BAB 3

Romance Series 8402

“ANAK apa, Mak Wan?”
“Anak perempuan, tuan.”
Qayyum terus membuka pintu bilik rawatan. Kelihatan isteri keduanya itu sedang duduk bersandar pada kepala katil dengan muka pucat dan mata terpejam. Seterusnya mata dialihkan ke arah katil bayi. Wajah si kecil itu dipandang lama. Comel. Saling tak tumpah dengan wajah ibunya.
“Tuan...” Dian buka mata perlahan sebaik terasa bahunya dicuit. Mak Wan berdiri di sebelah Dian.
“Mak Wan kemas kain baju dia. Bawak dia balik sekarang. Pak Akob tunggu kat lobi.” Qayyum mendekati katil bayi lalu mula menolak ke arah pintu.
“Tuan nak buat apa dengan anak saya?” Dian gagahkan diri untuk turun dari katil. Dia abaikan rasa sakit dan penatnya.
Qayyum pandang Dian tajam. “Anak ni bukan anak kau. Anak ni anak Suri.”
“Tuan, saya yang melahirkan. Saya mak dia.” Dian cuba menolak tangan Qayyum dari katil bayi. Tapi dengan kudratnya yang tak seberapa, usahanya hanya sia-sia. Sebaliknya Qayyum menolak dia ke katil.
Pintu terbuka. Seorang jururawat masuk. Katil bayi tadi ditolak keluar dari bilik. Dian ingin mengejar jururawat tadi tapi dihalang oleh Qayyum.
“Kau dah lupa ke perjanjian kita? Anak tu sebagai tukaran untuk hutang mak kau. Hutang biaya perubatan dia. Kau tak ada hak ke atas anak tu.”
Dian tunduk. Dia terlupa perkara itu buat sementara. Melihat wajah comel puterinya dia jadi tamak. Mahu merawat si kecil itu sehingga dewasa sedangkan perjanjian dia dengan Qayyum tidak memungkinkan kemahuan dia terlaksana.
“Maaf, tuan. Saya terlupa,” ucap Dian lemah. Air matanya menitis perlahan.
“Baguslah kalau kau dah ingat. Sekarang pergi balik rumah dengan Mak Wan. Sementara hari tengah gelap. Tak ada sapa-sapa perasan.” Usai berkata-kata Qayyum keluar dari bilik itu.
Sebaik pintu tertutup, Mak Wan segera mendapatkan Dian. Dipeluknya tubuh itu dengan erat. Faham akan perasaan Dian saat ini. “Sabar ya, Dian. Sabar.”
“Dian tak sempat lagi nak dukung dia, Mak Wan.” Dian berkata dengan diiringi tangisan. Hanya sebaik sahaja melahirkan tadi dia sempat menyentuh puterinya. Saat jururawat menolong dia menyusukan bayinya. Sekali itulah sahaja. Selepas ini dia tak pasti apakah dia akan dapat bertemu puterinya itu lagi atau tidak.
“Insya-Allah. Satu hari nanti Dian akan dapat peluk dia.” Mak Wan menggosok belakang Dian. Kasihan Dian. Menjadi mangsa orang-orang berharta. Kerana kemiskinan, gadis itu terpaksa menggadaikan diri untuk membayar hutang.
“Mak Wan ada dengar Tuan Qayyum bercakap dengan doktor. Katanya nama mak budak tu Tengku Suriana.”
Dian pejamkan matanya. Dia biar air matanya mengalir lebih laju. Sekejam itu Qayyum terhadap dia. Sanggup menafikan dia sebagai ibu kepada zuriat mereka. Sanggup mengetepikan hukum agama. Orang berharta, semua boleh jadi.
“Insya-Allah satu hari nanti Allah akan tunjuk siapa sebenarnya mak budak tu. Yakin dengan Allah.”
Dian mengangguk. Kuasa Allah tiada batasnya. Yakin satu hari nanti anak itu akan kembali ke pangkuannya.
“Pak Akob call.”
“Mak Wan kemaslah barang saya. Kita turun sekarang.” Dian tidak mahu Mak Wan pula kena marah dengan Qayyum. Biarlah dia mengalah dengan takdir buat masa ini.
Perlahan Dian turun dari katil. Tangan meraba perutnya yang sudah kempis. Apalah malang nasibnya. Sakit melahirkan masih terasa lagi. Baru hendak rasa lega melihat wajah bayinya. Sekarang....
Dian merenung sisi katil. Tempat katil bayinya tadi. Kosong. Sekosong jiwanya saat ini. Sembilan bulan anak itu menghuni rahimnya. Hanya seketika dia dapat bersama zuriatnya. Pipi yang basah dengan air mata diseka perlahan.
“Dian...” Mak Wan menyentuh bahu Dian. Lama isteri majikannya itu termenung.
“Bagus juga Qayyum bela dia, Mak Wan. Qayyum ada duit. Kalau hidup dengan saya...” Dian tidak habiskan ayatnya. Dia peluk Mak Wan dan hamburkan tangisan pada bahu wanita tua itu. Mungkin itu yang sebaiknya. Hidupnya sendiri terumbang-ambing, bagaimana hendak membesarkan anaknya?

“SERONOK?” QAYYUM memerhatikan wajah isterinya yang kelihatan sangat ceria. Tidak tahu apa perasaan yang patut dia rasakan sekarang. Akhirnya Tengku Suriana mampu tersenyum gembira. Entah berapa kali dicium pipi mungil si kecil itu. Sampai terganggu tidur si kecil itu.
“I nak namakan dia Sofea. Puteri Sofea Aqilah Humairah binti Megat Qayyum.” Tidak dapat dia gambarkan perasaannya saat ini. Akhirnya dia dapat mendukung bayinya sendiri. Selepas tiga tahun berkahwin, mereka dikurniakan zuriat.
“You kena jaga anak ni baik-baik. Jangan fikir nak bunuh diri lagi. I tak mahu you fikir yang bukan-bukan lagi. I nak anak kita dibesarkan dalam suasana positif. You faham kan maksud I?”
Tengku Suriana mengangguk sambil tersenyum. Tiada apa yang dia fikirkan sekarang ini melainkan si kecil itu. Hidupnya sudah lengkap sekarang. Punya suami yang kacak dan juga anak yang comel. Tidaklah dia dipanggil perempuan mandul lagi selepas ini.
“Bila kita boleh bawak dia balik?”
“Uncle you cakap besok boleh bawak balik dah. Bayi sihat.” Qayyum bangun dari duduknya lalu bergerak ke tingkap. Melihat pemandangan malam di luar sana. Melihat kegembiraan isterinya, dia mahu merasa kegembiraan itu juga. Tapi dia tak mampu.
Ini semua cadangan ayah angkat isterinya. Memberikan anak kepada Tengku Suriana. Emosi isterinya menjadi tidak stabil selepas kehilangan bayi mereka. Dia mahu mengambil anak angkat tapi isterinya tidak setuju. Mahu zuriat dari benihnya juga.
“Sayang, you tak gembira ke?”
Qayyum menoleh lalu mengukirkan senyuman. “Gembira. Gembira sangat sebab kita dah ada anak.”
Qayyum kembali mendekati katil lalu melabuhkan duduk di kerusi. Matanya dihalakan ke wajah puterinya. Anak hasil dari benihnya sendiri bersama Dian Kirana. Sejauh mana mereka menafikan, jelas pada matanya anak itu bukan zuriat Tengku Suriana.
“Apa nama dia tadi?”
“Puteri Sofea Aqilah Humairah.”
“Panjang nama. Tak boleh pendek-pendek ke? Nak panggil apa nanti?” Qayyum mengelus pipi puterinya. Puterinya membuka mata sedikit. Namun hanya seketika sebelum menutup mata kembali.
“Panggil dia Sofea.”
“Sofea anak daddy.” Sekali lagi Qayyum mengelus pipi puterinya. Baru dia teringat. Nama itu sepatutnya menjadi nama bayi mereka yang tak sempat dilahirnya. Tengku Suriana memilih nama Puteri Sofea Ariana untuk arwah bayi mereka.
“Dia tak nak bangun minum susu ke?”
“Biarlah dia tidur dulu. Nanti dah bangun you cuba susukan dia. Kalau tak boleh, baru kita bancuh susu. Atau you nak kita mintak mak dia susukan?” Qayyum memberikan cadangan. Isterinya sudah membuat persiapan untuk menyusukan sendiri Sofea.
“No! I tak nak anak ni ada kena mengena dengan dia. Sofea anak I! Bukan anak dia.”
“Okey. Janganlah menjerit. Nanti Sofea terjaga.” Qayyum mengalah. Tidak mahu Tengku Suriana mengamuk. Emosi isterinya baru hendak stabil.
“I bagi warning kat you. Jangan sebut nama perempuan tu depan I. Kalau you sebut...”
“Sayang, you patut rehat sementara Sofea tidur. Meh baby tu.” Nampak sangat isterinya terlalu sayangkan anak mereka. Sejak tadi Tengku Suriana tak melepaskan anak mereka.
“Okey.” Anak mereka bertukar tangan. Tengku Suriana baringkan tubuhnya menghadap katil bayi.
“Rehat tau. I nak keluar sekejap.” Qayyum mengusap ubun-ubun isterinya. Selepas beberapa ketika berjalan ke pintu.
“Qayyum,” panggil Tengku Suriana.

PINTU TERKUAK. Qayyum terus masuk.
“Kenapa tak balik lagi ni?” tanya Qayyum sambil mencekak pinggang. Pandangan mata galaknya dihalakan ke arah Dian.
“Puan Dian tengah sakit. Tak larat nak jalan.” Mak Wan menjawab.
“Pakai wheelchair. Kalau terpaksa merangkak sekalipun, kau merangkak aje asalkan kau keluar dari sini.” Berpeluk tubuh sambil melihat tempat lain.
“Tuan, izinkan saya tengok anak saya. Izinkan saya susukan dia sekejap.” Dia merayu. Terasa sakit bahagian bawahnya. Sebab itu dia belum balik seperti suaminya arahkan. Lagipun dia teringin hendak susukan anaknya. Sekali pun jadilah.
“Mulai saat ini kau anggap anak kau dah mati. Dian Kirana binti Abdullah, aku ceraikan kau dengan talak satu.” Usai berkata-kata Megat Qayyum keluar dari bilik itu.
Tidak terkejut dengan talak yang suaminya lafazkan. Hanya tidak menyangka secepat itu talak dijatuhkan. Dia baru sahaja melahirkan zuriat mereka siang tadi. Sakit melahirkan belum hilang lagi. Air mata Dian merembes laju.
“Sabar Dian, sabar.” Mak Wan memeluk tubuh Dian dengan air mata laju mengalir. Tidak menyangka majikannya sekejam itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience