BAB 1 BPL

Drama Series 44906

Mak Munah masih memangku Alice yang masih lena. Hari ini majikannya sibuk merekod barang kemas yang baru sampai dan meminta Mak Munah menjaga Alice sehingga mereka menyelesaikan kerja-kerja tersebut. Dengan senang hati, Mak Munah membawa Alice yang berumur 3 bulan itu ke rumah mereka. Mak Munah dan Pak Mahmud adalah orang gaji Mr. Burke Bentley. Pasangan suami isteri itu mempunyai anak yang bernama Othman berumur 11 tahun. Mereka telah lama menghuni rumah kediaman orang gaji yang terletak di belakang dapur banglo milik keluarga Mr. Burke Bentley.

Pang pang pang!!!

Terdengar bunyi senapang dari arah banglo. Pak Mahmud dan Mak Munah berpandangan. Othman berlari memeluk kaki ayahnya. Mak Munah mendakap erat Alice ke dada. Pak Mahmud matikan lampu pelita. Suara orang bercakap dengan kuat dalam bahasa Jepun jelas kedengaran. Suara erang kesakitan dapat didengar, milik suara Mr. Bentley. Disember 1941 Tanah Melayu telah diceroboh oleh tentera Jepun!

“Bapaknya, apa yang perlu kita buat sekarang?” Mak Munah berbisik dalam ketakutan.

“Kita tak mampu membantu Mr. Bentley dan isterinya. Aku kemas pakaian, kita perlu melarikan diri. Sampan ada di sungai.” Dalam kegelapan Pak Mahmud memasukan pakaian mereka ke dalam uncang kain.

Tiba-tiba terdengar bunyi langkah yang tidak teratur dari luar. Pak Mahmud mengintai dari celahan tingkap. Dari simbahan cahaya bintang yang samar, kelihatan Mrs. Bentley jalan terhuyung hayang berpaut di dinding mencari pintu masuk. Pak Mahmud membuka pintu, lalu memapah Mrs. Bentley masuk ke dalam. Pelita dinyalakan.

“Bawalah Alice pergi dari sini secepatnya. Aku tidak sempat untuk melarikan diri bersama, aku tidak boleh berdiri. Dalam beg ini ada dokumen, barang kemas dan wang. Gunakan untuk membina rumah baru, membesarkan Alice dan sekolahkan Alice...”

Mrs. Bentley semakin lemah. Mak Munah bercucuran air mata, mendakap Alice yang lena tidurnya. Pak Mahmud memasukan pakaian dalam bungkusan. Othman anak tunggal pasangan orang gaji itu kebingungan, duduk mencangkung memandang Mrs. Bentley yang lemah kelihatan.

“Biarkan Alice berada dalam agama katolik sehingga berumur 18 tahun. Sehingga itu... “ Mrs. Bentley termengah. Pakaiannya telah basah oleh darah hanyir yang melekit.

“Biarkan dia memilih agamanya setelah melebihi umur 18 tahun...” tangan kanannya menggapai Alice. Mak Munah mengensot, meletakkan Alice hampir di wajah Mrs. Bentley.

“Jaga Alice baik-baik..” Mencium pipi Alice, Mrs. Bentley sempat berpesan hanya seperti bisikan lalu terkulai tidak bernyawa.

Dengan hiba, Pak Mahmud menyapu wajah cantik majikannya itu untuk menutup mata yang terbuka. Mengangkat uncang pakaian lalu menyandang beg yang diserahkan oleh Mrs. Bentley tadi. Tidak berlengah, keluarga Pak Mahmud menuju sungai, bimbang tertangkap oleh tentera Jepun yang mula berkeliaran di halaman. Pantas mereka berjalan menuruni bukit menuju sungai tempat perahu Pak Mahmud ditambat.

“Othman duduk diam-diam depan emak. Jangan bimbang, kita akan selamat ..” Di dalam perahu, Othman yang menggigil ditenangkan oleh Pak Mahmud.

Pak Mahmud mendayung perahu dengan laju menyusur sungai tanpa tujuan. Kunang-kunang yang banyak di kawasan paya bakau itu menjadi lampu sepanjang perjalanan mereka. Othman terpesona begitu juga dengan Mak Munah. Dalam dakapan dan balutan kain, Alice masih lena didodoi bunyi detak jantung Mak Munah. Mak Munah terasa sayu, mengenang kejadian yang menimpa ibu bapa Alice yang begitu menyayat hati. Air matanya jatuh menimpa balutan tubuh Alice. Diciumnya, kini Alice telah menjadi yatim piatu!

“Bapaknya, kita sebenarnya ke mana?”

“Aku tak tahu, aku belum pernah masuk ke dalam sungai ini lebih jauh..”

Mak Munah diam, dia tidak ingin menambah kerisauan suaminya. Dia yakin, suaminya akan menemui penyelesaian masalah mereka. Telah jauh mereka menyusur sungai, satu kampung pun belum ditemui. Tiba-tiba Alice merengek kelaparan, Mak Munah dan Pak Mahmud kerisauan.

“Ibu, botol susu Alice sempat Man bawa tadi. Baki susu masih ada..”

Othman menyerahkan botol susu itu kepada ibunya. Selalunya susu baki Alice akan menjadi habuan Othman namun kejadian tadi membuatkan dia terlupa. Tercengang, lalu botol susu Alice kejap tergenggam di tapak tangan sehinggalah mereka berada dalam perahu.

“Alhamdulillah...”

“Tak basi lagikah?” Pak Mahmud bertanya.

“Insya-Allah, belum lagi Bapaknya..”

Alice menangkap puting yang disua dibibirnya. Menghisap susu dari botol itu dengan cepat, nampak lapar sangat. Alice tenang kelihatan. Mak Munah mengusap kepala Alice yang masih berambut nipis keperangan. Tangan Alice menggapai rambut Mak Munah yang terurai tanpa selendang. Dalam kesamaran subuh, mata keduanya beradu. Separuh jiwa Mak Munah kini ada pada Alice, dia berjanji akan menjaganya sebaik mungkin!

“Emaknya, dengar tak ada bunyi kokok ayam bersahutan..?”

“Iya, aku juga mendengarnya..”

“Apa kata, kita tunggu sehingga pagi. Cari perkampungan tu. Emaknya tunggu sini, sembunyikan Alice dari pandangan orang. Aku akan jumpa ketua kampung, minta izin bermukim.”

“Cuba dibuka beg pemberian Mrs. Bentley. Manalah tahu bermanfaat menukar tanah sebidang dua..”

Pak Mahmud terlupa tentang beg itu. Diremang subuh dia membuka zip, lalu tepancarlah cahaya emas berkilau dagangan Mr. Bentley ada di situ. Pak Mahmud tidak terkata, patutlah berat! Zip kedua dibuka, wang yang masih diikat disusun bertindih-tindih membuatkan mata Pak Mahmud seakan berkunang. Pak Mahmud menyeluk pada kocek beg yang ternganga, seperti surat surat mungkin itulah dokumen yang dimaksudkan oleh Mrs. Bentley semalam. Pak Mahmud, menghela nafas. Sampai kiamat pun, dia tidak akan percaya dapat mengumpul harta sebanyak itu!

“Masya-Allah, Emaknya...!”

“Kenapa Bapaknya..?”

“Emas berlian dan wang tunai banyak di dalam..” Pak Mahmud masih tercengang.

“Amanah untuk anak yatim, untuk Alice, jangan diganggu Bapaknya..” Mak Munah kerisauan.

“Mrs. Bentley cakap, boleh guna buat rumah baru dan keselesaan Alice..”

“Beli saja tanah dan buat rumah ala kadar. Kita buat bendang, cari kelangsungan hidup sendiri. Bertani dan menangkap ikan. Harta Alice kita jaga untuk dia..”

Pak Mahmud mengangguk. Dosa memakan harta anak yatim begitu berat. Pak Mahmud rasa tidak wajar bermewah-mewah tentu menimbulkan syak wasangka kerana mereka orang baru di tempat itu. Harta itu milik Alice! Pak Mahmud menelan air liur, azan kedengaran sayup-sayup ditelinga. Pak Mahmud menambat perahu, lalu menuju ke surau itu berpandukaan suara azan yang kedengaran.

“Assalamualaikum warahmatullah... Assalamualaikum warahmatullah..”

Salam tahiyyat akhir dari imam. Hanya Pak Mahmud, seorang lelaki tua dan seorang lelaki sebayanya sahaja yang menjadi makmum. Mereka bersalaman, begitu pelukan terasa hangat silaturahim terasa erat.

“Maaf bertanya, awak baru ke di sini...?” Tok Imam bertanya.

“Iya tok imam. Rumah kami di pekan telah diceroboh tentera Jepun. Kami sempat melarikan diri anak beranak menaiki sampan..” Pak Mahmud berkata dengan wajah sedih teringat akan nasib malang yang menimpa Alice.

“Jepun telah menguasai Tanah Melayu, tapi mereka belum sampai ke tempat ini.” Tok Imam memegang bahu Pak Mahmud.

“Keluarga anak di mana sekarang?” Giliran lelaki tua itu pula bertanya.

“Mereka masih dalam perahu. Di sungai..”

“Bawalah mereka ke sini..”

“Tak apa. Sebenarnya aku hendak bermukim di sini sekiranya diberi keizinan. Aku ada sedikit wang untuk membeli tanah sebidang dua..”

Ketiga-tiga lelaki tadi berpandangan. Belum tahu asal usulnya, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Tidak tahu apa tujuannya. Mungkin juga jadi barua Jepun!

“Begini, bawalah dulu keluarga awak ke sini. Berehat di surau semantara menunggu pagi..”

“Baik Tok Imam..”

Pak Mahmud berjalan menuju ke sungai semula. Dia tahu, mungkin mereka masih curiga dengan kedatangannya di tempat itu. Semantara itu ketiga lelaki tadi berbincang, tentang kata putus yang diberi kepada Pak Mahmud.

“Nampak wajah anak tu baik. Dia dalam kesusahan, ketakutan ingin menyelamatkan keluarganya dari tentera Jepun..” Orang tua tadi berkata.

“Tapi ayah..” Lelaki yang lebih muda mencelah.

“Kita lihat keluarga yang dia ada. Sementara itu, kalau mereka tidak mmencurigakan, kita beri kediaman di dangau ayah untuk semantara waktu..”

“Terpulang pada Tok ketua, saya menyokong sahaja. Baik pada Tok ketua baiklah pada saya..” Imam mencelah.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam..”

“Ini isteri saya, ini anak lelaki saya dan dalam gendongan itu adalah anak perempuan saya..”

Pak Mahmud tertunduk-tunduk memperkenalkan ahli keluarganya. Alice digendong dengan tidak memperlihatkan seinci pun bahagian tubuhnya. Mak Munah tersenyum. Kepala Othman diusap oleh ketua kampung tadi. Ketiga-tiga lelaki tadi memandang belas kepada keluarga Pak Mahmud. Lebur prasangka yang bukan-bukan terhadap mereka!

“Aku adalah ketua kampung di sini, ini anak saya Tok siak surau dan ini pula Tok imam kita..”

Kita...! Pak Mahmud berasa lega, kemugkinan besar mereka telah diterima tinggal di kampung itu. Mak Mudah berbisik, Alhamdulillah!

“Anak ni siapa namanya..”

“Saya, Othman..” Othman malu-malu, sembunyi belakang ayahnya.

“Takut Jepun..?”

“Iya, mereka bunuh orang..”

Sah, mereka ini memang menyelamatkan diri dari tentera Jepun yang durjana itu. Hati ketiga lelaki itu berpuas hati. Kanak-kanak, tidak akan menipu! Sedangkan pada Pak Mahmud, berdoa agar Othman jangan bercerita tentang majikan mereka dan juga tentang Alice.

“Beginilah. Di hujung kampung ini, ada dua bidang tanah sawah yang tidak larat kami usahakan. Cukuplah ada lima bidang di tengah kampung. Anak boleh beli tanah itu, di situ ada dangau tempat tinggal, sementara menunggu rumah baru dibina. Cari kayu dalam hutan, boleh anyam atap rumbia yang ada disepanjang sungai. Aku izinkan..” Kata Tok ketua lagi.

“Harga tanah tersebut berapa Tok ketua?”

“Aku akan berbincang dengan isteriku. Jika wang anak tak cukup, bolehlah ambil upah mengerjakan sawah kami. Upahnya potong untuk bayar baki tanah..” Tok ketua berkata sambil mengelus rambut Othman.

Pak Mahmud terharu. Begitu mulia hati ketua kampung itu. Tok imam dan Tok siak tersenyum. Alhamdulillah... urusan Pak Mahmud sekeluarga dipermudahkan!

“Tok ketua, esok saya akan serahkan wang seberapa yang ada pada saya kepada Tok ketua..”

“Tak perlu, biar saya yang akan datang ke sana bersama isteri...”

“Isteri saya tak biasa bergaul dengan orang Tok ketua..” Pak Mahmud terpaksa berbohong, risau Alice akan dilihat nanti.

“Kalau macam tu, eloklah jumpa dekat surau sahaja..”

“Itu lebih baik, Tok ketua..”

Hari dah hampir terang, bolehlah kita ke bendang. Kami akan hantar kamu ke sana. Tidak jauh, hanya seperlaungan dari sini,”

Mereka pun bergerak ke tempat yang dimaksudkan. Sepanjang perjalanan, Othman begitu riang menyusur gigi air mengejar anak-anak ikan yang sedang berenang. Airnya dingin dan jenih. Kiri dan kanan adalah sawah kepunyaan Tok ketua.

“Anak engkau boleh bersekolah di sini nanti..” Tok ketua memberi saranan.

“Alhamdulilah, bolehkah Tok ketua...?”

Pak Mahmud bertanya seakan tidak percaya. Dalam usia itu Othman masih belum bersekolah, sebenarnya mereka dagang dari pulau dan mendapat pekerjaan di banglo Mr. Bentley. Untuk menyekolahkan Othman mereka tidak mampu. Othman budak cerdik, boleh membaca, mengira dan bertutur dalam bahasa inggeris. Ini adalah kerana, Mrs. Bentley mengajar Othman setiap waktu luangnya di banglo itu.

“Boleh, esok aku akan jumpa guru besar dan akan mendaftar nama Othman..”

“Terima kasih banyak-banyak, Tok ketua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segaja budi baik Tok ketua terhadap kami sekeluarga..” Begitu gambaran riang terpamir di wajah Pak mahmud.

“Dah sampai pun di bendang awak. Hujung tu ada dangau, dekat dangau ada telaga. Tali air ada di mana-mana. Boleh tangkap ikan puyu buat pekasam..”

Tidak sedar, mereka pun telah sampai di dangau yang mula kelihatan uzur. Mak Munah begitu gembira, tempat itu begitu indah. Dia dan suaminya akan bercucuk tanam di situ. Tepi dangau ada halaman, cantik!

Di sini, akan dibuat rumah dari atap nipah. Ada wang lebih, boleh ganti papan dan zink. Depan halaman, akan di tanam bunga dan dibina pangkin. Alice boleh main lari-lari bersama Othman nanti. Mak Munah mula berangan, dia terlupa tentang Alice yang perlu disembunyikan sebaik mungkin!

Setelah Tok ketua, Tok imam dan Tok siak pergi, Pak Mahmud dan Mak Munah bergegas mengemas kediaman baru mereka. Pak Mahmud membuat buaian sementara untuk Alice pada dahan sebatang pokok. Alice tidur lena, Othman menjaganya. Riang hati Othman mendapat adik yang begitu cantik. Namun ayahnya telah berpesan, jangan ceritakan pada sesiapa tentang Alice dan keluarganya jika ingin melihat Alice selamat. Sawah yang terbentang di depan dengan bayu yang bertiup nyaman membuatkan mata Othman terasa segar. Petang nanti dia akan ke tali air, mengejar ikan puyuh. Othman mula jatuh cinta dengan tempat barunya itu!

Share this novel

Ewie
2023-03-04 07:32:38 

Menarikkk


NovelPlus Premium

The best ads free experience