Dia berlari sekuat hati meredah hutan belukar di malam gelap itu. Sudah hilang perasaan takut dalam dirinya. Semak - samun semua dia langkau bersama debaran yang tidak terucap. Mulutnya terkumat - kamit melafazkan doa, bermohon akan ada insan yang berhati mulia akan menyelamatkan dirinya.
Kepenatan kian mencengkam di seluruh urat nadinya. Badannya sudah tidak berdaya untuk berlari lagi. Di depan sana kedengaran suara orang - orang yang sedang mencarinya. Dia mengambil keputusan untuk menyorok di dalam celahan akar pokok besar itu yang terlindung di sebalik rumpun - rumpun daun pokok - pokok kecil. Berdoa agar tiada haiwan berbisa dan berdoa agar kumpulan penjahat itu tidak nampak akan dirinya.
"Kau cari sebelah sana dan kau pulak cari sebelah sini. Mana betin* ni dah lari. Kurang ajar, sama seperti perangai bapak dia. Betul - betul menyusahkan." Puihhhh, dia meludah...
Terdengar suara garau yang kuat mengganggu pendengaran telinganya tidak berapa jauh dari tempat dia menyorok. Dia sudah menggeletar seluruh badan. 'Ya Allah, Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah HambaMu ini," dia menadah tangan, berdoa di dalam hati. Peluh dingin mula merenik memenuhi seluruh dahinya. Dia seka dengan lengan bajunya. Sedangkan dadanya berdegup kencang, dia tercungap - cungap menahan nafas yang sudah tidak teratur. Ditambah lagi perutnya yang pedih menahan kelaparan.
"Korang cari perempuan tu sampai dapat, aku yakin dia masih tak berapa jauh dari sini. Berapa kuat sangat perempuan lembik macam tu nak lari."
"Kalau aku dapat dia memang aku akan ajar dia cukup - cukup, Isyyy, betul - betul menyusahkanlah, arrghhhhhhh." Dia jerit menggeram. Pokok kayu di depannya disepak kasar.
Jejak - jejak pijakan daun - daun dan ranting - ranting kering masih kedengaran di telinganya. Bunyi yang buat bulu tengkuknya meriding, sangat seram dipendengaran telinganya ketika ini.
Masih lagi dia mendengar suara yang sama. Suara itu sudah kedengaran agak menjauh. Dia menarik nafas lega. Tapi dia masih lagi tidak keluar dari balik akar pokok besar itu. Risau jika konco - konco penjahat itu masih tidak berapa jauh dari tempatnya menyorok.
Debaran di dadanya masih belum hilang. Terimbas kembali peristiwa sebelum dia melarikan diri...
FLASHBACK...
Dia ketika itu baru sahaja selesai memasak menu makan malam untuk dirinya dan juga ayahnya. Baru beberapa langkah mahu masuk ke bilik, terdengar bicara ayahnya sedang bercakap dengan seseorang melalui handphone di luar beranda rumah mereka. Sepertinya sedang serius berbincang, dia menghampiri ke arah itu, cuba - cuba mencuri dengar di balik tingkap nako yang terbuka sedikit itu.
"Kau datang jer dalam pukul 9.00 malam, anak aku ada dekat rumah. Tapi nak datang kau kena bagitau aku dulu, nanti aku keluar, kau buatlah apa yang kau suka pada dia, janji jangan kau bunuh dia, kira kalau aku dah berikan anak aku pada kau sebagai cagaran, hutang aku dengan kau kira langsai. Termasuk bunga - bunganya sekali. Deal..."
Bagai mahu luruh jantungnya apabila mendengar seorang ayah sanggup menggadaikan maruah anaknya sendiri demi melangsaikan hutang. Dia tilik jam di dinding, waktu sudah menginjak 8.45 malam. Dia mengurut dada. Masanya sudah terlalu suntuk. Cepat - cepat dia berjalan masuk ke biliknya. Dengan pantas mencapai beg sandangnya dan memasukkan barang - barang penting. Waktu sudah hampir ke angka 9.00 malam. Dia membuka jendela biliknya luas - luas, terus terjun dan berlari meredah hutan di belakang rumahnya itu, bersyukur kerana biliknya menggunakan jendela daripada kayu bukannya cermin nako. Hatinya lirih, sambil berlari, sambil dia menitiskan air mata. Ayahnya seorang kaki judi dan suka berhutang, dan juga kaki minum, sejak ibunya meninggal dunia, dia hanya tinggal berdua dengan ayahnya di rumah ini, rumah peninggalan dari arwah ibunya, nak harapkan ayahnya, satu harta pun takde. Seorang yang tidak layak digelar ayah.
"Kejar...Dah nampak dia, dia kat hujung belukar sana. Cepat kejar dia, tangkap dia sampai dapat," Lelaki di belakangnya itu menjerit kuat.
Dia terdengar suara garau yang menjerit kuat kepada anak - anak buahnya. Beberapa orang lelaki berlari ke belukar yang menghala ke arah hutan, tempat dia sedang lari menjauh sekarang ini. Dia berlari sekuat hati, segala semak - samun hutan belukar habis dia redah. Dalam fikirannya hanya satu, mahu selamatkan dirinya. Sehinggalah dia terjumpa akar pokok besar itu. Hilang segala perasaan takutnya yang ada hanya memikirkan keselamatan dirinya.
Diam - diam dia berdiri di balik akar pokok besar itu. Tercungap - cungap dia mengambil nafas. Matanya terpejam sejenak bagi melepaskan lelah. Cuba menstabilkan semula nafasnya yang termengah - mengah.... Sungguh lelah yang dia rasakan sekarang ini.
END FLASHBACK...
Perutnya berbunyi, memang dia sangat lapar. Sejak siang tadi dia belum makan, kerana kehabisan beras, nasib baik ada jirannya yang baik hati sudi memberikannya sedikit beras yang boleh digunakan dalam dua hari, beras yang ada sedikit terpaksa dicatu penggunaannya, cukup sekadar mengalas perut. Yang paling dia terkilan, makanan yang dia masak pun tak sempat dia jamah.
Dia merintih, kenapa ibunya terlalu cepat meninggalkan dirinya, jika ibunya masih hidup, dia tidak akan jadi seperti ini. Dia tidak akan memaafkan perbuatan ayahnya itu. Sanggup dia menggadaikan maruah anak kandungnya sendiri demi untuk kepentingan peribadi. Perasaan benci mula bertamu ke dalam hatinya. Yer, dia sudah mula membenci, dan tak akan memaafkan....
Dia keluar dari situ setelah suara - suara jahat itu sudah menghilang. Berjalan mengikut langkah kakinya. Dia sudah tiada hala tuju, hanya mengikut gerak hati. Dalam malam yang gelap sebegini memang sukar untuknya mengenalpasti di mana dia berada sekarang. Rasanya dia sudah jauh ke tengah hutan. Bunyi - bunyi cengkerik dan burung hantu, kedengaran bising di sana - sini. Rasa takutnya kepada makhluk - makhluk ghaib sudah bertukar kepada rasa takutnya kepada penjahat - penjahat itu.
Sesekali dia hampir terjatuh kerana kakinya tersadung akan akar - akar kayu yang melintang di lantai hutan, pandangan matanya di malam kelam ini begitu terhad. Dia kira bernasib baik kerana sempat mencapai selipar yang terletak di dapur sebelum dia melarikan diri sebentar tadi.
Perlahan - lahan dia membawa langkahnya menelusuri hutan tebal itu, di kejauhan dia ternampak seperti ada cahaya dari ungun api. Laju dia melangkah ke arah situ. Hilang sejenak kepenatan yang dia rasai ketika ini. Berdoa agar yang ada di situ adalah insan yang baik - baik.
Setelah semakin hampir ke arah unggun api itu, dia ternampak ada 3 khemah yang terpasang elok di situ, dia mengintip dari balik pokok. Nampak seperti bukan orang jahat. Dan juga kelihatan bukan dari kumpulan penjahat yang mengejarnya tadi.
Dia menarik nafas lega. Terus dia bawa langkahnya ke arah itu, ada tiga jejaka yang sedang leka mengadap unggun api, nampak seperti orang luar, bukan dari pemuda - pemuda di kampungnya. Kemungkinan mereka datang ke sini untuk berkhemah atau mungkin juga mereka ingin memancing. Sebab kedengaran di telinganya bunyi air sungai yang mengalir di sebelah kiri sana.
Dia menerobos masuk ke dalam satu khemah yang terbuka zipnya. Bersembunyi di dalam khemah itu. Suara - suara pemuda yang bersembang itu diselangi dengan gelak ketawa itu dia abaikan. Dia sudah tidak peduli jika digelar sebagai penceroboh. Keselamatan dirinya yang paling utama ketika ini.
"Ada nampak seorang perempuan tak yang lalu kawasan sini"
Kedengaran suara yang sama seperti tadi. Rupanya penjahat itu masih lagi berlegar - legar dalam kawasan hutan ni. Masih belum berputus asa dalam mencari dirinya. Elok pergi mati semuanya. Dia menyumpah - nyumpah kepada penjahat itu.
"Takde, perempuan yang mana???"
Balas salah seorang dari mereka, dan sempat dia bertanya semula.
"Emmm, takpe, mungkin dia tak lalu kawasan sini, kita cari belah sana pulak," balas salah seorang daripada mereka, dan mengajak konco - konconya berlalu pergi.
Dia menarik nafas lega. Dia duduk diam - diam kat dalam khemah tu, tidak berkutik, risau jika penjahat itu nampak akan dirinya. Dadanya masih tiada ampun, Debaran juga masih belum hilang. Seram - sejuk yang dia rasakan sekarang ini.
Pintu khemah tiba - tiba dikuak luas - luas, menyentakkan dirinya yang masih mengelamun. Seorang jejaka masuk ke dalam khemah yang sama dengannya.
Membulat mata mereka berdua, Terdiam mereka seakan tidak percaya..Jejaka itu menggosok matanya berkali - kali. Debaran di dada masing - masing kian memuncak.
"Kau siapa? macam mana kau boleh masuk ke dalam khemah aku?" Soal pemuda itu sedikit tegas walaupun ada sedikit getaran dalam suaranya.
"Tolong saya encik, tolong selamatkan saya. Orang jahat tu kejar saya. Mereka jahat. Mereka ada niat yang tak baik pada saya. Tolong saya encik. Saya merayu encik." Dia merayu - rayu sambil menitiskan air mata dengan dua tangan dia rapatkan. Mohon agar dikasihani. Hilang semua perasaan malunya. Lantaklah lelaki di depannya ini mahu fikirkan dia apa. Dia sudah tidak peduli. Urat malunya putus sekejap buat masa ini.
"Saya merayu pada encik, izinkan saya berlindung kat dalam ni. Jika tidak, maruah saya akan tergadai. Tolong saya encik, saya merayu," Masih lagi merayu. Masih lagi merintih.
Lelaki itu memandang ke dalam anak mata wanita itu. Keluhan panjang dia lepaskan. Dia keluar semula dari khemah itu. Entah apa yang dia bincangkan dengan kawan - kawannya di luar sana.
Dia masuk semula, "okay, aku benarkan kau berlindung di dalam khemah ni. Esok aku hantar kau balik."
"Tolong encik, saya tak nak balik rumah tu lagi, ayah saya yang cagarkan saya pada lelaki - lelaki tadi encik. Tolong saya, bawa saya keluar dari sini." Dia tetap juga merayu.
Lelaki itu berdecit, dia meraup rambutnya ke belakang. Lepas satu, satu pula masalah yang datang. Dia melepaskan keluhan panjang. Seolah - olah memikirkan apa lagi yang dia mahu tanyakan pada wanita di depannya ini.
"Siapa nama kau," Soal lelaki itu.
"ZARA SAKEENA," balasnya lirih.
Hai readers kesayangan EL, perkenalkan baby baru EL, inshaAllah bab - bab yang seterusnya akan dipublish dalam bulan Julai. EL masih lagi memikirkan jalan cerita untuk novel ini. Doakan idea EL sentiasa mencurah - curah.. Love... -Es Lilin-
Share this novel