"MUHAMMAD AMMAR"
Baju uniform yang tersarung di tubuh, aku betul-betulkan sedikit. Hari ni aku kena bekerja selepas dah berehat dekat rumah tiga hari. Beberapa hari yang lepas, aku dah terima surat daripada Damia. Tulisan dia serius comel gila! Tersusun dan kemas. Isi kandungan surat dia pun comel jugak. Dia suruh aku jaga dia baik-baik lepas kami kahwin nanti. Dia jugak pesan suruh aku jaga diri masa bekerja.
Selepas memastikan segalanya dah okey, terus aku angkut beg roda ke bawah. Mama dan papa hanya tersenyum sebelum mama menuang air teh ke dalam cawan aku. Aku perasan sejak beberapa hari ni, memang mama asyik tersenyum je. Bahagia sangat agaknya sebab anak bongsu dia akhirnya nak kahwin.
“Lama ke Am pergi Dubai?”
“Lima hari.” Aku sengih. Tak lama sangat rasanya. Lagipun dalam kepala aku ni, aku dah rancang nak bagi sesuatu dekat Damia. Harap-harap dia sukalah hadiah aku tu nanti.
“Am tahu kan majlis Am dengan Mia hujung bulan ni?”
Aku mengangguk. 30 Jun 2017. Dah dekat sangat tu. 3 minggu macam tu je lagi.
“Dah ready?” Tanya papa sambil tersenyum.
Aku tersengih sumbing. Nak kata ready tu, boleh la tapi rasa gementar ada jugak. Tapi dalam gementar-gementar tu jugak, sempat lagi aku beli cincin untuk Damia. Cincin nikah nanti tapi aku belum tunjuk dekat mama lagi. Nanti-nantilah kot nak tunjuk.
“Alhamdulillah dah.”
“Baguslah kalau macam tu.” Papa senyum je lepas dengar jawapan aku. Suka jugak agaknya bila aku dah bersetuju nak kahwin ni.
Damia, untunglah awak kan?
Share this novel