BAB 1

Romance Series 5792

ELVINA bersendirian menonton rancangan lawak di skrin televisyen. Rancangan yang mencuit hati dan membuatkan penonton tak kering gusi itu sepatutnya mampu untuk menghiburkan hatinya. Tetapi apa yang berlaku saat ini, airmata yang mengalir membasahi pipi saat itu lebat seperti tiada tanda untuk berhenti.

Tangisan ini tanpa suara. Tiada sedu sedan yang terkeluar dari bibirnya. Hanya titisan airmata yang jatuh satu persatu hingga membutakan pandangan mata, kabur. Rancangan lawak tadi sudah hilang siarannya berganti dengan kabus yang membutakan mata.

Terasa air mata yang mengalir seperti mengganggu deria kulit, Elvina menyeka dengan belakang tapak tangan. Hidungnya sudah terasa perit, hingus mulai berjejeran. Tisu dapur dari gulungan besi di atas meja kopi di hadapannya, ditarik dan koyak.

Airmata yang mengalir dihapus dengan tisu itu dan tisu yang sama juga dihembus hingus hingga kosong rongganya. Namun, tubir matanya masih enggan bekerjasama. Tetap juga menumpahkan air masin air mata.

Dada yang dilanda sebak membuatkan deruan air masin itu semakin lebat. Hingus yang disangka sudah kosong, penuh lagi. Meleleh kemudian disedut kembali. Tisu tadi dibelek dahulu untuk mencari ruang yang masih belum terjejas, dihembus lagi hingus di situ.

Kesedihan yang dia rasakan saat ini menyesakkan dada dan jiwanya. Sudah dua hari dia begini. Dia tidak mampu mengawal hati dan perasaannya sendiri tika ini. Kekecewaan yang mencengkam, kekesalan yang menebal dan kekalahan yang membantai diri membuatkan dia berada dititik paling hina dalam dirinya.

Sepertinya dia tidak akan dapat lari dari perasaan yang meremukkan ini. Seakan hati ini bila-bila masa sahaja boleh meletup dan hancur. Jari-jemari Elvina mulai menggeletar, dia cuba menahan rasa yang mahu membuak pecah dengan mengepal penumbuknya. Kuat.

Saat dia sedang berperang dengan jiwa yang berkecamuk, skrin telefon pintar miliknya bernyala. Satu notifikasi pesanan masuk. Untuk sekian kalinya, dia menyeka lagi air mata dengan tisu yang sama. Telefon itu dicapai dan terus dibuka kata laluannya.

‘Can we start again?’
‘I’m sorry…’
‘I’ve made a mistake…’
‘I do love you…’

Membaca pesanan-pesanan itu menambahkan lagi rasa yang berkumpul di dalam dadanya. Air mata Elvina semakin lebat turun membasahi pipinya. Bibirnya diketap kuat menahan rasa yang menggelegak. Dia menutup matanya.

Tanpa membalas pesanan itu, telefon yang berharga ribuan ringgit itu dibaling ke hujung sofa tanpa perasaan. Jika tadi dia menangis tanpa suara, kini perasaan yang terpendam sudah tidak mampu dia simpan lagi. Elvina merintih kuat.

Semudah itu, segampang itu! Ah!!! Sudahlah, Vina! Persetankan dia! Jerit batinnya.

Air mata Elvina semakin menggila. Tisu sudah tidak mampu menyeka air mata yang semakin lebat lalu direntap kolar bulat bajunya. Dia menyeka air mata kemudian beralih ke hujung baju pula untuk menghembus hingus lagi. Dia sudah tidak peduli lagi.

Tidak! Aku tak akan benarkan hal ini berlaku. Aku tidak sepatutnya membiarkan hal ini berlanjutan! Sewenang-wenangnya dia mahu bermula lagi sedangkan dialah yang membuat onar! Ia satu kesilapan? Hah! Kesilapan yang berlanjutan selama dua tahun ini?!

Apa yang silap? Siapa yang silap? Atau diakah yang sedang bermain silap mata dengan aku selama ini? Beranggapan aku amat mudah diperbodohkan?! Seperti itukah anggapan dia terhadapku selama ini?

Selama ini aku berkorban, menanggung siksa jiwa dan raga, menahan hati, memujuk diri sendiri biarpun terus disakiti. Cuba untuk berdamai dengan takdir yang telah tertulis untuk aku. Aku redha, aku pasrah. Ini balasan yang aku terima?

Wahai lelaki, aku hanya manusia biasa yang ada batasnya. Hari ini adalah batas itu, aku tidak akan biarkan kau melampaui batas itu lagi. Cukup setakat ini. Sudah puas kau dera emosi dan mental aku, maruah aku kau pijak-pijak tanpa belas kasihan! Aku akan tamatkan semua ni!

Cukup sampai disini pengorbanan aku. Aku sudah trauma dengan cinta gila ini.

*
* *

“AKU terima nikah Nur Elvina binti Hamidi dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai!”

“Sah!”

“Sah!”

“Sah!”

“Alhamdulillah!” ucapan syukur yang dipanjatkan oleh banyak suara disamping bunyi keriuhan yang terselit kedengaran dipembesar suara masjid.

“Tahniah, Eina! Akhirnya dapat menantu lagi awaknya.” ucap seorang kenalan Puan Eina.

“Alhamdulillah, syukur ada juga jodoh Vina tu. Doa yang baik-baik je untuk dia lepas ni,” balas Puan Eina merendah diri bersama senyuman lebar. Lega hatinya kini.

Elvina merenung tanpa hati wajah sang suami yang baru dinikahi. Wajah yang dia kenali sejak enam bulan lalu kini sudah sah menjadi suaminya. Dia kini tidak lagi digelar ‘andartu’, statusnya sudah bertukar menjadi isteri sekaligus Mama ekspress.

Wajah polos anak kecil yang tersengih-sengih di sisi suaminya dipandang, bibirnya automatik mengukir senyum membalas. Sekurang-kurangnya dia jatuh hati pada anak kecil itu, comel dengan pipinya yang bulat dan gebu.

Selesai sesi batal air sembahyang, mereka semua beransur pulang ke rumah keluarga Puan Eina. Acara nikah pada waktu pagi dan bersambung pula acara persandingan pada waktu tengah hari sehingga ke petang.

“Handsome juga ya laki kau, Vina.” puji Kasturi bersama sengihan nakal.

Kasturi merupakan rakan pejabat Elvina merangkap sahabat baiknya susah dan senang bersama. Bagaimanapun, pujian itu hanya dibisikkan pada pendengaran telinga Elvina sahaja. Malu jika didengari oleh lelaki di sebelah mereka.

Saat itu Kasturi berada rapat dengan Elvina semasa sesi bergambar bersama pengantin di atas pelamin. Kasturi mengambil kesempatan itu untuk mengusik sahabatnya. Sahabat yang sudah lebih sepuluh tahun dia kenali.

“Biasa je aku tengok, sedap mata memandang.” Balas Elvina juga perlahan berbisik sambil mengukir senyuman demi potret yang dirakam oleh jurugambar yang mereka upah sempena majlis persandingan mereka.

Mendengarkan kata-kata Elvina yang seperti tiada hati itu, Kasturi pantas menyiku pinggang sahabatnya dengan bibir yang diketap rapat dan mata membulat. Tidak menyangka wanita itu memberikan respon yang hambar tentang pujiannya tadi.

“Erm…. awak, kenalkan ni Kasturi. Kawan office Vina.”

Tidak mengendahkan perbuatan Kasturi padanya, Elvina berpaling pada sang suami memperkenalkan mereka. Lelaki yang segak berbaju melaju songket dirapikan dengan sampin keemasan serta tanjak yang digayakan di kepala sekadar tunduk sopan bersama segaris senyuman.

Kasturi tunduk juga sama membalas perkenalan mereka. Tersipu-sipu malu gayanya. Benar, pada pandangan matanya bahawa penampilan suami Elvina kacak dari definisi kamusnya. Tetapi apabila dia mendengarkan definisi dari kamus Elvina pula, sahabatnya itu cuma menganggapi suaminya biasa-biasa sahaja.

Apakah itu menandakan bahawa Elvina sebenarnya tidak sepenuhnya menerima lelaki itu sebagai suaminya? Lalu mengapa dia menerima pinangan dari lelaki itu? Untuk apa? Untuk menutup mulut celupar yang mengata di belakang? Demi memuaskan hati orang lain? Kenapa? Kasturi menyoal dalam hati namun tidak pula terluah.

Elvina mengerling sang suami di sisinya. Direnung belek setiap inci wajah lelaki itu. Matanya tidak mampu melabel atau mengukur ketampanan yang diuar-uarkan oleh orang lain padanya selama ini. Dia melihat lelaki itu biasa sahaja, tiada yang menarik hatinya.

Bagaimanapun dia akui adab serta sikap lelaki itu yang membuatkan dia dapat meyakinkan hatinya supaya menerima lamaran perkahwinan dua bulan lalu. Meskipun dia merasa ragu pada awalnya kerana perkenalan mereka yang singkat, namun kata-kata pujukan dari Puan Eina membuatkan hatinya rapuh.

Matanya tertancap pula pada figura anak kecil yang sedang ketawa riang dipinggir pelamin. Anak yang baru berusia lima tahun, sudah menjadi anak yatim sejak usianya baru setahun. Usia yang amat perlukan kasih sayang dan perhatian sosok sang ibu.

Bagaimanapun, anak itu tumbuh dengan baik selama empat tahun ini meskipun hanya dengan kasih sayang seorang ayah. Melihat keceriaan anak itu, Elvina yakin suaminya seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Disebabkan faktor itu juga dia memujuk hati untuk menerima lamaran lelaki itu.

Biarlah hatinya masih berat mahu menerima sedangkan selama ini bilamana dia cuba membuka hatinya untuk lelaki lain, sekelip mata ia remuk hancur dikhianati. Jadi kali ini, dia pasrah sahaja. Mungkin itu yang lebih baik buat dirinya. Setidaknya dia dapat menutup mulut jahat yang melabel dirinya selama ini.

Ahmad Firas. Semoga dia mampu mengubat hati aku yang sudah berkali-kali kecewa, semoga dia mampu membelai hatiku sebaiknya dan selayaknya. Tiada apa yang aku pinta lebih dari itu. Aku hanya mampu berserah sahaja takdirku saat ini setelah puas berjuang sendiri.

Elvina menutup matanya bersama harapan yang menggunung. Nafas ditarik dalam, cuba untuk menenangkan hati yang mula berat dan terasa beban. Otaknya ligat membayangi masa depannya selepas ini.

Dalam diam dia mula mempersoalkan masa depannya. Bagaimana dan apakah tindakannya itu adalah yang terbaik seperti yang dia sangka? Mampukah dia menggalas dua tanggungjawab serentak? Menjadi isteri yang patuh dan taat kepada lelaki yang baru dikenali?
Masih belum bertunas rasa kasihnya terhadap lelaki itu tetapi dia kini sudah punya anak dan suami yang perlu dijaga kebajikannya selepas ini.

Elvina, kuatkah kau? Mampukah kau lalui ujian hidup berumah tangga nanti? Apakah ini yang kau idamkan selama ini? Inikah jalan yang kau pilih? Kau yakin? Ingat Elvina, ini realiti bukan cubaan yang boleh kau ulang semula!

Assalamualaikum... Hampir setahun saya bercuti dari menulis. Maaf jika ada pembaca yang tertunggu karya baharu dari saya. Sempena bulan terakhir tahun 2024, saya bermula sekali lagi dalam berkarya. Harapan saya agar para pembaca dapat enjoy dengan bacaan kali ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience