Aku terasa mati ditinggal kekasih
Tak pernah terfikir ini bisa terjadi
Aku terasa pilu saat kau berlalu
Hilang semua kisah cinta dalam hatiku
Cintaku padamu telah setinggi langit
Namun kau tak merasakan
Sayangku padamu kan ku ingat selalu
Biar ku bawa sendiri
Aku tak bisa menahan langkah kakimu
Aku tak bisa menahan kepergianmu
Kamu terlalu telah dengan yang lain
Untuk hidupmu nanti
Aku tak bisa menahan air mataku
Aku tak bisa menahan kesedihanku
Aku telah hancur
Hilang semua mimpiku
Aku telah hancur
Hilang semua mimpiku..
[ Terlalu - Els Warouw ]
Kain baju yang tersadai di atas katil bercadar hijau lumut itu dilipat perlahan. Memasukkan ia satu demi satu ke dalam bagasi yang masih ternganga kosong. Sesekali Luthfi melontarkan keluhan kecil yang terasa berat. Dia teringat akan Irsa jua Raess yang jauhnya beribu batu. Ditemani bayu malam, Luthfi terus melayangkan perasaan juga fikirannya pada kenangan lalu.
-flashback-
Luthfi melangkah laju menuju ke rooftop apartmentnya seusai Irsa menyatakan hasratnya untuk bersua. Dia mencari kelibat Irsa di tempat lepak mereka yang biasa itu. Dada Luthfi penuh debar. Dipenuhi harapan, digarap juga impian.
"Irsa! Kau keluar kenapa? Kan sejuk malam ini." tegur Luthfi kerana risaukan Irsa.
"Saja nak ambil angin. Aku dah habis pantanglah Luthfi. Tidak payahlah risau. Kau ini, ummi pun tidak over macam kau tahu!" Irsa menahan tawa. Sejak melahirkan Ara hampir dua bulan yang lepas Luthfi adalah orang yang paling risaukan Irsa dan setia mengambil berat tidak kira waktu.
Luthfi melabuhkan punggungnya di sisi Irsa. Cuba untuk menenangkan resah dalam hatinya yang sedang berkecamuk.
"Luthfi.." ujar Irsa lembut sambil memandang langit malam. Hatinya tekad mahu Luthfi tahu isi hatinya.
"Erm.." balas Luthfi yang tidak seinci pun mengalihkan pandangan dari Irsa.
"Aku.. Aku dah fikir masak-masak. Walau beribu kali pun aku fikir, aku tetap dapat jawapan yang sama. Aku tidak dapat terima kau Luthfi. Aku minta maaf. Aku beritahu kau supaya kau dapat berhenti berharap. Aku nak kunci hati aku serapatnya jauh dari mana-mana lelaki pun. Nak besarkan Ara sebaiknya walaupun mungkin aku akan gagal untuk jadi ibu dan ayah yang terbaik untuk dia. Kau layak dapat wanita yang lebih baik dari aku Luthfi. Yang menyayangi kau tiap saat bagai tiada akhirnya. Aku akan sentiasa doakan kau, Luthfi. Sampai bila-bila pun kau tetap kawan baik aku.." kata Irsa dengan hiba. Dia menolak Luthfi kerana dia tidak mahu lagi sakit kerana cinta. Seakan trauma.
Luthfi kaku memandang Irsa. Tanpa sedar, air matanya bertakung nipis.
"K.. Kau.. Kau boleh fikir lagi Irsa. Jawapannya tidak perlu sekarang.." pinta Luthfi. Dia seperti tidak reda akan hakikat ini.
Irsa mengeleng lembut dengan segaris senyum. Dia mengerti sulit akan Luthfi. Tetapi, lebih sulit jika dia terus memberi harapan dalam hati Luthfi.
Luthfi mengetap giginya yang menggigil halus. Luluhnya perasaan hati ini jika Irsa sudah pun memutuskan begitu.
"Kalau macam itu, izinkanlah aku untuk jadi ayah buat Ara. Tidak perlulah kau bebankan diri itu seorang diri. Ara akan ada mama dan papa yang sayangkan dia yang jaga dia sebaiknya. Dan, kalau kau berubah fikiran untuk buka hati kau suatu hari nanti akulah orang pertama yang mahu mencuba nasib.." ujar Luthfi. Walau Irsa telah menolak cintanya, dia tetap mahu menyayangi Ara.
Bola mata Irsa dinaikkan ke atas untuk menahan air mata yang mahu bertakung. Dia mengangguk sebak. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Sudah pasti, Ara tidak akan merasa secalit kurang meski Luthfi itu bukanlah Raess.
-end flashback-
Tok!
Tok!
Tok!
"Masuk!" laung Ilham seusai pintu biliknya diketuk.
Ayden melangkah mendekati Ilham. Berdiri kaku di bucu meja.
"Erm, Ayden. Dah kenapa muka itu? Sendu gila!" tegur Ilham yang baru sampai pejabat. Hari ini dia mula bekerja kembali selepas 'bercuti' beberapa hari di dalam tahanan.
Ayden menjeling.
"Orang risau tahu tidak? Dia boleh relaks je macam tidak ada apa-apa yang berlaku?!" balas Ayden dengan geram.
"Fine! Mestilah saya gelabah, takut, risau semualah bila kena tahan macam itu. Habis, kena ke tunjuk dekat orang? Hah, ini! Eh, Ayra itu rahsia kita tahu. Macam mana Irsa boleh tahu? Terkejut badak bila dengar Irsa sebut nama Kak Ayra semalam." ujar Ilham sambil menjegil matanya pada Ayden.
Ayden tersengih kambing. Dia duduk di kerusi depan meja Ilham itu.
"Alah, dah lama pun bocor. Gempak juga eh Irsa simpan rahsia. Lama kot." Ayden berkerut kagum. Biasanya rahsia dekat mulut perempuan ini susah amat untuk kekal rahsia.
"By the way, tidak sangkalah perangai Megat itu teruk betul! Berani dia nak dajal orang? Eii, dia itu tidak takut ke? Ingat dadah itu boleh buat main gitu je? Sekarang, meringkuklah kau puas-puas dalam penjara itu Megat! Tidak menyesal juga tidak tahulah.." luah Ilham yang masih berbekas rasa akan perbuatan Megat itu.
"Orang kalau dah hati jahat macam syaitan itu buat apa pun tidak ada rasalah. Padan muka dia! Gila!" Ayden mencebik sinis. Terasa mahu mencarut dengan lebih lagi tapi ditahannya hati.
Masing-masing tidak boleh menghadamkan perbuatan keji Megat itu. Kerana perbuatan salahnya itu akhirnya menjerat dirinya sendiri.
Srettt..
"Minum, Raess."
"Ya, ummi. Terima kasih."
Datin Alia menghulurkan secawan kopi o yang masih hangat pada Raess. Dia tersenyum kerana melihat Ara yang begitu manja memeluk Raess di atas pangkuan lelaki itu. Seakan terbuang jauh cerita hitam yang pernah terjadi empat tahun lepas.
"Erm Raess, apa khabar? Sihat? Ada apa datang sini? Irsa kerja. Ilham pun. Semua kat pejabat lagi." Dato' Widad mula bicara. Tetaplah menyambut Raess yang datang ke rumah ini sebagai tetamu.
"Alhamdulillah Raess sihat. Tidak apa ayah. Raess bukan nak jumpa Irsa atau Ilham. Raess datang nak jumpa ayah dengan ummi. Raess nak minta maaf sebab Raess baru ingat semuanya lepas bertahun-tahun kemalangan itu. Maafkan Raess ya ayah, ummi. Raess.. nak tebus balik salah Raess dekat Irsa. Raess betul-betul sayangkan Irsa dan nak besarkan Ara sama-sama. Kalau ummi dan ayah restu, Raess gembira dan hargai.." ujar Raess walau penuh segan.
"Ayah dengan ummi ini ikut je mana yang elok mana yang baik. Kalau Raess dah sedar silap Raess yang lepas itu baguslah. Selebihnya, tanyalah Irsa. Tuan punya badan yang kena buat keputusan." terang Dato' Widad.
Datin Alia hanya mengangguk mengiyakan.
"Terima kasih ummi, ayah. Kalau tidak keberatan, boleh tidak lepas ini Raess datang sini untuk jumpa Irsa dan Ara?" pinta Raess. Sudah pasti dia mahu hubungan mereka sekeluarga menjadi lebih rapat.
"Boleh, Raess. Amboi, Ara! Lupa terus ya dekat Tok Ayah dengan Nek Ummi ini? Tengok, dia peluk itu macamlah takut kena tinggal!" usik Dato' Widad yang mengundang tawa seisi ruang tamu itu.
Pin!
Pin!
Raess membunyikan hon agar Irsa dapat melihat keberadaan keretanya di lobi pejabat itu. Hari ini, dia menghantar dan mengambil Irsa kerana mahu dinner bersama Datin Zehan di restoran yang telah ditempah.
"Ara, tengok mama dah balik!" panggil Raess agar anaknya itu dapat melihat kelibat Irsa yang sedang menapak.
"Nanny, tu mama! Tu! Tu!" teriak Ara dengan teruja sambil menghentak-hentakkan kaki di sisi Datin Zehan di tempat duduk belakang.
"Eishh.." keluh Datin Zehan yang tidak berminat untuk melihat. Dia menuruti permintaan untuk makan malam ini hanyalah disebabkan pujukkan Raess.
Buk!
"Hai, sayang!" sapa Raess dengan senyuman selepas Irsa menutup pintu kereta.
Irsa menjegil matanya agar Raess dapat menjaga lisan dan perbuatannya di depan Datin Zehan.
"Mummy.." sapa Irsa yang menoleh memandang Datin Zehan di belakang.
"Erm." balas Datin Zehan acuh tidak acuh. Dia tidak memandang Irsa pun.
"Hai, Ara. Dah, duduk. Duduk. Duduk elok-elok. Behave. Kita nak jalan dah ini." pesan Irsa pada Ara yang mahu berpindah ke depan selepas melihat mamanya itu menerpa masuk.
"Okay, ready semua?! Let's go!" tanya Raess sebelum memandu.
"Yesss!!" teriak Ara yang teruja sambil menepuk-nepuk tangan.
Datin Zehan hanya menatap janggal tiga beranak yang sedang gembira itu. Hatinya terpaut sekilas rasa.
"Mummy dengan Ara tunggu eh! Raess dengan Irsa nak tengok order jap. Jom, sayang!" Raess berdiri dan menarik tangan Irsa agar bangun dan beredar dari meja segi empat itu.
"Hah?!" Irsa tidak mengerti namun dibuntuti jua Raess pergi.
"Eh, Raess! Raess!" panggil Datin Zehan. Tidak menyangka dirinya ditinggalkan begitu dengan anak kecil yang sedang tersengih.
"Raess! Apa ini? Lepaslah!" ujar Irsa seraya menarik tangannya setelah mereka agak jauh.
"Bagilah mummy kenal-kenal dengan Ara itu. Bukan selalu pun mummy dapat jumpa Ara." terang Raess.
"Fine! Tapi, apa kaitan awak pegang-pegang tangan saya ini dengan mummy?" tanya Irsa. Dia melihat tangannya masih lagi dipaut erat oleh Raess.
"Err, sorry yang ini memang abang yang nak pegang sayang. Hehe. Rindulah kat sayang.." rengek Raess dengan muka tiada salah.
"Eii, mengada!" bidas Irsa seraya menarik tangannya menjauh.
"Sayang! Abang mengada dengan sayang je tahu.." balas Raess yang membuntuti Irsa ke kaunter bayaran.
Datin Zehan hanya menjeling Ara yang berada di hadapannya. Dia melihat Ara mahu bermain dengan lebih jauh dari meja mereka.
"Eh, eh! Sini! Nak pergi mana?" tanya Datin Zehan.
"Ara nak play!" jawab Ara yang mendekati neneknya itu.
"Eii, hilang karang aku pula yang kena cari!" gumam Datin Zehan dengan geram.
"Masuk! Duduk sana!" arah Datin Zehan agar Ara duduk di hujung penghadang supaya anak itu tidak dapat keluar lagi.
"Nanny! Nanny!" panggil Ara.
"Ish, apa?!" Datin Zehan menarik beg tangannya kerana Ara bermain tali beg yang terjulur itu.
"Ara.. nak cayang Nanny.." ujar Ara yang sudah melepek di bahu Datin Zehan. Walau terasa menjengkelkan entah kenapa dia masih melayani Ara itu.
Irsa dan Raess yang sudah kembali ke meja sedikit kehairanan melihat Ara yang telah berubah tempat di sisi Datin Zehan. Namun, hanya berbuat biasa sahaja. Irsa tidak mahu tersalah cakap atau menyakitkan hati Datin Zehan yang sentiasa panas itu.
Buk!
Buk!
Raess menghantar kembali Irsa dan Ara selepas menghantar Datin Zehan pulang ke rumah terlebih dahulu.
"Bye, uncle!" Ara memeluk dan melambai Raess sebelum memasuki ke rumah. Kakinya laju hendak mengejar kelibat Nek Ummi yang berada di muka pintu.
Selepas melihat Ara dan Datin Alia telah masuk ke dalam, Irsa memandang Raess di sisi. Terasa banyak mahu diluah juga mahu saja terus memendam.
"Terima kasih Raess." ucap Irsa. Ucapan kerana telah belanja mereka makan dan gembirakan hati Ara.
"Sama-sama sayang. Terima kasih juga sebab sudi teman abang keluar." balas Raess.
Tautan pandangan mata mereka berdua terhenti saat kereta Ilham memasuki perkarangan rumah. Selepas turun dari keretanya sekelip mata Ilham mendekati dan mencengkam kolar kemeja Raess membuatkan Raess dan Irsa terpana kejut.
Buk!
Satu tumbukan yang kedengaran agak kuat telah hinggap di pipi kiri Raess. Membuatkan Raess terjelepok ke bawah serta-merta.
"Argh!" erang Raess menahan sakit.
"Abang Ilham!" jerit Irsa. Mulutnya ternganga luas melihat perilaku kasar abangnya itu. Dia mencelah di hadapan abangnya itu agar Raess tidak dipukul lagi.
"Kau buat apa kat sini?! Hah?! Aku tanya buat apa kau jumpa Irsa lagi?!!" tengking Ilham. Darahnya mendidih saat bola matanya melihat Raess tanpa segan silu boleh menjejakkan kakinya ke rumah ini malah turut mendekati Irsa. Untuk apa?
"Abang! Kenapa abang ini?!" bela Irsa. Dia tidak mengerti mengapa Ilham dengan membuta tuli boleh menumbuk Raess begitu.
"Aku dah cakap kan. Kalau aku nampak muka kau lagi nahas! Kau jangan jejak rumah ini atau jumpa Irsa lagi eh! Kalau tidak, kau memang cari nahas dengan aku! Berambus!!" tengking Ilham yang masih mahu menyentuh Raess namun dihalang oleh Irsa.
"Sudahlah, abang!" halang Irsa.
"Eh, Irsa! Masuk! Abang cakap masuk!! Masukkk!!" pekik Ilham sambil memegang tangan Irsa dan menyeret adiknya itu untuk masuk ke dalam.
"Abang! Apa ini?! Sakitlah. Raess! Raess!" panggil Irsa. Dia risau melihat Raess yang terduduk di lantai itu dengan pandangan yang bergetar. Semakin jauh bayang Raess itu sehingga hilang dari ekor mata kerana ditarik Ilham.
Raess mengatur nafas. Terkejut melihat Ilham begitu. Dia tidak menyangka salam pertemuannya dengan Ilham adalah sebegini rupa selepas ingatannya telah kembali pulih. Lebih sakit, dia melihat Irsa diperlakukan begitu hanya kerana dirinya yang dibenci sebagai punca!
Wajarkah aku mengalah kerana lelahnya berjuang?
Walau punya ruang, tetap jua terbuang..
Share this novel