Bab 3

Short Story Completed 8489

                  Anita sampai ke restoran tempat Edry bekerja. Restoran milik Edry sendiri dengan hasil titik peluhnya seperti yang dia pernah impikan dulu, namun tiada seorang pekerja pun yang tahu Edry adalah bos sebenar di restoran ini, termasuk chef yang telah diupah khas.

             Edry sendiri pun ada kepakaran memasak dan minat memasaknya sejak kecil disembunyikan dari pengetahuan semua orang termasuk Anita. Hanya Adli sahabat baik Edry yang tahu segalanya. Di restoran ini, semua orang menyangka, Edry hanya sebagai pekerja separuh masa yang mencuci pinggan mangkuk dan kerja-kerja berat yang lain. Edry sudah mempunyai lima cawangan restoran perbagai masakan dengan hasil titik peluh sendiri.

            Sembilan tahun banyak mengubah penampilan Anita dan Edry. Bagi Anita, dia hilang wajah cantiknya, sementara Edry pula, semakin berusia semakin terserlah pula kekacakan wajahnya. Edry hanya miskin pada pandangan mata orang lain, tapi dalam diam dia menjaga diri dan mengamalkan makanan kesihatan agar tubuh badannya sentiasa sihat. Seolah-olah perjanjian mereka berat sebelah. Dalam sembilan tahun ini, tiada seorang lelaki pun yang berjaya merebut hati Anita sedangkan Edry sudah ada buah hati pengarang jantungnya.

           ‘’Nak makan apa? Aku belanja, order saja, apa yang korang nak makan.’’ Edry menyambut Anita dengan pertanyaan, sedangkan Adli yang sudah lama sampai masih membelek menu yang sedia ada di atas meja.

            ‘’Apa saja?’’ Adli menyoal ragu-ragu.

           ‘’Apa saja. Aku belanja, tapi kau yang bayar.’’ Edry menjawab dan mengenyitkan mata. Anita mencebik dalam diam. Dan, tak semena-mena kepalanya diluku oleh Edry bila Edry terperasan dengan responnya sebentar tadi. Anita berdecit geram, sedangkan Adli dan Edry sudah tersengih lebar.

           ‘’Sakitlah.’’ Anita membentak marah. Geram betul dengan dua orang pembuli tegar yang sedang berada di depannya ketika ini. Mereka masih menganggap Anita macam budak-budak kecil yang masih berhingus, sedangkan kini usia Anita sudah mencecah 25 tahun.

          ‘’Jangan buat muka macam tu lagi. Dahlah hodoh, lagi bertambah hodoh pulak nanti. Aku bukannya apa, takut aku kahwin lain nanti, kau masih tak ada pasangan pulak.’’ Edry mengeluarkan ayat-ayat paling kejam untuk pendengaran Anita. Adli juga turut terkejut dengan kenyataan Edry, walaupun dia tahu sedikit sebanyak tentang perjanjian Anita dan Edry. Dalam hati kecil Adli sentiasa mengharapkan jodoh Anita dan Edry akan berpanjangan. Tak sanggup Adli nak membayangkan adik ‘perempuan tunggal’ kesayangannya akan menjadi janda dalam usia yang masih muda.

           ‘’Kau serius ke Ed?’’ Adli bertanya juga soalan yang sedang menjengah mindanya.

            ‘’Apa?’’ Edry bertanya kembali.

              ‘’Statement kau tadi. Korang berdua ni, bukan baru bernikah sembilan hari. Dah sembilan tahun pun, takkan tak ada langsung perasaan sayang dalam hati?’’ Adli menyuarakan apa yang dirasa. Anita dan Edry berbalas pandang. Hati masing-masing sedang berbisik. Adakah perasaan sayang itu?

           ‘’Perjanjian kami masih ada setahun lagi. Kalau tahun depan, kami masih belum nikah dengan orang lain, baru kami akan jadi pasangan suami isteri yang sebenar dan baru kami akan fikirkan tentang perasaan masing-masing.’’ Mudah saja Edry menjawab pertanyaan Adli. Anita menarik nafas perlahan. Dia juga keliru dengan perasaannya sendiri. Sembilan tahun lamanya mereka membawa haluan sendiri. Edry hanya membayar nafkah dari segi wang ringgit. Dia sendiri pun bingung dengan status mereka sekarang. Masih layakkah digelar pasangan suami dan isteri?

           ‘’Kau pernah lamar Azza? Hubungan korang berdua serius ke?’’ Adli ajukan soalan lagi. Edry tersenyum senget. Dia pandang Anita dan Adli silih berganti sebelum menjawab.

         ‘’Keluarga Azza tak pernah setuju perhubungan kami. Mereka dah ada pilihan mereka yang lebih baik dari aku. Mereka kata aku tak layak untuk Azza yang ada jawatan tinggi dan berpelajaran tinggi. Aku nak kata apa lagi. Aku tunggu masa saja. Kalau Azza kahwin dengan pilihan keluarga dia, aku akan buat keputusan muktamad selepas tu.’’ Sekali lagi Edry membuat kenyataan yang sukar diduga. Bertambah keliru Anita mendengarnya. Apa perasaan sebenar Edry? Hati Anita berteka-teki.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience