Pak Mahmud memandang sayang wajah isteri yang dinikahinya 12 tahun lepas. Setelah bernikah, dari pulau mereka berhijrah ke tanah besar mengikut tongkang yang kebetulan singgah berlabuh menumpang mengambil air dari telaga. Sesampai di pelabuhan tanah besar, Pak Mahmud telah menyelamatkan beg Mr. Bentley dari dilarikan orang. Bermula hari itu Mr. Bentley telah mengajak mereka suami isteri tinggal bersama dan menawarkan kerja sebagai orang gaji. Gaji yang diberikan cukup untuk mereka anak beranak, kadang-kadang pasangan Mr. Bentley memberi mereka hadiah.
“Emaknya, baki upah dari Mr. Bentley masih tersimpan $37. Baki uang Alice yang aku bawa tadi masih ada $20. $50 sudah aku serahkan kepada Tok Ketua bayar tanah, $20 lagi aku bayar guna tenaga. Perbelanjaan tadi lebih kurang $30. $57 ini simpan baik-baik, untuk kegunaan kita,”
Pak Mahmud menyerahkan wang itu di tangan Mak Munah yang terketar tangannyanmenyambut note itu.
“Esok, aku akan ke rumah isteri Tok Ketua untuk membeli kekabu. Aku terlalu risau dengan harta Alice ini,” Mak Munah seakan berbisik di hujung ayatnya.
“Eloklah, emaknya jangan lama bila bertandang nanti ada pertanyaan yang tidak diundang. Beli kekabu banyak biar tilamnya tebal. Emas dan berlian itu biar tenggelam di dalam, sehingga Alice dewasa boleh mengurus harta sendiri..”
“Uang itu letak di mana, bapaknya?”
“Telah aku tebuk buluh pengikat atap dinding rumbia di sudut pintu itu. Hujungnya boleh dipusing, bahagian itu uang Alice dapat dibuka,”
“Kertas-kertas yang ada dalam beg itu apa, Bapaknya?”
“Entahlah, aku tidak tahu membaca. Aku rasa itu penting untuk Alice nanti. Othman pandai membaca tapi fikirannya masih muda, biar dia berguru di sekolah dulu. Kita tunggu sehingga Othman dewasa, boleh tolong Alice menyelesaikan banyak perkara. Mrs. Bentley pernah kata, Othman budak bijak,”
“Bapaknya, apa yang terjadi pada mereka?”
“Menurut cerita di kedai Apek tadi, selepas dibunuh mayat mereka dibakar oleh tentera Jepun Penduduk di situ menyangka kita mati bersama mereka. Kita jarang keluar sebab itu mereka tidak mengenali kita. Cuma Apek sahaja yang kenal aku,”
Air mata Mak Munah mengalir kelihatan bersinar terpantul dari terjahan cahaya pelita yang melentok di tiup bayu malam. Sedih dengan perkabaran itu, Mr. Bentley dan isterinya begitu baik menerima nasib sebegitu. Suara mereka seakan berbisik sesama sendiri, keduanya bersandar di tulang dinding rumbia yang semuanya menggunakan buluh sambil memandang buluh kuning disudut pintu. Dalam buluh itu dipenuhi ikatan-ikatan wang. Siapa sangka mereka adalah hartawan yang duduk di gubuk buruk!
Othman terlelap sambil memeluk pakaian sekolah yang masih berlipat. Mak Munah bingkas menyelimuti anaknya itu dengan kain batik. Di tenungnya wajah itu, berkulit sawo matang, tampan berhidung mancung seperti ayahnya. Semoga Aida menjadi kawan baiknya di sekolah nanti.
~~~~~~~~~~~~~~~
Kokok ayam orang kampung sayup kedengaran bersahutan. Pagi ini Othman bangun awal dari biasa. Dia menggerakkan kaki ayahnya. Pak Mahmud terjaga.
“Kenapa Man..?”
“Man hendak mandi, ke sekolah?”
Berbekal jamung, Pak Mahmud dan Othman ke tali air yang cuma tujuh langkah dari dangau. Tersenyum Pak Mahmud melihat telatah anaknya itu kesejukkan disimbah air. Menjadi kebiasaan bagi Pak Mahmud mandi awal sebelum subuh, kerana amalan itu boleh menguatkan tubuh. Tapi bagi Othman, ini adalah kali pertama. Semoga akan menjadi kebiasaannya pula. Harapan Pak Mahmud di dalam hati!
“Man, kita akan ke surau. Selepas itu bersiap ke sekolah. Sekolah Man tidak jauh. Hari ini, ayah akan hantar Man jumpa guru besar,’
“Baiklah, ayah..”
Mak Munah menukar lampin Alice kemudian menyusuhkan Alice dengan air didih beras yang telah dipanaskan tadi. Alice tidak ingin tidur lagi, dia bermain permainan baru di tikar mengkuang pemberian isteri Tok Ketua. Alice sudah boleh bergerak ke depan, membuatkan Mak Munah sentiasa waspada.
Mak Munah menjerang air dan merebus pisang untuk sarapan pagi. Alice masih leka dengan permainan barunya memudahkan Mak Munah menyiapkan banyak kerja. Setelah semua selesai, Mak Munah duduk kembali di samping Alice. Tawa ceria Alice ketika diagah, melupakan kerisauan Mak Munah memikirkan nasib Alice. Di tenung wajah itu, walau kulit, rambut dan mata berbeza dari bayi kebanyakan namun kelihatan begitu sempurna. Mak Munah berjanji akan melindungi Alice sekiranya dia dihina di kampung itu!
“Assalamualaikum..!”
Sambil menjawab salam, Mak Munah bangkit membuka pintu yang diikat dari dalam bersama kayu yang dibentang. Tidak mudah untuk dibuka, apa lagi dari luar.
“Lilis..!” Othman bergegas memangku dan mengagah Alice yang riang tertawa. Hanya dia seorang yang memanggil Alice dengan nama itu.
“Awal Lilis bangun pagi. Hari ini abang akan ke sekolah, Lilis tinggal dengan emak. Abang akan ada kawan baru. Tapi abang tidak akan ceritakan tentang Lilis ya..” riang Othman bercerita seakan Alice mengerti. Alice menyambung tawanya.
“Pakailah baju uniform itu, kemudian sarapan pagi. Kopi dan pisang rebus ada bawah tudung saji,”
“Emaknya pergilah mandi dulu. Biar aku yang jaga Alice..”
~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Oleh kerana Othman sudah lancar membaca, menulis dan dapat menjawab soalan ilmu hisab dengan baik, Othman akan dimasukkan di bilik darjah 6. Tidak ramai murid yang sebijak dia di sini,” Cikgu Musa selaku guru besar di sekolah itu bersuara setelah melakukan beberapa ujian kepada Othman. Tiada gusar kelihatan di wajah Othman.
“Terima kasih cikgu. Biliknya di mana?” Pak Mahmud memegang bahu Othman.
“Mari, kita akan ke sana bersama..”
Mereka berjalan melewati beberapa kelas yang mula belajar mengeja. Aida tertinjau-tinjau melalui tingkap terbuka melihat Othman berjalan di beranda. Othman berpaling seketika pandangan mereka berlaga, dia tersenyum Aida tersalah tingkah.
“Ini bilik darjah 5 dan di depan itulah bilik darjah 6.”
Othman semakin laju mendahului guru besar dan ayahnya. Teruja sangat. Dalam diam guru besar kagum dengan Othman. Tidak kekok dan nampak bijak. Semangat!
“Selamat pagi, cikgu..!”
Kesemua murid darjah 6 bangun memberi hormat pada guru besar apa bila dia dan Othman masuk. Pak Mahmud cuma menunggu di luar.
“Pagi semua..!”
Cikgu Latif yang sedang berada di bilik darjah itu berdiri menghampiri guru besar dan Othman di depan kelas.
“Cikgu, ini murid baru daftar. Boleh membaca, menulis dan mengira juga boleh berbahasa inggeris. Mereka dari pekan pindah ke sini..”
Cikgu Latif meminta Othman duduk dibangku depan yang masih kosong. Othman tersenyum bergerak ke hadapan menuju bangku yang dimaksudkan. Bangku kayu panjang dan meja kayu yang boleh dikongsi untuk dua orang.
“Saya Salam, rumah saya berhampiran surau.” kawan semejanya memperkenalkan diri.
“Saya Othman, saya tinggal di dangau hujung kampung ini,” Othman tersenyum.
“Kita satu arah, boleh jalan sama-sama..”
“Awak anak Tok Siak?”
“Iya, saya selalu nampak awak di surau bersama ayah awak..” Salam tersenyum.
Othman diam. Adakah Aida telah bercerita kepada Salam tentang Alice?
“Petang nanti datanglah ke rumah. Rambutan tengah berbuah, kita panjat pokok sama-sama,” sambung Salam lagi.
“Ayah awak tidak marah..?”
“Ayah cuma larang saya bermain dengan Jaffar dan Abu. Mereka duduk di belakang tu.” Salam berpaling melihat Jaffar dan Abu yang sedang rancak mengusik rakan yang lain.
Kelas senyap apa bila cikgu Latif memasuki kelas semula. Mata Cikgu Abu terarah di belakang memandang tajam wajah Jaffar dan Abu.
“Abu, Jaffar... datang ke meja cikgu sekarang!”
Jaffar dan Abu berpandangan lalu berdiri melangkah menuju ke meja Cikgu Latif.
“Ayah Roziah buat aduan tadi, kamu berdua menceroboh rumah mereka lewat malam semalam. Betul?”
Jaffar dan Abu memandang Roziah yang keresahan di bangku.
“Sebenarnya cikgu, Roziah dan Jaffar bercerita di tangga dan saya jadi peneman di bawah pokok mangga depan rumah Roziah. Apa bila nampak lampu suluh ayah Roziah balik dari berburu, kami melarikan diri..” Abu menjawab perlahan.
“Roziah datang ke mari..!” Cikgu Latif memanggil Roziah.
Jaffar tersenyum melihat Roziah menghampiri mereka. Jaffar anak orang kaya di kampung itu anak tunggal yang dimanjakan, apa yang dia lakukan pasti akan mendapat pembelaan dari kedua orang tuanya. Dia tidak risau!
“Roziah, apa yang berlaku di rumah kamu semalam?”
“Saya dan Jaffar cuma bercerita di tangga cikgu..”
“Kenapa sampai lewat malam, emak awak mana?”
“Emak saya telah tidur..” Roziah tunduk memandang lantai.
“Kenapa ayah awak kata Jaffar dan Abu menceroboh rumah awak?”
“Wajah Jaffar dan Abu ayah suluh, ketika mereka melarikan diri..”
Roziah geram memandang Jaffar yang cuma tersengih dari tadi. Nasib baik semalam dia sempat mengunci pintu dari dalam ketika ayahnya mengejar Jaffar dan Abu. Ayahnya tidak syak yang dia bertemu Jaffar di tangga itu.
“Baiklah, ini amaran pertama. Sekiranya berlaku lagi, cikgu akan rotan kamu di depan perhimpunan nanti. Ingat jangan ulang lagi..!” tegas suara cikgu Latif.
Kelas hening seketika. Cikgu Latif menulis baris ayat di papan tulis. Salam dan Othman mengeluarkan buku dari laci.
“Salin semula apa yang cikgu tulis di buku awak semua..”
Mereka tekun menulis sehingga selesai, tiada suara yang kedengaran. Othmanlah yang paling awal menyiapkan tulisannya, dia menyerahkan buku kepada Cikgu Latif untuk diperiksa.
“Tulisan awak cantik dan kemas, awak belajar di mana?”
“Saya diajar oleh..” terputus ayatnya, jangan sekali kaitkan nama keluarga Mr. Bentley untuk keselamatan Alice! Pesan itu menerpa tiba-tiba.
“Saya belajar sendiri mengikut tulisan yang saya nampak, cikgu..”
“Awak memang bijak..” Cikgu Latif tersenyum.
Sehingga bunyi loceng diketuk, Jaffar dan Abu masih lagi terkial-kial menyiapkan tulisan mereka. Cikgu Latif sabar menunggu sehingga dua orang muridnya yang sering menimbulkan masalah di sekolah itu menyelesaikan kerja.
Dalam perjalanan balik ke rumah, Othman dan Salam bercerita banyak perkara. Sesekali pecah ketawa mereka apa bila timbul cerita yang melucukan. Aida berjalan di belakang, kadang-kadang mereka memperlahankan langkah apa bila Aida ketinggalan. Othman semakin yakin, Aida tidak menceritakan tentang Alice kepada sesiapa. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Dia amanah!
“Petang nanti datanglah bermain di halaman, panjat pokok rambutan..”
“Boleh, bawalah Aida sekali..”
“Ayah tidak kasih Aida bermain bersama budak lelaki..”
“Ohh..” Sebenarnya kehidupan Othman masih terlalu mulus tentang batas.
“Telah sampai simpang permatang, jumpa petang nanti ya..” Salam tersenyum memegang bahu Othman.
“Insha-Allah, ayah izinkan saya akan datang..” Othman tersenyum juga, memandang Salam lalu beralih di wajah Aida.
Mereka meneruskan perjalanan balik ke rumah masing-masing. Othman riang dia telah mendapat kawan yang boleh diajak belajar dan bermain sama. Dia tidak risau lagi tentang Aida, Aida boleh dipercayai. Dan rambut Aida cantik, panjang bertaucang dua. Othman tersedar dari melamun ketika kakinya tersepak tunggul!
Share this novel