Rate

BAB 4

Drama Completed 388

Telefon bimbit dari poket, aku keluarkan. Telefon itu sudah kehabisan
bateri dan kali terakhir aku lihat, memang sudah tidak ada talian.
Kalaulah aku sempat memberitahu ibu yang aku sayangkan dia. Kalaulah...
tapi sanggupkah aku beritahu ibu tentang keadaan aku saat ini? Aku tak
sanggup biarkan ibu gundah memikirkan keadaan aku. Ya Allah...
“Nah, ambil telefon saya ni.” Suara Ustaz Khalid yang bergetar kedengaran
semula membuatkan aku bingkas berpaling. Telefon bimbitnya dihulurkan
pada aku membuatkan keningku bertaut, tidak mengerti.
“Telefon cikgu dah habis bateri kan? Telefon saya ada bateri lagi. Saya
pasti cikgu belum beritahu keadaan cikgu pada ahli keluarga kan? Cikgu
calllah. Mana tahu...” Ustaz Khalid terhenti bersuara, matanya dihala
ke hadapan. Gegaran demi gegaran dari arus yang menghentam bangunan ini
masih tidak berhenti, namun tidak sekuat tadi.
“Cikgu calllah.” Sayu suara Ustaz Khalid kedengaran tanpa dia
menyambung kata-katanya tadi. Aku menyambut telefon itu dengan keadaan
yang masih tergamam sebelum nombor telefon rumahku aku dail tanpa banyak
soal. Sebaik talian bersambung, barulah aku tersedar ke alam nyata, air
mata yang aku tahan selama ini tumpah tanpa mampu dibendung. Aku
menangis semahunya sebaik mendengar suara ibuku.
“Dini... Dini ke tu?” suara di sebelah sana kedengaran cemas. Lama aku
diam, cuba menarik nafas agar tangisanku tidak lagi berbunyi.
“Ibu...”
“Dini! Ya Allah anak ibu! Dini macam mana? Ibu risau sangat ni, semua
orang risau. Takut terjadi apa-apa pada Dini. Dini ok ke nak? Ibu dengar
dekat sana banjir.” aku diam lagi.
“Dini! Cakap dengan ibu, nak.”
“Ibu... ” perlahan aku bersuara dalam sebak yang cuba aku tahan.
“Doakan Dini ya. Dini minta maaf sebab banyak buat salah pada ibu.
Maafkan Dini sebab ingkar cakap ibu, tak balik kampung sampai sekarang.
Maafkan Dini ibu.”
“Apa Dini cakap ni?”
“Kirim salam pada semua, minta mereka semua halalkan dan maafkan salah
silap Dini. Kalau Dini tak balik dengan selamat, Dini harap ibu dan
semua tahu yang Dini sayang semua. Assalammualaikum, ibu.” Aku menutup
talian telefon, tak sanggup hendak berbicara dengan ibu lagi saat
sebakku mula bergelora.
Telefon Ustaz Khalid segera aku kembalikan setelah airmataku, aku kesat.
Ustaz Khalid hanya diam dan mengambil semula telefonnya tanpa banyak soal.
“Terima kasih, Ustaz.”
“Dah, cikgu masuklah balik ke dalam. Berehat.” Dia memberi arahan,
memandang ke arahku sekilas sebelum melangkah untuk berlalu dari situ.
“Err ustaz...” panggilanku membuatkan Ustaz Khalid berpaling semula.
“Ya?” dia menyoal dengan kening terangkat.
Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum memandang ke arahnya semula.
“Saya risau malam ini malam terakhir untuk kita semua, jadi saya tak nak
mati dalam keadaan menyesal.”
“Apa cikgu cakap ni?”
Aku menarik nafas lagi dan bersedia untuk bercakap dalam satu nafas.
“Saya suka ustaz. Maksud saya, suka yang baik-baik dan selalu berharap
yang ustaz jodoh saya.” Ustaz Khalid tergamam, matanya membulat. Wajahku
juga sudah merona merah, dengan pantas aku masuk ke dalam bilik darjah
semula, membiarkan ustaz terpinga-pinga di situ. Tidak mahu menunggu dia
bersuara kerana rasa maluku sudah menggunung dan aku risau akan kecewa.
Sekurang-kurangnya beban yang aku tanggung selama ini sudah rasa
terlepas dari bahu dan aku tidak menyesal meluahkan rasaku.

MALAM yang dilalui terasa begitu panjang sekali, mataku tak mampu
terlelap walau sepicing dek mengenangkan situasi yang cemas sekarang dan
aku pasti kebanyakan dari kami memang tidak mampu tidur. Alunan
ayat-ayat suci Al-Quran mengisi segenap ruang diselang seli dengan bunyi
tangisan dan rintihan, tiada apa lagi yang kami mampu lakukan selain
berserah, meminta pertolongan yang Maha Esa agar keadaan segera pulih
dan bencana ini segera hilang juga semua dalam keadaan selamat.

Air bah sudah menenggelamkan tingkat tiga sepenuhnya,
menjadikan tingkat empat satu-satunya bahagian yang selamat untuk
diduduki dan andai kata tingkat empat juga tenggelam, maka aku sendiri
pun tidak tahu ke mana lagi hala yang harus kami tuju. Ada beberapa
orang penduduk kampung sudah menaiki perahu untuk ke atas bukit kerana
merasakan sekolah ini tidak lagi selamat namun masih ramai juga yang
setia di sini menantikan bantuan hadir. Bekalan makanan juga sudah tidak
mencukupi untuk menampung jumlah penduduk yang berlindung di situ,
membuatkan semua mengharapkan keajaiban akan berlaku.

“Kalau air tak surut-surut jugak, mungkin kita terpaksa
berenang.” Terdengar suara seseorang berkata.

“Tapi ramai yang tak tahu berenang!”satu suara pula
kedengaran dari arah lain.

“Kita kena cuba juga selamatkan diri, berpaut pada apa saja
peralatan yang hanyut dalam kelas ni daripada sekadar pasrah
ditenggelamkan bah ni.”

Suasana menjadi sayu sebaik mendengar cadangan penduduk itu
yang ada benarnya. Semua merasa begitu takut saat itu termasuklah aku.
Aku memerhati sekeliling, tak banyak benda yang boleh terapung, dan
kalaupun boleh terapung, entahlah boleh menampung berat kami atau tidak.
Aku menggumam sendiri. Walaupun tak mahu memikir, namun keadaan mendesak
ini buatkan kami terpaksa juga fikirkan perkara yang tidak elok supaya
kami dapat bersedia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience