Bab 11

Short Story Completed 8489

                 Anita membuka pintu perlahan-lahan. Dia terus menuju ke arah dapur untuk menyediakan makan malam mereka. Dia tahu Edry ada di sini. Selepas keretanya dicuri, Anita membuat laporan polis. Dia kembali semula ke rumahnya, Anita melihat Edry sedang tidur di atas katil dan ketika itu Anita keluar semula untuk membeli barang-barang keperluan untuk dipakai Edry. Mak cik Imah penjaga rumah memberitahu, mereka jumpa Edry tak sedarkan diri di depan rumahnya. Anita pun tak pasti apa masalah Edry. Dia tak sihatkah hingga jatuh pengsan? Hati Anita diruntun sayu dan hiba. Dia nekad untuk melayan Edry sebaik mungkin selagi Edry ada bersamanya.

                  Anita mula membersihkan beras, mindanya terus berjalan merangka menu masakan untuk mereka berdua. Ini kali pertama dia akan masak untuk Edry. Dulu..Edry yang selalu memasak untuknya. Dia tak tahu dari mana Edry belajar memasak, tapi masakan Edry memang setanding masakan chef. Cara dia menyediakan bahan-bahan pun tak kekok dan berjalan lancar hingga selesai segalanya.

              Selepas nasi ditanak di dalam periuk elektrik, Anita bersedia pula untuk mencuci ayam dan sayur. Cukuplah dengan ayam masak kicap dan sup sayur campur. Anita bukannya pakar memasak, selama ini pun Anita hanya makan masakan yang mudah dimasak saja. Kalau nak makan yang sedap-sedap, Anita akan order atau mak cik Imah yang akan masakkan. Anita pernah belajar memasak, tapi dia masih belum pakar lagi. Masih bertatih, walau umur dah menjangkau ke usia 25 tahun.

             Di rumah agam mereka, ada dua orang pembantu rumah yang terlatih dalam hal masak memasak makanan Malaysia, walaupun salah seorang pembantu rumah mereka orang seberang. Hidup sebagai orang kaya ni semuanya mudah. Buka saja mata, semuanya sudah tersedia di atas meja. Sesekali saja Anita akan turun ke dapur bila mamanya mula berleter.

               Agaknya, Edry akan makan tak masakan aku ni? Anita menyoal dirinya sendiri. Sudah beberapa kali dirasanya sup sayur yang sedang mendidih di dalam periuk. Ada saja yang tak kena dengan rasanya. Bila rasa terlebih masin, Anita tambah air dan rasa lagi. Anita tambah lagi serbuk penyedap rasa, tambah lagi lada sulah dan akhirnya Anita mengalah. Sedap ke tak, biar Edry yang tentukan. Dia nak makan atau tak, terpulanglah. Anita buat keputusan mudah. Bila Anita mula membuat masak kicap ayam, Anita hanya tabur sedikit garam ketika ingin mengorengnya. Selesai mengoreng Anita mula menumis dan Anita sudah nekad hanya akan masukkan kicap saja tanpa garam. Takut masakannya akan termasin lagi.

               Selesai memasak, Anita hidangkan di atas meja. Bancuh minuman kegemarannya dan Anita menuju ke arah bilik. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Anita terpegun menyaksikan suasana di dalam bilik. Edry sedang membaca surah Yasin sambil menangis. Ya Allah, tenangnya hatiku melihat situasi ini. Lama juga Anita memerhati hingga Edry yang sedang membaca surah Yasin berhenti dan mula menangis terisak-isak. Bahunya terhenjut menahan perasaan. Anita sendiri merasa hiba melihatnya. Dia mula melangkah perlahan-lahan menghampiri Edry yang langsung tak panggungkan kepala.

               ‘’Kenapa Ed? Awak sakit ke?’’ Anita menyentuh bahu Edry dengan lembut dan bertanya. Edry panggungkan kepala. Wajah Anita direnung lama. Anita duduk di sebelah Edry dan turut bertatapan mata dengan Edry.

              ‘’Awak sakit ke? Tadi mak cik Imah cakap, awak pengsan di depan rumah. Bagitaulah kalau awak sakit. Jangan macam ni.’’ Anita berkata lagi. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata. Sedih hatinya bila melihat Edry dalam keadaan begitu. Tersayat pilu hatinya melihat mata Edry yang merah akibat menangis.

            ‘’Anita? Awak..awak ke ni?’’ gugup sekali kedengaran suara Edry. Dia keliru bila melihat Anita yang sedang berada di depannya.

             ‘’Kenapa dengan awak ni Ed? Cakaplah. Awak sakit ke? Kenapa awak menangis?’’ Anita masih bertanya dengan soalan yang sama. Dia turut keliru dengan pertanyaan Edry. Kalau bukan dia yang sedang berada di depan Edry, siapa lagi? Takkan Edry masih mengharapkan Azza ada di sini, sedangkan ini rumah aku. Anita berdongkol di dalam hati.

               Edry yang masih keliru meletakkan surah Yasin di sebelahnya. Pipi Anita disentuh perlahan, naik ke hidung dan mata. Anita pelik, dia memegang tangan Edry yang sedang menyentuh wajahnya. Macam tak pernah tengok orang pula gelagat Edry ketika ini.

             ‘’Awak ni kenapa Ed?’’ Anita bertanya lagi. Edry tak bersuara, kali ini tubuh Anita ditarik rapat, Edry merangkul tubuh Anita erat. Anita menolak keras kerana menyangka Edry sengaja menguji perasaannya.

             ‘’Apa yang terjadi sebenarnya? Tadi..saya dengar mereka cakap, kereta awak masuk gaung dan meletup.’’ Edry mula menyoal pula. Anita terdiam lama. Mindanya sedang berfikir bila mendengar soalan Edry. Dia juga mendapat maklumat yang sama. Bila polis mengejar pencuri keretanya, kereta itu terbabas dan masuk gaung. Kereta meletup selepas itu dan pencuri itu rentung bila ditemui. Agaknya, Edry menyangka aku yang mati? Anita berbicara sendiri di dalam hati.

              ‘’Betul. Saya bukan Anita. Saya kakak kembar Anita...’’ belum habis Anita mengungkapkan kata, spontan Edry menjauhkan diri. Edry berganjak sedikit ke belakang dan merenung tepat ke wajah Anita. Reaksi spontannya, membuatkan Anita meledakkan tawa tanpa sedar.

               ‘’Awak ni banyak sangat tengok dramalah Ed. Dahlah..jom makan. Saya lapar sangat ni, lepas naik ke sini tadi tak sempat makan nasi pun lagi. Dahlah kereta kena curi, habis buat report, jumpa awak pula tersadai dalam bilik. Awak sakit apa sebenarnya ni?’’ Anita berkata selepas ketawanya reda. Dia mula bangun sambil mengusap perut yang mula meradang kerana dibiarkan kosong sejak petang tadi. Dia hanya sempat menjamah buah-buahan dan makanan ringan saja sejak naik ke Genting kerana marahkan Edry.

                   ‘’Awak ni siapa? Jangan mainkan saya macam ni? Cakap yang benar?’’ Edry masih tak berpuas hati. Dia bangun dan bersuara garang. Anita ketawa lagi sambil kepalanya digelengkan berkali-kali. Tanpa menjawab soalan Edry, kepala Edry diluku. Anita nak balas dendam sebab, selalunya kepala dia yang selalu diluku oleh Edry.

               ‘’Otak awak terhantuk ke masa jatuh tadi? Masih pening lagi ke? Ataupun, awak nak masuk ke dunia lakonan pula. Sejak bila pula Nuranita Azlin ni ada kakak kembar? Hah?..’’ Anita berkata dan membuntangkan mata. Malas nak terus melayan Edry, Anita melangkah laju keluar dari bilik. Dia dah tak tahan untuk menyuap nasi masuk ke dalam mulutnya. Edry nak percaya ke tak, lantaklah kat dia. Huh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience