BAB 2 BPL

Drama Series 44906

Selesai membersihkan kawasan dangau, Pak Mahmud pergi ke rumah Tok ketua untuk meminjam kapak dan parang. Tinggal di dangau, Mak Munah membuka lantai kayu yang reput. Di bawah pokok, Othman terlelap beralaskan kain sarung berhampiran buaian Alice.

Kelihatan di atas permatang, Pak Mahmud dan Tok ketua memikul atap nipah yang telah siap berjahit. Tok siak pula menjinjing bungkusan beberapa pinggan mangkuk, cawan, periuk dan cerek. Mereka bergotong royong membaiki tangga, lantai dan memasang dinding dangau itu. Oleh kerana dangau itu kecil, mereka dapat menyelesaikan kerja membaik pulih dangau itu dengan cepat.

Mak Munah turun membawa sehelai kain lalu menutup keseluruhan buaian Alice dari atas ke bawah. Dia bimbang, mereka akan terjentik hati melihat Alice di situ.

“Kak Munah, barang-barang ini isteri saya pesan bagi pada kak Munah untuk kegunaan seharian,”

“Susah-susah engkau anak beranak membantu kami ini, Tok Siak. Alhamdulillah, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kamu.”

“Tidak apa, kak Munah. Barang-barang itu, tidak semua digunakan. Hanya bersusun berhampiran tungku.”

Mak Munah terharu, menyambut barang-barang yang dibawa oleh Tok Siak tadi lalu disusun kemas di tepi dinding dangau.

“Bapaknya, tolonglah angkat buaian pindah ke atas.” Mak Munah berkata menghampiri suaminya.

“Eloklah Mud, engkau angkat ke atas. Kasihan budak tu, jadi habuan nyamuk,” Tok Ketua mencelah. Pak Mahmud mengangguk lalu beredar menuju ke buaian Alice.

“Emaknya, tanaklah nasi jamu tetamu. Tok Ketua beri beras tadi, ada dekat bendul bersandar. Kangkung banyak melatah di tepi kali, minta Othman memetiknya nanti.”

“Baiklah, Bapaknya.” Mak Munah menjawab, mengekori suaminya dari belakang.

“Assalamualaikum...”

Dengan senyuman, isteri Tok Ketua datang bersama cucu perempuannya. Dia membawa segulung tikar dan cucunya pula menatang dulang berisi ikan pekasam.

“Waalaikumussalam makcik..”

Laju melangkah mendapatkan isteri Tok Ketua, Mak Munah menghulur salam, mereka mesra kelihatan. Agak tangkas Pak Mahmud membuka ikatan tali buaian Alice, lalu mengalihkannya pada kayu kasau bumbung dangau. Othman melipat kain alas tidurnya tadi sambil matanya terarah pada cucu Tok ketua yang tersenyum malu memandangnya termangu.

“Man, pergi atas dangau jaga adik. Ayah ke permatang petik kangkung..” Pak Mahmud mengubah arahan.

“Baik, ayah..”

“Terima kasih makcik, sudi datang sini. Aku minta diri dulu..” Pak Mahmud tersenyum seraya melangkah.

Isteri Tok ketua tersenyum cuma mengangguk.

“Dah siap dangau. Dah jadi pondok cantik..” isteri Tok ketua tersenyum sambil anak matanya lekat di wajah Mak Munah.

“Iya makcik, agak cepat mereka siapkan..” Mak Munah tersipu.

“Ini anak Tok Siak, cucu makcik. Aida namanya..”

“Cantik budak ni...”

Mak Munah menatap Aida yang begitu manis kelihatan. Aida tersipu dengan dulang yang masih ditatang.

“Ehh, marilah bentang tikar di bawah pokok tu. Dulangnya beri makcik..”

Aida menghulur dulang itu ke tangan Mak Munah. Isteri Tok Ketua membentang tikar di bawah pokok kemudian mereka membuat tungku sementara untuk memasak di sekitar itu. Tok Ketua bersama anaknya Tok Siak, masih menebas senduduk yang meliar sekitar kawasan dangau.

“Aida, potong kangkung ini. Basuh di kali.”

“Baik, nek.”

“Dah pandai Aida buat kerja-kerja dapur ye makcik..”

“Masak pun dah boleh, Munah.”

“Rasanya, Aida sebaya Othman..”

“Agaknyalah, Munah. Kenapa, ada hajat nak jodohkan mereka berdua ke..?” Isteri Tok Ketua tergelak.

“Ehh, anak dagang seperti kami adakah yang hendak?” Mak Munah melarit senyum, tersipu!

“Sekarang sudah bertanah, tidak lagi orang berdagang. Kami anggap Munah sekeluaarga menjadi keluarga kami.” Isteri Tok ketua berkata sambil membetulkan kayu api menanak nasi.

“Alhamdulillah, kami temui orang-orang yang baik ketika kami tiada sesiapa..” Bergenang air mata Mak Munah terharu, sambil mengalihkan ikan pekasam goreng ke pinggan.

“Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain, Munah. Semakin banyak kita memberi manfaat kepada orang maka semakin tinggilah kedudukan kita di sisi Allah mahu pun pada manusia. Asal sahaja berniat ikhlas,”

“Iya makcik..” Mak Munah mengangguk.

Isteri Tok Ketua mencelur sayur kangkung yang telah siap dibasuh oleh Aida. Semerbak bau sambal belacan Aida siapkan dengan cekap menggunakan sudu kayu dalam mangkuk seramik. Semua bahan emaknya sediakan dari rumah.

“Amboi, baunya menyengat sampai ke bendang!”

Tok Ketua terjerit girang, tertinjau-tinjau dari celahan lalang yang panjang. Pak Mahmud dan Tok Siak juga berhenti dari menebas. Mata mereka tertumpu pada bawah pokok tempat memasak. Mak Munah dan isteri Tok Ketua tergelak.

“Marilah makan, nasi sudah siap terhidang,” Isteri Tok Ketua memanggil, masih tertawa geli hati dengan telatah mereka.

“Munah, panggillah anak engkau turun makan. Biar Aida yang temankan anak kecil dalam buaian..”

“Eh..! tak apalah makcik,”

Permintaan itu cepat dijawab, bimbang terbongkar rahsia Alice. Mak Munah menyenduk nasi lantas memberi kepada Aida.

“Engkau ni Munah. Dah kebulur budak tu nanti..!”

“Tidaklah makcik. Othman baru sahaja makan buah jambu meliar di pinggir belukar tu..”

“Terpulang engkau, Munah..”

Isteri Tok Ketua menyenduk nasi lalu meletakkan ikan goreng pekasam bersama sayur kangkung ke dalam sebuah pinggan.

“Aida, pergi engkau ke atas beri nasi ini kepada Othman. Turunlah cepat, tidak baik berlama dipandang orang..” Isteri Tok Ketua memberi pinggan itu kepada Aida. Cepat Aida menyambut lalu melangkah membuat Mak Munah termangu.

Pak Mahmud, Tok Ketua dan Tok Siak datang setelah membersihkan diri di air kali. Mata Mak Munah tidak lekang melihat lenggok Aida atas bendang menuju dangau. Anak dara sunti yang ayu! Namun bukan itu yang tertanam di benak. Ah.. semoga Alice masih dalam buaian!

“Tok Ketua, Tok Siak, makcik jemputlah makan..” Pak Mahmud bermanis wajah mengajak ramah.

Di bawah pohon rimbun itu, mereka makan dengan penuh selera disulami dengan gelak tawa bersilih ganti. Bimbang Mak Munah, menjadikan dia seperti duduk di atas bara. Kenapa Aida lambat datangnya!

Semantara di tangga dangau, Aida menanti Othman menyambut pinggan yang dihulur. Othman masih menghenjot buaian. Alice merengek di dalam. Melihat keadaan itu memaksa Aida untuk naik berniat membantu menenangkan. Aida telah biasa membantu mengurus adik-adiknya di rumah, dia yakin dapat menenangkan anak kecil itu. Othman terpampan, membiarkan Aida menuju buaian!

“Hahhh...!” Aida menekup mulut sendiri.

“Engkau jangan katakan pada sesiapa. Man merayu, tolong!” Othman seakan menangis, meraih simpati.

Dalam kebingungan menelan persoalan yang berlegar, Aida masih cekap mengurus Alice membuka kain lampin lalu menukar dengan yang baru. Mujur Mak Munah letakkan semua keperluan Alice berhampiran dinding. Alice diam, tertawa ketika Aida mengagahnya.

“Jangan buat, nanti suaranya terdengar orang..”

“Maaf bertanya, betulkah adik awak? Masih kehairanan, Aida tertawan menatap lama wajah Alice dalam pangkuan.

Othman menceritakan kejadian yang menimpa, sehingga memaksa mereke sekeluarga melarikan diri. Aida berlinang air mata mengusap kepala Alice dengan tapak tangan. Alice tidak ada emak dan bapa. Othman merenung Aida yang baru dikenalnya itu. Cantik!

“Aida, turun cepat cu..!” Isteru Tok Ketua bercekak pinggang memandang dangau.

“Iya nek..!” Aida tersembul di pintu lalu turun berhati-hati di tangga bulat itu.

Mak Munah dan Pak Mahmud keresahan. Risau rahsia mereka memiliki anak berwajah Inggeris akan tersebar. Riak di wajah hanya mereka suami isteri yang dapat mentafsir.

“Engkau kenapa lambat Aida..? Kau tu anak dara, Othman tu teruna. Tak molek di mata orang!” Mata isteri Tok Ketua menjegil ke arah cucunya.

“Kami cerita tentang kampung ini nek..” Aida berbohong kering matanya, tersekat suara di kerongkong berlalu duduk bersimpuh di tikar menghabiskan makanannya semula.

“Tak apalah nak, engkau habiskan makanan dulu..” Mak Munah memandang kilas keresahan di mata Aida.

Pak Mahmud, Tok Ketua dan Tok Siak mula menyambung kerja membersihkan bendang. Agak tangkas, mula lapang dan kelihatan luas. Aida membersihkan pinggan mangkuk di tali air. Berlegar di fikirannya, kenapa adik Othman nampak pelik!

Apabila matahari mula tegak di kepala, Tok Ketua anak beranak bergerak balik. Tengah perjalanan Aida berpaling memandang belakang. Kelibat Othman mencuri pandang kelihatan dari pintu dangau. Semoga dia sudi berkawan, bermain bersama di kali nanti. Harapan Othman dalam hati.

“Man, Alice tadi Aida nampak ke?” Mak Munah bertanya.

“Aida..!” Othman tercengang.

“Budak perempuan tadi tu..”

“Dia tukar lampin, Man tidak ajak. Tapi dia dah janji tidak akan beri tahu siapa-siapa..” terbata-bata Othman menjawab.

Pak Mahmud diam hanya mendengar. Kerisauan jelas dari desah suara isterinya. Dia menghabiskan kerja membuat dapur kayu untuk memasak dalam dangau itu.

“Janganlah risau emaknya, semoga tidak akan terjadi apa-apa..” Pak Mahmud menenangkan, walau dia sendiri mula diselubungi resah.

“Bapaknya, susu Alice..? Akan kembunglah budak ni minum air kosong..”

“Emaknya, ini kawasan kampung. Susu yang Alice minum mungkin tidak ada...”

“Aku beri air didih beras dengan bubur nasi. Alice pun sudah ada dua batang gigi..”

“Eloklah begitu emaknya..”

“Uang untuk bayar tanah, Bapaknya sudah beri..?”

“Belum. Malam ini aku ke surau beri pada Tok Ketua,”

“Aku dengar harga yang diminta 70 dolar untuk tanah yang kita duduki dan usahakan ini.” Mak Munah merenung suaminya.

Pak Mahmud membuka bungkusan beg yang menempatkan harta Alice. Mak Munah terketar tangannya turut membelek beberapa kalung rantai yang gemerlap itu. Mengucap panjang Mak Munah mengurut dada. Seperti bermimpi melihat harta yang sebegitu banyak. Mujur Othman telah turun di kali melihat anak ikan bermain.

“Aku akan serahkan 50 dolar dan 20 dolar akan ku bayar menggunakan tenaga membantu Tok Ketua di bendangnya nanti. Jangan diperlihatkan kita berharta. Ini untuk Alice.”

Mak Munah menyambut note dolar Malaya yang terpampang wajah King George VI di situ. Masih berbau harum.

“Bapaknya, kenapa 100 dolar?” Mak Munah kehairanan mengira semula jumlah note tersebut.

“Kita beli keperluan Alice, keperluan sekolah Othman dan keperluan rumah.”

“Bapaknya kita perlukan peti..”

“Iya, aku akan mencarinya di pekan nanti,”

Malam itu, Mak Munah sukar untuk terlelap. Terkenang barang kemas yang mengerlip dalam beg yang berikat rapi di atas alang. Andainya mereka diketahui menyimpan harta yang begitu banyak, tentu nyawa mereka juga akan terancam. Terbintik pertanyaan di hati, majikannya seperti tidak mempunyai keluarga. 12 tahun berkerja, dua kali berpindah randah bersama majikannya, namun tidak pernah ada keluarga mahu pun rakan En. Bentley yang datang bertandang. Mereka hanya pernah ke Singapura dan Pulau Pinang.

Kedengaran Alice merengek dalam buaian. Mak Munah bingkas bangun, menukar lampin. Air didi beras masih suam dalam periuk. Dengan berhati-hati menggunakan cahaya pelita, Mak Munah menuang air tersebut ke dalam botol susu.

Alice digendong lalu disusukan. Alice bermain dengan rambut Mak Munah yang terurai, matanya beradu dengan mata Mak Munah. Mata galak berwarna biru milik Alice seperti patung yang pernah ada di rumah majikannya dulu. Tekadnya Alice akan ditatang seperti Othman. Akan diajar bersikap seperti Aida cucu kepada Tok Ketua itu. Mak Munah mematikan lamunan, meletakan dagu Alice di bahunya lalu mengurut belakang Alice sehingga sendawa. Alice lena semula dalam buaian.

Mak Munah terlelap bersama mimpi menjadi isteri raja jelmaan ular. Bajunya seperti bidadari, badannya bersalut emas permata. Bahagia terasa!

“Eh, emaknya. Bangunlah! Solat subuh. Kenapa tersenyum simpul dalam tidur?

Mak Munah bergegas bangun. Melihat suaminya di depan kehairanan. Alhamdulillah, suami aku masih manusia!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience