Bab 3

Mystery Series 901

Keesokan harinya, mereka digemparkan dengan kematian seorang lelaki yang maut dibaham harimau di dalam kebun. Kejadian itu menarik perhatian Fateh dan kawan-kawannya apabila orang kampung mula kecoh membawa mayat pulang untuk dikebumikan. Hal itu kemudiannya dilaporkan kepada polis. Kawasan tempat terjumpanya mayat itu mula dibersihkan oleh orang kampung.

"Makin teruk pula serangan harimau minggu ni. Bukan ke kelmarin perhilitan dah tangkap harimau dan pindahkannya ke tempat lain?" ujar salah seorang warga tempatan kepada temannya.

"Enggak tahulah Abu... Kok gayanya masih banyak lagi harimau liar di kawasan kampung ni ya?" ujar seorang lagi warga tempatan yang melihat kejadian itu.

"Uishh... Kau tengok tu banyak kesan darah," ujar Fateh mengintai di sebalik orang-orang kampung yang berkerumun melihat kawasan kejadian.

"Ish budak-budak ni! Tak elok budak-budak tengok benda ni. Dah pergi balik! Mengacau saja," tegur seorang pak cik yang risau Fateh dan kawan-kawannya mula berkumpul di situ.

"Alaa... Pak cik... Kami nak tengok je. Apa salahnya? Arwah pun dah dibawa balik kan?" balas Fateh tidak puas hati apabila sifat ingin tahunya dihalang.

"Memanglah... tapi budak-budak mana boleh dekat-dekat pada tempat orang yang baru meninggal. Kalau terkena badi mayat nanti bagaimana?" ujar pula pak cik dewasa di sebelahnya.

"Tak apa... Tok Din dengan Wak Saban kan ada... Mereka boleh je sembuhkan Fateh ni kalau jadi apa-apa," ujar Akil dengan yakin.

"Haih... budak ni ada-ada saja ingin dijawabnya. Ha! Tu dia Wak Saban! Wak! Ni lihat cucu kau ni! Degil sekali mereka ni," komplennya sendirian kemudian terlihat sosok tubuh Wak Saban yang sedang mengerut kening seakan terganggu lalu memanggilnya.

"Ha? Ha... Apa kau buat di sini Fateh? Ada apa-apa yang kau mahu ke? Cari Wak ke?" soal Wak Saban menghampiri.

"Eh... Tak adalah Wak. Kami sengaja datang nak tengok. Dengar cerita ada orang dibaham harimau. Malam semalam baru je kami terserempak dengan ha-" baru saja Fateh ingin beritahu namun Iwan terus menekup mulut Fateh dari belakang.

"Kau lupa ke Fateh? Kan Tok Din dah beritahu pagi tadi jangan beritahu orang tentang ni. Kau pun tak nak Wak Saban tahu kan? Nanti dia risau," bisik Iwan perlahan ke telinga Fateh sebelum Fateh sempat menghabiskan ayatnya.

"Haahlah... Nasib baik kau ingatkan," balas Fateh mula teringat akan janjinya. Mujur Iwan sempat menghalang Fateh dari terlepas kata.

"Ha? Apa yang kamu bisik-bisik tu? Kamu berdua terserempak dengan apa malam tadi?" soal Wak semula tidak sempat mendengar apa yang ingin diperkatakan oleh Fateh.

"Kami terserempak dengan... aaa... dengan..." Fateh mula ingin mereka cerita tapi sikapnya yang selama ini tidak pernah berbohong pada Wak Saban menyukarkannya untuk memikirkan idea supaya perkara malam tadi terus menjadi rahsia.

"-Terserempak dengan Tok Din, Wak hihi... Malam tadi ada anjing liar. Mujur ada Tok Din lalu temankan kami balik," balas Iwan cuba menyelamatkan teman karibnya itu.

"Lah... Ish ish ish... Tu lah... Wak mahu hantar kamu pulang kamu mahu pulang seorang diri. Nasib baik cumanya anjing liar kok. Mujur ada Din selalu saja ronda-ronda pada waktu malam lihat kawasan kampung. Kalau enggak, susah kamu mahu pulang tapi waktu ni banyak kes dibaham harimau. Lain kali jangan pulang seorang diri biar Wak yang hantarkan," balas Wak Saban mula lega namun masih bercampur kerisauan.

"Hmm... Pelik juga tu Wak. Kalau betul Tok Din selalu ronda-ronda kampung macam mana kes baham ni masih boleh terjadi?" soal Akil ingin tahu. Iwan dan Fateh juga memandang Wak Saban seakan meminta jawapan. Wak terdiam seketika cuba memikirkan alasan yang perlu diberitahu.

"Tok ni pun manusia, ada perkara yang Tok sememangnya tak dapat kawal. Ia di luar kemampuan dan kuasa Tok," ujar Tok Din yang secara tiba-tiba muncul bersama cucunya di belakang. Walaupun berpakaian biasa, keris mereka tetap sahaja berada di samping mereka.

"Eh Abang Fir, Abang Kimi, Abang Aiman. Assalammualaikum... Hihi sihat ke bang?" sapa Fateh dengan senyuman ceria.

"Waalaikumussalam... hmm tak berapa sihat. Pinggang ni sakit lagi ni," ujar Kimi sambil menyilangkan tangannya. Fateh dan Iwan hanya tersengih kambing mendengar balasan daripada Kimi.

"Rileklah Kimi... Lupakan je lah apa jadi semalam," pujuk Aiman sambil memeluk bahunya cuba menenangkan abangnya yang masih tidak berpuas hati. Kimi hanya menjeling memandang ke tempat lain masih merajuk.

"Jangan risau Fateh. Kimi memang macam tu. Dia merajuk bukan sebab kamu langgar dia tapi harini dia kalah tarung dengan Aiman," terang Fir menjelaskan tentang sikap Kimi supaya Fateh tidak terasa dengannya.

"Lawan dengan orang sakit. Memanglah menang cuba lawan aku masa aku sihat 100% mesti aku ni tak dapat dikalahkan," balas Kimi lagi masih tidak puas hati membuatkan Aiman semakin menyakatnya.

"Sudah... Sudah... Wak, aku ni ada perkara nak bincang dengan kau. Kalau boleh mari kita bincang di tempat yang sesuai sikit," ajak Tok Din tenang.

"Baik juga tu, aku pun ada perkara yang nak dibincangkan dengan kau. Kamu bertiga pergi main di tempat lain. Ini bukan tempat untuk budak-budak macam kamu ni bermain. Bahaya," balas Wak Saban lalu memberi amaran kepada Fateh dan temannya.

"Hmm... Baiklah Wak," balas Fateh menuruti walaupun jelas kelihatan kekecewaan di wajahnya kerana tidak dapat melihat dengan mata sendiri keadaan sebenar kawasan itu dengan lebih dekat.

"Haaa... Jom ikut abang makan ABC. Abang belanja," ajak Fir kepada Fateh dan teman-temannya untuk memberi ruang pada Wak Saban dan Tok Din membincangkan perkara yang kelihatan mustahak bagi mereka. Fateh dan teman-temannya yang sememangnya menggemari Ais Batu Campur (ABC) terus teruja terutamanya apabila Fir ingin membelanja mereka.

"ABCD boleh tak abang Fir? Baru mantep!" soal Akil mengambil peluang itu.

"Boleh boleh. Makan la apa je yang korang nak. Nasi goreng ke mi goreng ke. Apa-apa pun boleh," balas Fir dengan senyuman manis.

"Terbaiklah Abang Fir!!! Ni yang sayang lebih ni!" balas Fateh turut teruja apabila mereka dapat makan apa sahaja yang mereka mahu.

"Yeay!! Abang Fir belanja!" jerit pula Iwan turut teruja dapat makanan percuma.

Setibanya di warung yang berada di tengah kampung, mereka terus memesan ABC Durian untuk makan bersama. Mereka semakin teruja apabila kuah durian untuk mereka ditaruh dengan lebih banyak dari biasa.

"Hmm... Fateh, kamu tahun depan masuk sekolah menengah kan?" soal Abang Fir ingin tahu.

"Haah... Saya dengan Iwan masuk sekolah menengah. Akil ni je tertinggal kat sekolah rendah. Hihihi..." balas Fateh mengusik Akil yang setahun lebih muda dari mereka.

"Alahai... Sekolah kita bukan jauh pun. Sebelah-sebelah je, balik pun sama-sama juga. Itu pun nak kecoh," balas Akil lalu menyuapkan kuah ABC ke dalam mulutnya.

"Mana ada sama. Kitorang balik lagi awal tau. Balik la kau sorang-sorang. Kitorang ni pukul 10 dah balik," balas Fateh mengusik Akil lagi.

"Ha?! Betul ke? Selalu je tengok abang-kakak sekolah menengah tu balik sama-sama," balas Akil mula keliru.

"Memanglah sebab diorang tu kelas lain. Kami ni kelas lain. Kelas kami ni istimewa tau. Memanglah boleh balik awal. Masa tu kau kat kelas lagi. Mana perasan kitorang boleh balik awal dari kau," sambut pula Iwan ingin juga turut mengusik Akil.

"Eh?! Mana adil macam tu! Kenapa awal sangat balik? Aku pun nak balik awal jugak!" jerit Akil rasa tidak adil akan jadual pulang untuk sekolah mereka.

"Haaa... sebab tu kena belajar rajin-rajin. Kitorang ni pandai sebab tu boleh balik awal," balas Fateh lagi sambil menyengih.

"Hahahha... Ada-ada sajalah kamu ni Fateh. Hmm... Fateh sebenarnya abang nak tanya kamu berminat tak nak belajar silat?" soal Fir ingin tahu.

"Hmm... Belajar silat boleh kalahkan harimau jadian ke abang Fir?" soal Fateh semula.

"Ha? Harimau jadian? Apa tu?" soal Akil keliru.

"Eh... Ahhh... Hantu," balas Fateh cuba membuatkan Akil yang keliru itu faham.

"Ha?! Hantu?! Eee takutnya. Betul ke silat boleh kalahkan hantu abang Fir?" soal Akil masih dengan sifat ingin tahunya.

"Mestilah boleh... Sebab tu lah kami belajar silat. Bukan hantu je tau kami kalahkan, penjenayah pun kami boleh tumpaskan," balas Aiman bersemangat.

"Fuh! Hebatnya! tapi... kena tanya ayah dulu. Ayah tu dah la garang," balas Iwan mula keberatan risau jika keluarganya tidak setuju dengan permintaannya.

"Tak perlu risau... Kalau kamu takut biar abang je yang cakap dengan ayah kamu. Mesti dia setuju," balas Fir dengan yakin.

"Betul tu Iwan. Kalau korang berminat abang bincang dengan keluarga korang. Tak ada masalah punya. Tok Din sanggup ajar percuma," balas Kimi tenang.

"Hmmm... Bukan ke silat Tok Din tu diajarkan kepada keturunan dia saja ke? Sebab tu tak ada pelajar lain selain anak cucu Tok Din kan?" soal Fateh lagi.

"Betul. Memang jarang Tok Din nak terima murid selain keturunan dia sebab dia tak nak ada orang lain yang salah guna ilmunya tapi... kamu orang pertama yang Tok Din berminat nak ambil sebagai murid," balas abang Fir lagi tenang. Fateh terdiam sejenak gaya seakan berfikir panjang.

"Erm... Pak Imam tak marah ke? Pak Imam pun macam tak maafkan kami lagi je. Kalau Pak Imam pun ada masa berlatih macam mana?" soal Fateh sambil menggaru belakang kepalanya.

"Haaa... Tu lah kamu. Nakal sangat dulu. Haha... Jangan risaulah. Ayah abang tu walaupun nampak saja garang tapi baik hati tau. Dia dah maafkan kamu lama dah," balas Fir menerangkan tentang Pak Imam kampung sekaligus merupakan ayah mereka.

"Hmm... Kalau macam tu nanti saya beritahu Wak. Inshallah, kalau tak ada halangan saya turut serta je," balas Fateh dengan senyuman. Dia yakin Wak tidak akan menghalangnya jika dia belajar dari Tok Din memandangkan Wak juga ada mengajar serba serbi tentang silat kepada Fateh.

Bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience