ENTAH berapa lama dia pulas tidur. Elvina terjaga dari tidur sebaik telinganya menangkap bunyi nyaring serta getaran kuat dari telefon pintarnya. Telefon yang terletak di atas meja lampu tepi katil dicapai malas.
“Hello….” suara Elvina serak dan malas.
“Hoi! Tak bangun lagi! Matahari dah tinggi terpacak atas kepala ni! Bangunlah!” jerit Kasturi kuat di hujung talian.
“Hmm…. kau nak apa? Hari ni cuti, kan?” Elvina masih berat mahu membuka kelopak matanya.
“Ye, weekend tapi takkanlah kau nak buat macam kau tu bujang lagi. Bangunlah, Vina oiii! Kau tu dah ada anak dengan laki!” Tidak berkurang langsung nyaringnya suara Kasturi membebel.
“Dia orang memang tau weekend hari aku cuti, cuti kerja office dengan cuti kerja rumah. Yang kau nak bising-bising kenapa? Kau nak apa sebenarnya….”
“Yelah, aku tau! Tapi masalahnya sekarang ni aku tengok laki kau, anak kau dijaga oleh perempuan lain!”
Mendengarkan itu, Elvina bingkas bangun. Terkebil-kebil matanya mencari jam dinding memeriksa waktu. 12.15 tengah hari. Wah, rekod ni! Selalunya paling lewat pun dia bangun jam 10 atau 10.30 tidak pernah lebih. Nampaknya kali ini dia terlajak tidur.
Tapi mengapa suaminya tidak mengejutkan dia seperti selalu? Oh, Hanna ada kejut tapi dia sedar jam itu masih awal pagi. Elvina cuba berfikiran waras. Memaksa otaknya untuk berfungsi secara normal.
“Perempuan mana? Kat mana? Bukan dia orang ada kat bawah ke?” soal Elvina bingkas turun dari katilnya dan bergegas keluar dari bilik.
Kakinya kemudian menapak laju menuruni anak tangga. Ruang tamu kosong. Dapur kosong. Halaman rumah, hanya ada kereta miliknya. Kereta milik suaminya tiada. Betul, mereka keluar. Tiada di rumah. Elvina bercekak pinggang di ambang pintu rumah.
“Dekat The Curve ni, tengah makan. Dia orang bertiga je. Firas tak bagitau kau ke dia keluar?” beritahu Kasturi. Baru jelas kebisingan orang ramai pada latar belakang suaranya di dalam talian.
“Kas, kau follow dia orang. Aku nak siap dulu. Apa-apa roger aku cepat!” pesan Elvina tegas sebelum talian diputuskan.
Pergerakannya pantas menuju kembali naik ke bilik. Mahu bersiap. Dia perlukan penjelasan. Tiada makluman dari Ahmad Firas berkenaan situasi yang diadukan oleh Kasturi padanya tadi. Seandainya suaminya itu memaklumkan terlebih dahulu, tentu dia tidak kisah. Hati Elvina galau.
*
*
*
“KENALKAN, ni Hani. Kawan baik Ammara, kawan sejak sekolah menengah.”
Ahmad Firas memperkenalkan seorang gadis ayu manis kepada Elvina sebaik dia menghampiri suami serta anaknya yang sedang gembira menikmati makanan mereka di sebuah restoran.
Hani bangun menghulurkan tangannya mahu bersalaman dengan Elvina, senyuman yang terukir di bibirnya juga kelihatan manis dan cantik. Elvina menyambut meskipun sedikit kaget. Terbit rasa serba salah dalam hatinya.
“Ammara masuk kedai buku tadi, tak keluar sampai sekarang. Hanna dah merengek lapar, tu yang kami cari makan dulu sementara tunggu Ammara. Awak pun tau la Ammara tu macam mana bila masuk kedai buku, lupa jalan keluar.”
Penjelasan suaminya itu dia terima dengan anggukan kecil. Ahmad Firas kemudian menarik kerusi di sebelah Hani dan bertentangan dengan tempat duduk Hanna lalu mempersilakan isterinya duduk di situ.
“Kenapa awak tak bagitau yang awak bawa Hanna keluar? Kenapa tak kejut?” soal Elvina setelah melabuhkan punggungnya di kerusi. Matanya memerhati makanan di atas meja yang sudah licin.
“Laa…. Hanna ada kejut la, Vina tak sedar ke?” tepis Ahmad Firas dengan dahi yang berkerut.
“Ada, sedar je. Tapi dia kata nak makan pankek….”
“Haaa…. Itulah, lepas tu kebetulan Ammara call ajak keluar. Vina pun mungkin letih sangat, sebab tu abang tak paksa kejut dah.” Jelas Ahmad Firas bernada lembut.
Elvina mengetap bibir sambil mengangguk perlahan tanda mengerti dengan penjelasan dari suaminya itu. Sedar dia juga salah. Hanna yang sedang leka dengan telefon pintar langsung tidak mengendahkan kedatangannya dari tadi.
“Macam mana Vina tau kami ada kat sini?” soalan cepumas dari Ahmad Firas.
Elvina menelan air liur. Takkan nak bagitahu yang Kasturi skodeng dorang?
“Kebetulan Kasturi ajak keluar sini. Hanna dah makan?” tegur Elvina pada Hanna sekaligus mengalih topik sepantas kilat. Enggan disoal siasat dengan lebih lanjut oleh Ahmad Firas.
Mujur juga suaminya itu tidak bertanya lagi. Hanna pula hanya mengangguk mengiyakan pertanyaan Elvina. Mata anak usia tujuh tahun itu kekal menatap skrin telefon pintar. Elvina tersenyum pahit. Ada ketika dia merasakan Hanna terlalu terdedah dengan gadget.
“Kak Vina nak makan apa? Hani tolong orderkan,” celah Hani beberapa ketika kemudian selepas suasana bertukar hening.
Elvina berpaling pada gadis di sebelahnya pula. Ayu manis bertudung, wajahnya nampak polos dan bersih tanpa sebarang cela. Mungkin juga kerana dilitupi dengan sentuhan bahan kecantikan.
Melalui pemerhatian Elvina sebelum dia merapati ketiga-tiga mereka, jelas di matanya gadis itu amat rapat dengan suaminya. Dari gaya pergaulan gadis itu, mereka tidak kekok. Mungkin kerana sudah lama saling mengenali memandangkan persahabatan gadis itu dengan Ammara. Satu-satunya ahli keluarga dan juga adik kepada Ahmad Firas.
“Lepas ni nak ke mana?” Soal Elvina selepas membuat pesanan makanan. Matanya silih berganti memandang suaminya dan Hani.
“Oh, tak tau lagi. Tunggu Ammara sampai….” Jawapan balas Ahmad Firas nampak gugup.
“Eh, Kak Vina ada jugak? Kenapa tak bagitau?” Sampuk satu suara di belakang Elvina membuatkan dia pantas berpaling.
Ammara sedang menjinjit sebuah beg plastik dengan beberapa buah buku di dalamnya. Riak wajahnya bagai mana pun tidak menunjukkan tanda terkejut tetapi suaranya sangat ekspresif.
Elvina cuma senyum segaris.
“Mara tak tau Kak Vina ada sekali, ni tiket wayang dah beli.” Ammara bersuara dengan sedikit kecewa nadanya.
“Cerita apa?” tanya Elvina dengan dahi berkerut.
“Sheriff.”
“Eh, budak-budak macam Hanna boleh masuk tengok ke?” persoal Elvina agak hairan. Wajah suaminya ditenung. Ahmad Firas kelihatan gemuruh. Tahu tentang kerisauan yang sedang bermain di minda isterinya.
“Alah, boleh je. Nanti Hanna tu bagi dia tengok cerita kartun kat phone dia jelah.” Ammara menjawab yakin tanpa serba salah. Kedengaran angkuh.
“Tsk! Mana boleh macam tu, tengok phone dalam gelap. Nanti mata dia rosak!” bantah Elvina keras.
“Habis tu ni tiket dah beli. Pastu nak burn je?” Intonasi suara Ammara sudah bertukar jengkel, matanya juga mengerling tajam pada kakak iparnya.
“Macam nilah, Hanna ni bawa dia ke indoor playground. Tapi sorang penjaga kena ikut dia, yang lain boleh tengok wayang. Apa macam?” Hani memberikan buah fikiran.
“Hmmm….” Elvina mengangguk setuju.
“Abang dah aim dari haritu nak tengok cerita ni, banyak kali cerita kat Mara. Mara pun bukan selalu dapat keluar tengok wayang macam ni. Hani pulak kawan Mara. Takkanlah dia yang nak kena jaga tunggu Hanna….” sinis tutur kata Ammara mengatur cadangan.
Elvina melirik matanya pada sang suami. Kepala lelaki itu terangguk-angguk seperti bersetuju dengan aturan adiknya. Namun, apabila anak mata mereka bertembung; Ahmad Firas cepat-cepat membetulkan postur duduknya sambil berdehem.
“Hanna nak pergi playground tak?” tanya Ammara dengan suara yang kuat sambil memegang wajah Hanna supaya anak itu memberikan perhatian pada pertanyaannya.
Hanna mengangguk perlahan dengan senyuman mula terukir lebar. Mungkin mindanya mula membayangkan syurga tempat bermain bebas untuknya. Kepalanya kemudian terangguk laju.
“Hanna nak siapa temankan? Mama?” pancing Ammara pada anak kecil itu.
“Mama! Mama teman Hanna main kat playground eh?” tanpa bicara lain, Hanna segera mengalihkan wajahnya memandang Elvina penuh mengharap. Ammara tersenyum lebar.
“Hmm…. okay tapi Hanna kena janji dengar cakap mama lepas ni, boleh?”
Tidak mampu dia menolak permintaan anak kecil itu, Elvina pasrah sahaja meskipun dalam hatinya juga punya keinginan mahu menonton wayang bersama sang suami. Rasanya dia tidak pernah dibawa menjalani momen sebegitu oleh Ahmad Firas sejak dari perkenalan mereka hinggalah setelah menjadi suami isteri.
Gilakan? Kata suami isteri tapi tiada momen manis sepertimana suami isteri di luar sana. Inilah akibatnya angguk kepala, bagai lembu dicucuk hidung dengan permintaan keluarga. Alasan umur dah hampir dengan gelaran ‘andartu’.
Baiklah jadi andartu daripada dapat pilihan yang salah. Salah ke? Ahmad Firas pilihan yang salah atau aku yang salah menilai? Sudah dua tahun persoalan tu berlegar dalam otak ni namun seakan buntu tanpa jawapan.
Takkan aku nak menidakkan takdir yang dah tertulis buat aku? Takkan aku nak menafikan qada’ dan qadar? Ya, aku kecewa tapi aku tidak meragui perjalanan hidup aku ni. Aku yakin akan ada hikmah di sebalik ujian yang aku sedang lalui sekarang ni.
Elvina cuba bermuhasabah diri sambil matanya tetap memerhatikan Hanna yang sedang ligat berlari. Si Hanna yang manis dan petah bercakap itu membesar selama dua tahun dengan baik sepanjang dalam penjagaannya.
Apalah yang otak aku tengah fikir terima duda anak satu sebagai pasangan pilihan keluarga aku ni? Oh ya, disebabkan Hanna. Bukan aku yang memilih Ahmad Firas sebagai suami aku tapi Hanna yang memilih aku sebagai Mamanya.
“Mama!”
Perkataan pertama Hanna sebaik mereka berdua bertentang mata kali pertama di rumah keluarga Elvina. Situasi itu tentunya amat mengejutkan mereka semua terutama sekali dirinya saat itu. Puan Eina lebih lagi terkejutnya kerana Hanna tiba-tiba saja menggelarkan anak perempuannya begitu.
“Eh, Vina ni boyfriend pun takde tapi dah ada anak express dah. Haa… elok sangat dah tu. Anaknya pun dah berkenan, kira jadi dah tu!” sampuk suara Mak Lang Na yang kuat memecah suasana. Mulutnya juga herot tersengih-sengih suka.
Elvina mengetap bibir. Semua kepala yang ada di situ masing-masing mengangguk tanda setuju. Puan Eina bagaimanapun tiada respon. Elvina kecewa. Semudah itu hidupnya ditentukan oleh mereka.
Share this novel