“BANGUN! Keluar dari rumah ni sekarang!”
Terpisat-pisat Dian bangun. Dia gosok matanya perlahan. Mata diarahkan ke dinding. Baru jam lapan pagi. Tak pernah-pernah lelaki itu muncul waktu-waktu begini.
“Tuan buat apa ni?” tanya Dian. Suaminya berdiri di sisi almari dengan memegang beg pakaiannya. Perlahan dia turun dari katil. Hatinya merasakan sesuatu yang tak enak. Beg pakaiannya kelihatan padat dengan isi.
“Aku dah ceraikan kau. Kau kena keluar dari rumah ni.” Qayyum mencampakkan beg pakaian ke kaki Dian. Pandangan dihalakan ke dinding.
“Tuan, saya baru balik dari hospital. Tak boleh ke tuan izinkan saya berehat sekejap? Tunggu saya kuat sikit.” Berdiri dengan sempurna pun dia tak mampu apatah lagi hendak berjalan.
Pukul dua pagi baru dia sampai di rumah. Balik bukan terus tidur. Dia menangis dan menangis selama berjam-jam. Rasanya selepas subuh tadi baru dia mampu lelapkan mata. Mata dihalakan ke pintu. Mak Wan baru muncul. Rasanya wanita itu baru perasan kedatangan Qayyum.
“Itu bukan urusan aku. Aku dah ceraikan kau semalam lagi. Kau bukan isteri aku. Aku nak kau berhambus dari rumah aku!”
“Tuan bagi saya masa....”
Tanpa belas kasihan Qayyum tarik tangan Dian dan heret perempuan itu ke pintu masuk. Tidak dipedulikan jeritan perempuan itu meminta belas kasihan dia. Tangisan Dian langsung tidak membuat dia simpati. Ditolaknya tubuh itu ke lantai. Pandangan dia halakan ke arah lain. “Nak jugak aku campak kau.”
“Tuan, izinkan Dian berpantang dulu kat sini. Kalau perlu dia duduk sebilik dengan Mak Wan. Mak Wan tak kisah.” Mak Wan berasa simpati dengan nasib Dian. Jelas kelihatan pucat wajah Dian saat ini. Baru semalam melahirkan, kuat mana kudrat perempuan malang itu.
“Mak Wan jangan masuk campur! Tengku Suriana nak balik sini petang ni. Saya tak nak dia nampak Dian kat sini.” Qayyum berkata tegas.
“Kalau ya pun tolonglah carikan dia tempat untuk tinggal. Dia kena berpantang elok-elok. Kesian dia.” Sekali lagi Mak Wan merayu. Kasihan dengan Dian yang masih lagi menanggung kesakitan.
“Saya dah ceraikan dia. Dia bukan tanggungjawab saya lagi. Lebih baik dia keluar sekarang secara baik-baik atau terpaksa saya campak dia ke jalan raya!”
Dian pandang Qayyum. Ke manakah hilang sifat perikemanusiaan lelaki itu? Mana Qayyum kawan baiknya yang pernah berjanji tidak akan sombong kepadanya? Qayyum di hadapannya ini bukan lagi Qayyum yang dia kenal dahulu. Bukan sahaja rayuan Mak Wan, rayuan dia pun tak diendahkan.
“Tuan Qayyum, dia mak kepada anak tuan. Takkan tuan tak simpati sikit pun.” Mak Wan terlalu kecewa dengan sikap majikannya. Langsung tidak bertimbang rasa.
“Kalau Mak Wan desak lagi...”
“Tak apa, tuan. Saya keluar sekarang. Tapi izinkan saya mandi dulu. Pakai baju sempurna. Takkan nak keluar macam ni.” Dian lihat dirinya sendiri. Hanya berbaju-t dan berkain batik. Tak bertudung. “Tuan tentu tak nak jiran-jiran nampak saya macam ni. Nanti apa pulak mereka sangka.”
Qayyum menoleh ke arah Dian sekilas. Memang betul penampilan perempuan itu bakal mengundang pandangan buruk jiran-jirannya. “Aku izinkan.”
Dian mengukirkan senyum. “Terima kasih, tuan. Mak Wan...”
Mak Wan menghampiri Dian dan membantu perempuan itu bangun. Dengan penuh hati-hati dia papah Dian kembali masuk ke bilik. Tangisan masih lagi berjuraian di pipi tua itu. Simpati dengan nasib Dian.
“Tuan kejam,” ucap Mak Wan sebaik menutup pintu. Dia membantu mengambil tuala dan pakaian Dian dari beg lalu diletakkan di dalam bilik mandi.
“Dia tak kejam. Dia sayangkan sangat isteri dia sampai hilang pertimbangan,” balas Dian. Tiada apa yang mengejutkan dengan tindakan Qayyum. Mereka sudah menjangka semua itu sejak awal lagi.
“Aneh... Tengku Suriana mana suka datang rumah ni. Tiba-tiba pulak nak balik sini.”
Dian senyum tipis. Bukan sukar untuk menebak isi hati isteri Qayyum itu. Sudah dapat apa yang dimahukan sudah tentulah dia tak berguna lagi. Mana ada perempuan yang sanggup berkongsi suami? Apatah lagi dari sejak awal perkahwinan dia dengan suaminya bukan berlandaskan cinta.
“Nak Mak Wan tolong mandikan?” Mak Wan memapah Dian masuk ke bilik mandi.
“Tak apa, Mak Wan. Saya boleh mandi sendiri.”
“Hati-hati. Kalau ada apa-apa jerit aje. Mak Wan kat luar.”
“Baik, Mak Wan. Jangan risau.” Dian menutup pintu.
KRUK!
Mak Wan pandang Dian yang sedang memakai tudung. Sudah pukul sembilan pagi. Kali terakhir Dian menggalas perut selepas melahirkan semalam. Itu pun hanya dengan roti dan air mineral.
“Apa kata kita mintak tuan...”
“Tak payah, Mak Wan. Dia izinkan saya mandi pun dah cukup. Jomlah kita keluar.” Sempat lagi Mak Wan tolong kemas beg pakaiannya. Qayyum main sumbat sahaja bajunya tadi.
Dian mengitari biliknya buat kali terakhir. Setahun yang lalu dia mula menghuni bilik ini selepas menikah dengan Qayyum. Lelaki itu muncul secara tiba-tiba di tempat kerjanya mengatakan arwah emak Dian ada hutang dengan arwah ayahnya dan dia sebagai anak harus bayar.
Dia yang naif dan lurus terus menjadi risau. Arwah emaknya langsung tak beritahu apa-apa tentang hutang. Apabila Qayyum tawarkan jalan penyelesaian dia terus setuju. Akhirnya persetujuan itu membuat dirinya terseksa. Tidak mahu berlengah lagi, Dian terus keluar. Qayyum sedia menanti di ruang tamu.
“Dah sedia...”
“Tolong jaga anak saya baik-baik.” Dian segera memotong kata-kata Qayyum.
“Anak aku... Mestilah aku jaga baik-baik. Mama dia pun ada untuk jaga dia baik-baik. Kau... ”
Tidak membalas kata-kata Qayyum, Dian terus sahaja ayun langkah menuju ke pintu. Sedikit pun dia tidak menoleh ke belakang.
“Dian nak pergi mana lepas ni? Ada duit tak?”
Dian menggeleng. Setahun ini dia hidup atas ihsan Qayyum. Segala keperluan dia, lelaki itu belikan. Mana pernah dia diberi wang sebagai nafkah. Dian menoleh ke arah Mak Wan. Dia ada duit simpanan sedikit tapi tak tahulah berapa lama akan bertahan.
“Jangan risau. Allah ada untuk lindungi saya.” Usai berkata-kata, Dian sambung langkahnya.
“Dian...” Mak Wan menahan Dian di pintu. Gelang di tangannya ditanggalkan lalu diletakkan di atas tapak tangan perempuan itu. “Mak Wan tak ada apa nak tolong. Gadai gelang Mak Wan ni. Buat belanja Dian nanti.”
“Mak Wan... ni satu-satunya gelang Mak Wan. Susah payah Mak Wan kumpul duit.” Terkejut Dian dengan tindakan Mak Wan. Dia tahu betapa susah payahnya wanita tua itu mengumpul duit untuk membeli gelang itu. Gelang tadi diserahkan kembali kepada Mak Wan.,
“Tak apa, Dian. Mak Wan nak bantu Dian. Gadaikan gelang ni. Guna untuk mulakan hidup kat luar sana nanti.” Mak Wan letakkan kembali gelang tangannya ke atas tapak tangan Dian.
“Terima kasih, Mak Wan. Hanya Allah yang dapat balas budi baik Mak Wan.” Dian memeluk tubuh tua itu. Wanita yang sudah dia anggap sebagai emak sendiri.
“Mak Wan doakan Dian jumpa kebahagiaan.”
Perlahan Dian berjalan melepasi pintu pagar. Langkahnya terhenti. Dia menoleh seketika ke arah banglo itu sebelum sambung berjalan. Entah ke mana dia harus tuju. Takkan hendak kembali ke tempat kerjanya yang terletak di Johor? Selepas berhenti kerja dia langsung putuskan hubungan dengan semua kawan-kawannya.
“Mana aku nak pergi ni?” Dian mula berjalan melalui lorong-lorong perumahan untuk ke jalan besar. Bukan dia tiada kawan-kawan di sini. Kawan-kawan sekolahnya ramai tapi tak ada yang rapat. Kawan rapatnya sudah berkahwin dan menetap di utara.
Langkahnya mula menjadi berat. Kalau tak silap dia sudah keluar dari kawasan taman perumahannya. Kepala mula pusing dan mual. Perutnya pula makin rancak menyanyi. Lapar yang teramat sangat sehingga dia rasakan tiada tenaga untuk teruskan langkah. Tidak jauh di hadapan sana ada perhentian bas. Mungkin dia akan mengambil bas untuk ke kawasan kedai.
“Kau kena kuat, Dian.” Tangan meraba koceknya. Gelang pemberian Mak Wan. Agak besar juga gelang itu. Mesti mahal. Dia perlu ke kedai pajak untuk menggadaikan gelang itu. Kalau ada sedikit wang bolehlah dia menginap di hotel bajet untuk sehari dua ini sementara menunggu kekuatannya pulih kembali.
Langkah Dian terhenti. Terasa tenaganya sudah habis. Jangan kata hendak berjalan, hendak buka mata pun tak mampu. Dahinya mula basah dengan peluh. Namun dia gagahkan juga untuk terus melangkah.
Akhirnya dia tak mampu berjalan lagi. Pandangannya makin kabur. Tubuhnya melorot jatuh. Mujur ada tangan menahan tubuhnya.
“Dia pengsan ke?”
Soalan itu tidak berjawab.
Share this novel
tiada sambung bab 5 dan seterusnya ker