukannya Lia tak pernah ada adik macam tu…" Sahut Lia terasa sayu mengenangkan arwah si adiknya yang mempunyai masalah lembam. 

"Tu, budak Lia … ini dah besar panjang…jadi macam tu," terang Datin Maya juga sedih dan geram bila mengenangkan siapakah penyebabnya. Itu pun, orangnya itu masih lagi buat-buat seperti orang yang tidak bersalah saja.

"Pak Muaz apa khabar agaknya? Lia kalau sesekali nak balik jenguk bapak bagitahulah…" Terang Dato' Syed Omar atau lebih senang di kenali sebagai Dato' Omar saja.  

Lia mendengar saja permintaan yang dia terasa seperti mahu menghalaunya, membuatkan Lia jadi takut. Ya, memang dia takut nak balik sana. 

Dia kenal bapaknya itu. Judi dan hutang tidak pernah lepas. Bagaikan rakan akrabnya saja. 

"Lia takut…" Dia tanpa sedar terluah dua perkataan yang tertangkap di pendengaran Datin Maya. 

"Lia takut nak balik sana?" Spontan Datin Maya menyoal membuatkan Dato' Omar pada tika itu mahu menyambung kata langsung tidak jadi. Kenapa pula menantunya itu takut balik ke rumahnya?

"Aha, kenapa Lia? Ceritalah apa punca Lia jadi takut balik jumpa bapak Lia… mana tahu ada yang kami boleh tolong…" 

Terdongak Lia Zulaikha saat mendengar. Sudah banyak budi yang dia terima dari keluarga terhormat itu. Dia segan dan tak mahu lagi. Cuma yang dia berharapkan agar tidak menghalau dia ke sana. Itu saja. 

"Lia jangan takut. Cerita saja pada kami…" pujuk Datin Maya memaut tangan Lia lalu digenggam dengan erat. 

Pasangan kenamaan itu tahu bahawa Lia mahu bersuara tetapi ada sesuatu menghalangi.

"Lia…" Panggil Dato' Omar.  Lia menyepi. Jari dia lipat-lipat sama seperti mana dia berada dalam rumah tatkala menjelangnya malam. Dan bunyi motor. Sungguh dia takut. 

"Lia Zulaikha…" Datin Maya pula menyambung. Suara-suara berkecamuk mula menerawang dalam telinga Lia. Sungguh dia resah. 

"Mama papa… Lia naik atas dahulu!" Tanpa mahu meluah isi hati Lia terus berlalu dari situ dan tidak menuju ke tangga sepertimana dikatakan. Kerana mereka bertiga sudah berada di ruang tamu saat Dato' dan Datin itu mahu berbicara dengan Lia mengenai sesuatu tetapi nampak gayanya masih lagi tidak ada peluang. 

"Abang rasa Lia cuba sembunyikan sesuatu…"

"Sayang pun ada rasa yang sama. Apa dia ya? Apa yang dah berlaku pada Lia di kampung?" 

"Jangan-jangan Pak Muaz cuba jual Lia? Pak Muaz kan suka berhutang dengan Ah Long untuk berjudi." 

"Ish, abang ni!  Takkanlah Pak Muaz tergamak nak buat Lia tu macam itu? Lia tu baik budak ya…" 

"Sayang… demi nak lari dari hutang. Dari kena pukul. Siapa-siapa sanggup lakukan apa sahaja. Inikan pulak ada anak lawa sayang …" 

Datin Maya terdiam kaku. Dan mata terhala pada wajah si suami sebelum beralih ke arah laluan ke pintu depan. Di mana, Lia berlari keluar tadi. 

"Jadi… mungkinkah itu sebabnya... membuatkan dia sanggup bernikah dengan anak kita?" Datin Maya terus teringat saat dia cuba merisik maklumat Lia Zulaikha, sama ada sudah berpunya atau pun belum.

Bagaikan sudah ketentuan, Lia lari ke arahnya dan bercerita mengenai masalahnya.

"Abang ingat tak yang sayang pernah bercerita macam mana pertemuan kami? Lia kan ke dikejar Ah Long…" 

"Cuba nak perkosa dia kan? Ya. Ya, abang ingat… jadi abang rasa memang inilah punca kenapa menantu kita tu taknak balik sana."

"Eloklah dia taknak bang … kang kalau dia balik entah apa pula yang terjadi. Kita dahlah jauh bang…" 

Dato' Omar bersetuju dengan pendapat Datin Maya. Dia juga risaukan keselamatan Lia jikalau perkara tersebut merupakan puncanya. Memang merbahaya jika Lia balik. Umpama memasuki kandang harimau! 

"Lia… Lia…" Zayd memanggil. Tangan kakunya cuba dia gerakkan ke sisi katil. Di situ ada satu punat loceng pemanggil sekiranya dia perlukan sesuatu.

"Lia… Lia…" Dia memanggil lagi. Dia cuba mengengsotkan badan sedikit demi sedikit, sehinggalah kekura melanggar laci. Zayd terasa cukup payah sekali dia tidak selaju dahulu. 

"Rhea… Rhea… Lia … Lia…" Lia terkesat-kesat airmata yang membasahi pipi dan mata. Dia yang kini sudah pun berada dalam kamar kerana dia naik dengan menggunakan lif terdengar suara Zayd biar pun dia berada di atas. Villa itu tidak ada ramai penghuni mahu pun bunyi-bunyian. Dan kesepian itulah menyebabkan dia dapat mendengarnya.

"Abang Zayd panggil..." Bingkas dia bangun dan berlari keluar bilik tanpa menutupnya semula langsung ke arah lif.

"Rhea… Rhea …" 

"Ab…" Lia tersentak setelah tiba. Lidah menjadi kelu apabila telinganya dengan begitu jelas sekali mendengar Zayd memanggil Rhea. Bukan Lia.  Dia adalah Lia bukan Rhea. Lia menjengah leher ke dalam dan dia nampak betapa payahnya lelaki itu mahu bergerak menekan loceng. 

Entah mengapa, hati menjadi keras dan tidak mahu membantu seperti selalu.

"Sakit…" Keluhnya seraya menekan dada. 

"Untuk apa? Untuk membantu?" Lia mempersoal semula tujuan pernikahan ini di adakan. Sedangkan dalam hati Zayd Erfan masih ada Rhea Armaya! 

Hati yang mahu mereda dari kenangan silam terhiris semula dek panggilan nama itu. 

"Lia, bantu dia …" 

"Untuk apa? Dia panggil Rhea bukannya aku!" 

"Lia…" Kini dia sedang berperang dengan jiwanya sendiri.  Antara rasa kasihan, cinta dan sakit hati

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience