“DAH TU? Kau biar je la dia orang tengok wayang? Kau sorang duduk sini tengok Hanna? Ish, otak aku tak boleh brainlah benda ni!” Kasturi meluahkan rasa kesalnya tanpa selindung.
“Lah, aku tengok anak aku main kat sini. Apa yang kau tak boleh brain? Kalau bukan aku, siapa yang nak tengok? Takkan nak tinggal dia kat sini? Ke kau yang nak tunggu tengok kan?” perli Elvina sambil matanya sesekali mencari kelibat Hanna yang sekejap-sekejap hilang dalam keramaian anak-anak lain.
“Anak tiri!” Tegas Kasturi menekan nadanya dengan mata yang membulat.
Elvina cuma mencebik dengan mata yang sengaja disepetkan. Dia bagaimanapun tidak membalas kenyataan Kasturi itu. Dia biarkan saja bagai angin yang berlalu. Walaupun Hanna hanyalah berstatus anak tiri padanya, dia sudah menganggap anak kecil itu sebagai anak kandungnya sendiri.
Elvina melepaskan keluhan kecil tanpa sedar.
“Ni asid folic, makan sebiji hari-hari. Bagus ni untuk ikhtiar dapatkan anak, supaya rahim tu sihat.”
Puan Eina menyerahkan sekotak ubat kepada Elvina semasa dia pulang ke kampung menziarahi ibunya, kejadian beberapa bulan yang lalu. Elvina hanya menyambut botol itu dengan reaksi terpinga-pinga.
“Ibu bukan apa, Ngah…. Firas tu duda anak satu, anak keduanya tak jadi. Kamu ni pula kahwin lewat, mungkinlah kesuburan tu ambil masa. Bukanlah ibu nak iyakan apa yang orang kata tapi Ibu pun ada telinga, hati dan perasaan bila dengar orang mengata anak ibu yang bukan-bukan. Ibu tau ni semua kerja Allah, rezeki ni semua dari dia. Tapi di pihak kita sekurangnya usahalah. Angah makan ubat ni ye?”
Lembut dan berhemah cara percakapan Puan Eina menerangkan situasi pada anak keduanya. Risau sekiranya menyinggung hati. Sudahlah diatur jodohnya, ini hal zuriat pula dicampuri.
“Ibu bukan tak yakin dengan Angah, tapi mulut orang ni susah nak tutup. Ibu faham kalau Angah dengan Firas masih belum rancang nak anak dalam masa terdekat sebab kamu berdua pun baru kenal tapi sekurangnya ini persediaan awal.”
Sambung Puan Eina lagi. Kali ini diiringi dengan nada suara yang sayu memujuk. Besar harapannya agar Elvina memahami keprihatinannya. Lagipula dia cuma mahukan yang terbaik buat anaknya itu.
“ Angah faham, bu. Cuma…. Memang kami belum ada rezeki lagi nak dapatkan anak, insyaallah nanti ada la. Ubat ni Angah janji akan makan hari-hari, ibu pun tak payah ambil hati sangat dengan gosip orang-orang kampung ni. Okay?” pujuk Elvina bersama senyuman paksa.
Puan Eina mengangguk perlahan bersama satu senyuman lega.
Dia juga sebenarnya punya keinginan mahukan zuriat sendiri, darah dagingnya. Mahu merasai momen menjadi ibu, ibu yang mampu melahirkan serta menyusui anaknya.
Namun, impiannya itu masih belum terkabul hingga kini. Adakala dia memujuk hatinya sendiri, mungkin belum masanya. Mungkin dia perlu lalui dulu ujian suami isteri bersama Ahmad Firas sebelum merasai keajaiban itu kelak.
“ Kau menung apa ni?” teguran Kasturi mengembalikan Elvina dari lamunan sesaatnya.
“ Tak ada apalah.” Sanggah Elvina dengan kepala yang tunduk merenung lantai.
“ Kau betul-betul baik je kan dengan Firas? Korang tak ada apa-apa konflik, kan?”
Entah kenapa Kasturi cuba serkap jarang begitu. Tetapi melihatkan riak wajah risau sahabat baiknya itu, Elvina memaksa bibirnya mengukir senyuman lalu menggeleng kepalanya perlahan menepis sangkaan Kasturi terhadap kehidupan rumah tangganya.
“Kita orang okay je. Kau tak payah nak risau yang bukan-bukan.” Elvina cuba meyakinkan Kasturi dalam bentuk kata-kata pula.
Kasturi berwajah keruh. Dia tidak percaya namun bukan hak dia untuk mencampuri urusan hal peribadi atau rumah tangga sahabatnya. Walaupun masih ragu-ragu, dia anggukkan saja tanda mengerti dan menerima. Enggan kelihatan seperti terlalu mendesak wanita itu.
Mindanya mula menerawang mengimbau peristiwa lalu. Peristiwa dimana dia menjadi saksi setiap kali sahabatnya itu dilanda kekecewaan.
Kecewa kerana setiap hubungan yang terjalin semuanya putus di tengah jalan tanpa sebab yang kukuh dan adakalanya tidak masuk akal. Dia jugalah saksi pertama yang melihat air jernih mengalir di wajah wanita polos itu.
Mengenali Elvina sejak dari awal perkenalan mereka di syarikat tempat mereka bekerja, Kasturi tidak pernah menyangka wanita itu telah melalui pelbagai rintangan dan ujian hidup. Sangkanya senyuman yang sentiasa terukir di bibir mungil wanita itu ikhlas bersama kehidupan yang ceria, rupa-rupanya ada duka hati yang disembunyikan.
Hati Kasturi kerap kali jatuh kasihan pada sahabatnya itu. Dia tahu tinggi harapan Puan Eina terhadap anak keduanya selama ini. Sejak Elvina berada di puncak menara gading lagi ibunya sudah bergantung harapan tinggi pada sahabatnya itu.
Eisyam, abang sulung Elvina hanya mahu menuntut pelajaran sehingga diploma sahaja sebelum mula bekerja di kilang kepunyaan bapa saudara mereka. Sudah lebih 15 tahun abangnya mencari rezeki di kilang itu dan tidak pernah keluar dari kepompongnya.
Elina, si bongsu pula cuma setakat SPM. Itu pun dia enggan pergi lebih jauh kerana sudah gila bayang dengan kekasih hati yang kini sudah bergelar suami padanya. Sudah lebih lapan tahun wanita itu bergelar suri rumahtangga dan punya tiga orang anak.
Selama ini Kasturi tahu bahawa Elvina lah yang banyak membantu keluarganya dari segi kewangan. Meskipun Eisyam sudah bertahun bekerja di kilang bapa saudara mereka, kehidupan abang sulung Elvina itu masih ditakuk yang sama.
Malahan setelah berumah tangga dengan dua orang anak, lelaki itu tidak pernah lagi membantu dari segi kewangan itu pun adakalanya meminta pertolongan dari Elvina ataupun mendapatkan ehsan dari ibu mereka.
Pada Puan Eina pula sebagai ibu, wanita separuh abad itu tidak pernah berkira. Puan Eina beranggapan dia adalah wali kepada keluarga anak lelakinya maka dia perlu membantu anak lelakinya untuk menafkahi keluarganya bila perlu. Sungguh bertuah isteri Eisyam dapat mertua yang memahami seperti Puan Eina. Cebik hati Kasturi sinis.
Cerita Elina pula agak lain berdasarkan cerita yang pernah diluahkan oleh Elvina padanya. Jika Puan Eina rela hati membantu Eisyam dari segi kewangan, berbeza pula layanannya pada Elina.
Ini kerana adakala Puan Eina akan membebeli si bongsu agar tidak terlalu boros dalam berbelanja keperluan keluarga. Pesan Puan Eina pada si bongsu supaya ketepikan kehendak, utamakan yang wajib. Disebabkan itulah Elina banyak bergantung pada Elvina jika dia mahukan sesuatu.
Walaupun begitu, Elvina tidak pernah juga berkira. Selagi mampu, dia penuhi sahaja kehendak Elina memandangkan adiknya itu hanyalah suri rumah tanpa pendapatan sendiri. Malahan dialah tunggak utama dalam keluarganya.
Aku betul-betul berharap dan sentiasa doakan kebahagiaan kau, Vina. Bisiknya dalam hati. Tinggi harapan Kasturi agar Elvina mampu menemui kebahagiaan sendiri kelak, bukan sekadar hidup untuk hanya berkorban demi kebahagiaan orang lain.
*
*
*
“PAPA!”
Jerit Hanna sebaik matanya menangkap kelibat Ahmad Firas yang baru keluar dari pintu keluar pawagam. Anak itu laju berlari mendapatkan papanya bersama ketawa riang. Gembira setelah puas bermain tadi.
Ahmad Firas yang menyedari terus mendepakan kedua belah tangannya menyambut Hanna meluru ke pelukannya. Kedua anak dan bapa itu sama-sama ketawa riang. Hani yang berada di sisi Ahmad Firas turut lebar senyumannya menampakkan barisan giginya yang memakai pendakap gigi.
Elvina baru sedar hal itu. Tadi dia tidak terlalu memerhatikan gadis itu kerana mereka duduk bersebelahan. Kini dari jauh dia dapat melihat dengan jelas situasi yang sedang bermain di depan matanya.
Tiada kelibat Ammara lagi kali ini. Gadis itu memang suka menghilang buat hal sendiri. Elvina sebenarnya tidak berapa berkenan dengan sikap adik iparnya yang dia rasakan sedikit manja dan kasar. Mungkin juga kerana layanan Ahmad Firas yang mempengaruhi perangai gadis itu.
Yalah, hanya mereka saja dua beradik tanpa kasih sayang ibu bapa selama bertahun-tahun. Tentulah Ammara akan bermanja menumpang kasih si abang. Ahmad Firas pula melayani adiknya bagai menatang minyak yang penuh.
“Papa, tadi Hanna ada jumpa kawan baru! Dia main dengan Hanna tadi lepas tu dia pun tolong Hanna sebab tadi ada budak tu kacau Hanna main.”
Hanna sudah mula bercerita. Mulut anak kecil itu amat polos. Sepertinya tiada rahsia antara dia dan papanya, semua perkara sekecil hal akan dia ceritakan. Dan Ahmad Firas juga seorang papa yang terserlah sifat kebapaannya. Menumpukan perhatian pada setiap cerita si kecil.
“Ya? Hanna cakap terima kasih tak?” sampuk Hani menarik perhatian Hanna membuatkan anak kecil itu beralih perhatian padanya pula.
“Ada! Hanna cakap thank you! Lepas tu,kan aunty… mama kawan Hanna belanja Hanna coklat. Sedap!”
“Wah! Sedapnya coklat! Tapi Hanna tak boleh makan banyak-banyak tau! Nanti gigi comel tu rosak, betul tak papa?” Ajuk Hani dengan nada keanakan sambil berpaling pada Ahmad Firas mahu lelaki itu mengiyakan nasihatnya pada Hanna.
Ahmad Firas tersenyum segaris sambil mengangguk laju mengiyakan saja.
“Taklah, mama dah bagitau! Mama!” Kali ini Hanna beralih pada Elvina yang semakin menghampiri mereka.
“Mana Ammara? Tak keluar lagi?” soal Elvina sebaik dia sampai di hadapan kedua mereka. Matanya silih berganti memerhati reaksi suaminya dan juga Hani.
“Dia singgah toilet tadi, tak keluar lagi. Ramai orang kot,” jawab Hani sambil kepalanya berpusing ke kiri dan kanan seakan mencari sesuatu.
“Vina ada nak kemana-mana lagi tak?” soal Ahmad Firas pada Elvina seketika kemudian.
Elvina memandang suaminya yang sedang memimpin tangan kecil Hanna, menghalang anak itu merayau jauh dari mereka. Hani pula masih lagi setia berdiri di sebelah suaminya.
“Tak rasa nak kemana-mana pun, Kasturi pun dah balik dulu. Awak ada plan lain pulak ke?” Elvina menyoal kembali suaminya.
“Nak hantar Hani dengan Ammara balik la, tadi abang yang ambil dia orang. Vina datang asing tadi, kan? Vina bawa Hanna balik sekali boleh? Sebab abang ingat nak singgah kat ofis lepas hantar tu, abang lupa nak bawak balik laptop. Ada projek yang abang kena review.”
Panjang penjelasan Ahmad Firas pada Elvina. Ekspresi wajahnya juga menunjukkan rasa serba salah. Elvina menelan air liur namun dia kekal tenang, tidak menunjukkan rasa tidak senang yang muncul di hatinya saat ini.
“Okay.” Ringkas dan pendek saja jawapan Elvina.
“Vina gerak baliklah dulu, kami nak tunggu Ammara tak keluar lagi ni.” Usul Ahmad Firas sambil mengeluarkan telefon dari kocek seluarnya. Mungkin mahu menghubungi Ammara.
“Hanna, jom ikut mama balik!” Panggil Elvina dengan nada serak. Tangannya dihulur mahu mencapai Hanna.
Hanna tidak cakap banyak. Sebaik Ahmad Firas melonggarkan pegangan tangannya, anak itu terus saja beralih kepada Elvina. Tangan mereka bertaut erat. Tanpa sebarang bicara lain, Elvina terus saja melangkah pergi membelakangi mereka berdua.
“Jalan Vina, teruskan jalan. Jangan kau toleh ke belakang, terus pandang ke depan.” Gumam Elvina perlahan dengan bibir yang bergetar.
Kakinya dipaksa melangkah biarpun secara heret kerana hatinya dilanda gelora. Mengharapkan sang suami menghalang namun hampa. Otaknya kemudian keras memujuk hati dan diri agar tidak lagi menoleh ke belakang. Giginya diketap kuat, pegangan tangan Hanna juga dieratkan.
Terima kasih kepada pembaca yg sudi melayari karya saya.
Share this novel