... Bab 5 ...

Horror & Thriller Series 4049

Sudah beberapa malam Mierul tidak dapat tidur dengan tenang. Dia selalu bermimpi didatangi seorang nenek berbaju kebaya merah dan berkain batik hitam. Nenek tersebut hanya memerhatikan dirinya yang sedang bermain dengan rakan-rakannya dari jauh. Selepas beberapa ketika, nenek tersebut akan mendekati mereka dan membawa pergi seorang demi seorang rakannya pada setiap malam. Nenek tersebut akan mencium kepala Mierul terlebih dahulu sebelum beredar. Mierul akan segera tersedar dari mimpinya secara mengejut setelah melihat nenek tersebut menghilang.

Mierul beristigfar berkali-kali sambil mengurut-ngurut dadanya yang berdegup kencang seakan-akan baru lepas berlari pecut 100 meter. Dahi dan belakangnya basah kerana berpeluh. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu cuba menenangkan dirinya. Masih teringat perbualannya dengan Miera tengahari tadi.

"Abang tak ambil wudhuk sebelum tidur ni sebab tu mimpi perkara pelik-pelik." Miera memandang wajah abangnya yang sugul setelah menceritakan berkenaan mimpi buruk yang sering menganggu tidurnya.

"Miera macam tak kenal abang je. Dari kecil kan kita dah amalkan benda tu, in sya Allah abang tak lupa. Masalahnya abang mimpi perkara yang sama dan akan sedar secara mengejut tepat pukul 4.25 pagi. Bukan sekali atau dua benda ni jadi dik, tapi dah banyak kali..."

"Hurm... Allah nak kejut abang bangun tahajjud tu. Abang husnudzon lah, in sya Allah tak ada apa-apa yang tak elok. Tengoklah, dah banyak kali abang mimpi tapi masih tak ada apa-apa perkara buruk atau pelik yang terjadi. Kalau abang takut kejutkan je Wan, tahajjud berjemaah..." Miera ketawa kecil.

"Eh... Eh... Eh... Sukanya budak kecik ni... Abang tengah risau dia boleh ketawakan kita lagi. Cubit pipi pau dia karang, baru tahu..." Miera segera menjauhi abangnya yang sudah bersedia dengan jari ketamnya.

Mierul terubat dan terlupa seketika dengan masalah yang dihadapinya apabila dapat ketawa dan berseloroh dengan kembarnya. Pada Miera lah tempat dia mengadu masalah apabila berada di ADC. Walaupun Miera merupakan adik kembarnya, Miera lebih matang dalam menghadapi sesuatu masalah dan sangat memahami dirinya. Sejak tinggal bersama nenek di kampung kerana orang tua mereka bekerja sebagai jurutera di luar negara, hubungan mereka lebih akrab dan mereka saling bergantung dan mempercayai antara satu sama lain tanpa ada rasa kekurangan kasih sayang dari ibu bapa walaupun sekelumit.

Suasana di taman herba ceria dengan gelagat lucu dan gelak tawa si kembar. Dari belakang pejabat, sepasang mata memerhatikan kelakuan Miera dan Mierul dengan renungan yang tajam. Mierul yang seakan sedar mereka diperhatikan dengan segera memerhati keadaan sekeliling. Tidak lama kemudian azan zohur berkumandang, Miera menyalami abangnya sebelum kembali ke Aspuri. Mierul sempat mengusap kepala adiknya perlahan lalu mencubit pipi Miera dengan cubitan kasih sayang. Belum sempat Miera membalas, Mierul telah berlari menuruni tangga menuju ke Aspura sambil melambai ke arah adiknya yang sedang membuat muka ke arahnya.

Mengingatkan peristiwa tengahari tadi, Mierul mengumpulkan keberaniannya lalu segera menuju ke bilik air bagi mengambil wudhuk dan menyucikan diri.

Kau pelihara dan lindungilah aku dan adikku dari segala gangguan di ADC, ya Rabb. Jika mimpi itu merupakan petunjuk pada ku, kau bimbinglah aku ya Allah untuk mencari kebenarannya. Hati kecil Mierul berdoa sewaktu berjalan menuju ke bilik air. Dia yakin Allah pasti menghulurkan bantuan pada hambaNya yang beriman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience