Bab 2

Short Story Completed 8489

Sembilan tahun yang lalu...

              ‘’Aku terima nikahnya, Nuranita Azlin binti Mohd Syukri dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.’’ Akad dilafazkan, Edry terus menundukkan wajah dengan gegaran yang sangat hebat di dalam hatinya. Jantungnya berlari laju kerana risau akadnya terpaksa diangkat sekali lagi.

              ‘’Sah?’’ ayah Anita bertanya saksi di kiri dan kanannya.

              ‘’Sah.’’ Saksi pertama berkata tenang sambil kepala dianggukkan.

              ‘’Sah.’’ saksi kedua pula bersuara, diikuti dengan anggukan olehnya. Ahli-ahli keluarga yang turut hadir juga turut berpuas hati. Maka..sahlah Anita sebagai isteri kepada Muhammad Edry Adha ketika usianya baru saja mencecah tujuh belas tahun, sedangkan Edry pula masih belajar di IPT dalam tahun pertama. Kerana keadaan yang memaksa, mereka disatukan dalam sebuah ikatan. Namun, dalam diam-diam Anita dan Edry sudah membuat pakatan sendiri.

              Malam pertama mereka sebagai pasangan suami dan isteri, mereka membuat satu perjanjian mulut. Tanpa saksi dan tanpa surat sebagai bukti. Janji mereka sangat ringkas dan senang difahami.

             ‘’Aku nak tumpukan perhatian dalam pelajaran dulu. Lepas tu aku nak kerja dan tumpukan perhatian untuk mencapai impian aku. Dalam masa kita belajar ni, kita bawa haluan masing-masing. Kalau kau dah berkenan dengan orang lain, ataupun kau memang dah ada orang lain, teruskan, tapi aku ada syarat aku sendiri.’’ Edry berkata tenang. Anita mengangguk setuju. Bibirnya masih berkunci dan menanti untuk mendengar syarat Edry.

             ‘’Aku tak nak kau jadi lawa, cantik atau sebagainya. Jangan jaga penampilan, cuma jaga kesihatan saja, jangan sakit. Aku tak mau isteri yang sakit, tapi aku tak kesah kalau isteri aku hodoh.’’ Dengan suara yang tenang dan wajah yang serius, Edry menyambung kata. Anita sudah membuntangkan matanya. Pipinya dipegang perlahan. Pipi gebu yang mulus, putih dan licin tanpa sebarang jerawat, disuruh agar diabaikan saja? Apa semua ini?

              ‘’Mana boleh macam tu. Siapa yang nak aku lagi kalau wajah aku hodoh? Aku..’’

               ‘’Kau tak dengar ke aku kata tadi? Aku tak kesah, kalau ada isteri hodoh.’’ Anita belum habis mengungkapkan kata, Edry mencelah pantas.

             ‘’Kan kau cakap, bawa haluan masing-masing..aku...’’

            ‘’Aku tahu. Dengar dulu, apa aku nak cakap. Janganlah mencelah lagi. Hiesy..’’ Edry mencantas lagi kata-kata Anita dan menjeling geram ke arah Anita. Dia yang sedang berdiri menarik tangan Anita dan mengajak Anita duduk di atas sofa di sudut kiri bilik mereka.

             ‘’Duduk dulu, kita bincang secara serius.’’ Sambil menolak Anita duduk di sofa, Edry bersuara dan dia sendiri pun turut melabuhkan punggungnya di sebelah Anita.

             ‘’Mulai esok, kau jangan jaga penampilan dan aku pula akan berlagak macam orang miskin. Aku akan pakai selekeh dan hidup macam orang miskin. Makan dan pakai ala kadar. Aku akan mula buat kerja part time untuk membayar semua yuran aku. Kita akan jadi si miskin dan si hodoh mulai esok. Aku tak nak kau bersolek lagi macam selalu. Aku nak kau buang semua alat solek kau. Sepuluh tahun lagi, kalau kita masih tak ada pasangan, kita akan hidup sebagai pasangan suami isteri yang sebenar.’’ Edry memberikan penerangan seperti apa yang dibayangkannya. Dia memandang Anita yang sedang mengerutkan kening sambil memandang dia dengan wajah bengang.

                 ‘’Sepuluh tahun?’’ Anita menyoal sambil mula mengira dengan jari.

               ‘’Yupp..rasanya sepuluh tahun sudah cukup untuk mematangkan fikiran kita. Kau sendiri tahukan, kita masih muda. Aku ada impian dan kau pun ada impian kau sendiri. Kau fikirlah sendiri, kalau kau tak setuju pun, aku akan tetap dengan keputusana aku.’’ Sekali lagi Edry bersuara tegas. Impian dia mudah saja, membina kerjaya dengan hasil titik peluh sendiri, bukan dengan kekayaan yang sudah diturunkan untuknya sebagai anak tunggal dan cucu tunggal keluarganya.

             ‘’Jadi hodoh? Sepuluh tahun? Tak gila sangat ke? Aku tak setujulah. Kecantikan tu adalah aset paling berharga seorang wanita. Aku tak boleh nak bayangkan, macam mana wajah aku kalau dah jadi hodoh.’’ Anita menjawab sangsi. Dalam masa yang sama dia cuba membayangkan wajahnya yang bakal jadi hodoh tanpa penjagaan yang sempurna. Oh, tidak. Hatinya menjerit di dalam.

             ‘’Kau tak fikir ke, dengan wajah yang hodoh, orang yang ada di sisi kau nanti semuanya mempunyai hati yang ikhlas untuk berkawan dengan kau. Hodoh dan miskin bukan satu kekurangan. Hikmahnya, orang yang berada di sisi kita bukan kerana rupa dan harta. Cuba kau fikirkan pula. Wajah yang cantik kau ni mungkin ramai yang akan datang dan berkawan dengan kau, terutamanya lelaki, tapi mereka takkan ikhlas, kerana mereka nak kau sebab kau cantik.’’ Edry cuba menerangkan maksudnya lagi. Sejenak, Anita macam sudah termakan dengan kata-katanya, seketika kemudian Anita sudah mengeleng laju.

             ‘’Bagi aku masa sebulan untuk fikirkannya. Aku terima saranan kau untuk bawa haluan masing-masing, cuma..bab hodoh tu, aku tak nak setuju dulu. Aku nak fikir dulu.’’ Keputusan akhir Anita sudah dibuat. Edry juga bersetuju untuk memberi masa kepada Anita. Sebulan kemudian mereka merealisasikan perjanjian mereka, dengan membawa haluan masing-masing dengan cara tersendiri. Hubungan pernikahan hanya di atas kertas selama sembilan tahun ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience