BAB 11

Horror & Thriller Completed 9503

Perut Ruby memulas-mulas sakan. Tak mampu nak menahan lagi, dia mengejutkan rakan-rakannya untuk bangun nak menemaninya ke tandas. Jarak tandas dengan rumah sewa Aini sedikit jauh dan tandas ada berdekatan semak di belakang rumah. Di belakang rumah Aini terdapat banyak pokok-pokok buah seperti rambutan, mempelam, cempedak dan perbagai lagi yang tak sempat Aini periksa.

‘’Aini, bangunlah Ain, aku dah tak tahan sangat ni..’’ Aini yang baru saja beberapa jam terlelap, terasa malas untuk membuka mata.

‘’Allahkan ada! Kau tawakal sajalah Ruby. Berserah kepada Allah. Tak ada apalah, kalau kau nak lampu picit, ada atas almari tu, tapi lampu picit tu bukan hak aku. Mungkin tuan rumah yang punya..’’ dalam mata masih pejam Aini berkata-kata. Selimut ditarik dan dia terus mengerekot. Janji tinggal janji.

Ruby mengejutkan Suzie dan Hanis pula, sebelum mereka memberi respon, Ruby sudah bangun dan berlari laju, mencapai lampu picit dan berlari keluar. Pintu dapur dibiarkan terbuka luas. Angin bayu menyerbu masuk ke dalam rumah dan Aini serta dua orang lagi rakannya terus bangun bila mendengar sesuatu yang pelik berbunyi dari arah dapur.

‘’Bunyi apa tu?’’ Hanis yang paling penakut di antara mereka melontarkan soalan sambil menghimpit Suzie. Mereka saling berpandangan.

‘’Eh..mana Ruby?’’ Hanis dan Suzie bertanya serentak. Barulah Aini sedar, Ruby tiada bersama mereka ketika ini.

‘’Tadi Ruby kejut aku, minta aku teman dia keluar. Dia tak tahan nak...ke toilet..’’ Aini berkata perlahan, sementara hatinya diburu kekesalan kerana tak menunaikan permintaan Ruby tadi, sebaliknya dia terus menarik selimut dan kembali tidur.

Kedebummm..bunyi pintu ditutup dengan kuat mengejutkan mereka lagi. Ruby sudah lari masuk ke dalam rumah dan meluru ke ruang tamu. Wajahnya pucat tak berdarah. Tubuhnya mengigil sakan.

‘’Kain kau mana Ruby?’’ Aini bertanya dalam keadaan yang terperanjat dengan keadaan Ruby yang sedemikian rupa. Ruby memandang ke bawah. Hanya tinggal baju saja ditubuhnya. Nasib baik baju yang dipakai labuh melepasi punggung dan bersaiz agak besar.

‘’Kau..kau kenapa Ruby? Kau..’’ Suzie ingin bertanya selanjutnya, tapi dia tak tahu apa soalan yang ingin ditanya melihat Ruby sudah jatuh melutut di hadapan mereka.

‘’Aku tak nak cakap besar lagi. Aku tahu, aku salah..betul, orang macam kita lebih takut hantu berbanding Allah.’’ Ruby bersuara dalam nada terketar-ketar. Dia teringat kembali apa yang dilaluinya sebentar tadi.

Ruby meluru masuk ke tandas yang jaraknya beberapa meter dari rumah sewa Aini. Malam yang gelap tanpa sebarang cahaya bulan atau bintang di langit malam, hanya bersuluhkan cahaya lampu picit yang malap dan lampu dapur yang hanya menerangi separuh halaman belakang rumah.

Baru beberapa saat Ruby bertinggung melepaskan hajat, dinding dan bumbung tandas seakan dibaling batu oleh seseorang. Ruby cuba menguatkan semangat dan menganggap itu semua dugaan untuknya.

‘’Woii..aku nak membuang pun tak senanglah!’’ Ruby bertempik kuat. Bunyi benda dibaling yang bagaikan peluru itu terhenti buat seketika, namun kembali bersambung lagi selepas diam beberapa saat.

‘’Jangan kacau akulah!’’ Ruby bersuara lagi dan suaranya kian lantang. Namun, macam tadi bunyi itu hanya terhenti beberapa saat dan kembali bersambung, sedangkan perut Ruby masih memulas.

‘’Aku bilang sampai tiga, kalau aku dapat korang, siaplah!’’ Ruby terus memberi amaran dan menganggap anak jiran sebelah rumah yang melakukannya untuk menakutkan Ruby.

‘’Satu!’’ Ruby terus membilang bila bunyi yang menerpa ke seluruh arah dinding tandas masih berbunyi.

‘’Dua!’’ Ruby kuatkan suara, namun semakin kuat bunyi balingan yang didengar. Ruby tak mahu memikirkan perkara yang lain, melainkan ini semua hanyalah permainan atau gurauan anak jiran sebelah rumah yang ternyata agak nakal.

‘’Tiga!’’ dan, serentak dengan bilangan yang ketiga, Ruby sudah mendengar hilaian tawa yang menyeramkan. Tiba-tiba bulu roma Ruby meremang. Tubuh Ruby mula berpeluh dan mengigil. Mindanya baru mula bertindak dan perkara yang tak mahu dibayangkannya, tiba-tiba singgah di dalam mindanya. Hatinya meruntun dengan perasaan takut. Segala macam bayangan filem seram terus menghuni kotak fikirannya. Hantu yang berwajah seram terus membayangi mindanya. Serius, Ruby sudah tidak boleh lagi mengawal mindanya saat ini bila bunyi suara hilaian itu semakin nyaring dan terasa amat dekat dengannya.

Tanpa berfikir panjang, Ruby membersihkan apa yang perlu dan mula bertindak berani. Dia bangun dari duduk dan berdiri dengan tubuh yang mengigil. Ruby mula mengira di dalam hati. Satu, dua, tiga...Ruby membuka pintu tandas dan terus pecut. Masuk ke dalam rumah dan menutup pintu dapur dengan kuat tanpa menoleh ke belakang lagi. Apa yang menganggu Ruby sebentar tadi langsung tidak diambil peduli. Manusiakah? Ataupun hantu yang sebenar?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience