Iwan berjalan balik dari rumah teman karibnya, Fateh dan menuju ke rumahnya di tengah malam seorang diri. Secara tiba-tiba telinganya menangkap bunyi lolongan anjing. Serentak dengan itu, bulu romanya meremang.
Ia mengingatkannya pesanan orang-orang tua tentang lolongan yang mengatakan terdapat entiti halus berdekatan. Namun, Iwan terus menepis rasa takutnya dan terus melangkah.
Bunyi lolongan itu kedengaran lagi malah semakin kuat dan dekat. Kakinya terkaku dan menggigil apabila dia merasakan bunyi itu datang daripada hutan di sebelahnya.
Dia memandang ke belakang, tiada apa yang terlihat. Dalam keadaan menggigil, dia memaksa kakinya berjalan. Tiba-tiba telinganya menangkap lagi bunyi yang amat menyeramkan.
"Grrrr..." Bunyi harimau menderam halus berikutan dengan bau nafas kucing. Dia memandang ke belakangnya. Susuk tubuh manusia sasa dengan kepala harimau kelihatan. Iwan terus terduduk kerana terlalu terkejut.
"Grahhhh!!!" harimau itu berderam garang. Dia terus meluru ke arah Iwan dan ingin mencakarnya. Namun secara tiba-tiba...
"Sepakan Safawi Rashid!!" jerit Fateh lalu menyepak badan harimau jadian itu dari belakang. Terus harimau jadian tersebut tersembam ke hadapan tanpa sempat mencakar Iwan dan Iwan sempat mengelak daripada dihempap harimau itu.
"Iwan lari Wan!!!!" jerit Fateh lalu menarik tangan Iwan untuk bangun. Iwan tanpa ragu terus bangkit dan mengikut Fateh berlari.
"Apa tadi tu weh?!!!" jerit Iwan dengan wajah pucat.
"Mana aku tau! Aku pun main sepak je bila nampak kau kat depan dia!" jerit Fateh sambil terus berlari.
"Nasib baik aku datang kat kau sebab aku nak bagi telefon kau ni tertinggal!" Ujar Fateh menerangkan sebabnya mencari semula Iwan sebelum dia tiba ke rumahnya.
"Fuhh! Nasib baik kau cari aku balik ade hikmah juga henfon aku tertinggal. Kalau tak... dah kene telan dah aku," balas Iwan sambil terus berlari.
Sampai di satu tempat, mereka berhenti sambil mencungap mengambil nafas. Fateh memandang ke belakang melihat samada mereka diekori ataupun tidak.
"Dia... Huh huh huh... Tak kejar kita dah kot?" ucap Fateh sambil mencungap kepenatan.
"Perghhh! Dahsyat ar, nasib aku tak terkencing dalam seluar tadi..." balas Iwan dengan hembusan nafas lega.
"Iwan, aku tumpang tidur rumah kau harini. Seramlah aku nak balik," pinta Fateh sambil memeluk tubuhnya.
"Aik? Bukan selama ni kau berani ke? Siap prank krew buru hantu tu," ujar Iwan membuatkan rutin harian Fateh pada hari cuti kini terbongkar.
"Tu lain... ni lain. Benda tu bukan calang-calang dah Iwan," balas Fateh bersungguh.
Tiba-tiba bunyi semak samun kedengaran seakan ada seseorang berjalan. Mereka terus menajamkan tumpuan dan membuka langkah waspada.
"Jom buka langkah silat" ujar Fateh. Iwan terkejut.
"Silat apanya? Aku belajar pun tak!" balas Iwan mula cemas.
"Tak pe... Kita lawan je, kau buka silat cakar ayam, aku buka silat cebuk," balas Fateh membuatkan Iwan terkeliru, nama silat tersebut langsung tidak pernah didengarinya.
"Buka Langkah!!!" ucap Fateh. Fateh mula membuka langkah besar dengan sangat bergaya. Matanya meliar memandang sekeliling.
Tiba-tiba sesuatu melompat keluar dari semak tersebut sambil memandang mereka dengan pandangan bengis. Fateh dan Iwan terus sedia membuka langkah bertahan.
"Hyaaaarrrhhhhhh!!!" jerit mereka bersemangat.
"Cabut!!!!!!" jerit Fateh lalu melarikan diri. Iwan yang melihat Fateh yang melarikan diri terus mengekorinya.
"Oi! Kau kata nak lawan!!" jerit Iwan..
"Bila masa aku kata?! Aku cakap buka langkah je!" balas Fateh.
"Weh! Kau memang ada cakaplah tadi hanat!!" jerit Iwan kegeraman. Tak jauh di hadapan terdapat beberapa bayangan manusia yang tiba-tiba muncul membuatkan mereka terlanggar salah seorang dari mereka.
Mereka bertiga mengaduh kesakitan. Kelihatan beberapa orang pemuda berpakaian uniform silat. Terdapat seorang tua di kalangan mereka yang kelihatan seperti guru mereka.
"Ya Allah, budak-budak ni... Kenapa ni lari macam tak cukup tanah?" soal orang tua itu lembut namun ada nada tegasnya.
"Kimi, kau ok tak?" soal salah seorang kepada mangsa yang dilanggar mereka berdua.
"Aku ok, aduh... Entah boleh ke tak silat hari ni," ujar Kimi lalu bangun dan memegang punggungnya.
"Kenapa dengan korang ni?" soal seorang pemuda yang sememangnya di kenali satu kampung tersebut.
"Abang Kimi, abang Aiman, abang Fir, Tok Din... Ka- kami..." ucap Iwan gagap.
"Ada kucing besar kejar kitorang!" sambung Fateh kecoh.
"Ha? Kucing besar?! Ha tu lah. Kecil-kecil lagi dah merayau malam-malam buta macam ni. Tak apa jom jalan dengan kami," ajak Tok Din.
"Ye ke? Tu bukan kucing da..." bangkang Iwan.
"Alaaa... asalkan muka kucing, badan orang pun, kepala kucing juga." balas Fateh mempertahankan diri.
"Ha? Badan orang?" soal Tok Din kembali semakin cemas. Mereka berdua mengangguk.
"Haah, dia..." belum sempat Iwan ingin menerangkan tentang hal itu, secara tiba-tiba bunyi menderam muncul di belakang mereka.
"Yang lain jaga budak berdua ni, biar Tok lawan dia," ucap Tok Din dan terus melangkah ke hadapan berhadapan dengan manusia berkepala harimau tersebut.
"Itu... harimau jadian." ucap Kimi cemas.
"Tak apa... Tok Din ada." sambung Aiman dengan dahi berpeluh. Fir melangkah ke hadapan sebagai langkah berjaga untuk apa-apa kemungkinan yang berlaku. Di antara Kimi, Aiman dan Fir, Fir kelihatan murid yang paling berpengalaman.
Harimau jadian itu menderam bengis, dia terus meluru ke arah Tok Din dan ingin mencakarnya. Namun Tok Din sempat mengelak dan memberi tendangan lutut ke perut harimau tersebut. Namun dia seakan tidak terkesan, tangannya pantas mencekik leher Tok Din lalu mencampaknya.
Mungkin disebabkan saiznya yang lebih besar dan umur Tok Din yang sudahpun mencapai umur tua membuatkannya dengan mudah menepis serangan yang datang dari Tok Din. Fir mengetap gigi namun arahan Tok Din dia turut.
"Tok!!! Sepak telur dia tok!" jerit Fateh. Mereka terus memandang Fateh dengan pandangan pelik.
"Apa? Betullah... Terus K.O dia kalau sepak kat situ," sambungnya tanpa rasa serba salah. Fir mendengar Tok Din yang memanggil namanya terus meluru ke arah harimau jadian tersebut dibantu Tok Din. Mereka berdua bergabung dan berlawan dengan gayanya.
"Harimau jadian ni tak macam harimau jadian lain. Corak dia pun lain macam," balas Tok Din memberi pendapat. Disebabkan saiznya yang dua kali lebih besar dan satu tumbukannya boleh menyebabkan mereka terheret jauh, agak sukar untuk mereka berdua sahaja berlawan.
Kimi dan Aiman juga turut masuk campur apabila menyedari kesulitan yang dialami Tok Din dan senior mereka. Fateh dan Iwan hanya duduk bersila seakan menonton rancangan TV di kawasan yang selamat dari penglihatan harimau jadian tersebut.
"Hurm... Kalau terus macam ni mereka takkan menang, titik kelemahan dia mereka dah tau, tapi bukan mudah nak serang titik kelemahan dia disebabkan pertahanan dia yang kuat." terang Iwan seperti seorang pengulas yang profesional sambil tangannya diletakkan pada dagu.
"Tambahan lagi, telinga dia tu tajam..." sambung Iwan lagi dan terus menyedari sesuatu.
"Fateh, macam mana kau boleh serang dia tanpa dia sedar dari belakang tadi?!" soal Iwan. Fateh tidak membalas, hanya senyuman nipis terukir di bibirnya.
"Kau tau kan? Kalau harimau tengah fokus kat mangsa yang dia nampak... Dia mana perasan serangan hendap dari pemangsa lain," balas Fateh sambil membawa keluar lastik dari poketnya.
"Ha... Tengok dan belajar," ujar Fateh sambil melambung seketul batu kecil di tangannya. Iwan yang memahami sifat kreatif dan berani Fateh sehingga digelar Jaguh Kampung terus meneliti apa yang ingin dilakukan Fateh.
Fateh terus mengunci sasaran. Dia menarik getah lastiknya lalu melepaskannya laju. Batu yang dilastiknya tepat mengenai mata harimau itu. Harimau itu mengelupur sambil memegang matanya.
"Tok Din! Sekarang!" jerit Fateh. Tok Din yang menyedari kesempatan itu terus menyepak belakang lutut harimau itu membuatkannya melutut.
Kesempatan itu, diambil pula oleh Fir dengan menyiku belakang leher harimau jadian itu sehingga pengsan. Aiman dan Kimi pula mengunci tangan harimau sasa itu ke tanah agar tiada serangan balas.
"Haaa... Rasakan kau! Jangan main-main dengan cucu Wak Saban! Ini cucu Wak Saban lah!" Ujar Fateh dengan penuh bangga.
"Eleh... Dia pun tadi mencicit lari," balas Iwan tidak puas hati.
"Ish kau ni kacau lah Iwan. Diam-diam sudahlah," balas Fateh membuatkan Iwan hanya mencebik.
"Tok Din! Benda apa ni?" soal Fateh ingin tahu rasa teruja dengan penemuan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
"Ni harimau jadian... Haih nasib baik kamu ada, atok da makin tua. Dah tak larat dah nak uruskan bende ni," terang Tok Din.
"Atok dah banyak kali ke lawan harimau jadian?" soal Red lagi.
"Hurm masa muda dulu... Banyak kali la juga. Fir pula dah kali kedua dia lawan, kamu berdua pula tak pernah kan?" balas Tok Din lalu menujukan soalan kepada Aiman dan Kimi. Mereka berdua menggelengkan kepala memberi isyarat bahawa mereka sememangnya tidak pernah menemui makhluk tersebut.
"Eh Tok, badan dia ni macam jadi makin kecil la." ucap Kimi menyedari hal itu. Tiba-tiba secara perlahan-perlahan badan harimau itu bertukar menjadi manusia.
"Eh budak ni kan budak kampung sebelah!" jerit Aiman.
"Kimi, kamu dan Aiman hantar budak ni ke rumah Tok. Fir pula teman Iwan balik. Tok pula temankan Si Fateh ni balik. Kamu berdua pula bawa budak ni balik ke pondok," arah Tok Din. Mereka semua mengangguk setuju.
"Hmm... Fateh kenapa Wak Saban kamu tak temankan? Bukan selalunya dia pun temankan si Iwan ni balik ke?" soal Tok Din sambil berjalan pulang dengan Fateh.
"Tadi memang Wak Saban nak teman tapi dia tak sihat Tok Din. Saya dan Iwan pula risau dia berjalan dalam keadaan tak sihat macam tu. Iwan pun fikir malam ni boleh je dia balik seorang diri. Tak tahu pula kejadian ni nak berlaku malam ni. Tok Din kalau boleh jangan bagitau pasal ni kat Wak Saban eh? Makin risau pula dia nanti," terangku menceritakan tentang Wak Saban yang tidak sihat mungkin kesan hujan petang tadi.
Setibanya mereka berdua di rumah, mereka berdua dimandikan dengan air limau yang dipercayai supaya makhluk tersebut tidak dapat mengesan bau daging manusia di tubuh mereka sekali gus dapat melindungi mereka dari diburu harimau jadian yang lain. Lelaki itu pula dirawat dan dikeluarkan sumpahan jin harimau dari tubuhnya. Mujurlah ia adalah pertukaran kali pertama untuk lelaki itu dan dia masih belum merasai mana-mana lagi daging manusia. Jika tidak hasil rawatan tidak semudah kali ini malah tubuhnya pasti menjadi lebih kuat berbanding kali ini. Selesai sahaja rawatan itu, lelaki itu terus dihantar pulang ke kampung asalnya dengan nasihat untuk berhati-hati dalam menerima ajaran dari mana-mana guru.
Bersambung...
Share this novel