Empat tahun sudah berlalu. Aku berjaya mendapatkan segulung ijazah dari sebuah institusi pengajian tinggi di JB. Kini aku kembali ke negeri di bawah bayu, tempat aku membesar dan mengenal cinta merentasi Selat Tebrau. Kampung yang sesekali ku jenguk pada cuti semester tetap begitu keadaannya, indah dan nyaman.
Sehari dua di kampung aku berehat, melayan pantai dan laut, menyusun buku-buku yang ku angkut dari masa pembelajaranku dan meratah segala makanan yang selama ini ku rindui.
Empat tahun tanpa cinta Layla . Aku bagai kapal hilang nakhodanya. Cinta monyetku adalah satu cinta abadi, ku kenang sampai mati. Walau dicuba beratus kali menjejak pengganti, akhirnya aku tetap gagal menemuinya.
Layla entah di mana. Aku pernah menghubunginya di pejabat, tetapi dia tidak mahu bercakap denganku. Sebak di dadaku setiap kali dia menolak berkomunikasi denganku hanya Tuhan dan rakan-rakan rapat yang tahu. Bila hendak menangis, ku ingati kata pujangga tersebut. Simpan tangis itu biar jatuh di dasar hati.
Hasilnya kini aku menjadi seorang yang amat tegar hatinya, terlalu tabah jiwanya apatah apabila dikecewakan berkali-kali. Layla yang menjadikan aku seperti aku hari ini.
Sudah dua minggu aku melepak-lepak di kampung sementara menunggu panggilan kerja. Masa lapang aku habiskan dengan mengarang puisi atau cerpen atau kadangkala memberikan pendapatku terhadap senario politik masa kini. Aku memang berminat dengan dunia politik semenjak di sekolah menengah lagi. Sesekali figura Layla menerjah minda, meremangkan perasaanku menjadi sebak tiba-tiba. Itu satu petanda rupanya.
"Azmad , aku nak minta maaf atas perbuatanku pada kau sebelum ini. Aku tahu aku menyakitkan hati kau. Sekarang aku tahu bagaimana sakitnya hati apabila cinta dipermainkan..." luah Layla yang tiba-tiba muncul di hujung talian.
Aku tersentak menerima panggilannya. Sayup-sayup suara Layla di bumi Selat Tebrau menghubungi aku yang sedang memerap di negeri bawah bayu ini. Jam di sudut mejaku menunjukkan ke angka 11.00 malam. Pelbagai pertanyaan menerjah di benakku tetapi tidak terluahkan. Bukankah aku sudah semakin tegar sekarang.
"Azmad ... aku dipermainkan oleh tunangku. Dia ada perempuan lain. Dia curang, Azmad . Aku tak tahu nak buat apa lagi! Tolong aku Azmad ..." satu persatu ayat keluar dari mulut Layla dan itu membuatkan aku faham apa yang telah terjadi kepadanya.
Dalam hati bersorak riang, akhirnya Layla mendapat balasan atas perbuatannya kepadaku. Ego lelakiku tinggi melangit. Takkan ku pujuk dia walau jauh di dasar hati teringin sekali berkata yang indah-indah buat mendamaikan hati Layla yang sedang rawan. Untuk apa? Untuk kebahagiaannya dan menderitakan perasaan sendiri. Cukup sekali aku menangisi perpisahan lalu.
"Azmad ! Kenapa kau hanya mendengar. Bantulah aku..." tangisnya berderai di hujung talian.
Aku masih berdiam, hanya kedengaran nafasku yang menahan sedih.
"Aku buntu..." rayunya lagi. Tangisan masih mengiringi ucapannya.
Aku kalah. Aku merasa sebak. Maafkan aku wahai pujangga, kali ini air mataku jatuh di tubir mata, tidak lagi di dasar hati seperti selalu. Apabila tangisan itu di tahan-tahan, maka air hingus lebih laju keluar dari air mata. Bagaimana nak ku tipu diri, sebenarnya aku terlalu cintakan kamu, Layla . Ayat itu hanya ku telan, tidak ku luahkan.
"Layla ... itulah balasan yang kau terima kerana mengecewakan aku! Sekarang baru kau tahu sakitnya putus cinta! Sekarang baru kau sedar siapa yang lebih mencintai kau..." aku melepaskan dendam 4 tahun yang tertanam di dalam hati.
"Kau berdendam dengan aku, Azmad ! Aku kan dah minta maaf. Tak ada ruang untuk aku lagi di hatimu? Berilah aku peluang kedua, Azmad ." tangisan Layla sudah reda.
"Maaf! Pintu hati aku dah tertutup rapat untuk kau. Anggap kita tidak pernah kenal." aku memutuskan talian.
Share this novel