Rate

Bab 1

Romance Completed 764276

Kerja shift malam yang sibuk berakhir akhirnya. Kafe menjadi sunyi sepi. Setelah menukar uniform kerja yang dipakai, Dian duduk memeluk beg sandang sambil merenung keluar tingkap. Hujan lebat membuatkan hatinya resah.

"Dian tak balik lagi?" Tegur Cindai disebalik pintu lockernya.

Dian menoleh. "Hujan lebat." Dia memandang keluar semula, keluh dilepas perlahan. "Bukan kau tak tahu aku rabun silau tambah lagi hujan lebat macam ni. Apa pun tak nampak. Drive ke longkang nanti." Rungut Dian. Terpancar riak risau diwajahnya.

Cindai mengambil payung di sudut dinding kemudian beralih duduk di sebelah Dian. Kakinya dilunjurkan lurus ke depan. "Kau janganlah risau. Aku kan ada. Apa guna kawan kalau tak boleh teman. Kan?"

Bibir terukir senyum nipis. "Tak apa lah Cin. Nanti kau tertinggal bas pula. Kejap lagi hujan ni reda lah." Balas Dian. Tidak mahu membebankan Cindai.

Dian maklum kalau sahabatnya itu menggunakan perkhidmatan bas pada hari tersebut. Bukan dia tidak mahu menumpangkan Cindai tetapi disebabkan arah yang bertentangan dan masalah rabun malam yang dia alami. Takut juga andai terjadi apa-apa. Lainlah kalau siang hari, Cindai nak ke mana pun dia boleh hantarkan.

"Betul ni? Aku tengok muka kau resah semacam je." Soal Cindai. Risau melihat sahabatnya itu yang tidak seceria seperti biasa.

"Ibu aku suruh balik cepat tak tahulah kenapa. Esok aku story okay. Kau balik lah dulu."

"Kenapa? Parents kau marah ke? Ke Dyana buat hal lagi?" Soal Cindai ingin tahu masih tidak berganjak.

Dian menjongkit bahu. Dia sendiri tidak pasti.

"Erm..Apa-apa pun jaga diri. Hati-hati drive tau. Bye.. Jumpa kat kelas esok ye."

Dian mengukir senyum. Tangan diangkat membalas lambaian Cindai sehingga sahabatnya itu hilang di sebalik pintu.

Sedang Dian memandang keluar. Telefonnya berbunyi lagi. Sejak jam terakhir berkerja tadi, tidak henti-henti telefon tersebut berbunyi. Silih berganti dihubungi oleh Karina dan Dyana memintanya pulang dengan segera.

Dian menelan air liur sebelum menjawab panggilan Karina. "Assalamualaikum ibu."

"Bila kamu nak balik ni Dian? Ayah kamu dah marah tu." Tanya Karina dihujung talian.

"Kejap ibu. Dian nak gerak balik dah."

"Kejap! Kejap! Cepat lah sikit!" Talian diputuskan.

Dian bertambah resah. Sebelum ini kehadirannya jarang diperlukan dan dihirau. Pasti ada sesuatu yang terjadi sehingga didesak untuk pulang ke rumah dengan segera. Yakinnya.

Tidak menunggu lama, Dian keluar dari bilik locker dan berlari masuk ke dalam kereta. Mahu atau tidak dia harus memberanikan diri memandu pulang.

HUJAN dan angin kuat memukul cermin kereta sehingga menyukarkan Dian untuk melihat jelas ditambah pula pantulan lampu daripada kenderaan yang bertentangan.

Nasib tidak menyebelahi, bukan kerana Dian terbabas atau masuk ke longkang sebaliknya dia dilanggar dari arah belakang.

Seorang lelaki berbaju serba hitam keluar berlari anak mengetuk tingkap kereta Dian.

"Cik tak apa-apa." Ujar lelaki tersebut.

Tanpa menghirau lelaki tersebut, Dian membuka pintu kereta dan berlalu ke belakang melihat keadaan keretanya itu.
Tidak peduli tubuhnya basah ditimpa hujan.

"Saya okay tapi kereta saya tak okay." Kata Dian sambil menunjuk ke arah bumper keretanya yang sedikit remuk.

Sedang Dian berbincang dengan lelaki tadi, seorang lagi lelaki keluar dari kereta yang melanggarnya lengkap berpakaian hitam sama dengan lelaki yang tadinya.

Ah sudah. Kenapa tadi dia tidak terfikir akan bahaya lain. Bagaimana kalau lelaki tersebut mempunyai niat jahat dengan sengaja melanggarnya dan memancing dia untuk keluar. Dian mengetap bibir. Cuak.

Baru Dian hendak bergegas pergi, dia melihat lelaki yang kedua tadi memegang payung kemudian membuka pintu kereta di bahagian penumpang belakang. Seorang wanita cantik bertudung keluar dari kereta tersebut. Dian menguak rambut yang menutup sebelah mata.

"Kak Deliya?" Sebut Dian sebaik melihat kelibat majikannya itu. Walaupun pandangan kabur dek hujan tetapi wanita tersebut tetap nampak elegan di matanya.

"Dian? Awak okay tak?" Soal Deliya risau. Tubuh Dian ditilik sekiranya ada cedera di mana-mana. "Akak minta maaf atas kecuaian driver akak. Biar akak tanggung kos kerosakan kereta awak ye." Kata Deliya. Kos kerosakan kereta Dian apalah sangat dengan kekayaan yang dia ada.

"Saya okay kak." Tidak menolak Dian mengangguk. Untung majikannya bertanggungjawab. Jimat duit poket.

Sesekali dia melirik pada dua lelaki yang mengiring Deliya. Jarang sekali dia melihat majikannya itu keluar ditemani pengawal peribadi.

Perasan akan Dian yang seakan tertanya-tanya, Deliya tersenyum. "Hari ni Papa Kak Deliya tak ke mana-mana. So, akak pinjam kejap bodyguard dan driver Papa. Akak malas nak drive."

"Oh.." Dian tersengih malu. Pasti tadi wajahnya terserlah penuh dengan tanda soal sehinggakan Deliya menjelaskan padanya tanpa dia bertanya terlebih dahulu.

Teringat dia sudah terlambat. Dian meminta diri untuk pulang. Terbayang dimarahi oleh orang tuanya.

SETELAH hampir sejam memandu. Dian selamat sampai. Kelihatan lampu di dalam rumah masih terang benderang menandakan penghuninya masih berjaga. Betul-betul menunggu kepulangannya. Dada berdebar.

Dian tunduk memandang tubuhnya yang basah kuyup. Dia menarik nafas dalam. Dengan menahan kesejukan, dia memberanikan diri membuka pintu rumah yang tidak berkunci. Terpampang jelas wajah bengis Affendi. Manakala Dyana teresak-esak diriba Karina.

"Baru nak balik! Tengok jam pukul berapa? Sini!" Jerkah Affendi. Jam di dinding ketika itu menujukkan pukul 12.50 am.

Beg sandang diturunkan. Perlahan-lahan Dian menghampiri Affendi. "Ayah, Dian.."

'Pang!'

Serta merta kepala terteleng. Satu tamparan hinggap dipipi mulusnya. Terasa pijar. Pipi yang mula bertukar merah dipegang.

Karina dan Dyana yang sudah menjangka dengan tindakan Affendi hanya diam menyaksikan kejadian tersebut. Dyana langsung bangun dari terus berbaring di riba Karina.

"Tak boleh harap! Susah sangat ke nak jaga adik kamu tu. Sanggup kamu biar dia keluar mengikut jantan. Nasib Tok ketua sendiri yang tangkap adik kamu dengan anak lelakinya. Mana ayah dan ibu nak letak muka! Berapa hari ayah tak balik. Ini yang ayah dapat. Memalukan!" Marah Affendi. Sikit pun tidak rasa bersalah menampar anak sulungnya itu.

Dengan mata yang bertakung air jernih. Dian mengangkat pandang. "Ayah, siang hari Dian ada kuliah. Balik tu Dian terus pergi kerja. Macam mana Dian nak jaga Yana. Dia tu bawah Dian dua tahun je, dah besar. Tak boleh ke jaga diri sendiri." Dian menjeling tajam Dyana. Dasar trouble seeker!

"Menjawab!" Tengking Affendi. Sikit lagi penangan pegawai askar itu hinggap di wajah.

"Dah alang-alang tak ramai orang tahu mengenai hal ini. Ayah nak kamu sebagai kakak gantikan tempat adik kamu. Ikat pertalian dengan jantan tu." Terang Affendi.

Dian menggeleng laju. Air jernih yang bertakung tadi turun membasahi pipi. "Jangan buat Dian macam ni ayah. Ini bukan salah Dian. Dian tak nak." Dia meraih lengan Affendi menagih belas ihsan ayahnya itu namun ditepis kasar sehingga Dian jatuh terduduk.

Air mata semakin deras mengalir. "Dian pun anak ayah. Kasihan kan Dian ayah. Ibu.." Dian beralih dan duduk bersimpuh memeluk lutut Karina yang duduk di sofa. Dian menadah wajah basahnya memandang Karina. "Ibu, tolong Dian ibu. Pujuk ayah ibu."

Hati Karina sayu melihat Dian. Dia menyeka air mata anaknya itu. "Dian, dengar cakap ayah kamu ye. Ibu, ayah harapkan kamu je boleh tolong adik. Cukup sekadar menutup mulut orang kampung. Kalau kamu tak nak, malu keluarga kita sayang." Pujuk Karina.

Dian geleng kepala. Disangka Karina akan menyebelahinya tetapi wanita itu malah bersetuju dengan Affendi.

"Kalau kamu tolak. Kamu boleh angkat kaki keluar dari rumah ni." Affendi menuding jari tepat ke pintu. "Anak penting diri!" Tambahnya lagi sambil berlalu masuk ke dalam.

Suasana bertukar sunyi. Hanya terdengar tangisan pilu Dian.

"Kak." Sapa Dyana perlahan. Kepala ditundukkan mengelak daripada melihat langsung ke mata Dian. "Kak, maafkan Yana."

"Dah lah Yana. Masuk tidur." Sampuk Karina sambil menggosok peha Dyana. Kemudian Karina mengusap lembut pipi Dian. "Dian masuk bersihkan diri ye. Rehatlah. Esok pihak sana akan datang." Lalu Karina bangun dan menarik tangan Dyana meninggalkan Dian berseorangan di situ.

Dian menunduk lemah dan rapuh. Dia menangis semahunya melepaskan rasa kecewa. Teresak-esak. Tangan yang berketar kesejukan dibawa tepat ke dada. Sakit. Cukup sakit.

Bagaimana dia hendak menghadapi hari esok. Haruskah dia korbankan diri mengikat perhubungan dengan lelaki bukan pilihannya. Atau dia keluar saja meninggalkan keluarganya itu. Dian serabut.

[slow update] Hai kawan. Thanks support ye. =)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience