Bab 2

Drama Series 1697

“MANO gi basikal aku? Sakni aku boh sini…” Aril mengomel sendiri. Dia sangat memerlukan basikalnya sekarang. Najwa menyuruhnya ke kedai untuk membeli barang dapur. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Hairan sungguh. Tak akan kambing atau lembu yang tunggang basikal miliknya ke sawah bendang pula…
Akhirnya, dia mengelilingi rumah untuk mencari sebuah basikal. Buang masanya saja. Tertunduk-tunduk dia mencari namun tidak ketemu. Manalah tahu akan ada orang yang lalu lalang di hadapan rumahnya dengan berbasikal, dapat juga dia kenal basikal sendiri. Kalau hilang, memang menangislah jawabnya kerana itu adalah pemberian papa Rasyid daripada Pahang sana.
Aril berlari-lari anak di sepanjang jalan kampung. Manalah tahu, ada basikalnya di bawah-bawah pokok. Dia juga jarang berada di rumah. Biasalah budak darjah 2, manalah tahu duduk terperuk dalam rumah saja. Masa begini, zaman bermain baru saja bermula. Merata tempat dia sudah bawa basikalnya bersama, dalam hutan, paya randuk. Hmm…semualah ke mana yang dia suka.
Tidak lama kemudian, Aril terpandang pada seorang perempuan sedang mengayuh basikal. Berkerut-kerut dahinya tatkala perempuan itu melintas di hadapannya.
“Macam basikal aku…” Aril membuat pengecaman.
Aril mengejar seorang perempuan yang sedang mengayuh basikal. Namun, kayuhan yang dibuat oleh perempuan itu semakin laju dan membuatkan lariannya juga semakin laju. Dadanya sudah turun nak mengepam darah laju.
“Kakak! Kakak!” Termengah-mengah Aril memanggil namun, tidak diendahkan. Tak mungkin perempuan ni tak dengar aku panggil. Dia masih meneruskan lariannya. Tidak putus asa untuk mendapatkan harta kepunyaannya. Tiba-tiba, kakinya tersadung pada sebiji batu besar yang sedikit tertanam di dalam tanah. Akhirnya, dia tersungkur mencium tanah.
Buk!
“Auw…sakitnya.” Kedua-dua tangannya sudah luka dan berdarah. Pada dagunya ada sedikit luka. Seluarnya juga sudah terkoyak akibat terseret pada tanah merah. Mujurlah tidak berlecak, kalau tidak mandi lecaklah jawabnya. Aril menangis menaham sakit lukanya yang sudah bercampur dengan pasir.
Serentak dengan itu, sebuah kereta yang dipandu oleh seseorang tepat berhenti di hadapan Iman. Dia menghalang laluan Iman yang asyik mengayuh basikal. Iman menekan hand brake serta merta. Takut juga dia akan berlanggar dengan kereta itu. Mahu terjun ke dalam semak sebelah kirinya ini.
“Astaghfirullahaladzim!” Iman mengurut dadanya. Segera dia mencabut earphone yang menjadi penemannya sepanjang dia berbasikal dari rumah Mak Tok tadi. Iman masih setia memandang sebuah kereta berwarna putih dihadapannya. Siapakah gerangan yang memandu kereta, dia tidak pasti.
Seorang lelaki akhirnya keluar daripada perut kereta. Dia meluru menghampiri Iman yang sudah diam tidak berkutik. Mata Iman sudah membulat dengan kehadiran tanpa diundang lelaki ini.
‘Kenapa dengan mamat ni?’
“Awak buat apa pada budak lelaki itu?!” Soal Rasyid sebaik sahaja dia membalas renungan mata Iman terhadapnya. Dia terus berlari melulu mendapatkan Aril yang masih menangis teresak-esak.
Iman pelik. Berkerut-kerut dahinya dengan keadaan sekarang. Dia terus berpaling ke belakang, arah yang lelaki tadi pergi. Alangkah terkejutnya dia apabila ternampak seorang budak lelaki sedang menangis teresak-esak. Iman turun daripada basikal dan terus berlari ke arah yang sama. Apa yang dia dah buat? Tudung yang dipakai dipegang agar tidak terangkat ditiup angin.
“Kenapa ni, adik?” Iman menyoal cemas. Runtun hatinya saat melihat kanak-kanak kecil di hadapannya menangis teresak-esak. Dia segera melutut dihadapan kanak-kanak yang sedang dipujuk oleh lelaki tadi. Matanya terus dilirikkan mata tapak tangan, dagu dan lututnya yang sudah berdarah. Jatuh mungkin? Teka Iman sendiri.
“Awak buat apa pada dia?” Soal Rasyid lagi.
“Apa yang saya buat pada dia? Saya langsung tak kenal dia.” Iman pelik dengan pertanyaan kali kedua lelaki dihadapannya.
“Kalau awak tak buat apa-apa, dia tak akan kejar awak dan jatuh macam ni.” Tutur Rasyid tenang. Dia masih memujuk Aril yang masih menangis. Rasyid mengalihkan pandangan kepada Aril.
“Bila masa pula saya main kejar-kejar…”
“Aril…jangan menangis macam ni. Lelaki kena kuat.” Rasyid memotong.
“Hei, sumpah awak! Saya memang tak buat apa-apa pada dia dan saya tak kenal dia langsunglah.” Iman masih tidak puas hati.
Rasyid memandang tepat ke arah Iman.
“Adik…adik tak kenal saya, kan? Saya tak buat adik, kan?” Soal Iman lembut sambil menggosok-gosok bahu Aril tanda memujuk.
Aril menggelengkan kepala tanda menjawab pertanyaan Iman. Tangisannya sudah mula reda. Lega hati dua insan ini.
“Tengok. Dia jawab soalan saya. Jadi, saya memang tak bersalah.” Iman tetap mempertahankan dirinya.
“Betul? Aril tak kenal kakak ni?” Rasyid pula yang tidak puas hati.
“Sudahlah, awak. Takkan budak kecil nak menipu pula.” Iman tayang sengih kepada Rasyid. Dia tidak mahu Aril menjawab soalan Rasyid. Budak kecil bukannya boleh dipercayai sangat. Karang tak pasal dia berubah fikiran. Naya!
“Tapi…” Aril mendongak memandang wajah Iman.
“Kakak dah ambil basikal saya.”
Iman terkedu. Dia tidak mampu berkata apa-apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience