BAB 1

Other Completed 11043

Aku menghembuskan nafas yang sarat dengan bebanan dan keletihan . Emosiku bercampur baur, resah dan tidak tenteram. Jiwaku kacau bagai memberontak mahu segala yang terbungkam ini terbang meliar di langit meninggalkan aku. Sumpah aku ingin lari dari derita hidup yang membelenggu ini namun sepertinya aku sudah tidak punya pilihan lain kecuali meredah segala pahit maung hidup ini.

Mataku fokus memerhatikan kelibat lima orang anakku yang sedang menonton tv di ruang tamu. Walaupun drama yang ditonton memaparkan babak-babak dan dialog lucu, seorang pun tidak berminat untuk ketawa. Wajah masing-masing dirundung pilu. Aku juga rasa apa yang mereka rasa. Kalau mereka kehilangan seorang ayah yang sangat penyayang dan bertangungjawab, aku juga sudah kehilangan seorang suami tempat aku bermanja.

Aku berkahwin ketika usiaku baru mencecah tujuh belas tahun. Semuanya gara-gara cinta pandang pertama. Azmeer baru berpindah ke sekolah kami ketika aku baru tingkatan tiga. Dia pula pelajar tingkatan enam. Wajahnya mirip wajah seorang pelakon kegilaanku ketika itu. Ahh..taklah mirip sangat. Hanya sedikit saja, tapi kerana minat, aku anggap saja Azmeer itu mirip dengan pelakon itu.

Aku selalu merenung Azmeer dari jauh dan tanpa ku duga suatu hari Azmeer menegurku. Aku terkejut bercampur gembira. Cintaku bersambut akhirnya selepas seminggu kami berkenal mesra. Azmeer turut meluahkan isi hatinya. Bila aku sudah berada di tingkatan empat, Azmeer pula sedang bertungkus lumus belajar untuk persediaan peperiksaan STPM. Aku juga sibuk menyiapkan diri untuk SPM tahun hadapan.

Tiga hari sebelum peperiksaan STPM bermula, Azmeer mengajak aku keluar. Dia nak lepaskan tekanan dari beban yang ditanggungnya. Ketika itu dia tertekan dengan pergaduhan kedua ibu bapanya yang sudah berpakat untuk bercerai. Ditambah dengan tekanan untuk menghadapi peperiksaan STPM lagi. Kami pergi menonton wayang dan bersiar-siar selepas itu. Tanpa disangka, kami terserempak dengan ayahku yang begitu tegas orangnya.

Sebenarnya, di awal persekolahan lagi, aku sudah mendapat amaran dari ayah dan ibu. Jangan bercinta di alam persekolahan. Tapi, apa boleh buat, aku bukannya boleh mengawal perasaanku. Cinta itu datang tanpa diundang dan bila cintaku berbalas, aku dah tak mampu untuk mengundur diri lagi. Sekarang kami sudah terjebak dalam perangkap cinta. Ayah suruh aku tamatkan persekolahan dan bernikah dengan Azmeer. Dan, ayahku nekad dengan keputusannya. Tanpa menghabiskan persekolahanku, aku dipaksa bernikah dengan Azmeer selepas Azmeer selesai mengambil peperiksaannya. Kami memulakan hidup baru selepas Azmeer mendapat kerja. Aku membantu Azmeer mengukuhkan kewangan kami dengan bekerja di kilang.

Tahun seterusnya, Azmeer berniat untuk melanjutkan pelajaran dan mendapat biasiswa. Aku terpaksa menyara diri sendiri dalam keadaan berbadan dua. Ibu bapa Azmeer membantu juga sesekali terutama dalam membayar nafkah untuk aku mewakili Azmeer. Nasib baik kedua ibu bapa mertuaku yang telah bercerai itu bertanggungjawab. Mereka banyak membantu kami dari segi kewangan. Memang sukar menjalani hidup dalam keadaan kami seperti ini.

Aku mengeluh berat. Mengenang kembali kisah lalu membuatkan hati dan jiwaku semakin perit untuk menelan semua kepahitan. Walaupun kami berjaya mengharungi semua dugaan berumah tangga tapi umur Azmeer tak panjang. Dua puluh empat tahun hidup bersamaanak-anak yang semakin membesar, kini Azmeer pergi meninggalkan aku dan anak-anak. Anak sulungku Airina (23) kini sudah bekerja dan sudah boleh membantu aku dari segi kewangan. Anak keduaku pula Azrin (22) masih belajar tapi dia membuat kerja separuh masa di restoran makanan segera. Anak ketigaku Azman (20) juga masih belajar dan baru tahun ke dua di UITM Shah Alam. Dia mendapat biasiswa dan juga bekerja separuh masa untuk membiayai kehidupannya.

Rezeki kami murah dan aku pula senang mengandung dan melahirkan. Anak ke empat kami kini sudah tujuh belas tahun dan mereka kembar seiras. Azmin dan Azim anak yang paling mendengar kata, cuma Azmin sedikit nakal dan Azim pula pemalu orangnya. Lima orang anakku, seorang perempuan dan empat orang lelaki sudah kehilangan ayah dan bergelar yatim.

Aku perhatikan lagi anak-anakku dari belakang dengan perasaan sayu. Apa yang harus aku lakukan selepas ini? Macam mana aku nak biayai persekolahan mereka tanpa pekerjaan? Haruskah aku keluar mencari kerja? Takkan nak biarkan anak-anakku yang bekerja? Tak. Aku harus berusaha untuk mengukuhkan ekonomi keluarga kami. Aku harus keluar dari kepompong ini. Aku harus bekerja semula demi anak-anak. Aku harus! Aku boleh dan aku pernah melakukannya dulu. Walaupun sudah lama aku tak bekerja, tapi aku yakin, aku mampu bangun semula demi anak-anak. Merekalah kekuatan dan semangat aku kini. Mama sayang kalian. Dan air mataku bergenang di kelopak mata bila ungkapan itu aku ungkapkan di dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience