“Bila dijangka due?” Keras sahaja suara Qayyum bersuara. Sambil itu matanya jatuh ke arah perut Dian yang membukit. Diam tak diam perjanjian mereka sudah sampai ke penghujungnya.
“Insya-Allah bulan depan.” Jawab Dian takut-takut. Terkejut dengan kedatangan lelaki itu sebenarnya. Tidak pernah-pernah lelaki itu muncul semenjak dia disahkan hamil. Hanya dia dan orang gaji di banglo itu. Banglo peninggalan arwah orang tua Qayyum.
“Perjanjian kita...”
“Saya tahu Tuan. Saya faham.” Laju Dian memotong. Terpaksa akur dengan perjanjian yang mereka buat lebih kurang setahun dahulu.
Qayyum mendekati Dian. Mendaratkan tapak tangannya di atas perut wanita itu. Terasa tendangan halus. Tanpa sedar matanya berkaca. Dia akan bergelar bapa tak lama lagi. “Jaga anak aku baik-baik. Makan makanan berkhasiat. Jangan buat kerja berat-berat. Nak apa-apa, mintak orang haji buatkan.”
“Baik tuan.” Mata Dian jatuh ke arah tangan Qayyum. Dia fikirkan lelaki itu tidak akan sudi untuk menjenguk dia dan juga anak mereka. Terharu dengan kemunculan Qayyum dan perhatian lelaki itu sebentar tadi.
“Kalau apa-apa jadi kat anak aku, awas kau!” Tangan yang tadi mengelus perut Dian diangkat dengan telunjuk menghala tepat wajah itu.
Tersentak Dian dengan tindakan Qayyum. Sia-sia dia bersangka baik. Lelaki itu sama sahaja. Tak berhati perut. “Saya akan jaga anak ini baik-baik. Tuan jangan risau.”
“Aku balik dulu...” Qayyum pusingkan badan. Halakan langkah mendekati pintu.
“Tuan...Saya nak tanya sesuatu.”
Langkah Qayyum terhenti. Tak jadi tangannya hendak memulas tombol pintu. Di balikkan tubuhnya menghadap Dian. “Tanya apa.”
“Kalau saya bersalin nanti, tuan akan temankan saya kat bilik bersalin ke?” Beranikan diri bertanya walaupun dia sudah boleh menjangka jawapan lelaki itu.
“Aku kahwin dengan kau sebab nak anak. Bukan nak jadi suami kau sampai jannah. Mengandung pun aku tak temankan. Apa lagi kau nak bersalin.”
Dian kemam bibir. Kenapa dia begitu bodoh? Bertanyakan soalan yang memang dia tahu jawapannya. Jawapan yang membuatkan hatinya terluka parah. Ya. Perkahwinan mereka bukan atas dasar cinta. Matanya mula berkaca.
Pintu terbuka. Muncul Mak Wan dengan muka cemas. Terus menerpa Dian yang kelihatan sedang menangis. “Dian tak apa-apa?”
Dia gelengkan kepala.
“Dian duduk dulu.” Mak Wan memimpin Dian agar duduk di birai katil.
“Mak Wan. Duduklah.” Dia menarik tubuh orang tua itu agar duduk di sebelahnya. Tiada tempat untuk dia mengadu selain kepada Mak Wan. Orang tuanya meninggal dunia tiga tahun yang lalu dalam kemalangan.
“Kenapa dia tiba-tiba muncul?” tanya Mak Wan. Sebaik balik dari pasar, dia terlihat kereta majikannya. Tak pernah-pernah muncul. Tiba-tiba sahaja muncul, perlakuan Qayyum buatnya gusar.
“Dia cuma tanya bila saya due.”
“Ooh.”
“Mak Wan rasa dia akan ceraikan saya ke lepas anak ni lahir?” tanya Dian sambil mengusap perutnya. Perkahwinan mereka hanyalah kerana Qayyum mahukan zuriat secara halal. Pastinya dia akan diceraikan sebaik melahirkan.
Mak Wan tidak menjawab soalan itu. Sebaliknya turut mengalirkan air mata. Menangisi nasib malang gadis itu. Tangan mengusap perut Dian yang membukit. Sejak perempuan itu hamil dia menjaga Dian sepenuhnya sesuai dengan arahan majikannya.
“Mak Wan harap semua tu tak berlaku.”
Senyum pahit diukir dengan pipi basah lencun dengan air mata. Tak mungkin Qayyum akan menyimpannya sebagai isteri selepas ini kerana cinta lelaki itu hanyalah buat Tengku Suriana. Lelaki itu mengahwininya juga atas sebab Tengku Suriana, isteri pertama Megat Qayyyum bin Megat Zabidi.
Lebih kurang dua tahun dahulu, Tengku Suriana kemalangan dan saat itu sedang mengandung tujuh bulan. Akibat kemalangan itu Qayyum kehilangan zuriat. Lebih teruk lagi, Tengku Suriana di sahkan tidak boleh hamil sampai bila-bila.
“Kita doa sama-sama. Mintak kat Allah supaya lembutkan hati Qayyum. Dian pun tahu dia bukan macam tu. Dia baik orangnya.” Mak Wan mengusap bahu Dian lembut. Dia menjaga Qayyum sejak kecil. Lelaki itu dibutakan oleh cinta. Sanggup menganiaya orang lain demi cinta.
Dian bangun dan mendekati tingkap. Dari situ dia terlihat kereta milik suaminya. Satu ketika dulu, dia dengan Qayyum adalah sahabat baik. Lelaki itu tak pernah malu untuk bersahabat dengannya walaupun dia hanyalah anak orang gaji. Kerana cinta sanggup Qayyum mempergunakannya.
“Dia bukan Qayyum kita kenal yang dulu Mak Wan.”
“Macam mana anak kita?” Tengku Suriana bertanya dengan muka teruja.
“Patutnya you ikut masuk tadi tengok keadaan Dian sendiri.” Qayyum tarik tali pinggang keledarnya dan kelipkan.
“Dan tengok muka orang gaji you tu... memang tak naklah. Tak hingin.” Muka yang tadi teruja berubah menjadi masam. Sebut pasal perempuan itu cemburunya meluap-luap. Apatah lagi hendak berjumpa.
“Anak kita sihat. Lagi sebulan due.” Beritahu Qayyum. Tidak suka melihat kesayangannya berwajah masam.
“Sebaik saja anak tu lahir, you kena ceraikan dia. Halau dia dari rumah tu.”
Serta-merta Qayyum menoleh ke arah isterinya.
“Kenapa? You tak nak ceraikan dia. You dah tak sayang I lagi. I sedar I bukan perempuan sempurna. I dah tak boleh bagi you anak. Sebab tu you dah tak sayang I.” Tengku Suriana berkata dengan nada sedih sambil mengalirkan air mata.
Qayyum menghela nafas. Itu sajalah yang dijadikan modal oleh isterinya setiap kali mereka berselisih pendapat.
“You ingat Qayyum. You yang buat I kemalangan. You yang buat anak kita mati. Kalau sebab you... I tak akan kehilangan rahim dan jadi perempuan mandul!”
Streng dihentak kasar. Ya. Semua itu memang salah dia. Sepatutnya dia beritahu isterinya yang kereta mereka rosak. Brek bermasalah. Tapi dia asyik lupa dan akhirnya kemalangan itu terjadi.
“Sayang. I akan ceraikan dia lepas habis pantang. Bila dia dah kuat sikit.” Ucap Qayyum dengan lembut. Berharap agar isterinya akan faham.
“No! Sebaik anak tu lahir you kena ceraikan dia.” Tegas Tengku Suriana.
Qayyum cuba menahan emosi. Dia faham kalau isterinya cemburu. Tapi dia tak mahu berlaku kejam terhadap Dian. Sudahlah dia berlaku kejam sepanjang kehamilan isteri keduanya itu. Tak pernah sekalipun dia menjenguk Dian sepanjang kehamilan perempuan itu. Semua gara-gara perasaan cemburu Tengku Suriana.
“Sayang. Janganlah kejam sangat.”
“Jadi, you nak ceraikan I. You nak tinggalkan I. Lepas apa you dah buat, you nak tinggalkan I. Takpe, kalau itu yang you nak. I terima. Tapi I akan pastikan you akan dikecam sebab buat I bunuh diri.”
“Suria. Stop! Jangan nak mengarut.” Qayyum tinggikan suara.
Tengku Suriana mula tersedu.
“I sayangkan you. I cintakan you. Walau macam mana sekalipun keadaan you. I tak akan ceraikan you. I kahwin dengan Dian untuk dapatkan anak. Semua untuk you.”
Air mata dilap menggunakan tisu. Tengku Suriana tersenyum lebar.
“Kalau you nak jadi mak, pastikan you betul-betul layak jadi mak. Jangan sebut pasal bunuh diri. Janji dengan I.”
“I janji.”
Share this novel