RASYDAN yang sibuk dengan kerja di pejabat, langsung tidak mengendahkan waktu makan tengahari. Dia lebih sanggup terus menyiapkan kerjanya daripada mengisi perutnya yang lapar. Rakan kerjanya yang lain sudah masak dengan sikap Rasydan yang workaholic mengalahkan bosnya sendiri.
Jari-jemarinya masih pantas menari di atas papan kekunci. Dia tidak pernah kenal erti lelah bekerja. Apa yang dia tahu hanyalah kerja, kerja, dan terus kerja. Dia hanya akan berhenti tatkala waktu solat dan ketika dia sudah terlalu penat sahaja. Kalau tidak, jangan harap.
Tidak lama kemudian, jari-jemarinya terhenti. Dia meraup mukanya berkali-kali. Tiba-tiba sahaja ingatannya terhadap seorang gadis terbit. Dia menepis segala-galanya tentang gadis itu. Semuanya telah berakhir. Dia tidak boleh meneruskan percintaan dengan gadis itu lagi dalam situasi kini. Tetapi, dia masih gagal melupakan gadis itu.
‘Bukan aku sengaja…aku akan cari kau lagi.’
“Rasy, ada orang nak jumpa kau kat lobi.” Kata rakan sekerjanya.
Rasydan mengangguk. Lamunannya serta-merta terhenti. Setelah rakannya beredar dia terus bangun untuk turun ke lobi. Ada orang ingin berjumpa dengannya. Tentang apa? Dia sendiri tidak mampu meneka kerana fikirannya masih berlegar-legar wajah Iman, gadis yang dia masih cinta. Keadaan tidak mengizinkan mereka bersama. Entah apa abangnya benci sangat pada gadis itu.
Setelah tiba di lobi, matanya melilau mencari gerangan yang mahu berjumpa dengannya. Tidak lama kemudian. Matanya tertancap pada seseorang yang sedang melambai ke arahnya. Dia tersenyum lebar sambil mengangkat tangan tanda menyapa. Dia terus menapak mendapatkan insan itu. Hilang seketika tentang Iman dibenak fikiran.
“What are you doing here, Syed Amir?” Soal Rasydan ramah. Tangan dihulur untuk bersalaman kemudian mereka berpeluk kejap.
“Saja. Kebetulan papa ada hal di sini. Itu yang singgah datang jumpa kamu.”
“Lama betul Rasy tak jumpa papa. Papa sihat? Bisnes sihat?”
“Alhamdulillah…dua-dua sihat. Papa tak boleh lama ni. Lepas ni terus kena balik.”
“Papa nak balik ke mana?” Soal Rasydan ingin tahu.
“Balik rumah papalah. Takkan ikut kamu balik ke rumah pula.” Syed Amir tertawa.
“Why not?”
“Yes…but not now. Papa pergi dulu.” Syed Amir masih tersenyum.
“Drive safely, pa.” Pesan Rasydan.
“Insya Allah.”
Sekali lagi mereka bersalaman. Syed Amir terus melangkah pergi. Dia tidak boleh lama berjumpa dengan Rasydan di sini. Dia tidak mahu bertembung mata dengan anak sulungnya yang masih keras kepala seperti dahulu. Sikap dinginnya tak pernah langsung berubah. Hubungan keluarga mereka belum pulih sepenuhnya seperti impian Syed Amir dari dulu lagi. Dia sendiri sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan terhadap anak sulungnya itu.
IMAN menggaru kepala yang masih setia dibaluti dengan tudung. Pipinya sudah merah menahan malu. Tak sangka betul, tragedi macam ini boleh berlaku di dalam hidupnya. Luka pada anggota badan Aril, Iman sudah sapu ubat. Rasa bersalah terhadap Aril sudah berkurangan. Mujurlah sekejap sahaja dia menangis kalau tidak, mahu sampai ke pagi esok Iman kena pujuk.
“Sakit tak, Aril?” Iman menyoal setelah siap menyapu ubat.
“Sakitlah, kak.” Aril merungut.
“Akak minta maaf. Sebab akak tak tahu itu basikal Aril. Iyalah…siapa suruh sandar pada dinding rumah orang. Lagi satu, mana ada budak kecil bawa basikal besar macam tu. Akak sendiri pun tak boleh bawa tau.” Iman ketawa. Lapang hatinya dapat berbual dengan budak kecil yang comel ini. Lesung pipit pada kedua-dua belah pipi amat menarik minat Iman untuk terus berbual.
“Ado jah. Aril yang bawa. Merato tempat Aril bawa basikal. Aril sayang basikal tu, sebab Papa Acid hok bui.” Aril senyum. Makin jelas lesung pipit terserlah.
“Comellah, Aril ni!” Iman mencubit kedua-dua belah pipi milik Aril. Aril hanya ketawa.
“Cantiklah kakak ni…” Aril turut melakukan hal yang sama terhadap Iman.
“Aril…jom kita balik.” Ajak Rasyid yang baru sahaja tiba. Serentak mereka melepaskan cubitan masing-masing.
“Okay, Papa Acid. Kakak, Aril kelik dulu. Nanti kita jumpa lagi neh.” Aril mendepakan tangan seraya memeluk Iman.
Iman tersenyum manis seraya membalas pelukan Aril.
“Bye akak.” Aril melepaskan pelukan seraya beredar pergi. Dia melambai tangan kepada Iman sambil tersenyum girang.
“Nanti kita jumpa lagi ya, kak!” Sempat Aril berpesan sebelum dia hilang daripada pandangan Iman.
“Comel betul dia ni…tapi kenapa aku rasa dekat sangat dengan dia ni ya?” Iman memegang dadanya. Dia menghembuskan nafasnya perlahan. Seketika kemudian, dia berpaling dan menikmati keindahan pantai yang terbentang luas dihadapan. Dia perlu mengusir tentang bekas kekasihnya buat selama-lamanya.
Tidak selayaknya dia menyimpan kasih buat lelaki yang baru sahaja meninggalkannya beberapa hari yang lepas. Semuanya telah berakhir. Dia telah membuat keputusan untuk menetap di kampung buat masa ini. Dia tidak mahu lelaki itu mencarinya kembali. Dia dah buat aku macam ni…takkan nak cari aku lagi?
Share this novel