Rate

BAB 2

Drama Completed 388

“Dah banjir ya?” soalku walaupun aku sedar soalan itu sudah
terang lagi bersuluh jawapannya. Suaraku aku kuatkan sedikit, melawan
bunyi hujan yang masih garang.

“Aah. Dekat kampung dah naik paras lutut. Kawasan sekolah ni
tinggi sikit sebab tu masih selamat. Sekarang semua penduduk di arah
berpindah ke sini, sementara.”

“Pindah?” aku tak sangka pula keadaan sudah teruk sebegitu.
Sampai kena pindah ke sini.

“Ya. Sekolah ni akan dijadikan pusat penempatan banjir
sementara. Cikgu pun stay saja dekat sini ya. Saya rasa bahaya kalau
cikgu balik ke rumah waktu ni. Hujan masih tak berhenti lagi ni. Risau
air makin naik.” Ustaz Khalid menerangkan membuatkan aku kembali tergamam.
“Tapi... saya tak bawa apa ni. Barang apapun tak ada.” Aku kaget.

“Tak apa, Insya-Allah ada pihak yang akan uruskan semua tu
di penempatan ni. Kalau tak cukup juga, cikgu beritahu saja saya. Saya
akan uruskan. Bahaya kalau cikgu balik.”

Aku menghela nafas panjang sebelum mengangguk pada Ustaz
Fatah. Mujurlah aku tidak punya banyak barang di rumah, laptopku pun
memang aku sentiasa bawa bersamaku.

“Semua akan berkumpul di dalam dewan, cikgu bolehlah bantu
apa yang patut ya.” Ustaz Khalid memberitahu lagi. Aku sekadar membalas
dengan anggukan kembali sebelum berlalu meninggalkannya. Dia kelihatan
sibuk menguruskan hal ini jadi aku tidak patut menganggunya lagi.

Aku membawa diri ke dewan sekolah, melihat keadaan yang
sudah mulai hingar di sana. Ramai penduduk sudah mula mencari
tempat-tempat yang strategik di dalam dewan itu sebelum membentang tikar
dan segala apa yang bisa dijadikan alas. Toto dan bekalan makanan juga
sudah dibawa sebagai persediaan jika kena bermalam di sini.
Aku menghela nafas untuk kesekian kalinya sebelum mataku menghala keluar
dewan. Awan pekat masih memayungi langit kampung ini dan tidak ada tanda
matahari akan keluar. Hujan turun mencurah-curah tanpa ada rasa mahu
berhenti. Aku benar-benar tidak menduga, dalam sekejapan masa, semua ini
boleh berlaku. Sungguh aku tidak percaya.
“Cikgu, marilah duduk di sini.” Suara seorang wanita menerjah gegendang
telingaku, membuatkan aku pantas menoleh. Kak Ija, pembantu kantin
sekolah yang berusia pertengahan tiga puluhan itu sedang memandangku
dengan senyuman manisnya. Di ribaannya, anak kecilnya yang baru berusia
beberapa bulan sedang nyenyak tidur.
“Akak pun kena pindah?” aku menyoal saat aku mengambil duduk di
sebelahnya. Hanya ada dia dan anak kecilnya di situ saat itu.
“Satu kampung kena pindah, cikgu. Air naik cepat sangat. Akak ni ikutkan
malas nak pindah tapi sebab fikirkan anak akak nilah gigih akak datang
jugak sini.”
“Suami akak mana?”
“Dia ada dekat luar, tolong tolong apa yang patut.”
“Oh.”
“Cikgu tak balik kampung lagi ke?”
“Itulah, saya ingat nak settlekan kerja dulu baru nak balik. Tak sangka
pulak tersekat dalam banjir ni.”
“Tak apalah, cikgu. Pengalaman.”
Aku sekadar mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Kak Ija itu. Pipi
bayi kecil di atas ribaannya itu aku cubit, terasa lembut walaupun
sejuk. Perlahan aku mengorak senyum, terasa hilang segala rasa gundah
sebaik melihat seraut wajah suci itu.

“NAMPAKNYA kita kena pindah ke tingkat dua.” Suara Ustaz Fatah
kedengaran setelah beberapa ketika aku duduk di dalam dewan itu. Dia
kelihatan cemas dan sibuk mengarahkan semua berpindah ke atas. Beberapa
orang penduduk kampung juga ikut serta meminta semua di situ berkemas
dan naik ke tingkat atas. Aku lekas mendapatkan dia sebaik sahaja orang
lain mula mengemaskan barangan masing-masing.

“Kenapa ni ustaz? Kenapa kena pindah pulak?” aku menyoal laju.

“Air makin naik. Dekat luar dah banjir, saya takut air masuk
ke dalam. Sebab tu lebih baik semua berpindah ke atas.” Dia menerangkan
dalam keadaan cemas. Wajahnya tidak tenang seolah-olah membayangkan
keadaan sekarang tidak sebaik apa yang disangka. Aku gumam, mataku
memerhati keluar dan melihat air lumpur berwarna coklat pekat sudah mula
masuk ke perkarangan sekolah dan hujan masih belum berhenti.

“Selalu ke jadi macam ni, ustaz?” aku menyoal, ingin tahu.
Ustaz Khalid kelihatan terkejut dengan soalanku secara tiba-tiba itu. Dia
memandang aku dengan mata yang redup sebelum kembali mengalih
pandangannya keluar.

“Memang kampung ni ada juga berlaku banjir tapi...” Keluhan
berat kedengaran dari mulutnya.

“Selama ni air tak pernah masuk kawasan sekolah sebab
kawasan ni tinggi. Saya tak sangka pulak kali ni boleh jadi macam ni
sekali. Lagipun selalunya lepas sehari dua hujan tak berhenti baru air
naik, kali ni cepat sangat air naik. Jadi saya rasa baik kita ambil
langkah berjaga-jaga. Kalau air boleh naik kawasan ini, maknanya...
kampung mungkin dah tenggelam.”

Mataku membuntang mendengar pernyataan ustaz itu. Tapi benar
juga, sekolah ini di kawasan yang sedikit berbukit, kalau sekolah ini
pun sudah mula dilimpahi air, mestilah keadaan kampung lebih teruk.
Nauzubillah!

“Baik cikgu naik ke atas sekarang. Selamatkan apa yang perlu
dulu.”

Aku mengangguk walaupun hati terasa berat.

AKU termenung sendirian tika itu. Jam di tangan aku kerling lagi untuk
kesekian kalinya, sudah menginjak ke angka sebelas malam namun mata
tidak mahu lelap. Hati masih dipagut bimbang. Masih ramai yang berjaga
saat itu kerana mereka juga seperti aku yang tidak bisa tidur di saat
hati gelisah memikirkan keadaan yang kian meruncing. Hujan masih tidak
mahu berhenti walaupun sudah berjam-jam awan hitam itu memuntahkan airnya.

“Cikgu tak tidur lagi ke?” Ustaz Khalid menyapa sambil dia
duduk bersila di hadapanku. Aku laju menggeleng namun mataku sudah
dialih dari memandang wajahnya. Rasa segan menyelimut jiwa walaupun
ratusan manusia berada di dalam bangunan sekolah ini.

“Belum mengantuk.”

“Saya tahu cikgu risau.” Dia bersuara, cuba menebak hati aku
yang aku sendiri tidak pasti.

“Insya-Allah mudah-mudahan segalanya dipermudahkan Allah.
Harap-harap banjir ini cepat surut.”

“Insya-Allah, ustaz.”

“Kalau boleh, tidurlah. Dari tadi saya tengok cikgu gigih
uruskan macam-macam. Uruskan hal makanan, hal barang-barang keperluan
yang hendak diagihkan. Mesti cikgu penat.”

Aku tergelak kecil. Tak sangka ustaz muda itu nampak juga
aku ini, tapi aku rasa dia yang lebih gigih dari aku tadi.

“Saya rasa ustaz lagi memerlukan rehat.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience