Rate

Bab 1

Drama Series 2022

Nurin berjalan di tengah-tengah bandar Stockholm itu, menyusur jalan Vasterlanggatan. Sejak akhir-akhir ini dia amat merindukan tanah airnya.Entah mengapa rindunya tidak boleh dibendung lagi.

Pengajiannya sudah pun berakhir. Sudah berapa kali abangnya menasihatinya agar melanjutkan pelajarannya ke peringkat kedoktoran, namun bagaimana dia mahu menampung pelajarannya nanti? Dengan bekerja di restoran makanan segera lagi? Tidak mungkin.

Abangnya sanggup menampung pelajarannya, namun dia tidak sampai hati membebankan abangnya. Abangnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Sebab itu dia tidak sampai hati untuk terus membebankan abangnya dengan menampung kos pengajiannya sedangkan abangnya hanya bekerja cara kampung dan perlu menampung hidupnya sekeluarga.

"Opss, sorry."

Dia hampir terlanggar seorang tua yang berjalan pantas di celah-celah jalan Vasterlanggatan itu. Jalan yang dikenali dengan jalan muzik kerana kebanyakkan kedai di situ adalah kedai muzik dan kedai menjual barangan runcit. Cuaca walaupun musim panas tetapi tetap nyaman.

Kedengaran lagu-lagu Inggeris dan kadangkala lagu berbahasa Swedish bertingkah di sepanjang jalan itu. Di situ dijual berbagai-bagai kaset dan CD lagu dalam berbagai-bagai bahasa. Namun sudah beberapa tahun dia di situ, tidak pernah terjumpa lagu Malaysia kecuali lagu-lagu dari Indonesia atau India.

"Pulanglah Rin. Dah lama sangat Rin di sana. Pengajian Rin pun dah tamat. Ibu rindu Rin sangat-sangat dan ada perkara penting yang ibu mahu bincangkan dengan Rin."

Dia teringat beberapa hari yang lalu dia menelefon ibunya untuk bertanya khabar. Walaupun sudah lama tidak pulang ke Malaysia, walaupun sudah lama tidak menjejakkan kaki, namun baginya kasih sayang terhadap ibunya dan ayahnya tidak pernah terputus. Tidak sesekali.

"Rin akan pulang tapi bukan hari ni. Rin masih mahu menghabiskan masa Rin dekat sini untuk menghilangkan tekanan sepanjang Rin belajar."

Dia berkata perlahan mengimbang rasa bersalahnya. Dia bukan tidak mahu pulang, dia mahu pulang, tapi seperti yang di katakan. Bukan hari ini. Dia masih mahu meneroka bandar Stockholm itu. Dia tahu apabila dia sudah menjejakkan kaki ke tanah airnya, entah bila pula dia akan sampai di tanah Inggeris itu.

Nurin terus bergerak perlahan beredar dari situ menyusur jalan. Di Sweden sekarang musim luruh. Pokok-pokok mengugurkan daun di sepanjang jalan. Bandar Old Town itu memang digemarinya. Kadang kala dia berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat menikmati keindahan bandar itu.

Dari Vasterlanggatan kadang kala dia berjalan kaki ke Helgeandsholmen di mana terletaknya Risdag Building. Tidak jauh dari situ dia dapat melihat laut yang cantik. Dia boleh duduk berjam-jam lamanya melihat laut dan juga lelayang yang terbang tinggi.

Kalau musim salji, dia rajin melihat burung-burung yang sampai sekarang tidak tahu apa namanya bermain di laut yang sejuk dan hampir beku. Mula-mula dia datang dia kehairanan, namun selepas beberapa tahun dia sudah jadi tidak kisah dan lali. Bahkan dia boleh duduk di gigi pantai berjam-jam lamanya melihat burung-burung itu.

"Sudah sampai masanya untuk aku pulang." Nurin bercakap dengan dirinya .

Ya, sememangnya sudah tiba masanya dia kembali ke tanah airnya. Dia tidak boleh terus di sini dan membiarkan ibu dan ayahnya menanggung rindu padanya. Dia tidak sepatutnya mendera perasaan kedua orang tuanya.

Nurin melihat jauh ke luar jendela biliknya. Pagi ini sungguh indah. Angin dingin meresapi tubuhnya, menyamankan suasana, sekali gus menenangkan debaran perasaannya dari semalam. Musim luruh di tanah Inggeris ini adalah musim yang paling dia suka. Musim hening yang bagaikan menyimpan sejuta rahsia, namun pemandangan indahnya mampu menyerlah kebesaran ciptaan Ilahi.

Nurin kembali menutup rapat tingkap biliknya. Bilik yang bakal dia tinggalkan entah untuk berapa lama. Biliknya ini tiada bezanya bilik di tanah airnya, kecil tetapi cukup selesa untuk dia tinggal sejak mula menjejakkan kaki ke situ. Itulah rumah keduanya.

Di situlah penginapannya bersama beberapa orang pelajar iaitu Nisa, Mia dan June. Biarpun sewanya agak mahal, tetapi satu kelebihan di sini ialah kawasan kejiranannya terdiri daripada masyarakat Pakista yang beragama Islam. Tiba-tiba terdengar pintu bilikknya diketuk perlahan. Belum sempat Nurin menoleh, Nisa kelihatan tercegat di pintu.

"Betul ke kau nak pergi sendiri Rin?"

Nurin tersenyum sambil mengangguk. Nisa terus merapatinya. Nurin memeriksa beg-beg yang akan dibawa. Memastikan semuanya terkunci kemas.

"Berapa lama kau balik?"

"Tak tahu lagi, tapi mungkin untuk selamanya."

"Bila pula kita boleh jumpa?" Soal Nisa perlahan. Sedikit sayu.

"Ada umur panjang, jumpalah kita nanti."

Memang sukar untuk mengucapkan selamat tinggal pada mereka yang telah banyak membantunya selama ini. Malah, mereka jugalah tempat Nurin menumpang kasih. Begitulah lumrah hidup mereka berempat di rumah serba kecil, tetapi mewah dengan gelak tawa dan gurau senda ini.

Suasana menghening sebentar sebelum Nurin bersuara kembali, "Mia dan June mana? Keluar ke?"

"Pergi library. Tapi dia orang berdua akan balik sebelum kau ke airport karang."

"Tak habis-habis belajar! Aku ni pula kerja, kerja dan terus kerja."

"Tapi kau duit banyak masuk. Kami ni selalu pokai."

"Pokai sekejap jer. Lepas habis belajar, kau oranglah paling penuh duit dalam kocek daripada aku." Kata Nurin.

"InshaAllah kalau diizinkan." Balas Nisa.

"Dah sampai sana jangan lupa hantar e-mail tau."

"Sudah semestinya! Bukan e-mail, tapi aku hantar surat lagi untuk kau orang. Barulah klasik sikit. Bukan senang tau orang sekarang nak tulis surat!"

"Yalah tu. Apa-apa pun janji kita tak putus hubungan sampai bila-bila." Ucap Nisa penuh mengharap.

"InshaAllah. Nanti bila kau orang balik cuti, datanglah rumah aku. Boleh kita keluar sama-sama."

"Huh? Satu kat Johor, satu kat Sabah, satu kat Pahang dan seorang lagi di Cheras, macam manalah nak jumpa? Biar betul kau ni?!" Nisa memandang Nurin seolah-olah satu perkara mustahil untuk mereka bertemu semula bila mereka semua kembali bercuti ke Malaysia nanti.

"Tak apa. Kalau tak boleh jumpa semua sekali, jumpa setakat seorang dua pun jadilah. Aku pun tak harap June nak menyeberang Laut China Selatan semata-mata nak jumpa kita. Tapi kalau ada kesempatan, apa salahnya kan?" Nurin memungkinkan satu kenyataan.

"Mudah-mudahan. Kalau ada rezeki. Harga tiket kapal terbang pun bukan mahal sangat sekarang ni. Kita boleh rancang baik-baik kalau nak jumpa."

Ya. Segala-galanya mungkin jika kesempatan dan waktu itu diizinkan Allah SWT.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience