Bab 16

Short Story Completed 8489

               Anita masuk ke pejabat seperti biasa. Setelah setahun bekerja, dia dinaikkan pangkat sebagai PA kepada Adli. Tak banyak kerja yang Adli beri memandangkan Anita sedang sarat sekarang ni. Adli bersyukur kerana jodoh Anita dan Edry masih ada, malahan Adli baru tahu beberapa buah lagu yang Edry cipta ditujukan untuk Anita. Dalam diamnya Anita dan Edry rupanya ada cinta di dalam hati. Mujurlah, mereka masih suami isteri yang sah walaupun sudah sepuluh tahun membawa haluan masing-masing. Perjanjian gila mereka pun terlerai sudah.

             ‘’Nita..masuk sekejap.’’ Adli mengamit Anita dari depan pintu bilik pejabatnya. Anita mendongak dan mengangguk laju. Tanpa banyak soal, Anita bangun dan menuju ke bilik Adli.

             ‘’Ada apa bos? Pagi-pagi lagi dah panggil, Nita baru saja masuk, belum panas lagi punggung ni. Komputer pun belum on lagi.’’ Anita mula bertanya sebaik dia berada di depan Adli.

              ‘’Ni haa..Encik Edry Adha, awal-awal lagi dah bagi warning, jangan bagi kerja berat-berat untuk isteri dia. Kenapa? Dah sampai DUE ke? Kalau tak larat buat kerja, tak payah datang kerjalah. Ambil cuti sampai bersalin.’’ Adli menjawab dengan wajah masam. Pagi-pagi lagi dah dapat warning dari Edry, siapa yang tak hangin. Anita pula terus ketawa sebaik mendengar jawapan Adli.

             ‘’Belum lagilah. Sebulan lebih lagi..ada-ada sajalah Angah ni. Kalau dapat warning dari Ed tu biasalah. Diakan terlebih sayang dengan isteri dia yang cute miut ni.’’ Anita berkata lagi sambil tergelak.

             ‘’Kalau dah sayang sangat, suruhlah kerja dengan dia, tak payahlah suruh datang kerja di pejabat Angah ni, buat menyemak saja, tengok muka mak boyot.’’ Adli bersuara lagi sambil mengulum senyum.

           ‘’Jangan nak mengarut. Tak adalah boyot sangat pun perut Nita ni. Cute apa. Comel apa.’’ Anita membantah kata-kata Adli sambil mengelus lembut perutnya. Adli mencebik dalam diam. Dia memandang tepat ke arah perut Anita yang sedang membulat itu. Kalaulah, dia ada isteri tentu isterinya pun sudah mengandungkan anaknya sekarang. Ahh..ruginya kahwin lewat. Adli berbisik di dalam hati.

            ‘’Angah tu nak kata kat Nita, tunggulah bila Angah kahwin nanti, isteri Angah mengandung, perut bulat macam ni la juga. Nak lari ke mana...’’ Anita menyambung kata tanpa mempedulikan wajah mengejek yang Adli sedang tayangkan.

             ‘’Dah, dah..pergi buat kerja. Membebel saja. Jangan lupa, tengah hari ni teman Angah jumpa client.’’ Adli mencantas kata-kata Anita, tangannya dikibarkan seolah-olah sedang menghalau Anita segera keluar dari biliknya. Anita tersenyum senang hati dan berlalu pergi. Dia tahu sangat dengan kelemahan abang keduanya, tak suka dibebel.

                    ‘’Kau dengan Encik Adli tu, ada apa-apa ke? Aku tengok, kau dengan dia macam mesra sangat. Setiap kali keluar, mesti dia ajak kau sekali. Hari tu aku ternampak kau dan dia dengan entah siapa lagi, makan semeja. Lebih baik kau mengaku, anak dalam perut kau tu anak siapa? Bila kau kahwin? Aku tak tahu pun.’’ Syaza, teman rapat Anita sejak dia bekerja di sini datang menyoal tiba-tiba. Dah lama Syaza perhatikan gelagat Anita dan encik Adli, bos mereka.

                ‘’Kau lupa ke, hari mula aku kerja di sini, dia panggil aku Cik Jerawat? Aku masuk dalam bilik dia dan bagi warning, sekali lagi Encik Adli panggil nama saya Cik Jerawat, saya akan saman Encik Adli dan selepas tu, dia terus takut dengan aku. Kau percaya tak?’’ Anita menjawab tenang soalan Syaza sambil mereka-reka cerita yang tak ada. Berkerut dahi Syaza mendengarnya.

                ‘’Kau ni kenapa Nita? Lain yang aku tanya, lain pula yang kau jawab. Apa kena mengena Cik Jerawat dalam soalan aku tadi?’’ Syaza menyoal lagi. Dia memandang tepat ke wajah Anita yang masih tekun menaip dokumen kerja yang perlu disiapkannya sebelum tengahari nanti.

               ‘’Taklah..kau tu yang lupa. Aku ni kan PA dia, tentulah aku kena ikut ke mana saja dia pergi. Anak dalam perut aku ni, tentulah anak suami aku. Dah sepuluh tahun pun aku kahwin, sejak belajar lagi aku dah jadi isteri orang. Tentulah tak ada siapa yang tahu. Haih..’’ Anita berkata lagi sambil mengeluh keras. Rimas, setiap kali disoal dengan soalan peribadi.

             ‘’Lama dah tu..kenapa kau tak cakap? ‘’ Syaza bertanya lagi dengan wajah tidak percaya.

             ‘’Kau tak pernah tanya pun.’’

             ‘’Aku pernah tanya la, kau ingat tak, bila kau selalu keluar makan dengan Encik Azhar, aku tanya kau, tak ada orang marah ke? Kau jawab, tak ada. Ehh..kejap, suami kau Encik Azhar ke?’’ soalan Syaza seterusnya membuatkan jari jemari Anita yang sedang menari-nari di keyboard komputer berhenti bekerja. Anita mendongak dan membulatkan matanya kepada Syaza.

               ‘’Kau gila. Tak hingin aku dengan Encik Azhar tu. Panas baran, sombong pula tu..’’ Anita membalas pantas dan mendengus kecil. Menyesal dia keluar dengan Azhar semata-mata untuk membuatkan Edry cemburu, akhirnya dia terjebak dan digosipkan dengan Azhar. Lama juga, dia cuba lari dari Azhar hingga dia disahkan mengandung, barulah Azhar menyerah kalah dan tak menganggu Anita lagi.

              ‘’Habis tu, suami kau Encik Adli?’’ Syaza masih cuba meneka. Sekali lagi Anita mendongak.

             ‘’Encik Adli? Ishhh..lagi aku tak hingin, kuat membuli!’’ Anita berkata tegas dengan suara yang sedikit kuat.

               ‘’Tak kacak pula tu, kacak tak apalah juga.’’ Anita menyambung kata-katanya sambil menayangkan giginya yang tersusun rapi.

                   ‘’Macamlah laki dia tu kacak sangat.’’ Tanpa mereka duga Adli mendengar perbualan mereka. Dia datang untuk meminta dokumen penting kerana ada mesyuarat yang perlu dihadirinya sejam lagi. Syaza sudah kecut perut mendengar suara Adli, sedangkan Anita berlagak selamba sambil mengulum senyum. Kalau tak ada orang lain, pasti sudah dijawabnya kata-kata Adli itu, tapi memandangkan rahsia Anita belum lagi terbongkar, terpaksalah Anita rendamkan saja jawapannya di dalam hati.

                  ‘’Saya ada meeting sekejap lagi. Dah siap dokumen untuk pembentangan nanti, jangan cakap tak siap pula, saya saman awak nanti sebab kutuk saya tak handsome.’’ Adli menghulurkan tangan kepada Anita dan meminta dokumen yang harus dibawa. Anita membelek satu persatu fail di atas mejanya dan mencari dokumen yang telah disiapkan sejak kelmarin lagi.

                 ‘’Terimalah suratan takdir Encik Adli, tak kacak, buatlah cara tak kacak.’’ Sambil mencari fail, sempat pula Anita berkata perlahan dan mengulum senyum dalam diam.

                 ‘’Elehh..perasan. Macamlah Ed tu kacak sangat!’’ Adli berbisik sambil mencebik. Anita ketawa perlahan dan gelagat mereka sedang diperhati oleh semua pekerja-pekerja dalam bahagian mereka.

                 ‘’Well..tengoklah suami siapa, tentulah kacak, macam isteri dia juga, cantik, cute, miut lagi..’’ Anita memanaskan perbualan mereka, dan dalam masa yang sama fail yang telah dijumpainya dihulurkan kepada Adli sambil menjungkitkan keningnya beberapa kali.

                ‘’Ouchh..’’ tindakan pantas Adli mengetuk kepala Anita dengan fail membuatkan Anita menjerit tanpa sedar.

               ‘’Sakitlah..’’ Anita membentak keras dan terus memberi tindakbalas dengan memijak kaki Adli. Mereka terlupa seketika dengan berpasang mata yang sedang memerhatikan gelagat mereka.

              ‘’Oii..anak dalam perut tu ganas macam mama dia juga nanti, baru tau.’’

            ‘’Biarlah..anak orang. Bukan anak Encik Adli pun.’’

             ‘’Buat kerja. Menjawab tak habis-habis.’’ Dalam berbalas kata, Adli beralah juga akhirnya. Dia pandang sekeliling dan tersenyum. Anita pula berlagak selamba dan berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku sebentar tadi. Syaza dan beberapa orang pekerja wanita sudah memandang Anita dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Tunggulah Anita, pasti bakal diserbu sebentar nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience