Rate

BAB 3

Drama Completed 388

“Tak apa, saya boleh tahan lagi ni. Kaum lelaki yang sihat
dan ada upaya akan berjaga secara bergilir. Nanti saya dah letih baru
saya gerakkan orang lain. Cikgu tidurlah.” Ustaz Khalid bangun sebelum
berlalu meninggalkan aku keseorangan. Aku kerling ke tepi, Kak Ija dan
anak kecilnya sudah hanyut dibuai mimpi. Aku menghela nafas perlahan.

“Ya Allah, selamatkanlah kami...” mulut aku tidak henti
mengulang doa itu sambil merenung langit malam yang hitam pekat dan
titik hujan yang tidak henti menangis. Perlahan aku pejamkan mata dalam
keadaan duduk dan lututku kurangkul rapat ke dada, ingin berehat barang
seketika.

HARI 2
AKU terjaga dari lelapku saat seluar track bottom yang aku pakai saat
itu terasa sejuk dan basah. Tersentak aku saat melihat air sudah
mencecah ke lantai tingkat dua bangunan sekolah itu. Laju saja aku
bangun dan mengejutkan Kak Ija yang masih terlena di sebelah. Beberapa
orang penduduk kampung juga sudah mula terjaga dan kelihatan cemas.

Aku gumam sendiri, petaka apakah ini? Sampai ke tingkat dua
pun air bah itu masih bisa sampai. Tak pernah lagi aku mendengar banjir
yang tinggi sebegini. Dugaan apakah ini ya Allah?
Jam tanganku aku kerling lagi untuk kesekian kalinya, baru pukul empat
pagi tapi air sudah naik sampai ke sini. Aku menggumam, risau, takut,
gundah, segalanya bercampur baur menjadi rasa yang tidak enak dalam
hati. Aku bingkas mengejutkan yang lain-lain pula dan meminta mereka
bertenang walaupun aku sendiri dipagut bimbang.
Suasana menjadi huru-hara saat semuanya dilanda panik. Ada yang
menangis, ada yang ketakutan, ada yang merintih hiba, ada pula yang
menjerit-jerit dan tak kurang juga yang melaungkan azan dan istighfar.
Semuanya terasa seperti mimpi. Adakah aku sedang bermimpi ya Allah? Aku
menepuk pipi sendiri dan sedar ini bukannya satu mimpi, sebaliknya
realiti yang aku harus hadapi.
Aku bergegas naik ke tingkat empat seperti yang diarahkan pihak
pengurusan kerana bimbang akan kejadian yang tidak diingini berlaku
sekali lagi. Saat menaiki anak tangga, aku merenung suasana pekat malam
yang dihiasi bunyi hujan dan gelombang air yang menghentam bangunan
sekolah itu saat ini.
Tangisan demi tangisan bersahutan tak putus kedengaran di telingaku.
Bukan sekadar anak kecil tetapi mereka yang dewasa juga tidak terkecuali
Dari merasa takut, hiba dan sebak saat mengenangkan apa yang harus mereka
hadapi tika itu. Ramai yang tidak boleh tidur kerana gelisah memikirkan
keadaan mendatang termasuklah aku. Doa menjadi semakin kuat termasuklah keredhaan untuk menerima nasib yang sudah tertulis.
Azan Subuh yang dilaungkan Ustaz Khalid membuatkan aku tersedar dari
lamunan saat menanti hari siang. Aku merenung pakaianku yang sudah kotor
berpalut lumpur dari air bah tadi. Ramai juga yang berkeadaan seperti
aku, sekadar memerhati sesama sendiri, memikirkan apakah yang harus kami
lakukan. Bolehkah kami solat di dalam keadaan was-was dengan kebersihan
kami begini?
Bekalan air juga sudah dihentikan sejak siang tadi tanpa sebarang tanda.
Hanya air bah sahaja mampu digunakan untuk kegunaan kami sekarang, tidak
kiralah untuk diminum mahupun mengambil wuduk walaupun sedar akan risiko
yang bisa kami hadapi dengan menggunakan air yang kotor ini.
Aku memerhati Ustaz Khalid dan beberapa orang lelaki sudah mula bersolat
walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Aku turun ke tingkat tiga dan
mengambil wuduk dari air bah, sekadar membasahkan anggota yang wajib
sebelum menyarung telekungku yang memang aku bawa di dalam beg sentiasa
yang sudah keperangan bersalut air bah sebelum aku bersolat sekadarnya
di dalam bilik yang hanya ada beberapa orang saja di tingkat tiga itu
kerana kebanyakan penduduk ada di tingkat empat.
“Ya Allah, aku tidak tahu adakah solat aku ini sah dalam keadaan aku
yang kotor ini ya Allah. Semoga Kau terimalah solat dari hambaMu yang
serba kedaifan ini ya Allah. Ya Allah, lindungilah kami dari segala mara
bahaya dan berikanlah kesabaran kepada kami untuk menempuh bencana ini
ya Allah. Rahmatilah kami dan kasihanilah kami ya Allah. Kami hambaMu
yang tidak berdaya ya Allah... lindungilah kami ya Allah...” aku hanyut
dalam esak tangis saat doa itu aku pohonkan pada Allah. Sungguh aku rasa
tidak berdaya saat ini apabila menghadapi keadaan yang sebegini rupa.

“BEKALAN tak dapat dihantar sebab keadaan berbahaya. Pasukan penyelamat
yang cuba masuk melalui bot pun tak dapat lepas sebab arus deras.”
Kedengaran suara seorang penduduk memberitahu kami petang itu membuatkan
suasana hingar kembali. Semua kelihatan cemas dan bimbang. Aku menghela
nafas perlahan memikirkan keadaan sekarang.

Kami sudah hampir keputusan bekalan makanan setelah dua hari
berkampung di sini, tiada sumber lain yang dapat kami cari kerana
seluruh kawasan ini ibarat sudah menjadi lautan dan hanya bangunan
sekolah ini menjadi pulau buat kami berteduh. Dengar khabar, ada juga
penduduk yang melarikan diri di atas bukit di belakang sana dan tidak
punya bekalan makanan yang mencukupi.

Penduduk yang masih ada talian telefon juga sudah cuba
menghantar pesanan dan meminta bantuan sebolehnya namun hingga kini
tiada bantuan yang tiba. Air juga makin naik dan kini separuh tingkat
tiga sudahpun ditenggelami air. Hampir tiga ratus penduduk di dalam
bangunan sekolah ini kini duduk berhimpit mencari ruang untuk berteduh
dan tidak mampu lagi meminta lebih dengan keadaan yang mendesak begini.

“MAKANLAH cikgu. Seharian akak tengok cikgu tak makan apa-apa lagi.” Kak
Ija menyuakan padaku beberapa keping biskut malam itu. Aku sekadar
tersenyum memandang Kak Ija sebelum mengambil biskut itu dari tangannya.
Aku risau bekalan tidak cukup, kerana itu aku mahu anak-anak kecil,
orang tua dan ibu-ibu yang makan dulu. Aku yang masih muda dan sihat
walafiat ini masih boleh bertahan lagi.
“Terima kasih, kak. Akak dah makan?”
“Dah. Alhamdulillah. Mujurlah biskut-biskut ni ada lagi. Kalau tidak tak
tahulah nak makan apa lagi.” Sayu suara kak Ija kedengaran di telinga aku.
“Alhamdulillah, kak. Sabarlah, insya-Allah tak lama lagi bantuan
sampailah.” Aku cuba menyedapkan hati kak Ija.
“Harap-harap macam tu lah. Akak tak fikir pasal akak pun, akak kesiankan
anak akak je, cikgu. Dia kecik lagi dah kena hadap benda ni.”
“Saya faham, kak. Tapi Allah timpakan ujian ni sebab kita mampu hadapi,
jadi saya tahu akak mampu dan sabar hadapi semua ni.”
“Harapnya macam tulah, cikgu.” Aku terdiam, sekadar menggosok bahu kak
Ija yang sudah berlinangan air mata memerhati anaknya yang sedang lena
di atas ribaan suaminya yang tidur secara duduk bersandar itu. Hatiku
dipagut syahdu namun aku cuba kuatkan hati. Biskut di tangan aku jamah
dengan perasaan bercampur baur menahan sebak di dada.
Lampu bilik darjah itu padam tiba-tiba membuatkan ramai yang menjerit
ketakutan. Kebanyakan dari mereka berpelukan sesama sendiri, cuba
mengusir ketakutan dalam jiwa. Hanya itu sahaja petanda bahawa mereka
masih ada untuk satu sama lain. Kak Ija memandang aku dan aku sekadar
mengangkat bahu tanda tidak tahu.
Aku bingkas bangun dari dudukku dan berjalan di koridor, menjenguk ke
bilik-bilik lain dan situasinya masih sama. Seluruh bangunan ini sudah
bergelap, dan mungkin juga seluruh kampung bahkan seluruh daerah sudah
bergelap. Ya Allah!
“Cikgu ok?” suara dan cahaya dihadapanku membuatkan aku tersedar dari
lamunan. Ustaz Khalid sedang memandangku dengan sebuah lampu suluh di
tangannya.
“Ya. Insya-Allah saya ok.”
“Bahaya dekat sini. Baik cikgu masuk ke bilik darjah semula. Apa-apa hal
biar kami yang uruskan.” Dia masih kelihatan serius. Aku sekadar
mengangguk sebelum satu gegaran kuat membuatkan aku terjatuh.
Ustaz Khalid hampir menerpa pada aku namun perbuatannya terhenti seketika
kemudian, mungkin menyedari keterlanjurannya. Aku bingkas bangun, tidak
mahu guru Pendidikan Islam itu rasa bimbang.
“Cikgu tak apa-apa?” soalnya cemas. Aku sekadar mengangguk namun mataku
teralih pada suasana di luar. Air bah yang mengganas membawa bersama
serpihan dari rumah penduduk yang musnah dan menghentam dinding sekolah
membuatkan bangunan sekolah ini bergegar seolah dilanda gempa bumi.
“Astaghfirullah hal a’zim. La ila ha illa anta subha naka inni
kuntumminazzalimin.” Mulutku terkumat-kamit sendiri saat itu tanpa
mempedulikan Ustaz Khalid yang masih berada di situ. Suara raungan dan
tangisan dari bilik-bilik yang menempatkan penduduk di situ makin kuat
kedengaran. Semua mereka berada di dalam ketakutan, begitu juga aku.
Wajah ibu, ayah, Kak Dina dan Din, muncul satu persatu di ruang mata.
Betapa aku rindukan mereka. Ya Allah, sempatkah aku bertemu mereka kembali?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience