BAB 2

Romance Series 8402

“MAK WAN dah call Qayyum?” Dalam kepayahan menahan sakit dia bertanyakan tentang suaminya. Berharap masih ada secebis belas ihsan dalam diri suaminya. Namun dia sedar yang mustahil lelaki itu akan muncul.
Sejak bermula sakitnya pagi tadi dia sudah meminta Mak Wan menghubungi Qayuum. Sekarang sudah hampir masuk waktu zuhur. Lelaki itu tak juga muncul. Sengaja dia bertahan enggan ke hospital kerana berharap suaminya akan muncul.
“Tuan kata...” Mak Wan tak mampu habiskan ayatnya. Tidak sampai hati sebenarnya.
“Suruh Pak Akob siapkan kereta. Lepas solat nanti kita pergi hospital. Beg baby semua dah siap, kan?”
“Dah.” Mak Wan pandang wajah pucat Dian dengan penuh rasa simpati. Kalau pasangan lain, suami yang akan teruja apabila mendengar isteri hendak bersalin. Malah kelam kabut untuk balik menemani isteri ke hospital. Qayyum, buat tak endah sahaja.
“Tuan kata, nanti baby dah lahir baru dia datang,” sambung Mak Wan lagi.
Dian hanya tunduk. Tak guna dia kecewa dengan perangai Qayyum. Awal-awal lagi suaminya memang sudah beritahu tak akan temankan dia bersalin. Dia yang bodoh dan masih berharap. Seketika dia terlupa yang perkahwinannya dengan Qayyum hanyalah kerana lelaki itu mahukan zuriat untuk madunya, Tengku Suriana.
“Mak Wan, tolong papah saya pergi bilik air. Nak ambik wuduk.” Rasa sakit yang tiba-tiba datang membuat dia kerutkan dahi dan tangan berpaut pada lengan sofa. Dia menunduk sambil sebelah tangan memegang perut.
“Dian tak apa-apa ke?”
“Makin kerap pulak sakitnya.” Dian paksakan diri mengukir senyum. Tidak mahu wanita itu risau.
“Kita kena cepat-cepat pergi hospital ni,” gesa Mak Wan yang kerisauan. Cepat-cepat dia mendekati Dian dan memapah perempuan itu.
“Saya solat dulu. Dah masuk waktu.”
Mak Wan akur dengan permintaan Dian. Dipeluk belakang pinggang perempuan itu lalu dibawa ke bilik mandi. Dia juga perlu menunaikan solat dahulu sebelum ke hospital.

“MAK WAN, Qayyum ada call tak?”
“Tak ada.” Mak Wan tahan air matanya dari tumpah. Tidak sampai hati melihat wajah itu kecewa lagi. Entah sudah berapa kali soalan itu muncul. Dengan penuh kasih dia mengelap peluh yang terbit di dahi Dian. Tahu akan sakit yang ditanggung.
“Mak Wan tolong call dia. Saya nak cakap dengan dia.” Jika Qayyum tidak mahu menghubunginya biarlah dia yang menghubungi lelaki itu. Dia perlu bercakap dengan suaminya sebelum masuk ke dalam bilik bersalin.
Sudah melepasi waktu isyak, bukaan rahimnya baru 2cm. Sama seperti saat dia baru masuk hospital tadi. Sakit yang dia tanggung hanya Tuhan yang tahu. Rasa seperti hendak putus nyawanya apabila sakit itu datang.
“Baik. Mak Wan call dia.” Mak Wan buru-buru keluarkan telefon dan menghubungi Qayyum. Setelah berdering agak lama barulah panggilan diangkat. Namun yang kedengaran bukanlah suara Qayyum sebaliknya Tengku Suriana.
“Perempuan tu tak reti bahasa ke? Qayyum akan datang lepas bayi kami lahir!”
Mak Wan jauhkan telefon dari telinganya. Belum sempat dia memberi salam sudah disembur oleh isteri tua majikannya. Memang sejak dulu dia tidak sukakan Tengku Suriana. Sekarang tambah menyampah.
“Dian susah nak bersalin ni. Dia perlukan suami dia.”
“Kan saya dah beritahu, Qayyum akan datang lepas anak kami lahir. Kenapa tak reti bahasa ni!”
Mak Wan menggeleng. Perempuan itu memang gila. “Tengku, kalau macam tu bagi Dian bercakap dengan Tuan Qayyum sekejap.”
“Cakap kat anak orang gaji tu jangan harap aku bagi bercakap dengan suami aku.”
“Cik Puan... tolong Cik Puan. Dian perlu bercakap dengan Tuan Qayyum. Baby nak dengar suara ayah dia.”
“Mak Wan mengarut apa ni?”
“Cik Puan, dari siang tadi Dian sakit. Baby pun dah makin kurang bergerak. Kalau macam ni baby boleh mati dalam perut. Cik Puan nak ke baby tu mati?” Terpaksa Mak Wan mereka-reka alasan agar Qayyum boleh bercakap dengan Dian. Kalau ikutkan Tengku Suriana, memang jangan haraplah akan izinkan.
“Cik Puan, Cik Puan pun tahu kan? Perempuan nak bersalin ni antara hidup dan mati. Kata orang doa suami, kata-kata semangat suami jadi penguat seorang isteri untuk berjuang melahirkan. Kalau Cik Puan tak suka Tuan Qayyum datang sini, bagi dia bercakap dengan Dian.”
Klik. Panggilan ditamatkan.
Mak Wan sekali lagi menggeleng dan memandang wajah Dian dengan rasa kecewa. Kesal sungguh dengan perbuatan Tengku Suriana. Kejam. Sebagai manusia atau pun madu. Perempuan itu sangat kejam.
“Sebab inilah agaknya dia tak boleh mengandung. Kejam.” Mak Wan simpan telefonnya.
“Tak baik cakap macam tu, Mak Wan. Itu semua suratan dari Allah.” Dian menyanggah kata-kata Mak Wan. Tengku Suriana sangat mencintai Qayyum. Pastilah madunya itu cemburu. Apatah lagi dia bakal melahirkan zuriat suami mereka. Sesuatu yang Tengku Suriana tak mampu berikan kepada Qayyum.
“Dia yang suruh Tuan Qayyum kahwin. Kenapa...”
“Dia suruh Qayyum kahwin dengan saya untuk dapatkan anak.” Pantas Dian memotong kata-kata Mak Wan. Hatinya menjadi sayu. Sambil mengusap perutnya dia cuba tahan air mata yang hendak mengalir. Dia hanya melahirkan anak ini tapi bukan untuk membesarkan. Tengku Suriana akan menjadi emak kepada bayi yang bakal dia lahirkan.
“Mak Wan, saya penatlah.” Dian cuba lelapkan mata. Namun dahinya berkerut saat sakit itu datang. Tidak jadi hendak lelapkan mata. “Makin kerap sakit. Tapi bukaan masih macam tadi.”
“Itulah Mak Wan cakap. Baby nak papa dia ada kat sini.” Mak Wan mengelap peluh di dahi Dian. Tidak tahu dengan cara apa lagi dia hendak bantu anak kepada sahabatnya itu selain dari berdoa. Berdoa agar Dian dimudahkan bersalin dan berdoa Qayyum akan muncul.
Tiba-tiba telefon Mak Wan berbunyi. Terus wanita itu keluarkan dari poket. Melihat nama yang tertera terus dia tunjukkan kepada Dian.
“Siapa?” Dian membaca nama yang tertera. Tertera nama Tuan Besar. Qayyum yang menelefon. Tapi dia ragu-ragu hendak angkat. Risau kalau Tengku Suriana di talian. Dia memberi isyarat agar Mak Wan jawab.
“Assalamualaikum. Helo.” Mak Wan cepat-cepat lekapkan telefon ke telinga Dian. Namun perempuan itu menggeleng. Meminta buka pembesar suara. Mak Wan akur dengan arahan Dian.
“Assalamualaikum tuan.”
“Kau nak apa? Nak aku call? Mengada-ada betul.”
“Tuan, saya call sebab nak cakap sikit dengan tuan. Saya nak bersalin ni. Sebelum tu saya nak mintak tuan maafkan semua kesalahan saya. Dari hujung rambut sampai hujung kaki. Saya mintak tuan halalkan makan minum saya sepanjang saya jadi isteri tuan. Kalau jadi apa-apa dekat saya, tolong jaga anak saya elok-elok.”
“Anak aku, mestilah aku jaga elok-elok. Kau ingat aku ni apa?”
Luluh hati Dian. Bukan itu jawapan yang dia harapkan terbit dari bibir Qayyum. Tapi cukuplah sekadar itu. Dia sudah cukup berpuas hati Qayyum sudi menghubunginya.
“Aku maafkan semua kesalahan kau. Aku halalkan semua makan minum kau. Sekarang kau pastikan anak aku lahir sempurna. Kalau jadi apa-apa kat anak aku, siap kau!”
Mak Wan segera menamatkan panggilan telefon. Tak sanggup mendengar kata-kata Qayyum. Isteri hendak bersalin bukan diberi kata-kata semangat. Tetapi ugutan pula.
“Terima kasih, Mak Wan.”
“Laki bini sama aje teruk. Kenapa kamu setuju nak kahwin dengan Qayyum?” Mak Wan betul-betul tak boleh terima perbuatan Qayyum. Mengambil kesempatan atas kesusahan Dian.
“Cara paling cepat nak bayar hutang arwah mak saya.”
“Megat Zabidi cakap bukan hutang. Kenapa Qayyum cakap hutang? Tak faham sungguh.”
“Duit arwah ayah dia. Biarlah dia.” Dian tahu Qayyum sengaja mereka alasan agar dia setuju untuk berkahwin.
Duit yang emaknya pinjam sebenarnya duit untuk rawatan emaknya yang sakit kanser. Arwah Megat Zabidi meninggal dunia tanpa sempat mereka membayar hutang itu. Tidak lama selepas itu emaknya juga meninggal dunia akibat kanser. Kata Mak Wan, arwah Megat Zabidi pernah beritahu duit itu tak perlu dibayar. Masalahnya tiada bukti hitam putih di antara arwah emaknya dan juga arwah Megat Zabidi. Jadi, mudahlah untuk Qayyum ambil kesempatan.
“Mak Wan...” Dian mencengkam lengan Mak Wan sekuat hati.
“Sakit sangat ke?”
Dian mengangguk dalam menahan sakit.
“Mak Wan panggil doctor kejap.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience