BAB 3

Romance Series 10049

SERABUT! Itulah yang dirasa saat ini. Macam mana boleh jadi macam ini pula? Selepas selesai jamuan di hotel tadi, terus Del keluar dan tinggalkan hotel. Tak peduli dengan panggilan lelaki itu. Dia tak mahu tahu pun mengapa Redza bertindak mengenalkan dia pada umum.
Del mengeluh lagi. Entah kali ke berapa dia mengeluh pun, dia tak tahu.

“Kau tahu tak mengeluh tu tanda kita tak reda dengan takdir Allah?”
Terngiang-ngiang pula kata-kata dari Orkid, sahabatnya.

‘Hmm... reda, ya? Reda ke aku selama ni? Sedangkan solat 5 waktu pun tak pernah buat.’ Senyuman sinis terukir di bibirnya. Sesak kepalanya memikirkan tentang hidupnya. Sejujurnya, dia tak percayakan kewujudan tuhan. Kalau tuhan itu wujud, mengapa dia diuji sebegini rupa?

Del menarik nafas dalam. Dia cuba mengstabilkan moodnya. Laparlah pula. Dia tak sempat makan pun tadi. Bergaduh seminit dua lepas tu kena mengadap Datin Dahlia dan wartawan pula. Mana sempat dia nak makan? Ahhh! Ini semua salah si Redza itulah. Berbakul-bakul dia menyumpah di dalam hati.
Del memberhentikan motornya di tepi jalan. Kelihatan gerai burger yang masih meriah walaupun sudah hampir pukul 11 malam.

“Zet’s Burger. Menarik. Lepas aku berhenti kerja aku nak buka gerai burgerlah pulak. Mesti laku. Sedap juga malam-malam pekena burger. Letak pula extra cheese, ahhh! Mak mentua lalu pun tak perasan.”

Del membetulkan topinya yang kelihatan senget. Dengan penuh gaya, dia menghampiri kedua-dua perempuan yang kusyuk berborak. Entah apa yang mereka borakkan, Del pun tak tahu dan malas nak ambil tahu.

Pemilik gerai burger itu mengukir senyuman tanda menyapa. Tapi wajah Del hanya biasa. Senyum pun tak, angguk pun tak.

“Kerek eh, kau.” Luah seorang lagi perempuan di sebelah pemilik gerai ini.

“Pia...” halang gadis itu selamba. Macamlah dia tak tahu, kawannya pantang sedikit dengan manusia kurang adab spesis pelanggan di hadapannya ini.

Gadis yang bernama Syaffiyah itu terdiam pula. Dia menarik nafasnya agar bersabar. Tak lepas matanya memandang gerak-geri si pelanggan.

“Nak order apa?”
Del tak menjawab pertanyaan gadis ini. Matanya memandang menu bergambar yang melekat di cermin rak kaca di hujung meja.

“Burger daging extra cheese, extra mayo,” jawab Del senada.

“Okey. Nak air tak? Ada air jugak ni,” tanya pemilik gerai yang bernama Zatul itu lalu mencatatkan pesanan Del tadi di dalam bukunya.

“Air minral.”

“Okey. Awak duduk dulu dekat meja sana. Nanti saya hantar.”
Del tak berkata sepatah. Dia terus berlalu dan duduk di tempat yang dikatakan Zatul tadi.

Terangkat kening Syaffiyah melihat pelanggannya yang ini.

“Hoi! Kenapa pandang macam tu?” tegur Zatul hairan dengan gelagat kawannya.

Syaffiyah kembali memandang sahabatnya yang sedang menyediakan bahan-bahan untuk menyiapkan pesanan gadis tadi.
“Kau tak rasa pelik ke dengan perempuan tadi?” tanya Syaffiyah perlahan. Bimbang pelanggan lain mendengar perbualan mereka. Walaupun keadaan di sini riuh dengan suara pelanggan dan bunyi kenderaan, tapi Syaffiyah perlu berhati-hati.

“Kenapa dengan dia? Aku tengok dia okey aje. Tak ada benda yang pelik pun,” ujar Zatul lagi.

Sungguh, Zatul tak rasa pelik dengan perempuan tadi. Rasa biasa saja. Apa lagilah yang kawannya perhati.

“Kau kan tahu... aku ni pakar tengok reaksi wajah orang. Aku kan pernah ambik subjek psikologi. So, aku tahulah ada something tak kena dengan perempuan tu,” ujar Syaffiyah lagi. Dia yakin dengan kata-katanya.

“Maksud kau? Serius Pia... Aku tak faham apa yang kau maksudkan. Kenapa dengan dia?”

Syaffiyah terdiam pula. Sejujurnya dia pun tak tahu bagaimana hendak menerangkan hal ini.

“Entahlah, Zet. Aura kegelapan tu... aku dapat rasa. Dia macam misteri gila,” ujarnya lagi.

“Macam-macamlah kau ni. Tak baik tau asyik menaruh sangka yang bukan-bukan dekat orang,” ujar Zatul biasa.

“Tak... tak... ni bukan menaruh sangka. Tapi raut wajah dia tu nampak lain. Ahhh! Malaslah nak terang kat kau. Kau bukan faham pun,” ujar Syaffiyah sudah malas nak bercerita tentang gadis misteri itu.

“Yalah... yalah. Sentap ke tu?” tanya Zatul sengaja menyakat sahabatnya.

“Huh! Lambattt lagi aku nak sentap.”
Setelah beberapa minit, burger pelangan tadi sudah siap untuk dihantar.

“Nah, tolong hantar burger dengan air minral ni dekat dia. Kau jangan tenung dia tak lepas pulak. Nanti dia pelik,”kata Zatul lalu menyerahkan talam berisi burger dan air pada Syaffiyah.
Dengan senang hati Syaffiyah menyambutnya.

“Aku tahulah.”

DEL menunduk saja sedari tadi. Entah apa yang dia fikirkan, dia pun tak tahu. Rasa seperti diperhati, cepat-cepat dia mendongak memandang hadapan. Burgernya sudah sampai rupanya.

“Thanks,” katanya ringkas.
Syaffiyah mengangguk semata.

“Asal sini ke?” tanya Syaffiyah cuba berbasa-basi.

“Yup,” balas Del dingin. Dalam diam, dia berharap gadis itu cepat-cepat berlalu dari mejanya.

Melihat perubahan ketara di wajah Del, gadis itu pun terus meminta izin dan berlalu. Dia tahu Del tak selesa.

Del lepaskan nafas lega. Sungguh dia rasa nak bersendirian sekarang ini. Tak ada mood dia nak bercakap dengan sesiapa pun. Tapi ketenangannya tak kekal lama setelah muncul seseorang yang dia tak mahu jumpa buat masa sekarang.
Selamba lelaki itu menarik kerusi di sebelah Del. Del, apa lagi. Wajahnya serius memandang lelaki itu. Dia menghalau lelaki itu melalui pandangan.
Redza terpinga-pinga. Tak faham dengan pandangan si gadis.

“Kau boleh blah tak? Semak aku tengok muka kau.”
Redza senyum sedikit. Akhirnya, berjaya juga dia membuatkan teman wanita tangkap muatnya ini bercakap.

“Eh, awak boleh bercakap rupanya. Saya ingat awak bisu tadi,” ujar Redza berterus-terang. Sengaja nak cari gaduh nampaknya sekarang.

Malas Del nak layan Redza. Makan lagi bagus. Penuh cermat dia membuka pembalut burgernya tanpa hiraukan Redza yang memerhatikannya.

Suapan pertama, Del kerling Redza sekali lagi. Mengapa lelaki ini masih ada di sini lagi? Dia menyuap lagi burgernya. Tapi matanya sekejap-sekejap memandang wajah Redza yang hanya mendiamkan diri.

“Kau dah tak ada kerja ke asyik tengok aku makan aje dari tadi?” dia bersuara juga setelah merasa lemas dan rimas ditenung oleh Redza dari tadi.

“Saya nak jumpa girlfriend saya. Tak salah, kan?” kata Redza selamba.

Del mengetap bibirnya tanda bengang dengan Redza. Tapi mana mungkin dia menunjukkan reaksi wajahnya pada lelaki itu. Lantas, wajah setenang air kolam dia pamerkan pada Redza.

“Sejak bila aku jadi girlfriend kau?” tak boleh jadi. Rasanya dia harus berterus-terang tentang hal yang sebenar. Redza ini sasarannya. Bukan teman lelakinya. Dia ada tugas yang harus dia laksanakan.

“Saya tahu awak terkejut. Saya minta maaf sebab libatkan awak dalam hal ni. Tapi saya tak ada pilihan lain. Mommy tu tak habis-habis suruh saya kahwin dengan anak kawan dia. Tadi tu... dia dah nak umumkan yang kami akan bertunang. Tak... saya tak nak bertunang dengan dia,” ujar Redza berterus-terang.

“Habis tu, kau lebih rela kenalkan aku ni sebagai girlfriend kau walaupun kita tak saling kenal?” tanya Del hairan dengan permainan Redza.

“Better awak dari si Nadirah tu. Awak lain... sangat lain. Walaupun saya tak kenal awak, tapi saya yakin, awak jauh lebih baik dari Nadirah.”

Hampir nak tergelak Del dengan tahap keyakinan si Redza ini. Dia lebih baik dari si Nadirah itu? Kalaulah Redza tahu perkara sebenar, mesti dia cepat-cepat tarik semula kata-katanya itu.

“Kau cakap ni macam kau dah kenal aku 10 tahun dah. Beli mana keyakinan tu? Shopee ke lazada?” sindirnya lagi.

Terkesankah Redza dengan sindiran Del? Langsung tak. Malah, senyuman manis dia tayang agar hati Del cair.

“Siapa nama awak?”

Sekali lagi Del nak tergelak. Punya beria Redza kenalkan dia pada semua orang. Tapi Redza tak tahu pun namanya.

“Penting ke kau tahu nama aku?” tanya Del sinis.

“Dah tentu. Awak kan girlfriend saya,” yakin benar kata-kata Redza.

Del menjulingkan mata ke atas. Malas nak layan keyakinan Redza itu.

“Please? Saya just nak tahu nama awak. Tak salah, kan?”
Redza membuat wajah simpati. Del menarik nafas dalam. Sungguh dia rasa nak rejam kepala lelaki ini dalam lubang tandas. Kenapalah buat muka macam tu? Ingat comellah tu? Err... tapi memang comel pun. Dah kenapa hatinya boleh terusik dengan kecomelan wajah lelaki itu pula? Selama ini dia jenis yang tak berperasaan. Dia harus tetap dengan pendiriannya. Tak mahu gagal lagi kali ini. Cukuplah dia pernah kalah dengan lelaki yang bernama Ammar Mateen dulu. Dia menarik nafas dalam membuang perasaan yang entah apa-apa ini.

“Tu bukan urusan kau. Aku wujud depan mata kau ni pun sebab aku ada tugas yang aku kena laksanakaan.”
Redza mengangkat kening bertanya. Tapi Del sekadar mendiamkan diri.

“Sebelum tu, aku nak kau clearkan nama aku dulu. Bagitahu semua wartawan yang aku bukan girlfriend kau.” Del cuba mengugut Redza pula.

Redza menggeleng. Tak akanlah dia nak berterus-terang pula dengan semua orang yang wanita ini bukan kekasihnya? Buat rugi dia saja. Sah-sahlah nanti dia kena berkahwin juga dengan si Nadirah itu. Tak... hal itu takkan terjadi.

“Tak mungkin, sayang. Saya takkan buat macam tu. Awak dah pun jadi girlfriend saya.”

Del mengeluh kuat. Penat juga hendak berdebat dengan makhluk yang seorang ini. Sudahlah tenaganya sudah tahap 0. Yang dia tahu, dia hendak balik rumah dan tidur. Yang lain... esok sajalah dia fikir.

“Suka hati kaulah Muhammad Redza. Aku malas nak layan.”

Del bangun lalu menuju ke arah motorsikalnya. Redza juga turut ikut sama. Nak menghalau, Del tahu lelaki itu takkan menurut pun. Jadi lantak dialah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience