BAB 3 BPL

Drama Series 44906

Bunyi keriut roda kereta lembu kepunyaan Tok Siak memecah hening subuh. Perlahan mengikut rentak dua ekor lembu jantan itu menarik rangka belakang yang cuma diisi dengan beberapa tandan pisang . Tok Siak dan Pak Mahmud duduk di hadapan, sekali-sekala Tok Siak memeriksa tali gandar kereta lembunya itu agar tetap kuat berpaut. Pak Mahmud membungkus badan dengan selimut begitu juga dengan Tok Siak. Dalam dingin, kereta lembu mereka membelah embun yang mesra menyapa wajah. Di tangan kanan Tok Siak kejap tergenggam sebatang cemeti untuk mengejutkan lembu yang malas untuk melangkah.

“Sebelum matahari tegak di kepala kita akan sampai ke pekan. Jika hujan tidak turun, akan mudahlah perjalanan kita,” Tok Siak memecah kebisuan.

“Kelihatan ada juga orang yang ke pekan seperti kita. Kita berteman..” Pak Mahmud berkata sambal melihat beberapa kereta lembu di hadapan.

“Engkau risau?"

“Tentera Jepun ganas..!”

“Selagi kita tidak mengganggu urusan mereka, jangan risau Mud..”

“Semoga akan baik-baik sahaja, Allah lindungi kita..”

“Tidak akan berlaku apa-apa, Mud.” Tok Siak meyakini Pak Mahmud yang kelihatan gusar.

Mereka telah memasuki kawasan pekan. Urusan jual beli berjalan seperti biasa, kehadiran tentera Jepun sekitar itu tidak mengganggu orang ramai. Pengunjung akan tertunduk-tunduk memberi hormat apa bila terserempak dengan tentera Jepun yang sememangnya lengkap dengan senjata terselit di pinggang. Tok Siak menambat kereta lembunya di pohon ketapang di tepi padang. Dia dan Pak Mahmud bergegas mencari keperluan yang telah tertulis di kepala.

Ke hulu ke hilir kedai, Pak Mahmud mencari barang yang diperlukan. Barangan Alice diutamakan. Dari dangau lagi, Mak Munah telah menyediakan dua uncang kain buruk untuk menyimpan barang yang akan dibeli. Pak Mahmud leka membelek-belek kain ela, 15 sen satu ela kesan pendudukan Jepun menjadikan barang telah melambung harga!

“Saudagar, tolong beri 20 ela kain ini dan yang itu 30 ela..”

“Ada banyak boleh pilih lagi saudara..” Pemilik kedai berketurunan Arab itu menawarkan, walaupun dia hairan jumlah kain yang dibeli itu terlalu banyak untuk orang kebanyakan seperti Pak Mahmud.

“Cukup itu sahaja. Orang yang pesan..” Pak Mahmud memberi alasan.

Setelah memasukannya ke dalam uncang, Pak Mahmud meletakkan kain tersebut di dalam kereta lembu lalu meneruskan mencari barang lain. Tok Siak kembali semula ke kereta lembunya menjinjing beberapa barang yang dibeli. Sepuluh tandan pisang yang dibawa tadi habis diborong hanya seorang, agaknya dia ingin membuat kenduri! Bisiknya dalam hati.

Matahari telah mula condong menandakan telah masuk waktu zuhur. Dari jauh kelihatan Pak Mahmud berjalan kepayahan sambil menggalas barang. Tok Siak mengarahkan lembu dengan cemeti mendekati Pak Mahmud.

“Banyak barang yang dibeli, Mud..”

“Orang rumah pesan, Tok Siak..”

“Kita solat bawah pokok tu kemudian makan bekal sebelum balik..”

“Baiklah Tok Siak,”

“Boleh tidak kita singgah sebentar depan kedai bawah bukit itu ?” Pak Mahmud menunjuk sebuah kedai barang runcit.

“Baiklah, Mud. Lepas solat dan makan kita gerak..”

Selepas makan dan solat di bawah pokok ketapang itu, Pak Mahmud dan Tok Siak pun meneruskan perjalanan. Pak Mahmud singgah di kedai bawah bukit tempat selalu dia berkunjung untuk membeli barang keperluan ketika dulu.

“Apek punya kedai ini, di mana?” Pak Mahmud kehairanan, pemilik kedai itu telah bertukar orang.

“Kebanyakan orang cina menyembunyikan diri dari tentera Jepun. Jepun tidak suka mereka. Sekarang kedai ini, kami yang jaga. Sembunyi-sembunyi Apek akan datang waktu malam,” jawab pemuda berbangsa melayu itu.

“Banglo orang Inggeris atas bukit itu dengar-dengar dari pasar tadi orang Jepun jadikan markas tentera. Tempat itu cantik,” Pak Mahmud mengorek rahsia lagi.

“Pemilik dan orang gajinya dibunuh lalu mereka bakar, itu yang orang sini cerita. Segala harta yang mereka ada kemungkinan Jepun telah ambil untuk kepentingan mereka,”

“Tolong bunguskan sekati gula dan lima cupak beras,” Pak Mahmud berusaha menahan sebak yang tiba-tiba menusuk di tangkai hati.

Setelah meletak barang yang dibeli, Pak Mahmud kembali duduk di samping Tok Siak. Orang ramai masih berpusu-pusu di sekitar itu. Jepun masih belum menggugat ketenteraman kecuali kepada orang cina yang mula rasa terancam di tangan mereka.

“Harga barang banyak naiklah, Tok Siak..” Pak Mahmud memecah keheningan mereka.

“Dah engkau banyak membeli juga sudahnya, Mud,” Tok Siak tertawa.

“Sekali ini, untuk keperluan rumah,” Pak Mahmud juga tertawa.

“Dengar-dengar akan diperkenalkan matawang baru nanti. Matawang Jepun. Namun matawang sekarang masih bernilai..”

Pak Mahmud diam. Terkenang dolar malaya yang begitu banyak di dalam beg yang diserah oleh Mrs. Bentley itu. Dalam hati dia cukup yakin, orang Inggeris akan kembali menguasai Tanah Melayu. Dengan kesedaran yang lemah, Pak Mahmud cuma berharap Inggeris akan menguasai Tanah Melayu semula. Pak Mahmud masih terlena, tidak apa menjadi hamba di tanah sendiri!

“Aku letih, Tok Siak. Aku masih terdengar-dengar bunyi tembakan tentera Jepun malam itu. Aku menggigil melihat mereka tadi..” Pak Mahmud berterus terang dengan kerisauannya.

“Sebenarnya rumah engkau di mana, Mud?” Tok Siak bertanya.

“Dekat sungai. Aku takut, aku tidak berani kembali ke situ lagi. Mungkin mereka telah menjadikan tempat itu sebagai penempatan tentera mereka,”

“Tidak apalah, Mud. Biar buruk kain dipakai asal pandai mengambil hati. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Menetaplah di kampung kami selagi tidak membuat kacau, akan aman selamanya..” Tok Siak menenangkan resah Pak Mahmud.

“Terima kasih banyak Tok siak..”

Cuaca agak baik begitu memudahkan perjalanan mereka. Tiada masalah di jalan yang mereka temui. Pak Mahmud mengerling wajah Tok Siak, dia tenang memandang hadapan. Mereka anak beranak terlalu baik membuat perasaan Pak Mahmud terharu. Dari telaga yang keruh tidak akan mengalir air yang jernih. Mereka dari telaga yang sama, telaga bersih! Disemat dalam hati, budi dikenang hingga ke mati!

“Esok, Othman akan kita daftar masuk ke sekolah. Anak aku Aida mungkin satu kelas dengan dia sebab mereka hampir sebaya,”

“Ramaikah anak-anak yang bersekolah di situ?”

“Adalah juga..”

“Aida di darjah berapa?”

“Aida sudah darjah lima..”

“Biasanya guru besar akan masukkan anak ke kelas mengikut ketinggian.”

“Kalau ikut kiraan aku, Othman berumur 11 tahun.”

“Sebaya dengan Aida..”

Mereka mendiamkan diri. Remang senja mula menerjah. Rumah di kiri kanan berbalam-balam kelihatan. Mereka telah memasuki kawasan kampung. Tok Siak memasukkan kereta lembunya di dalam kandang. Dibuka tali gandar, lalu dua ekor lembunya itu bebas bergerak tanpa beban.

“Aku akan menolong engkau menghantar barang hingga ke depan danau,” Tok Siak berkata.

“Akan menyusahkan engkau, Tok Siak..”

“Tidak apa. Marilah..”

Tok Siak mengangkat satu uncang barang Pak Mahmud. Pak Mahmud pula menggalas satu uncang barang yang lagi berat. Berhati-hati mereka jalan menyusur permatang yang mula digigit malam. Tok Siak meletakkan uncang barang yang diangkatnya di kaki tangga, Pak Mahmud pula meletak beban yang dibawanya di muka pintu. Dia membakar jamung lalu dipacak dekat tali air. Mengeluarkan 2 dolar malaya, dimasukkan dikocek baju melayu Tok Siak.

“Ehh, tidak perlulah Mud. Aku pun memang ke pekan juga,”

“Tidak apa Tok Siak, terima kasih banyak membantu kami,”

Pak Mahmud mengambil makanan kering yang dibelinya tadi, diasing dua bahagian lantas diserah pada Tok Siak.

“Bawalah pada anak-anak di rumah dan yang ini tolong singgah pada Tok Ketua. Terima kasih banyak membantu.”

“Terima kasih, Mud,” teragak-agak Tok Siak menyambut pemberian Pak Mahmud itu.

Tok Siak mengatur langkah menggunakan jamung balik ke rumah. Pak Mahmud naik ke atas dangau. Ceria wajah Othman dan Mak Munah duduk menghadap di balik pintu yang terkuak. Alice lena tidur dalam buaian.

“Aku mandi dulu, kemudian kita buka sama-sama,” Pak Mahmud tersenyum melihat wajah girang di depannya itu.

Pak Mahmud pergi ke tali air. Segar terasa badannya apabila tersentuh buih dari sabun yang baru dibelinya tadi. Harum semerbak.

“Othman, cuba bajunya dulu.”

Othman mengenakan baju seragam sekolah, seluar dan kasut. Agak padan! Kemudian Othman mencuba baju melayu dan songkok di kepalanya. Juga agak bersesuaaian. Othman begitu gembira, jelas kelihatan dari riak wajah. Setahun sekali Othman akan mendapat baju baru. Giliran Mak Munah pula mengenakan selendang baru, ada dua warna yang dibeli. Biru muda dan putih bersulam. Agak manis Mak Munah kelihatan malu-malu di depan suaminya. Baju kurung riau ada dua pasang juga sesuai bersesuaian dengan badannya. Pak Mahmud tersenyum puas melihat kegembiraan di wajah keduanya.

“Bapaknya, keperluan Alice di mana?”

“Ada di dalam itu, keluarkan semua..”

Dalam sinar lampu pelita, mereka membuka kesemua isi yang ada dalam uncang itu. Mak Munah mengemas kesemuanya sehingga rapi. Barang dapur pula diletak berhampiran tungku kayu.

“Kain yang banyak ini untuk apa bapaknya?”

“Aku dengar isteri Tok Ketua menjual kekabu. Boleh jahit untuk buat bantal dan tilam juga selimut. Aku ada beli jarum, gunting dan benang. Harta Alice kita sembunyikan segalanya di dalam tilam,” Pak Mahmud berbisik. Mak Munah mengangguk faham.

“Lagi kain yang satu?”

“Emaknya boleh jahit buat baju atau buat kain batik baru. Jangan risau, anggap saja itu upah kita menjaga Alice. Aku telah membeli peralatan ke laut, boleh jual ikan. Aku juga membeli peralatan bendang, kita boleh bercucuk tanam. Kita akan ganti semula duit Alice yang diguna tadi.”

“Terima kasih Bapaknya..” Mak Munah terharu, mengharap semoga suaminya tidak kelabu mata dengan harta banyak yang diamanahkan untuk Alice itu.

Othman tidak memahami butir perbualan kedua orang tuanya. Apa yang pasti dia mendapat baju baharu dan dia akan mula mendaftar diri ke sekolah esok. Selama ini dia tidak mempunyai kawan sebaya. Esok bermula segalanya. Namun dia tetap ingat pesan ayahnya, andai ingin melihat Alice selamat jangan ceritakan tentang Alice dan keluarganya. Othman amat risau tentang Aida, adakah kawan barunya itu boleh dipercayai?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience