BAB 4

Other Completed 11054

Perancangan kami tak menjadi seperti yang diharapkan. Permulaan yang agak mengecewakan juga. Kuih bahulu perbagai rasa dan berinti yang kami berniaga secara online tak mendapat sambutan yang mengalakkan. Kami mula tukar strategi, kami menghantar kuih bahulu kami di kedai-kedai runcit dan pasaraya kecil berhampiran rumah. Dengan cara ini, kami tak mendapat untung segera. Tuan punya pasaraya dan kedai runcit hanya akan memberi duit selepas habis kuih kami dijual. Itu pun kata mereka, komisen akan ditolak sedikit dari hasil jualan.

Modal kami mula berkurangan. Aku dan Airina keluar mencari kerja. Sebagai orang muda, mudahnya Airina mendapat kerja di pasaraya, sedangkan aku masih terkial-kial mencari jawatan kosong. Apa kerja yang layak dengan umur aku? Bila bercerita pasal umur, itulah sebabnya aku ditolak mentah-mentah bila memohon kerja. Mereka hanya nak mengupah pekerja yang masih muda belia, yang masih kuat tenaganya.

Aku tak mahu terus berputus asa. Demi anak-anak, aku harus kuatkan semangat. Bila sendirian di rumah, aku gunakan masa yang ada dengan mempromosikan bahulu perbagai rasa kami. Aku layan semua laman sosial. Aku belajar mengembangkan page. Buka group dalam Fac dan meneruskan promosi tanpa henti. Sementara kuih bahulu kami ditempah orang, aku mula belajar menaip. Bertatih dahulu buat sementara waktu. Bila dah mahir nanti, baru aku berjalan laju dan terus berlari.

Aku melayari You Tube dan belajar membuka blog perniagaan dan dalam masa yang sama aku bahagikan blog aku untuk dua bahagian. Satu untuk perniagaan dan satu lagi untuk penulisan. Aku banyak menghabiskan masaku di depan laptop milik Airina. Aku belajar segalanya sendirian. Aku nak menjadi seorang ibu yang tahu segalanya. Aku tak mahu terus bergantung harap dengan anak-anak. Aku nak anak-anak rasa bangga dengan kemampuanku.

Aku mula melayari blog-blog penulisan penulis-penulis online. Bukan semua penulis berpelajaran. Aku juga tak berpelajaran tinggi. Aku yakin, aku boleh, kalau aku mahu. Rajin berusaha, pasti membuahkan hasil. Umur bukan halangan untuk mengapai impian. Aku nekad takkan berputus asa selagi aku mampu melakukannya. Selagi aku bernafas di atas bumi Allah ini, pasti ada jalannya untuk aku mengengam segunung impian.

‘’Mama, sekolah kami nak adakan lawatan sambil belajar ke Terengganu. Tambang pergi balik termasuk makan, seorang seratus. Boleh tak mama? Kalau mama tak ada duit, tak apalah, Min dengan Azim tak nak menyusahkan mama.’’ Azmin datang kepadaku ketika aku sedang rancak membaca cerpen online dalam sebuah blog seorangpenulis online. Aku menoleh kepada Azmin sambil tersenyum. Dalam kepala sedang menconggak duit yang masih berbaki dalam akaun bank yang aku miliki termasuk akaun bank peninggalan Azmeer.

‘’In Sha Allah Min, ada lagi duit tu. Untuk anak mama, apa saja pun boleh. Dua ratus sajakan? Rasanya ada lagi kalau setakat dua ratus tu. Bila Min nak? Nanti mama beri.’’ Dalam bertanya, aku memberi jaminan kepada Azmin. Riak wajahnya tak ceria mendengar kata-kataku.

‘’Tak apalah mama, Min tak nak menyusahkan mama.’’ Azmin bersuara perlahan. Aku tersenyum demi untuk menghiburkan hatinya dan hati aku sendiri.

‘’Mama..Min dengan Azim nak minta izin dengan mama. Kami nak kerja separuh masa, boleh tak mama? Abang kawan Min buka gerai burger di pasar malam dekat Pekan. Kami ingat nak tolong dia berniaga.’’ Azmin menyambung kata. Aku berjeda agak lama. Dalam hati terasa bersalah bila anak-anakku ingin bekerja. Aku rasa bagaikan aku tak berdaya untuk menyara anak-anakku dengan keadaan aku sekarang. Air mata aku bergenang tanpa aku sedar. Maafkan mama sayang. Kenapa anak-anak mama yang harus menanggung semua beban ini?

‘’Min dengan Azimkan nak SPM hujung tahun ni. Tumpukan perhatian dalam pelajaran Min. Itu saja harapan Min untuk masa depan. Tanpa pelajaran Min nak kerja apa nanti? Biar mama dan kakak Rina saja yang berikhtiar untuk menyara keluarga kita. Mindan Azim tumpukan saja perhatian untuk pelajaran, ya?’’ lemah sekali kata-kataku. Perlahan air mataku mengalir ke pipi. Aku menoleh ke arah lain dan mengesat air mata dengan cepat agar Azmin tak dapat mengesannya.

‘’Alaa mama..sambil menyelam minum airlah mama. Belajar-belajar juga, kami bukannya nak pergi tolong abang kawan Min tu setiap hari. Cuma seminggu sekali saja.’’ Azmin memegang tanganku dan memandang lama wajahku. Perasaan sebakku bertamu lagi. Aku sedih kerana tak dapat memberi kesempurnaan buat anak-anakku hingga mereka terpaksa bekerja untuk membantu mengukuhkan pendapatan keluarga kami.

‘’Min..mama bukan tak nak izinkan Min dan Azim berkerja. Nanti, apa pula kata masyarakat sekeliling. Anak-anak mama masih ada mama, tapi semuanya kena berkerja untuk menyara keluarga. Mama tak nak orang mengutuk kita, kerana mama tak mampu nak menyara anak-anak mama. Min suka ke orang sekeliling mengata mama? Min suka?’’ aku cuba mencari alasan agar Azmin membatalkan hasratnya untuk keluar bekerja. Tak kiralah, walau hanya seminggu sekali, tapi aku tak nak membebankan anak-anakku dengan keadaan kami sekarang. Kalau bab orang nak mengata tu, aku dah malas nak fikir. Masing-masing ada mulut untuk berkata-kata, lantaklah, mereka nak kata apa pun!

‘’Mulut manusia bukannya kita boleh tutup mama. Kalau mereka suka mengata, biarlah mereka. Dah hobi mereka suka jaga tepi kain orang lain. Lantaklah!’’ Azmin kuatkan suara tiba-tiba. Tersentak juga aku dibuatnya. Marah benar Azmin nampaknya. Mungkin, dia pun pernah mendengar umpatan orang sekeliling terhadap kami?

‘’Min..kita ni hidup bermasyarakat Min. Bagi mama, memanglah mama tak kisah, apa saja umpatan orang. Tapi, Min dan Azim masih belajar lagi. Tunggulah Min dan Azim besar sikit. Bila dah habis belajar nanti, carilah kerja. Yang penting, kerja tu halal.’’ Aku masih ingin memujuk Azmin. Terdengar Azmin mendengus perlahan. Kemudian, dia memegang tanganku dan berlutut di depanku.

‘’Please la mama. Kami cuma nak cari pengalaman saja. Kawan-kawan Min pun ramai dah mula buat kerja part time. Sekurang-kurangnya, bila kami bekerja, boleh juga bayar duit kelas tambahan. Kamikan anak lelaki. Siapa lagi yang nak bantu mama, kalau bukan anak-anak lelaki mama? Kami dah besar panjang ma, kami dah mampu nak bantu mama, tak banyak membantu, sikit pun bolehlah. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Itulah fungsinya ahli keluarga ma..’’

‘’Hai..bersungguh-sungguh benar dia nak bekerja ya? Agaknya, ada sebab lain tak Min nak kerja ni? Jangan bagitau mama, Min dah ada awek? Jangan Min. Tak baik bawa anak orang keluar. Kena penangan dengan keluarga dia karang.’’ Aku cuba berseloroh melihat kesungguhan Azmin. Dia mengeleng pantas.

‘’Mama ni, ke situ pula. Min tak ada hatilah nak cari awek. Menyusahkan diri saja, cari awek time belajar ni. Buang karan saja. Kawan Min yang ada awek, semua mengadu mama, awek mereka tu, macam-macam peel. Rimas Min dengar mereka bercerita.’’ Aku ketawa kecil mendengar kata-kata Azmin. Kepalanya aku usap perlahan macam anak-anak kecil. Azmin pegang tanganku dan mengucupnya. Terasa sejuk hati aku dengan perlakuannya. Bergenang lagi air mataku tanpaku sedari.

‘’Bolehkan mama?’’ Azmin bertanya lagi. Aku mengangguk perlahan.

‘’Yeahoo..Zim, cepat siap. Mama dah bagi..’’ Azmin bersorak riang. Sekejap kemudian Azim turut muncul dengan senyuman lebar. Azim menghampiriku dan mengucup pipiku. Ya Allah, anak-anak bongsu mama ni, memang manja sangat walaupun dah berumur tujuh belas tahun. Terasa bagaikan anak-anakku masih lagi kanak-kanak kecil yang manja.

‘’Nak pergi mana?’’ teringat dengan kata-kata Azmin, aku kembali bertanya. Baru saja aku izinkan, mereka dah nak keluar.

‘’Kerjalah mama, kan malam ni malam minggu. Ada pasar malam di Pekan. Mama nak pesan apa-apa tak? Nanti kami belikan, abang Ipin dah berjanji nak bayar gaji hari. Satu malam seorang Rm20, kalau jualan laris, mungkin dia akan bagi sorang Rm30.00 atau lebih.’’ Ceria saja Azmin bercerita. Azim hanya mengangguk sambil memandang tepat ke wajahku. Aku menghela nafas perlahan dan mengangguk tanda memahaminya.

‘’Pukul berapa pula boleh balik?’’

‘’Err..mungkin lewat sikitlah mama, tapi tak apa, mama jangan bimbang, nanti abang Ipin yang akan hantar kami balik.’’ Azmin cuba menyakinkan aku. Macam tadi, Azim hanya mengangguk. Aku yang resah. Balik lewat? Anak-anak aku mana pernah pulang lewat ke rumah di waktu malam. Selalunya, mereka tak pernah keluar malam, kalau ada di rumah, kecuali kalau keluar bekerja atau pergi belajar kelas tambahan atau perjumpaan rakan-rakan belajar berkumpulan.

‘’Pukul berapa tu?’’ aku bertanya lagi. Nak juga tahu waktunya. Selewat mana mereka akan pulang. Tak betah aku tanpa mereka di depan mataku di waktu malam.

‘’Dua belas ke ataslah mama, mungkin sampai pukul 3.00 pagi. Tengok pada permintaan pelangganlah mama.’’

‘’Pukul 3.00 pagi? Mama tak izinkan, kalau lewat macam tu.’’ Aku berkata tegas. Jantung aku sudah berdetak laju. Runsing memikirkan keselamatan anak-anakku berada di luar rumah hingga lewat dinihari. Naluri keibuanku membantah keras di dalam.

‘’Alaa mama..mama dah cakap boleh tadi. Mana aci, bolehlah mama. Kamikan anak lelaki. Min bukannya sorang, ada Azim dan abang Ipin. Ramai lagi yang bekerja mama. Gerai burger dia memang selalu ramai pelanggan mama.’’ Azmin memujukku lagi. Dalam hati, aku mula mushkil. Siapa mereka, pelanggan yang makan lewat dinihari begitu?

‘’Lewat sangat Min. Mama..mama..’’ aku kehilangan kata-kata. Tahukah mereka akan kerungsingan hatiku ini?

‘’Mama..please..’’ giliran Azim pula memujukku. Dia memegang tanganku dan mengerdipkan matanya. Aku terus lemah melihat wajahnya begitu. Dia melebarkan senyuman dan terus menatap ke dalam mataku. Alahai anak, kenapa buat mama begini?

‘’Yalah. Jaga diri, jangan buat kerja terlarang. Jangan ikut kawan-kawan pergi berlumba haram. Jangan kacau anak dara orang. Biar di mana pun Min dan Azim berada, ingat Allah selalu. Ingat pesan mama. Faham tu?’’ aku buat keputusan terakhir. Melompat girang kedua-duanya. Kepalaku tergeleng tanpa sedar memerhatikan gelagat mereka. Dalam hati berdoa agar Allah pelihara mereka. Lindungi mereka dari segala bahaya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience