Cinta awal remaja selalu tidak kesampaian walau ditegak benteng kebal dan tiang kesetiaan. Cinta ini dipanggil 'cinta monyet' kerana perangai sang pencinta biasanya belum matang dan sering berlaku pertelingkahan. Begitulah juga dengan kisahku, seorang lelaki yang setia menanti selama 6 tahun untuk memiliki sang kekasih, tetapi...
"Aku tak boleh teruskan hubungan ini. Aku rasa antara kita tidak sesuai. Engkau masih sambung studi sedangkan aku dah bekerja. Aku ramai kawan kat luar sini yang semuanya satu kepala." luah Layla satu hari sewaktu kami bertemu di Plaza Kotaraya.
"Setelah sekian lama kita menunggu tarikh kematangan ini, tarikh yang mana umur kita melepasi angka 22 tahun, itu yang kau cakapkan. Kau tak sabar Layla ..." jawabku tegas tetapi masih berlapik.
"Bukan tak sabar Azmad , tetapi perasaan cinta, sayang... tidak boleh nak diteruskan. Semua tu dah tak ada..." jawab Layla memandangku tepat.
Aku lepaskan satu keluhan maha berat. Sarat kepala dengan pelbagai persoalan. Begitu rapuhnya kesetiaan seorang wanita, mudah dikaburi oleh keadaan dan masa.
Aku biarkan sahaja mata orang yang lalu lalang di kompleks beli belah ini melihat gelagat kami. Gelagat orang muda bergaduh. Tetapi kami bertengkar secara 'aman'. Hati di dalam Tuhan yang tahu.
"Kau tak nak bagi peluang pada diri kita, Layla ? Cuba kenang zaman manis percintaan kita waktu persekolahan. Cuba kau tengok balik kata-kata semangat yang kau tulis dalam surat-surat kau itu, Layla . Please..."
Aku masih cuba mempertahankan perhubungan ini. Meminta dia mengenang memori manis bersama, tetapi Layla tidak mahu mendengar itu semua. Padanya surat menyurat dan apa-apa lagi barangan peribadi yang di dalam simpananku, dia suruh buangkan jauh di Selat Tebrau. Kejamnya....
"Azmad , that's all nothing. Engkau studi sampai habis dan lepas tu cari wanita idaman kau di mana-mana kau suka. Aku tak kisah! Aku rasa setakat ini perjumpaan kita, jangan hubungi aku lagi!" Layla sudah mencapai beg tangannya.
"Aku sanggup sambung studi kat JB semata-mata nak dekat dengan kau, Layla . Malangnya kau pula semakin jauh. Bukan kah dulu kita saling memberi semangat, saling membantu dalam pelajaran, saling merindu walau terpisah berjuta batu...kau tak ingat semua tu, Layla ?!" Aku masih menyusun kata-kata harapan.
Share this novel