“ASSALAMUALAIKUM…” Rasyid memberi salam setelah dia tiba diperkarangan rumah Najwa. Dia tidak memilih untuk terus menerjah masuk. Sengaja dia menanti tuan rumah terlebih dahulu. Dia mengalihkan pandangan kepada Aril, anak lelaki kepada Najwa seraya tersenyum.
“Boleh ke tidak?” Rasyid menyoal. Aril masih berusaha untuk memarkir basikalnya di ruang beranda rumah.
“Bulih…” Jawab Aril yakin.
“Itulah Aril…ganas sangat bawa basikal sampai tongkat pun patah.” Aril tersenyum manis seraya menggosok kepala Aril sebelum kanak-kanak itu masuk ke dalam rumah.
“Aril pergi panggil ibu semeta…” Aril bersuara seraya berlari anak meninggalkan Rasyid sendiri.
“Waalaikumussalam…” Jawab Najwa setelah melihat kehadiran Rasyid ke rumahnya. Dia melemparkan senyuman kepada Rasyid.
“Tak terkejut ke dengan kehadiran saya ke sini?” Rasyid menyakat.
Najwa agak terkejut dengan kehadiran Rasyid. Dia terdiam.
“Lama betul saya tak datang melawat, kan?”
“Lama sangat. Marilah masuk dulu.” Najwa mempelawa Rasyid masuk ke dalam rumahnya.
Rasyid memerhati keadaan rumah yang agak luas. Dia gembira dengan perubahan rumah yang semakin baik tahun demi tahun. Bertahun juga dia tidak menjejakkan kaki ke rumah ini. Mujurlah keadaan Najwa dan Aril baik-baik saja. Dia masih menanti Najwa yang sedang membancuh air di dapur.
“Kenapa datang dok kabo dulu?” Soal Najwa setelah dia menuang air ke dalam gelas kemudian dia menghulur kepada Rasyid.
Gelas bertukar tangan.
“Saja…nak buat surprise untuk Aril. Rindu pula dekat dia sebab dah bertahun saya tak melawat. Sibuk sangat.” Rasyid menghirup minumannya.
“Aril pun rindu juga katanya pada papa Acid dia. Tapi, tengoklah. Tak pernah lekat di rumah…”
“Kak sihat?”
“Alhamdulillah…sihat macam selalu jah.”
“Hebatlah akak…baru beberapa tahun tinggal di Kelantan dah boleh cakap dialek sini.” Rasyid tertawa.
“Bulihlah…sikit-sikit. Beberapa tahun bukan sekejap Acid. Aril pun dah besar panjang sekarang.”
“Pak Seman di kedai ke?”
“Situlah tempat dia, nak gi mano lagi. Abang Amrul sihat?” Giliran Najwa pula bertanya.
Rasyid sekadar mengangguk tanda menjawab pertanyaan Najwa. Dia sendiri serba salah mahu menjawab soalan itu. Apa yang telah berlaku selama ini, masih tersemat kemas di dalam benak fikirannya. Bukan mudah untuknya melupakan dalam sekelip mata. Apatah lagi, Najwa sendiri yang terpaksa menghadap semua ini.
Dia memandang wajah Najwa buat seketika. Jelas wajah wanita itu sedang menanggung sengsara yang sudah sekian lama. Tapi apakan daya, dia tidak mampu untuk melakukan apa-apa kerana tindakannya terbatas.
Share this novel