Bab 3
Umaira yang duduk di gazebo itu, perlahan merapat dan memeluk kedua lututnya ke dadanya dengan erat. Angin malam yang sepoi-sepoi bahasa itu menyapa lembut ke wajahnya yang masih tidak kering dek airmata. Rambutnya sesekali terbang dihembus angin. Terngiang-ngiang kembali peristiwa pahit yang terjadi seminggu yang lalu di saat ini.
Tidak menyangka sama sekali, di saat baru menata kebahagiaan yang diharapkan akan kekal hingga ke akhir hayat bersama suami tercinta, hancur dengan sekelip mata hanya dalam satu malam. Semakin laju airmatanya mengalir. Dadanya yang terasa disiat-siat itu ditekan dengan telapak tangan lalu dahi jatuh melekap di atas lutut.
"Maira rindukan abang..." rintih Umaira dalam tangis.
"Maira..." Umaira tersentak apabila bahunya tiba-tiba disentuh orang. Dia lantas mengangkat muka lalu menoleh ke sisi kanan. Sedikit terkejut tatkala memandang gerangan yang baru sahaja melabuh punggung, duduk disebelahnya.
"A... abang..." Umaira segera menyeka airmata dengan hujung jari lalu menjatuhkan kedua kakinya ke bawah.
"Maaf, sebab baru hari ni abang ada kekuatan datang jumpa Maira,” ujar Zakuan terdengar berat dan sayu.
“Tolong jangan menangis lagi. Abang tak sanggup tengok Maira macam ni disebabkan kebodohan abang. Abang minta maaf. Abang dah buat Maira kecewa dengan abang,” ujarnya lagi. Teragak-agak tangannya menyeka sisa airmata di pipi bekas isterinya itu.
"Bukan salah abang," ujar Umaira sambil menggeleng lemah.
"Maira yang bersalah dalam hal ni. Maira yang cabar abang. Maira minta maaf dekat abang. Maira tak sepatutnya desak abang selama ni. Maira terlalu pentingkan diri sendiri tanpa fikirkan perasaan abang, masalah abang," ucap Umaira. Zakuan malah menggeleng lemah.
"Tak. Maira tak bersalah. Ini semua salah abang sendiri. Abang yang berjanji dekat Maira, tapi abang juga yang tak mampu tunaikan janji abang sendiri pada Maira. Abang betul-betul rasa menyesal sekarang ni. Menyesal sangat-sangat, tapi nak buat macam mana…" Zakuan terus menunduk sayu.
"Tapi, betul ke abang selama ni rimas dengan Maira? Betul ke, abang dah muak dengan Maira?" soal Umaira dengan mata yang masih berkaca-kaca. Zakuan segera mengangkat muka lalu menggeleng laju.
"Tak. Abang tak rimas dengan Maira. Abang tak pernah rasa muak sama sekali dengan Maira. Abang sayang dan cintakan Maira sepenuh hati abang,” ucap Zakuan bersungguh-sungguh.
"Habis tu, kenapa abang tak nak nyanyi lagu tu malam tu? Betul ke, abang ada masalah besar dengan company abang selama ni?"
Zakuan agak sedikit terpempan. "Ma... macam mana Maira tahu?" soalnya teragak-agak dengan dahi sedikit berkerut.
Umaira terus menghela nafas berat.
"Itu tak penting dari mana Maira dapat tahu. Company abang tengah menghadapi krisis kewangan yang sangat kritikal sejak dari tahun lepas lagi. Dan company abang juga bakal diistiharkan muflis tahun ni,” cerita Umaira.
Zakuan terdiam seketika.
"Kenapa abang tak nak cerita pada Maira selama ni? Kenapa abang pendamkan ke semua masalah abang? Kalau Maira tahu, Maira takkan desak abang malam tu," ujar Umaira mula melirih. Airmata kembali mengalir di pipi, mengenang kembali pertengkaran mereka di malam pernikahan itu. Sakitnya sehingga kini masih terasa. Malah tidak berkurang sama sekali.
Zakuan terus menundukkan pandangan.
"Abang minta maaf. Abang terpaksa merahsiakan hal ni sebab tak nak Maira susah hati. Hal ni bukan Maira je yang tak tahu. Tapi, family abang juga tak tahu. Abang cuma beritahu ada masalah kecil je dekat company. Abang cuba selesaikan masalah ni sendiri tanpa perlu melibatkan orang lain. Abang minta maaf..." Akhirnya, Zakuan mengakuinya.
"Kenapa abang cakap macam tu? Sepatutnya, abang cerita masalah abang pada Maira. Bukan pendam sorang-sorang. Sekurang-kurangnya, Maira boleh cuba bantu abang. Maira tak kan biarkan abang dalam kesusahan sendiri. Abang buat macam ni, seolah-olah Maira ni tak pedulikan abang langsung selama ni. Tak nak ambil tahu tentang masalah tunang Maira sendiri. Kita dulu pernah berjanji, apa-apa masalah kita cerita, kita kongsi. Jangan pendam sendiri. Tapi, kenapa abang lupa janji kita tu?" Umaira mula mempersoalkan tentang janji mereka.
"Abang minta maaf, Maira. Abang mengaku, abang salah dalam hal ni. Abang tak lupa tentang janji kita. Cuma…” Zakuan sudah kehilangan kata-kata. Nafas ditarik lalu dihembus lelah.
“Abang menyesal sekarang. Tapi, penyesalan abang dah tiada erti lagi. Abang dah kehilangan Maira. Abang dah tak boleh memiliki Maira lagi. Abang minta maaf,” ujar Zakuan dengan matanya mula berkaca-kaca. Tiada kata-kata lain lagi yang mampu menzahirkan bagaimana besarnya penyesalan yang dia rasakan setelah melafazkan talak terhadap wanita yang paling dia cintai pada malam itu. Namun, sudah takdir jodoh mereka hanya setakat disitu sahaja.
Umaira memejamkan mata rapat. Cuba meredam rasa kecewa, sedih, dan rasa hancurnya hati setelah berkali-kali mendengar Zakuan hanya mampu mengucap kata maaf dan rasa penyesalan padanya.
"Maira..."
Umaira perlahan membuka matanya. Dia agak terkejut disaat dia memandang Zakuan sedang memangku sebuah gitar di atas riba itu. Entah dia sendiri juga tidak menyedari jika Zakuan ada membawa gitar bersama tadi.
"Walaupun semuanya sudah terlambat, tapi atas permintaan Maira selama ni. Dan atas janji abang sebelum ni, abang akan tunaikan permintaan Maira tu malam ni,” ujar Zakuan dengan nada suara yang bergetar sebak. Dia menarik nafas dalam lalu mula memetik gitar.
“You're just too good to be true
Can't take my eyes off you
You'd be like heaven to touch
I wanna hold you so much
“At long last love has arrived
And I thank God I'm alive
You're just too good to be true
Can't take my eyes off you…”
Umaira yang sudah tidak dapat menahan rasa sebak di dada, terus menghambur esak tangis. Mengapa baru sekarang lelaki itu menyanyikan lagu itu setelah lelaki itu bukan lagi miliknya? Malah yang sakitnya, lelaki itu tidak akan pernah menjadi miliknya lagi.
Zakuan juga akhirnya menitiskan airmata. Dia menunduk memandang tangannya sendiri memetik string gitar. Dia tidak sanggup memandang wajah Umaira tika ini. Terlalu tidak sanggup sehingga suaranya hampir pecah namun dia tetap terus menyanyi.
“I love you, baby
And if it's quite alright, I need you, baby
To warm a lonely night, I love you, baby
Trust in me when I say
“Oh, pretty baby
Don't bring me down, I pray, oh pretty baby
Now that I found you, stay
And let me love you, baby
Let me love you…”
Kerana lagu mereka disatukan, namun kerana lagu juga mereka terpisahkan...
****
Hari ini tepat tiga bulan peristiwa perit itu berlalu. Umaira melangkah menuju ke ruang makan dengan wajah tenang. Puan Kartina yang sudah berada di ruang makan sejak tadi, terus mengangkat bebola mata memandang Umaira yang baru sahaja masuk ke ruangan itu.
"Morning, anak ibu,” sapa Puan Kartina lembut disertai dengan senyuman nipis.
"Morning, ibu,” sahut Umaira dengan senyuman lalu melabuh punggung duduk di sebelah kanan Puan Kartina.
"Maira start kerja hari ni?" soal Puan Kartina apabila dia melihat penampilan Umaira yang kelihatan elegan berkarisma itu.
Umaira mengangguk. "Yup.”
Mak Som yang merupakan orang gaji dirumah agam itu, terus saja menuangkan teh panas ke dalam cawan yang telah di sediakan.
"Terima kasih, Mak Som,” ucap Umaira lembut.
"Sama-sama." Mak Som tersenyum lalu berlalu menuju ke dapur basah meninggalkan dua orang anak beranak itu menikmati sarapan pagi.
"Maira sure ke ni nak start kerja? Kalau belum ready lagi, Maira ambil lah cuti beberapa hari lagi. Ibu tak nak nanti kerja terganggu, then Maira semakin stress,” nasihat Puan Kartina. Umaira menarik nafas sebelum dia meraih dan menggenggam tangan Puan Kartina yang berada di atas meja itu.
"I'm okay, ibu. Three months is more than enough. Life must go on. Tiba masanya untuk Maira kembali jalani rutin harian seperti biasa. Maira tak nak terus terperap di dalam bilik je. Semakin lama Maira berkurung dalam bilik, semakin Maira akan terasa tertekan. Better tertekan dengan kerja dari tertekan dengan mengenang hal yang tak mungkin dapat diubah lagi,” ujar Umaira cuba memberi keyakinan pada ibunya. Atau lebih tepatnya lagi memberi semangat pada diri sendiri.
Puan Kartina tersenyum lalu menggenggam kembali tangan anak kesayangan nya itu. Ada sedikit lega hatinya mendengar kata-kata Umaira itu.
"Baiklah, ibu faham. Ibu harap Maira redha dan ikhlas terima ketentuan ni. Semua apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Bersabar lah,” ucap Puan Kartina. Umaira tersenyum sambil mengangguk.
"Insya Allah, ibu."
****
Dengan penuh bergaya dan berkeyakinan tinggi, Umaira terus melangkah masuk ke dalam bangunan megah pencakar langit itu, tanpa menoleh ke kiri mahupun ke kanan. Manakala dua orang penyambut tetamu yang bertugas pada pagi itu, terkejut melihat kemunculan nya buat pertama kali setelah berita tentang perceraian nya berlegar di media sosial tiga bulan yang lalu.
"Good morning, Miss Umaira… Eh… Madam Umaira," sapa mereka berdua yang sempat keliru gelaran apa yang sesuai digunakan untuk menyapa anak pemilik bangunan itu. Mereka terus menunduk tanda hormat.
"Morning." Umaira hanya tersenyum nipis. Dia terus saja berlalu pergi menuju ke lif VIP.
Tiba sahaja di lantai yang paling atas, Umaira melangkah masuk ke dalam ruang pejabat yang menempatkan berpuluh-puluh kakitangan bertugas di situ. Mereka semua turut sama tercengang melihat kehadirannya yang penuh selamba itu. Namun, Umaira tetap sahaja berlagak tidak ambil peduli.
"Weh! Weh! Seriously, Miss Umaira start kerja hari ni?" soal Sufian seakan tidak percaya. Dia yang berdiri sambil memegang cawan yang berisi kopi panas itu terus memandang ke arah Hamidi yang duduk bersebelahan dengan meja kerjanya.
"Nampak gayanya, macam tu lah,” jawab Hamidi acuh tak acuh. “But anyway, kita dah tak boleh panggil dia Miss Umaira lagi even dia dah janda. We still keep call her, Madam.”
“Oh, betul juga kata kau tu. Madam Umaira.” Sufian mengangguk-angguk setuju. Tiba-tiba seorang wanita bertudung labuh datang menghampiri mereka.
"Hey, korang rasa lah kan, apa sebab Madam Umaira kena cerai talak 3 oleh laki dia tu, ha?" Sufian dan Hamidi terus sahaja mencebik sebal.
"Entah-entah, Madam Umaira kantoi curang kot. Biasa lah kan zaman sekarang ni, perempuan-perempuan kaya, loaded macam tu, mesti ada pasang sparepart dalam diam,” sambung Rosnah selamba.
"Ewah, ewah! Mulut kau kan, Rosnah..." Hamidi menggeleng kepalanya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mencilikan mulut wanita itu.
"Kau jangan sesuka hati nak menabur fitnah, minah oi. Kau ada bukti ke? Kau pernah nampak Madam Umaira tu dengan lelaki lain ke, selain bekas suami dia tu? Tak pernah kan? Jadi, kau kena ingat, menabur fitnah ni dosa dia lebih besar dari dosa orang yang membunuh,” selar Hamidi tanpa berkias. Bukan dia tidak tahu perangai minah yang suka membawang itu. Malah, satu bangunan tahu.
"Ha'ah. Sekali aku luku kepala kau,” celah Sufian dengan mengangkat tangan acah-acah ingin menghentak kepala Rosnah itu dengan sikunya. Rosnah terus menjuih mulut meluat.
"Kau suka sangat membawang kan? Apa kata, kau pergi jumpa Madam Umaira sendiri. Tanya dekat dia, kenapa dia diceraikan. Mana lah tahu kan, dia bermurah hati cerita dekat kau. Lepas tu, bila kau dapat tahu punca diorang bercerai, kau pergilah canang satu Malaysia ni, biar semua orang tahu. Then, confirm gaji kau naik lepas ni sebab sebar aib orang. Kalau tak pun, dapat award minah kaki membawang paling top dekat office ni,” perli Sufian sengaja ingin menambah sakit hati wanita itu.
"Oww, kau nak perli aku, ye?" soal Rosnah sambil mencekak pinggang.
"Eh! Sentap ke?" sinis Sufian dengan menjongket sebelah kening. Rosnah terus mengetap bibir.
"Hish! Meluat betul lah aku dengan korang berdua ni!" Rosnah menjeling lalu melangkah pergi. Sementara Sufian dan Hamidi pula terus tertawa sinis.
****
Pintu diketuk dari luar. Umaira yang sibuk menelaah kertas-kertas kerja yang tertunggak di atas meja, terus saja memberi arahan masuk tanpa mengangkat muka.
"Come in." Pintu dikuak perlahan dari luar. Terjengul wajah Syafiqa di muka pintu sambil tersenyum nipis. Dia melangkah masuk ke dalam lalu menghampiri Umaira.
"Morning, lady boss,” sapa Syafiqa ceria. Dia terus saja melabuh punggung duduk di kerusi di hadapan meja Umaira itu tanpa meminta izin terlebih dahulu. Dia sudah terbiasa dengan wanita yang menjawat jawatan COO itu.
"Morning,” jawab Umaira lalu mengangkat muka.
"How are you? Feeling much better now?" soal Syafiqa. Dia merenung wajah tenang Umaira itu.
"Yup. Kenapa? Ada nampak macam orang mati laki ke?" perli Umaira acuh tak acuh. Syafiqa terus tertawa kecil. Ini lah yang membuat Syafiqa kagum dengan sahabat rapatnya itu. Walu sebesar dan seberat bagaimana pun masalah yang dihadapi, Umaira tetap cuba untuk bersikap profesional bila melibatkan kerja. Dia akan cuba untuk tidak mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja. When it comes into works, she will give her focus 100% on it.
"Tak ada lah. I know, you're a very strong woman that I'd ever know. Cuma aku risau je, kot-kot kau terasa hati dengan gosip tentang perceraian kau tu yang masih hangat diperkatakan walaupun dah masuk 3 bulan dah berlalu. Bukan satu office je dah tahu. But, satu Malaysia dah tahu," ujar Syafiqa. Umaira terus tersenyum sinis.
"I'm okay with it. Bukan sekali ni aku terpalit dengan kontroversi. Banyak kali. Ada yang lebih teruk lagi, kata aku pasang skandal dekat luar negeri. Cuma tu lah, kalau ada yang buat fitnah melampau-lampau nanti, aku terus je suruh Suri hantar surat saman. Habis cerita,” kata Umaira selamba.
"Ha, betul tindakan kau tu,” sokong Syafiqa dengan memetik ibu jari. Umaira kembali fokus dengan kerjanya.
Lama Syafiqa merenung wajah Umaira itu. Terdetik di hatinya ingin bertanya sesuatu. Namun dia juga merasa teragak-agak. Dia takut, jika soalan yang ingin ditanya nya itu boleh merosakkan mood Umaira.
"Yang kau tenung-tenung aku daripada tadi, dah kenapa? Jangan pula kau kata taste kau dah bertukar ke lesbian pula kali ini,” Syafiqa tersentak apabila diperli selamba oleh Umaira secara tiba-tiba itu.
"Choi! Mulut kau! Aku masih straight, okay. Aku belum gila lagi nak suka perempuan. Macam lah tak cukup jantan dekat muka bumi ni nak alih-alih suka dekat perempuan pula,” Syafiqa merinding kegelian. Umaira terus tertawa kecil.
"Dah tu, kenapa tenung aku? Aku tahu lah, aku cantik. Tak macam kau, muka acah-acah lawa je,” ejek Umaira selamba, sengaja ingin menyakitkan hati Syafiqa.
"Celaka betul!" sembur Syafiqa sambil menuding jari tepat ke muka Umaira. “Ni bukan muka acah-acah lawa tau. Dah memang kenyataan nya, lawa.”
Umaira semakin galak tertawa.
“Kau tanya je lah. Aku tahu, kau nak tanya aku sesuatu. Kau tak boleh tipu aku. Aku bukan baru kenal kau sehari dua. Seluar dalam kau yang berlubang macam kena gigit tikus tu pun, aku tahu kau masih simpan sampai sekarang.” Lagi-lagi Umaira mengejek Syafiqa.
"Hey! Bila masa pula aku ada seluar dalam berlubang!" bentak Syafira semakin naik geram. Namun, dalam masa yang sama, dia juga merasa lucu.
"Kau tanya je lah. Apa dia? Is it about Zakuan?" teka Umaira. Syafiqa terus mengangguk, mengiakan.
"Well, we're still contact. Kami masih berhubung dengan baik,” akui Umaira, jujur.
"Kau masih berharap nak kembali pada Zakuan ke?" soal Syafiqa penuh berhati-hati. Umaira terus merenung wajah Syafiqa buat seketika sebelum nafas dihela perlahan.
"Tipu lah, kalau aku tak berharap lagi. Kami masih saling mencintai, Fiqa. Aku tahu, Zakuan tak berani menyuarakan niat yang satu tu sebab benda tu sangat berat untuk ditunaikan. Tapi, kalau dia tak minta pun, aku memang sanggup buat,” ujar Umaira. Kening Syafiqa langsung berkerut, kurang mengerti.
"Apa maksud kau? Niat apa?" soal Syafiqa.
Umaira menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan. Tubuh yang menyandar penuh di dada kerusi di angkat lalu dibawa merapat ke meja. Kedua tangan disilang di atas meja.
"Aku dah fikir masak-masak sepanjang tempoh 3 bulan ni. Aku nekad, aku nak cari lelaki yang sanggup nikah dengan aku untuk jangka masa pendek. Lepas tu, cerai,” ujar Umaira, tanpa berselindung.
Terbuntang mata Syafiqa dibuatnya. “Hah? Maksud kau, kahwin cina buta ke?!" soal Syafiqa, tanpa sedar suaranya sudah meninggi.
"Aduh!"
Fail hitam selamat mendarat di kepala Syafiqa. Laju tangan Syafiqa menggosok atas kepalanya yang terasa sakit itu. Suka hati mak nenek dia je hempuk kepala aku! Gerutu Syafiqa di dalam hati.
"Kau ni apa hal? Nanti orang dengar lah! Mampus aku! Tak pasal-pasal menjadi-jadi pula gosip pasal aku. Hish! Kau ni!" herdik Umaira, begitu geram. Syafiqa terus tersengih seperti kerang busuk.
"Sorry lah. Ter… emosi,” jawabnya. Umaira mencebik lalu menjeling menyampah.
"Tapi, seriously lah. Kau betul-betul nekad dengan keputusan kau ni ke? Zakuan tahu ke plan kau ni?" soal Syafiqa lagi. Umaira menggeleng.
"Tak. Zakuan tak tahu. Aku tak nak beritahu dia, sebab aku tak nak dia rasa bersalah. Aku buat ni sebab aku sendiri yang nak. Bukan sebab dia yang suruh pun,” ujar Umaira. Syafiqa menghela nafas berat.
"Bila kau nak mula kan plan kau ni?" soal Syafiqa.
"Secepat mungkin. Aku rasa sekarang pun dah boleh mulakan,” jawab Umaira, terdengar sangat nekad sekali.
Mata Syafiqa terus membulat sempurna. "Kau serious?"
Umaira mengangguk. Syafiqa sekali lagi menghela nafas berat. Entah untuk ke berapa kali, dia sendiri sudah tidak mengiranya.
"Aku tak tahu lah, babe. Tapi, aku macam tak setuju dengan plan kau ni. Aku tahu, korang masih cinta satu sama lain. Tapi, kahwin cina buta ni dilarang dalam islam. Kau ibarat mempermainkan akad nikah tu. Lagipun, bukan senang tau kahwin cina buta ni. Dia bukan setakat nikah hari ni then esok cerai macam tu je. Tak…” Syafiqa menggeleng kecil.
“Ada syarat-syarat dia yang korang kena ikut sebelum dan sepanjang nikah nanti. Kalau tak, nikah tu tak sah."
"Aku tahu..." jawab Umaira, lemah.
"Lagipun, kau rasa zaman sekarang ni, ada ke lelaki yang sanggup jadi cina buta free macam tu je? Tambahan lagi, kalau lelaki tu tahu kau siapa. Confirm mereka nak ambil kesempatan pada kau nanti. Minta itu minta ini. Kalau kau setuju nak bagi pampasan ataupun duit, dah tak sah pula nikah tu nanti. Kalau kau nak bagi tempoh nikah pun, lelaki pula tak boleh nak bagi. Nak minta cerai macam tu je pun, dah kira berdosa kalau suami bagi nafkah zahir dan batin secukupnya. Dan yang paling sadis sekali, kalau kau termengandung. Boleh ke, Zakuan terima semua tu?" soal Syafiqa.
Umaira langsung terpempan mendengar kata hujahan Syafiqa yang panjang lebar itu.
"Dan yang akhir sekali. Kau yakin ke, Zakuan nak kahwin semula dengan kau lepas kau cerai nanti? Ye lah, hati manusia ni pandai berubah-rubah. Hari ni, kata lain, esok kata lain. Kau tengok je apa dah jadi sekarang ni. Sebelum ni elok je dia layan kau, baik, lemah-lembut bagai. Tup-tup, lepas nikah dia naik berang tiba-tiba dekat kau sampai menjatuhkan talak 3. Malam pernikahan pula tu. Aku tak nak kau menyesal suatu hari nanti, babe. Itu je. Kau fikirlah baik-baik,” ujar Syafiqa memberi nasihat. Umaira terdiam seketika. Dia cuba menimbang-nimbang kata-kata sahabatnya itu.
Share this novel